1Malaysia: Gagasan Tepi Longkang?

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu segenap lapisan rakyat menghayati gagasan 1Malaysia. Ini merupakan kesinambungan konsep perpaduan nasional yang disemai dan dipupuk sejak kemerdekaan.

Baginda berharap semua rakyat bersatu padu, melaksanakan tanggungjawab masing-masing kerana rakyatlah yang menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara.

Baginda turut melahirkan sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian etnik dan agama serta budaya tidak menjadi penghalang kepada keharmonian hidup dan sikap saling menghormati. Baginta bertitah sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Istana Negara hari ini.

Titah Yang di-Pertuan Agong ini sebaiknya direnungi dengan mendalam oleh segenap lapisan rakyat malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau ideologi politik. Rakyat Malaysia di sini bukan bermaksud rakyat jelata sahaja, bahkan pemimpin tertinggi negara, pemimpin parti politik, pemimpin persatuan, NGO, pegawai kerajaan, swasta sehinggalah kepada rakyat marhaen harus menghayati konsep 1Malaysia dengan minda terbuka. sekirananya minda “tertutup” gagasan 1Malaysia tidak mungkin dapat difahami dengan betul.

Gagasan 1Malaysia menuntut rakyat berfikir dan bertindak atas landasan satu bangsa – Bangsa Malaysia. Maksudnya dalam pemikiran dan tindakan kita, tiada lagi istilah Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Siam atau Orang Asli, tetapi yang ada hanya bangsa Malaysia. Pemikiran dan tindakan kita boleh bertolak dari titik budaya kaum masing-masing, tetapi akhirnya mesti menjurus ke muara bangsa Malaysia yang di dalamnya ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Siam, Orang Asli dan lain-lain.

Orang Melayu, misalnya tidak boleh lagi berfikir untuk membantu orang Melayu yang miskin di luar bandar. Mereka sebaliknya mesti berfikir untuk membantu semua kaum yang miskin di luar bandar atau di bandar kerana kemiskinan merupakan permasalahan umum. Orang Cina tidak elok berfikir tentang perkongsian perniagaan sesama Cina sahaja kerana perkongsian harus melintasi sempadan kaum. Orang India tidak seharusnya melafazkan permasalahan kaum sendiri semata-mata kerana kaum lain juga ada permasalahan. Semua kaum mesti memperluas minda, memperlebar pandangan melihat permasalahan melangkaui sempadan kaum dan agama.

Dalam gagasan 1Malaysia, ruang untuk orang berfikiran sempit dan taksub kepada kaum sendiri tidak ada. Zaman cari makan dengan isu perkauman dan keagamaan yang sempit sudah berakhir. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menutup ruang kepada mereka yang fanatik kaum, keturunan dan agama. Sifat fanatik bakal meruntuhkan perpaduan yang kita semai dan bajai sejak sekian lama. Semua kita tentunya tidak rela perpaduan runtuh begitu sahaja. Runtuhnya perpaduan bererti runtuhlah segala milik kita – politik, ekonomi dan sosial.

Lontarkan pandangan sejenak ke bumi Afrika yang bergolak. Kebanyakan malapetaka yang menimpa rakyat beberapa negara di sana berpunca daripada ketiadaan perpaduan. Perang saudara tidak akan berlaku di negara yang rakyatnya saling menyayangi. Ekonomi tidak akan berkembang di tanah air yang bergolak. Keharmonian hidup sukar dicapai di negara yang rakyatnya tiada makan.

Kita sememangnya bertuah dilahirkan di Malaysia yang subur dan aman. Namun, kesuburan bumi dan keamanan negara tidak memberi sebarang makna sekiranya kita tidak menghargainya. Perlakuan dan tindak-tanduk sesetengah pihak akhir-akhir ini seolah-olah tidak menghargai keamanan. Kita boleh – dibolehkan mengikut Perlembagaan – menuntut hak kita sebagai warganegara, tetapi harus pada batasan-batasannya. Saluran paling berkesan menuntut hak ialah pilihan raya umum. Gunakan saluran tersebut sebaik-baiknya.

Demonstrasi jalanan secara aman tidak menyalahi undang-undang, tetapi menyalahi peraturan kehidupan manusia seandainya ia mengganggu orang lain. Contohnya, demonstrasi yang dijalankan di Jalan Tuanku Abdul Rahman akan mengganggu mereka yang berniaga di sana. Mata pencarian mereka terjejas. Oleh itu, demonstrasi harus berpaksi kepada keamanan dan tidak mengganggu orang lain yang tiada kaitan.

Gagasan 1Malaysia menjanjikan semua orang mendapat hak yang sama rata. “Sama rata” dalam konteks Malaysia yang pelbagai kaum dan beraneka latar belakang ekonomi dan budaya. Kita tidak boleh mengamalkan “kesamarataan” dan “keadilan” mengikut acuan Amerika Syarikat atau Eropha. Sejarah mereka berbeza dengan sejarah kita.

Di negara kita, tidak adil apabila kita membiarkan orang miskin dan orang kaya bersaing merebut peluang ekonomi secara terbuka, atau membenarkan pelajar luar bandar yang kekurangan kemudahan pembelajaran bersaing secara bebas dengan pelajar di bandar yang lengkap kemudahan pembelajaran. Persaingan berat sebelah ini sekiranya dibiarkan akan mendatangkan kesan buruk kepada pembangunan negara. Pembangunan yang tidak seimbang – jurang pemilikan harta yang ketara – bakal memporak-perandakan negara.

Manakala kerajaan sendiri tidak boleh sekadar bercakap-cakap tetapi mesti bekerja. Kerajaan mesti memastikan kakitangan awam dan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan gagasan 1Malaysia tidak menjadi seperti burung Tiung. Burung Tiung hanya pandai bercakap tetapi tidak reti maknanya.

Selain itu, Yang di=Pertuan Agong juga mahu generasi muda negara ini melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran. Tanpa ilmu dan kemahiran, gagasan 1Malaysia tidak akan berjaya. Permasalahan ilmu ini sedang membelenggu rakyat kita. Dalam isu bahasa misalnya, kita berada di persimpangan. PPSMI masih belum diputuskan. Bukan tiada keputusan tetapi tiada keberanian untuk mengumumkan keputusan. Inilah akibatnya apabila ilmu turut dipolitikkan.

Baginda turut berharap agar pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar. Harapan ini seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan. Seperti yang kita sedia maklum, pakej bantuan yang lepas-lepas selalunya tersasar. Kalau pun sasaranya tepat, jumlahnya pula kurang. Hal ini sepatutnya tidak berulang dalam 1Malaysia kerana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Kita tidak mahu sekiranya bantuan yang disalurkan kepada orang kampung tersadai di mana-mana, misalnya di muka pintu rumah Menteri, di pagar Pegawai Daerah, di kepala tangga Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan, kemudian ghaib begitu sahaja. Apabila ada suara-suara membangkitkannya, suara-suara tersebut dicantas. Akhirnya rakyat membenci kerajaan. Rakyat mengutuk Perdana Menteri, padahal Perdana Menteri tidak tahu apa-apa. Gejala membencikan kerajaan di kalangan rakyat oleh orang kerajaan sendiri harus dihentikan.

Gagasan 1Malaysia akan berjaya sekiranya semua orang – yang besar atau yang kecil – menghayati dan melaksanakannya dengan telus, adil dan saksama. Dan korupsi, kronisme dan nepotisme mesti dibasmi habis-habisan, kalau tidak mahu gagasan 1Malaysia jadi gagasan tepi longkang.


http://satumalaysia.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.