Dekati rakyat dan golongan muda, muslimat perlu tingkatkan usaha

Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh berkata, tenaga Muslimat sangat penting khasnya dalam pendekatan menghadapi pilihan raya demi merentasi tampuk pimpinan negara.
Iklan




Bahkan katanya, lebih separuh pengundi adalah wanita dan kumpulan yang paling terbaik untuk mendekati wanita adalah Muslimat sendiri.

Kerana itu katanya, apa yang disentuh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Ustaz Haji Hadi Awang dalam ucapan dasarnya di Muktamar Tahunan PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 5 Jun lalu,Muslimat perlu bersungguh-sungguh meningkat usaha untuk mendekati semua golongan wanita.

Ulasnya, saranan Ustaz Hadi yang meminta Dewan Muslimat PAS perlu berperanan besar sesuai dengan posisi sebagai peneraju kepimpinan wanita Malaysia perlu disambut seluruh muslimat.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily bagi mengulas ucapan dasar tersebut yang bertajuk, 'Islam memimpin perubahan' akan meneruskan kerja-kerja yang dilakukan selama ini.

Sehubungan itu, katanya Muslimat akan tunjukkan kebolehan mereka untuk mendekati rakyat.

"Yang penting mulai sekarang kita kena main peranan untuk teruskan kerja-kerja yang kita buat dan Muslimat kena tunjukkan kebolehan mereka untuk mendekati rakyat," katanya.

Begitu juga katanya, saranan supaya Muslimat mendekati generasi muda, Muslimat akan terus berganding bahu dengan Dewan Pemuda PAS untuk memahami dan mendekati golongan berkenaan.

Malah katanya, beliau akan turut meletakkan Nisa' bagi mendekati golongan muda.

Dalam menyahut penyatuan dan kemantapan jentera muslimat dengan sistem tarbiyah yang tersusun sebagaimana turut disentuh dalam ucapan Ustaz Hadi itu, Nuridah berkata, program tersebut dalam perancangan dan dilulus Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

"Lajnah tarbiyah itu untuk mengadakan akademi naqiba dan ia dalam perancangan kita dan telah diluluskan. Insya-Allah akan dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Muslimat akan terus berperanan untuk perkukuhkan parti biarpun dalam pemilihan barisan AJK PAS Pusat dalam Muktamar tersebut hanya Dr Lo' Lo' Ghazali yang terpilih untuk mewakili Muslimat.

"Bagi kami tidak sedikit pun akan merencatkan perjuangan hanya dek kerana tidak dipilih perwakilan.

"Tidak dipilih AJK PAS pun, banyak lagi ruang-ruang yang Muslimat boleh berperanan," ujarnya.

Beliau berkata, apa yang penting mulai sekarang mereka akan meneruskan kerja-kerja yang dibuat dan muslimat kena tunjuk kebolehan untuk mendekati rakyat sebagaimana diminta presiden dalam ucapan dasarnya itu.

No comments

Powered by Blogger.