Gaduh, dipukul dan rasuah politik cemari mesyuarat Umno

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Umno yang mengadakan mesyuarat tahunan peringkat cawangan sejak dua minggu lalu dicemari dengan siri pergaduhan dan gejala politik wang di seluruh negara ketika pengurusan parti berusaha untuk mengawal budaya kurang sihat daripada berleluasa.

Insiden terbaru melibatkan Bahagian Kota Tinggi di Johor, Bahagian Gopeng di Ipoh dan negeri Selangor melibatkan kawasan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno turut memberi perhatian berhubung perkembangan tersebut.

Di KOTA TINGGI, polis menerima lima laporan mengenai kejadian pergaduhan dalam mesyuarat agung beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Osman Mohd Sebot yang mengesahkan tentang kejadian pergaduhan itu hari ini berkata, polis menyiasat satu daripada laporan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga Ketua Umno Bahagian itu dilaporkan oleh akhbar hari ini sebagai berkata, penjalanan mesyuarat cawangan kali ini adalah yang terburuk dan dibayangi dengan unsur-unsur "kemaruk kuasa."

Syed Hamid, yang telah mendapat 10 pencalonan, dijangka menghadapi saingan sengit dalam pemilihan kali ini daripada bekas naib ketua bahagian itu Daing A.Malik Daing A.Rahman yang telah mendapat 13 pencalonan setakat ini.

--------------------------------------------------------------------------------

KOMEN PEMIMPIN UMNO SEMALAM DAN HARI:

  • Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar mendakwa pelbagai cara digunakan di dalam pertandingan sengit merebut jawatan di dalam parti pada masa ini, termasuk politik wang, makihamun dan ancaman.
    Syed Hamid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara-perkara negatif yang berlaku pada ketika ini diibaratkan seperti "penyakit barah" yang boleh menghancurkan Umno.
  • Mengulas mengenai seorang calon Ketua Umno Seremban yang ditahan BPR kerana disyaki terbabit dalam sogokan wang untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno akan mengkaji bentuk tindakan terhadap mereka yang didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung sogokan wang kepada ahli pada mesyuarat cawangan parti itu yang sedang berlangsung sekarang.
    Kata beliau, selain penguatkuasaan undang-undang rasuah menerusi BPR, Umno menerusi Lembaga Disiplinnya juga akan menangani isu politik wang berkenaan
    .
  • Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perjalanan kempen itu akan dipantau ibu pejabat Umno.
    "Keputusan kita pada peringkat pengurusan ialah supaya perjalanan mesyuarat cawangan dan bahagian serta kempenkempen pemilihan nanti akan diawasi oleh ibu pejabat Umno.
    "Ibu pejabat Umno mempunyai pembantupembantu yang secukupnya untuk memberi perhatian kepada perkara ini khususnya kepada kegiatan yang boleh membawa kepada apa dianggap melanggar etika parti," katanya

--------------------------------------------------------------------------------


DI IPOH, seorang anggota jawatankuasa (AJK) Umno Cawangan Pernas Charter Management (PCM) Bahagian Gopeng cedera di kedua-dua kaki akibat dipukul dengan kayu golf selepas seorang rakannya tidak berpuas hati berhubung pencalonan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian itu semalam.

Mangsa, Abdullah Abdul Hamid, 44, yang menyertai Umno sejak 1985, menerima rawatan sebagai pesakit luar Hospital Permaisuri Bainun.

Abdullah berkata, selepas selesai mesyuarat, pukul 4.30 petang, beliau yang singgah di
Batu Gajah didatangi seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila abangnya yang juga setiausaha Umno Bahagian Gopeng tidak dicalonkan cawangan PCM untuk bertanding timbalan ketua Umon bahagian itu.

Lelaki itu yang juga AJK Umno cawangan Kampung Pisang itu naik berang lalu mengeluarkan sebatang kayu golf dari keretanya lalu memukul Abdullah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Umno Cawangan PCM Hishamuddin Abdul Rahman.

Abdullah yang bekerja sebagai Eksekutif Tekun Nasional di sini kemudian berlari untuk menyelamatkan diri dan dibantu oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan di hospital Bainun sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah.

Jurucakap Balai Polis Batu Gajah ketika dihubungi mengesahkan laporan yang dibuat oleh Abdullah.

Empat calon dijangka bertanding bagi merebut jawatan Ketua Umno bahagian itu selepas bekas ketuanya Datuk Seri Abdul Shamsuddin mengumumkan untuk melepaskan jawatan itu baru-baru ini.

Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengesahkan ada menerima beberapa laporan berhubung kes rasuah dalam pemilihan cawangan dan bahagian Umno.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata BPR sedang melakukan siasatan terhadap laporan itu.

"Kita ada terima laporan ...tapi tak banyaklah, sejumlah kecil saja. Kita sedang mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan calon Ketua Umno Bahagian Seremban Mohd Nor Awang oleh BPR kerana disyaki memberi sogokan wang kepada seorang anggota Umno untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Ahmad Said menjelaskan definisi rasuah tidak berdasarkan kepada jumlahnya, asalkan ia dapat mempengaruhi keputusan pemilihan.

Beliau juga berkata, setiap aduan kepada BPR perlu disertakan dengan bukti dan fakta.

"Berikan kepada kami fakta yang benar dan kami akan ambil tindakan," katanya.

Ahmad Said berkata, BPR mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai dalam usaha membanteras rasuah.

"Anda dapat lihat sekarang ini kita menerima maklumat yang betul dan bernas daripada orang ramai dan ini menunjukkan satu perubahan baru... kita harap sokongan ini berterusan untuk samasama menentukan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Di SUNGAI BESAR, Ketua Pemuda Umno Cawangan Belia 1, Mohd Zaki Sungib telah dipanggil memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan berlaku amalan rasuah pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Sungai Besar baru-baru ini.

Mohd Zaki berkata, beliau mengambil masa kira-kira empat jam memberi keterangan di Ibu Pejabat BPR, Putrajaya bermula pukul 10 malam tadi.

Pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata, tiga lagi anggota Umno cawangan itu turut dipanggil memberikan keterangan.

"BPR memerlukan maklumat berikutan desas-desus berlaku sogokan wang dalam proses pencalonan semasa mesyuarat cawangan-cawangan yang bermula sejak 19 Julai lalu.

"Setahu saya, setakat ini tiada mana-mana pihak membuat laporan rasmi kepada BPR mengenai perkara ini," katanya.

Mohd Zaki, 39, yang merupakan seorang usahawan tani sebelum ini menyatakan hasrat bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar yang disandang bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sehingga kini, beliau belum menerima sebarang pencalonan setelah lebih 30 daripada 107 cawangan Umno Bahagian Sungai Besar bermesyuarat. Sekurang-kurangnya 21 pencalonan diperlukan bagi melayakkan beliau untuk bertanding pada pemilihan peringkat bahagian Oktober ini.

Sementara itu, Dr. Mohamad Khir ketika dihubungi mengesahkan ada meminta BPR memantau perjalanan setiap mesyuarat cawangan di bahagian itu berikutan menerima aduan daripada beberapa ketua cawangan yang khuatir berlakunya politik wang.

No comments

Powered by Blogger.