Pilihan raya Permatang Pauh sukar bagi BN: Adnan

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya kecil yang sukar bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana terpaksa bertarung di kubu lawan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata walaupun pilihan raya kecil itu memberi kelebihan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun Umno akan berusaha keras memastikan kemenangan akan berpihak kepada calon BN.

“Perlawanan ini ibarat melawan Adnan di Pelangai atau melawan Datuk Seri Najib di Pekan atau Pak Lah di Kepala Batas. Bagaimanapun, Anwar tidak perlu berasa terlalu yakin dapat merebut kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Penjagaan Bertanggungjawab anjuran BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd di sini, hari ini.

Adnan berkata tindakan Anwar bertanding di Permatang Pauh menunjukkan beliau bukan seorang pendekar kerana tidak mempunyai cukup keyakinan untuk menang di tempat lain.

“Beliau hanya berani bertanding di kawasan yang dianggap kubu kuat parti itu,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan Anwar untuk menurunkan harga petrol kepada RM2 seliter, Adnan menyifatkannya sebagai kenyataan yang tidak masuk akal.

“Jika saya menjadi Perdana Menteri, esok saya akan beri minyak percuma tetapi dengan syarat tiada lagi pembangunan, tiada sekolah, tiada hospital, kemudahan pengangkutan dan sebagainya,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.