DEBAT PEMUDA PAKATAN TINDAKAN TIDAK BIJAK

Oleh: WFAUZDIN NS

PEMUDA Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, Pas dan DAP merancang untuk mengadakan siri perdebatan berkaitan isu pokoknya iaitu Kerajaan Perpaduan dan hala tuju PR di masa hadapan. Siri perdebatan itu dirancang akan diadakan pada 16 Jun ini bertempat di Dewan MBSA, Sek 11, Shah Alam. Tajuk perdebatan adalah " Pasca Muktamar Pas - Kerajaan Perpaduan?" yang dianjurkan oleh AMK Selangor dan Shah Alam yang melibatkan Ketua Pemuda ketiga-tiga parti berkenaan. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis juga dijangka hadir sebagai ahli panel.

Meskipun siri perdebatan merupakan satu kaedah yang baik di dalam menjana pemikiran serta bertukar-tukar pandangan, tetapi perdebatan yang diadakan secara terbuka di antara sesama rakan bukanlah satu kaedah yang bijaksana. Adalah lebih baik, bijak serta berhemah sekiranya muzakarah dilakukan terlebih dahulu oleh pimpinan utama ketiga-tiga parti berkenaan bagi merungkai permasalahan yang wujud. Saya merasa pelik mengapa ketika parti Pas khususnya dan melibatkan juga PR menghadapi tekanan sedemikian rupa, pucuk pimpinan masih lagi menangguh untuk memberikan penjelasan terperinci berkaitan apa sebenarnya yang berlaku di dalam muktamar Pas tersebut. Memang telah ada pertemuan baru-baru ini di antara DS Anwar, Tuan Guru Hj Hadi dan Lim Kit Siang, tetapi kelihatannya isu ini tidak dapat diperjelaskan sebaik mungkin. Tidak cukup pertemuan 6 mata bagi menyelesaikan isu ini dan adakah pihak Pemuda PR di dalam PKR, Pas dan DAPtidak dibawa bersama semasa pertemuan penting tersebut? Adakah majlis kepimpinan atau AJK parti masing-masing tidak dibawa bersama bagi mendengar sendiri keputusan yang telah diambil oleh ketiga-tiga pimpinan tertinggi PR itu?

Sekiranya pimpinan PR menganggap isu ini sudah selesai dengan pertemuan 6 mata tersebut, mengapa perlu atau relevennya debat di antara Pemuda PR ini diadakan? Bukankah nanti akan memperlihatkan pekong masing-masing? Bagaimana nanti mereka boleh berhujah secara berkesan tanpa mengetahui buah butir perbincangan ketiga-tiga pimpinan tertinggi mereka itu? Amat tidak bijak sama sekali siri perdebatan yang hendak diadakan atas tajuk yang dikatakan sudah selesai itu. Jika ingin diadakan juga perdebatan tersebut, mereka yang paling layak dijemput bersama sebagai panel debat adalah Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasha sendiri atau Pesuruhjaya Pas Selangor iaitu Dr Hassan Ali dan Setiausaha Pas iaitu Mustafa Ali. Mereka dikatakan `master mind' di dalam isu yang timbul sekarang.

Saya berpandangan terlalu banyak buruk dari baiknya sekiranya debat ini diteruskan. Belum pernah terjadi perdebatan diadakan sesama rakan seperjuangan apatah lagi di khalayak ramai. Mungkin pihak media pun teramat berminat untuk menyiarkan secara langsung perdebatan ini sekiranya diberi peluang kerana mereka mungkin mendapat `peluru' percuma menjelang PRK Manek Urai nanti. Tidak hairan juga Umno khususnya tentu bergembira apabila melihat tenaga Pemuda PR menyengseng lengan bagi mempertahankan hujah parti masing-masing, sedangkan yang membuat onar duduk dengan aman dan tenteram di kerusi jawatan yang dipegangnya. Mudah-mudahan Pemuda PR menilai kembali tindakan mereka yang `kebudak-budakan' itu./ wfauzdin.blogspot.com

No comments

Powered by Blogger.