Virus Ini Lebih Bahaya Daripada H1N1

Tentulah tidak sopan apabila kita minta ahli politik kencing dalam tempurung kelapa, kemudian cermin diri dalam tempurung itu. Ahli politik terlalu mulia untuk disamakan dengan Mat Jenin yang berangan-angan hendak menikahi Puteri Raja. Memang sesuai seandainya Mat Jenin disuruh cermin diri pada air kencing sendiri dalam tempurung kelapa. Mana ada dalam sejarah orang biasa beristerikan Puteri Raja. Raja sendiri pun kadang-kadang terpaksa beristerikan anak orang kebanyakan. Ini pula Mat Jenin yang mengambil upah panjat kelapa.

Tetapi ahli politik yang berangan-angan seiras-iras Mat Jenin sudah ada di negara kita. Bukan seorang, bukan dua, bukan tiga, tetapi lebih daripada itu. Jumlah sebenarnya masih menjadi rahsia kerana angan-angannya samar-samar dan kelam-balam. Mereka malu-malu hendak berangan-angan di tempat terang. Malu kucing agaknya kerana orang sudah lama tahu. hanya kucing yang belum tahu.

Ada ahli politik mahu kahwin Puteri Raja? Ahli politik tidak sebodoh Mat Jenin. Mereka tidak pasang angan-angan terhadap benda yang mustahil. Angan-angan mereka masul akal dan ada kelas lagi. Soal nikah kahwin tidak masuk dalam angan-angan orang politik. Itu soal remeh temeh. sekali jari dipetik, berduyun-duyun datang menyembah kaki – sebenarnya menyembah poket.

Angan-angan ahli politik tentulah ada kaitan dengan kuasa. Siapalah ahli politik tanpa kuasa. Jadi, kuasa adalah segala-galanya bagi ahli politik. Kuasa itu wang, dan wang itu kuasa. Dengan kuasa orang boleh dapat wang, dan dengan wang orang dapat beli kuasa. Wang dan kuasa adakalanya sinonim. Penggunaannya boleh ditukar ganti. Misalnya, “saya boleh beli tanah kerana saya ada wang,” atau “saya boleh mendapatkan tanah kerana saya ada kuasa.” Jelas sekali bahawa kuasa dan wang sinonim dalam era globalisasi ini.

Siapakah yang mensinonimkan kuasa dan wang? Sesiapa sahaja yang menjunjung sistem kapitalis. Ingat, sistem kapitalis ialah sistem yang tidak mesra nilai kemanusiaan. Siapa cepat dia dapat, siapa kuat dia menang. Siapa lambat, lemah dan cacat (istimewa?) tanggunglah akibatnya sendiri. Keuntungan wang ialah matlamat terakhir kapitalis. Untuk mendapatkan keuntungan maksimum, kuasa mesti dimaksimumkan terlebih dahulu. Ini teori kapitalis. Kuasa dan wang merupakan dua Dewa penganut kapitalis. Dua Dewa inilah yang disembah kapitalis siang dan malam.

Sitem kapitalis ada sejenis virus, lebih berbahaya daripada virus H1N1. Virus kapitalis merebak dengan pantas, sepantas orang-orangnya. Dalam sekelip mata virus ini menjadi wabak menyerang ahli politik. Simtom-simtom ahli politik yang menghidap virus kapitalis ini senang dikesan. Antaranya ialah berbincang di tempat gelap; berselindung di sebalik logo parti untuk menjana sumber kepentingan diri; kata-katanya tidak terang dan kabur; melakukan apa-apa sahaja untuk mendapatkan kuasa, termasuk bekerjasama dengan musuh politiknya. Penyakit ini dalam kata lain dinamakan penyakit gila kuasa. Gila kuasa sinonim dengan gila wang.

Penyakit gila kuasa ini menyerang mangsa tanpa mengira latar belakang. Orang kafir, orang tidak kafir, alim ulama, atau jahil tukil semua diserangnya. Orang politik paling mudah menjadi mangsa kerana “kuasa” politik ialah kuasa yang paling digilai. Kuasa politik mampu menjana kuasa ekonomi. Rakyat marhaen tidak ada yang gila kuasa kerana tiada apa-apa kuasa untuk digilai mereka. Kuasa menanam padi dan menoreh getah tidak mampu menjana wang berjuta. Oleh itu, tiada siapa gila kuasa jenis ini.

Seandainya ahli politik jenis jahil tukil gila kuasa (gila wang) kita dapat terima kerana mereka tidak reti agama. Tetapi apabila jenis alim ulama gila kuasa, maka berceracak bulu tengkuk kita kerana seram. Sukar bagi kita membayakangkan orang alim gila kuasa kerana mereka sepatutnya gila syurga. Orang yang gila syurga tidak akan bekerjasama dengan musuh yang pernah dinerakakannya. Tetapi inilah dunia politik yang telah dijangkiti virus kapitalis.


http://satumalaysia.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.