Banyak pihak pertahan pendirian tegas Nik Aziz


- Mungkinkah perpaduan di antara PAS dan Umno boleh diumpamakan seperti persaudaraan di antara kaum Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar ketika zaman awal kebangkitan Islam.
Iklan




Sedangkan persaudaraan di antara kaum terbabit di atas dasar sama-sama mendokong penubuhan negara Islam Madinah. Sebaliknya Umno tidak pernah berhasrat melaksanakan Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, kenyataan Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Apandi Yusof yang menyifatkan PAS dan Umno seumpama Aus dan Khazraj tersasar jauh.

Semalam Apandi menyelar kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan golongan yang bersekutu dengan idea kerajaan perpaduan sebagai 'boneka Umno'.

Malah menurutnya di awal penghijrahan Rasulullah saw ke Madinah baginda mempersaudarakan di antara golongan Muhajirin dan Ansar tanpa sebarang syarat.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, sekiranya Umno benar-benar mahu menegakkan Islam mereka boleh melaksanakannya sekarang kerana sudah memiliki kuasa.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang Umno secara jelas menolak Islam.

"Hakikatnya Umno tidak pernah berhasrat melaksanakan Islam. Bahkan Islam Hadhari yang diuar-uarkan di era Tun Abdullah sudah berkubur dan sekarang timbul pula mazhab One Malaysia.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Hisham Fauzi berkata, Pemuda Umno tidak perlu mencampuri urusan keluarga Pakatan Rakyat kerana parti itu mempunyai mekanisma tersendiri bagi menyelesaikan perkara berbangkit.

Katanya, Pemuda Umno tidak perlu menjadi 'tikus yang mendakwa arif membaiki labu'.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, lebih Mohd Apandi yang berkelulusan dalam bidang agama menumpukan usaha membersihkan Umno dari segala korupsi dan salah guna kuasa.

Hisham yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Tanah Merah menyokong penuh pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menolak idea kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Persatuan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan (Perakan) turut menolak usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.

Presidennya, Che Ariffin Che Mahmood berkata, sekiranya ada usaha-usaha yang cuba menzahirkan kerajaan perpaduan, Perakan akan menolak dengan tegas.

Katanya, idea kerajaan perpaduan secara jelas membelakangi rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat dan melukakan perasaan masyarakat bukan Islam yang telah menolak Umno dan BN.

"Usaha mewujudkan kerajaan perpaduan seolah-olah membenarkan Umno merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

"Malah banyak kerja-kerja jahat didalangi Umno seperti peristiwa Memali dan darurat di Kelantan pada 1978," ujarnya.

Beliau juga berkata, Umno sekarang berada dalam keadaan bercelaru dan hampir jatuh, tiba-tiba ada pemimpin Pakatan Rakyat yang cuba menghulur bantuan.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kelantan, Yeap Kok Seng turut menyokong pendirian tegas Mursyidul Am PAS menolak usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.

"Jika ada pemimpin yang ingin meneruskan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan saya mencadangkan mereka elok masuk Umno," katanya.

Beliau juga berharap pemimpin terbabit tidak datang berkempen pada pilihan raya kecil di Manek Urai kerana khuatir boleh mengelirukan pengundi.

Pemimpin masyarakat India Kelantan, Musa Amin turut menolak usaha mewujudkan kerajaan perpaduan kerana ia boleh menjejaskan sokongan masyarakat India terhadap PAS. -

No comments

Powered by Blogger.