Oxford ajar UiTM cara layan pelajar yang dibicarakan


Oleh Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan Pas Pusat
Tindakan Universiti Oxford yang memberikan ijazah Doktor Falsafah kepada Abdul Razak Baginda baru-baru ini wajar diambil pengajaran oleh Universiti Teknologi Mara serta Universiti lain di Malaysia.

Razak mengemukakan disertasi doktoratnya pada September 2006 tetapi universiti menangguhkannya kerana penangkapannya dua bulan kemudian berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Selepas dibebaskan pada 31 Oktober tahun lepas, beliau memohon untuk menyambung pengajiannya dan pihak Oxford menerimanya permohonan itu dan akhirnya memberikan anugerah ijazah Doktor Falsafah (DPhil) selepas beliau menyelesaikan disertasi beliau.

Dalam kes beliau, Oxford tidak mengantung beliau walaupun mengetahui bahawa beliau sedang didakwa di mahkamah atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya. Oxford membenarkan permohonan penangguhan pengajian beliau sehinggalah kes berkenaan selesai atau beliau dibebaskan.

Perkara ini jelas berbeza dengan kes seorang mahasiswa UiTM, Helman Sanuddin yang didakwa dimahkamah kerana dituduh menyertai satu perhimpunan membantah akta ISA pada 8 Jun 2001, di Masjid Negara.

Selepas di dakwa dimahkamah, beliau yang ketika itu berada di semester keenam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Maklumat terus digantung oleh UiTM tanpa sebarang perbicaraan tatatertib. Pengantungan automatik beliau dibuat berdasarkan Seksyen 14(1) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan sejagat.

Pada 22 April 2005, Hakim Mahkamah Majistret, Mohd Khairi Haron membebaskan beliau dari tuduhan berkenaan. Helman telah memohon untuk menyambung pengajianya, namun beliau akhirnya dibuang oleh UiTM melalui peraturan 2.5.5.2 dibawah kuasa Peraturan Akademik UiTM yang diluluskan Senat pada tahun 2003.

Melalui peraturan itu, UiTM mendakwa bahawa beliau gagal menghabiskan pengajian pada tempoh pengajian maksimum yang ditetapkan dan alasan itu sebenarnya bertentangan dengan Seksyen 14(1) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) yang mana beliau sebenarnya digantung oleh UiTM dan bukannya sengaja untuk melengahkan pengajian atau tidak mahu menyambung pelajaran.

Kes beliau sekarang sedang di rujuk di Mahkamah Tinggi Rayuan Kuala Lumpur dan keputusannya akan didengar pada 7 Julai ini di Mahkamah Tinggi Rayuan 4, Kuala Lumpur.

Kes Helman ini adalah antara beberapa contoh kes yang dilalui oleh Mahasiswa dinegara ini tetapi dianggap sebagai isu terpencil oleh pihak Kerajaan hingga kini.

Jelas disitu, bahawa sistem pendidikkan Malaysia masih mengamalkan sikap yang menindas hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan. Sewajarnya pihak Kerajaan dan Universiti berfikir bagaimana untuk memberikan pendidikan kepada semua rakyat bukannya menghalang mereka untuk berjaya.

Kes Razak yang dituduh bersubahat membunuh adalah jauh lebih berat berbanding kes Helman yang dituduh menyertai perhimpunan tanpa permit. Jadi dalam hal ini pihak UiTM wajar mencontohi Oxford yang membenarkan pelajarnya meneruskan pengajian tanpa menjadikan masalah peribadi mereka sebagai alasan untuk menghalang kejayaan mereka dalam pendidikan.

UiTM dan Universiti lain perlu mengubah dasarnya dan polisi pendidikannya agar setaraf dengan Universiti-universiti terbaik dunia. Jika tidak, Institusi pendidikan di Malaysia akan dilihat ketinggalan jauh kebelakang.

Pas mendesak agar Akta 174 dan Akta AUKU dikaji semula dan membenarkan mana-mana pelajar yang masih dituduh di Mahkamah dan belum dibuktikan bersalah untuk meneruskan pengajian. Universiti seharusnya membenarkan kebebasan bersuara dan menghormati hak pelajarnya untuk terus berjaya dalam bidang akademik dan menyumbang pada masyarakat.

No comments

Powered by Blogger.