News Update :

Politik

Kenyataan

Agama

Dunia

Jawatan: Antara Bebanan Di Dunia Dan Bebanan Akhirat

April 30, 2009

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-GhiGo to fullsize imagefari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan « Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya’.


adis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘ jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’.

AlHamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut. Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada kjamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada. Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh.

Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri ( enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar. ( Nauzubillah).
Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.

oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’. Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang.

Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar alKhattab “ Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”. Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.

Mau'izah untuk ana dan para sahabat;
Tuan Ibrahim Tuan Man,
Temerloh-30hb Mei.

Tengok gambar ini dan buatlah penilaian sendiri dgn mata hati...


Keakbaran dua ulama besar Malaysia.
Kemesraan mereka terserlah.
Rasa hormat Tok Guru Haji Hadi kepada Ketuanya
Tok Guru Nik Aziz juga jelas.
Jadi, kepada pencacai, baik dari Umno apatah lagi dari PAS..
hentikan kerja-kerja batu api dan fitnah anda.
"Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama"

Nik Abduh dipanggil beri penjelasan

Bloger Nik Abduh semalam dipanggil Badan Perhubungan PAS Kelantan memberi penjelasan mengenai tulisan kerja-kerja bodoh dalam pas yang dimuatkan dalam blognya dan dipetik media cetak.

Menurut sumber, Nik Abduh dinasihat supaya menarikbalik semua tulisannya yang menyebabkan kecelaruan banyak pihak dalam PAS.

Selepas beberapa hari media harian yang dekat dengan Umno menggamatkan isu dicetuskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Nik Abdul Nik Abdul Aziz, hari ini Dewan Ulamak PAS Pusat tampil meminta dihentikan polemik tersebut.

Ketuanya, Dato’ Mohamed Daud berkata, amat tidak wajar sekali sekiranya laman blog digunakan untuk kebaikan parti menjadi medan mendedahkan keburukan orang lain.

“Perbuatan itu jelas merugikan parti sendiri. Kami berharap semua pihak menghentikan pelbagai spekulasi serta andaian peribadi berhubung kerajaan perpaduan dalam blog masing-masing.

“Anggota parti juga diingatkan tidak menyerang atau cuba menonjolkan orang tertentu yang diminatinya kerana ia akan mewujudkan kesan yang negatif,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Terdahulu Bernama melaporkan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa badan itu masih belum berbincang berhubung kenyataan anak Mursyidul Am itu, Nik Abduh yang percaya pembantu-pembantu bapanya berkonspirasi dengan niat untuk melaga-lagakan bapanya dengan Abdul Hadi.

Timbalan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dinasihatkan supaya tidak membuat kenyataan yang menjejaskan kewibawaan bapanya yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Abdul Fatah Haron yang juga Ahli Dewan Harian Pas Kelantan berkata, tulisan Nik Abduh dalam blog bahawa bapanya diberi maklumat tidak tepat oleh para pembantunya mengenai kerajaan perpaduan, memberi gambaran seolah-olah Nik Abdul Aziz tiada pemikiran sendiri dalam membuat keputusan politik.

“Sepatutnya sesiapa (ahli parti) yang menulis dalam blog atau apa saja berhati-hati dalam penulisan mereka. Sehingga hari ini rakyat beri kepercayaan penuh kepada tok guru.

“Jadi jangan buat sampai tok guru hilang kredibiliti. Apabila ditulis sedemikian seumpama tok guru tiada buah fikiran sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai siapa yang mungkin dimaksudkan Nik Abduh, Abdul Fatah yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Negeri Kelantan berkata, semua rakyat dan ahli Pas adalah pembantu Nik Aziz.

“Pembantu ayahnya adalah semua orang. Nik Aziz apabila mendengar pandangan sama ada dalam parti atau kerajaan tidak pernah menerimanya bulat-bulat.

“Sebaliknya beliau akan mendengar semuanya dan akhir sekali melakukan solat istikharah memohon petunjuk daripada Allah sebelum membuat keputusan,” katanya.

Baru-baru ini Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS menulis dalam blognya menghentam pembantu bapanya berkaitan isu kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu media berjaya mencipta fenomena baru bagi memburukkan PAS menjelang muktamar tahunan yang akan diadakan Jun depan di Shah Alam.

Mohamed Daud yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Iraqi berkata individu tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara terbuka berkenaan cadangan kerajaan perpaduan memandangkan ia telah disepakati akan diputuskan pada muktamar nanti.

Menurutnya sebelum ini mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat ketetapan isu kerajaan perpaduan akan diputuskan dalam muktamar Jun ini.

“Maka orang perseorangan tidak boleh membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai perkara itu kerana ia akan menggelirukan orang ramai.

“Bukan itu sahaja ia juga akan memberikan ruang kepada pihak musuh untuk mempermainkan isu terbabit seperti yang berlaku sekarang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan anggota parti tidak mengunakan blog untuk mendedahkan perkara negatif mengenai orang lain kerana ia akan menguntungkan pihak musuh.

“Kita sebagai sebuah parti Islam dan tentunya perjuangan dan cara kita juga tidak sama dengan pihak lawan,” ujarnya.

Ditanya mengenai ada kawasan yang mahu jawatan tertinggi parti dipertandingkan katanya, sewajarnya jawatan utama tidak dipertanding dan terus diterajui kepimpinan ulama.

Bagaimanapun beliau berpendapat bagi jawatan naib presiden dan anggota jawatankuasa perlu ada gandingan di antara profesional dan ulama.

Ditanya lanjut mengenai kerajaan perpaduan beliau berkata, Dewan Ulamak tiada masalah untuk menyokong cadangan itu sekiranya perundangan negara dan ekonomi berjalan mengikut lunas-lunas Islam.

“Namun persoalannya adakah pihak lain boleh menerima kerajaan perpaduan itu bergerak mengikut acuan Islam,” katanya.

Jika pentingkan diri, PAS sudah lama berkerjasama dengan BN - Salahuddin Ayub



JIKA PAS mementingkan diri sendiri dan tidak mengutamakan aspirasi rakyat, ia kini berada dalam kerajaan negeri Perak, kata Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

"Ogos tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah membuat pengumuman menawarkan satu perkongsian kuasa dengan PAS bagi membentuk kerajaan di Perak dan sanggup menerima Adun PAS sebagai Menteri Besar Perak.

"Jika kita mementingkan diri, sudah tentu kita menerima tawaran itu dan mencampak ke tepi aspirasi rakyat yang menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac tahun lalu," katanya ketika mengulas dakwaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menuduh perjuangan PAS hanya untuk kepentingan diri sahaja.

Kemarahan Menteri Dalam Negeri itu berpunca dari tindakan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dilaporkan menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Salahuddin mengulangi penegasan bahawa PAS mahu membentuk kerajaan yang direstui rakyat dan bukan melibatkan diri dalam kerajaan bangsawan baru yang tidak tahu lagi memahami keresahan rakyat.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu ia akan berlari-lari mengejar dan menyertai kerajaan elit Umno BN yang disifatkan oleh rakyat sebagai lost touch dengan mereka - langsung tidak memahami atau buat-buat tak faham keresahan mereka.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu PAS menyertai kerajaan yang pernah dijangka oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai kerajaan perasuah sebelum pemilihan Umno dan selepas pemilihan pula beliau menyifatkan kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai kerajaan yang turut dianggotai oleh mereka yang berperangai keji," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga membangkitkan kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan tindakan Umno BN yang mengambilalih pemerintahan di Perak sebagai sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang (in conflict with the law).

"Kenyataan Dr Mahathir menunjukkan mereka yang mengambil alih kerajaan Perak adalah kaki langgar undang-undang. Adakah tidak mementingkan diri bermakna berkerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan kaki langgar undang-undang?!" beliau mempersoalkan.

Salahuddin juga menunjukkan SMS yang diterimanya. SMS itu menyatakan, "Dulu kerajaan anak-beranak, kini kerajaan suami isteri".

"Saya tidak tahu SMS ini ditujukan kepada siapa. Tetapi adakah tidak mementingkan diri itu berkerjasama dengan kerajaan anak-beranak atau kerajaan suami isteri? Kalau kerajaan suami isteri, adakah buat keputusan atas katil dan kita pula mesti menjadi kuli kepada keputusan mereka supaya tidak dituduh mementingkan diri?"

Muhyidin tunjukkan jalannya



KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN...Kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari kediaman Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya di sini, semalam, selepas menziarahi jenazah Puan Sri Laila Taib. Laila, 68, meninggal dunia pada 3.45 petang semalam.

Ketika berdentung dentang para pemimpin Umno bercakap soal penggunaan kereta rasmi Proton Perdana, kereta rasmi Timbalan Perdana Menteri adalah Roll Royce. Foto BERNAMA.

Mi Celup

Oleh Khalid Samad

Saya diminta memberikan pendapat oleh beberapa orang berhubung tuduhan serius yang dilemparkan oleh anakanda Nik Abduh dalam blognya. Saya jarang mengunjung blog beliau dan oleh itu tertanya-tanya apakah tuduhan serius ini? Hari ini, diberikan kesempatan dan ruang masa oleh Allah, maka saya membaca postingnya yang bertajuk ‘kerja-kerja bodoh dalam pas’. Setelah selesai membacanya, saya memahami mengapa ada yang meminta saya mengulas.

Walaupun saya bukan ulama’ dan tidak pernah mengaku diri saya seorang ulama’ namun oleh kerana tulisannya menyentuh parti yang telah saya habiskan lebih separuh dari hidup saya di dalamnya, saya rasa saya berhak untuk memberi komen. Walaupun saya ini mungkinlah dianggap olehnya sebagai di antara ‘mi celup’ tersebut.

Untuk memudahkan semua, khususnya untuk mereka yang mi celup seperti saya, pendapat saya akan dikemukakan dalam bentuk point seperti di bawah.

1. Tuduhan Yang Dibuat
Saya sebenarnya terkejut dengan tuduhan yang dibuat. Pembantu-pembantu TGNA melagakan TGNA dengan TGHH? Kalau betul, kenapa tidak Nik Abduh beritahu perkara ini kepada ayahandanya sahaja? Apa? TGNA tak akan percaya? Hmmm... Kalau TGNA tak percaya, kenapa pula kita nak percaya? Semestinya TGNA lebih tahu samada tuduhan itu tepat atau sebaliknya. Apakah TGNA tak mampu memahami hujjah-hujjah yang dikemukakan yang begitu lantang mendoakan pembantu-pembantunya dibalas Allah atas kejahatan mereka? Samada TGNA tak mampu memahami atau ada hujjah disebaliknya yang tidak mampu Nik Abduh sendiri memahami? Saya rasa yang kedua adalah lebih tepat.

Kalau nak menuduh pun, bukan ini caranya. Takkan tuduh secara borong! Adakah semua pembantu-pembantu TGNAA yang jahat? Saya rasa kalau ditanya, ramai, mungkin separuh dari rakyat Kelantan, akan mengakui mereka pembantunya! Yang dimaksudkan sebagai pembantu ini pula pembantu yang macam mana? Yang pegawai kerajaan ke, yang pegawai parti ke, yang pemimpin parti ke? Yang kawan rapat ke? Dato’ Husam ke? Anual Bakri ke? Nik Amar ke? Yang mana satu? Atau kesemua mereka?

Tuduhan semberono macam ini bagi saya tidak bertanggung jawab dan mengundang fitnah. Hasil dari tuduhan ini akan wujud suasana syak wasangka dan saling tuduh menuduh di antara pembantu-pembantu yang entah mana satu. Itu kalau orang tak matang. Tetapi saya harap ahli PAS yang telah matang akan mampu melihat tuduhan ini sebagai tuduhan kosong yang tidak layak diberikan layanan. Tiada bukti yang dikemukakan kecuali andaian.

Sepatutnya, kalau nak tuduh, sebut siapa dan kemukakan bukti. Kalau belum ada bukti, usahakan cari. Sabar, bila ada bukti barulah kemukakan. Jangan buat kenyataan yang kurang matang yang mengundang fitnah.

Sebenarnya saya sendiri khuatir Nik Abduh yang diperalatkan untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin dalam PAS, khususnya yang di negeri Kelantan. Cuba lihat kenyataannya, “Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”.

Nik Abduh diberitahu. Bukan dia dengar sendiri. ‘Sumber’ yang dia rasa boleh dipercayai tidak semestinya orang yang boleh dipercayai. Kalau nak bandingkan TGNA dan Nik Abduh, sudah jelas siapa yang lebih berpengalaman dengan tipu-helah manusia. TGNA lebih mampu memilih orang kepercayaan yang boleh dipercayai berbanding Nik Abduh. Adakah kita diminta menolak orang kepercayaan TGNA supaya berpegang kepada orang kepercayaan Nik Abduh? Saya rasa bukan orang kepercayaan TGNA yang memperalatkan TGNA tetapi orang kepercayaan Nik Abduh yang memperalatkan Nik Abduh. Itu saya rasa jauh lebih mudah untuk dilakukan.

Lagipun, tengok sahaja kepada maklumat yang diberikan kepada Nik Abduh. “Menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”. Ini memang maklumat batu api. Saya rasa anakanda Nik Abduh kena matang sikit bila menerima maklumat supaya tidak mudah di permainkan orang.

2. Perbezaan Pendapat Satu Rahmat
Bagi saya memang ada perbezaan pendapat dalam soal hubungan kita dan BN di antara TGNA dan TGHH. Perbezaan pendapat ini perkara biasa dan tidak merupakan satu masalah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan ulama’ seperti TGNA dan TGHH kerana mereka memahami dan menghayati ‘adabul ikhtilaf’. Itulah sebabnya walaupun berbeza pendapat, TGNA memuji kemampuan dan kebolehan TGHH berhujjah dalam Parlimen. TGNA bukan macam kita. Bila tak setuju atas satu perkara, maka semuanya tak betul.

Begitu juga, oleh kerana adabul ikhtilaf ini, TGNA tidak membuat tuduhan liar bahawa TGHH diperalatkan pembantunya atau memperlekehkan peribadi pembantu-pembantu ini. Seperti TGNA, saya rasa TGHH juga ada para pegikutnya ke serata tempat. TGNA memahami perbezaan pendapat ini atas persoalan yang dibenarkan adanya perbezaan pendapat.

Kenyataan Nik Abduh bahawa “ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya” adalah tidak tepat. TGNA tak pernah menerima ‘muzakarah’ dan itulah sebabnya mengapa akhirnya istilah yang diguna ditukar kepada ‘muqabalah’. Ulama’ mi celup pun faham beza muzakarah dan muqabalah, tak kan yang ‘ulama’ mi goreng’ tak faham? (Yang mi goreng ini lama sikit berada dalam kuali).

Begitu juga penggunaan istilah-istilah menghina sahabat-sahabat seperjuangan. Jangan oleh kerana perbezaan pendapat kita mula menghina dan mencaci sahabat-sahabat kita sendiri. Saya harap budaya ini ditamatkan dan sebagai pemimpin pemuda peringkat nasional, Nik Abduh patut menunjukkan contoh yang baik. Biar kita berhujjah tetapi hayati adabul ikhtilaf seperti sepatutnya, seperti yang dilakukan ayahanda. Istilah-istilah seperti ‘pejuang nafsu’, ‘ulama’ mi celup’ dan sebagainya amat tidak sesuai digunakan. Ia menghina orang lain dan menzahirkan satu sikap yang terlalu angkuh.

3. Musyarrakah Fil Hukumah
Saya rasa soal keperluan seseorang Muslim dan lebih-lebih lagi sebuah gerakan Islam untuk melibatkan diri dalam sebuah kerajaan bukan Islam atas syarat-syarat seperti yang disebut oleh Nik Abduh tidak menjadi pertikaian. Itulah mengapa soal Tahalluf Siyaasi diamalkan sehingga membawa kepada musyarrakah fil hukumah atau pengongsian dalam pemerintahan.

Bila saya membaca hujjah yang disebut, khususnya kes Nabi Yusuf AlaihisSalaam, teringat saya akan episod tahun 80an apabila hujjah ini digunakan oleh Anwar Ibrahim semasa beliau, bersama beberapa ahli ABIM, masuk UMNO. Pada masa itu orang PAS marah kerana terasa dikhianati kerana selama ini, sebelum itu, Anwar dilihat bersama PAS walaupun menyokong melalui ABIM. Sepatutnya, PAS yang pernah terasa dikhianati memahami betapa marahnya perasaan orang yang dikhianati.

Atas kefahaman yang sama, bahawa pengongsian kuasa ini boleh dilakukan, atas syarat-syarat tertentu, PAS menyertai BN pada tahun awal 70an. Dalam kedua-dua peristiwa ada untung dan ada ruginya. Ramai berpendapat, tetapi mungkin belum mencapai tahap ijma’, lebih rugi dari untung.

Dalam perkara ini, jelas bahawa hukumnya bergantung kepada samada ianya menguntungkan atau merugikan perjuangan Islam. Oleh itu syarat-syarat perlu ditentukan dan perkiraan untung rugi diambil berat. Dalam soal untung rugi ini, semestinya akan ada perbezaan pendapat kerana ianya berhubung bacaan seseorang terhadap suasana politik dan tindakan yang paling berkesan untuk memanfaatkan suasana tersebut demi perjuangan Islam. Bagi sesetengah pihak jawatan menentukan secara muktamad untung-rugi sesuatu tindakan. Bagi sesetengah yang lain, bukan jawatan tetapi kesedaran dan sokongan rakyat.

Saya akan kupas persoalan ini secara lebih terperinci kemudian di bawah ini.

4. Soal Kerajaan BN Dan Kerajaan PR
Nik Abduh menyebut “Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam.” Betul dan saya cukup bersetuju dengan kenyataan ini. Ini kembali kepada kefahaman kita berhubung persoalan ‘Musyarrakah fil hukumah’, kita berkongsi kuasa dan oleh itu tidak boleh menganggap kita berkuasa seorang diri maka semuanya mesti ikut kehendak kita. Namun beradanya kita sebagai rakan kongsi mesti menguntungkan perjuangan yang dibawa kita.

Yang saya tidak setuju ialah bagaimana beliau meletakkan BN dan PR itu sebagai sama sahaja. Mungkin dia lupa bahawa kita bersama PR dan atas kebersamaan kita, telah kita mendapat sokongan dan undi dari masyarakat yang sebahagiannya belum lagi menyokong perjuangan PAS. Untuk meletakkan BN dan PR pada taraf yang sama dalam perkiraan kita merupakan satu penafian hakikat suasana politik yang kita wujudkan bersama. Atau beliau baru bangun tidur dan tidak sedar semua yang berlaku sebelum dan selepas PRU ke-12?

Bagaimana kita boleh menilai secara tepat soal untung rugi sesuatu tindakan kalau kita tidak mampu meletakkan konteks penilaian kita dengan betul dan tepat? Kita bersama PR dan atas nama PR, kita memerintah beberapa negeri. Ya, saya tahu. PR hanya wujud selepas PRU ke-12 tetapi itu tidak menafikan kerjasama BA (iaitu PAS dan PKR) bersama DAP dalam menghadapi PRU ke-12. Undi masyarakat Cina dan penyokong DAP untuk kita dan undi kita untuk mereka dalam menentang BN? Begitu juga masyarakat India dan lain-lain. Kebencian rakyat terhadap BN yang memungkinan pengundian sebegini berlaku! Dan apakah setelah kita mencapai kemenangan, melalui sokongan ini, kita berpaling dan mengatakan BN dan PR sama sahaja?

BN dan PR tak sama. Kita ada pakatan dan perjanjian bersama PR dan kita tidak akan khianati mereka selagi mereka tidak khianati kita. Sila rujuk ayat 91 hingga 95 Surah An-Nahl dan jelaskan kepada semua Maqasidnya serta Asbabun Nuzulnya. Saya bukanlah ulama’ maka harap yang merasa dirinya ulama’ (yang bukan jenis mi celup) sila jelaskan.

5. Untung Rugi Perjuangan
Soal apa yang menguntungkan dan apa yang merugikan perjuangan memang penting. Tetapi yang mesti untung adalah perjuangan, bukan diri kita sendiri atau indvidu-individu tertentu.

Persoalannya apakah yang menguntungkan dan apa pula yang merugikan? Ada yang menganggap jawatan adalah ukuran muktamad. Kita mesti memegang jawatan Menteri ini dan Menteri itu. Siapa yang menawarkan jawatan-jawatan ini maka kita akan bersamanya! Kita mesti terima dan dengan itu perjuangan kita akan untung. Adakah ini benar?

Yang pasti individu yang menjawat jawatan itu yang untung. Itupun di dunia, diakhirat tak tentu lagi. Dari sudut perjuangan, tidak semestinya. Perjuangan PAS bukan perjuangan untuk jawatan. Perjuangan PAS adalah perjuangan untuk mendidik rakyat berhubung ugama Allah dan bagaimana melalui Islam ini, manusia akan selamat dunia dan akhirat.

Itulah sebabnya bila nak menentukan tindakan mana menguntungkan dan tindakan mana merugikan, kita mesti memahami waqi’ persekitaran kita. Hakikat bahawa kita naik bersama PR mesti diambil kira. Ia sebahagian dari waqi’ ini. Tindakan kita mengkhianati amanat rakyat yang mengundi kita akan merugikan perjuangan kita. Walaupun kita diberi jawatan-jawatan yang dipohon. Kerana kita akan dilihat sebagai wanita jalang yang menerima tawaran tertinggi untuk khidmatnya. Rakyat akan memarahi kita. Sepertimana kita marah Anwar dulu yang hingga kini ada yang masih belum mahu memaafkan beliau. Dan mereka tidak akan percaya lagi pada kita dan menjelang PRU ke 13, kita akan kecundang walaupun kita memegang jawatan-jawatan Menteri sebelum dari itu. Yang paling tidak boleh diterima, Islam akan dilihat sebagai perjuangan yang tidak berprinsip. Adakah kita sanggup melakukan sebegitu? Jatuh taraf perjuangan PAS sehingga menjadi setaraf perjuangan Othman Jailu mengikut pandangan rakyat?

6. Soal Kerajaan Perpaduan Atau Unity Government
Nik Abduh menulis, “Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Ya, secara selamba jawapan TGNA. Mungkin kerana dia tahu bahawa jawatan yang disebut tidak akan ditawarkan oleh BN. Sepertimana juga penjelasan TGHH, syarat yang pertama untuk konsep ini berjaya adalah keikhlasan - sepertimana yang telah saya huraikan di dalam Persoalan Kerajaan Perpaduan. Kita semua menyedari bahawa syarat ini tidak dipenuhi BN. Cuba lihat, tawaran yang dibuat tidak langsung dihiraukan. Akhirnya kita tarik balik. Kita iklas dan kuathir masalah meruncingnya keadaan politik tanah air. Tetapi BN tidak. Yang meruncingkan keadaan adalah mereka dan memang mereka inginkan ianya meruncing supaya kita akan ketakutan dan hentikan usaha kita untuk menjatuhkan mereka. Supaya kita menjemput BN berdamai dan bersatu, sehingga berlaku perbalahan sesama kita. Akhirnya berkatalah orang, ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’!

Apa yang kita nak gaduh? Tawaran itu tiada yang menerimanya. Kita buat tawaran, orang buat tak tahu lepas itu kita gaduh sesama kita. Kelakar dan pelik bukan? Gaduh sehingga berlaku tuduh menuduh, cakap macam kita tahu apa yang ada di dalam hati manusia.

Lupakan sahajalah persoalan Unity Government ini. TGHH sudah pun tarik balik. Hayatilah keputusan Muktamar tahun lepas di Ipoh dan perkukuhkan PR.

Khalid Samad
WaLlahu ’Alam

Nota: Selesai sahaja menulis, saya dimaklumkan bahawa terdapat susulan dari artikel tersebut yang belum lagi sempat lagi saya baca. Tengoklah dulu, jika ada keperluan dan kesempatan akan diusahakan.

http://www.khalidsamad.com

Pemuda Pas Permatang Pauh Sumbang Dana Modal Bantu Kempen UMNO/BN Penanti.

Oleh sinarhairan

"

Persoalannya sekarang ialah semenjak bila Pemuda PAS Permatang Pauh boleh pandai-pandai menentukan calon pilihan sendiri untuk Penanti? Adakah ianya mendapat restu dan kata lulus daripada peringkat tertinggi Presiden parti?



Kenapa Pemuda bersikap begitu keras sekali, sehingga mengeluarkan arahan supaya jentera pilihanraya Pas dibekukan serta merta? Arahan siapa dan apakah motif di sebalik semuanya ini. Sekiranya Presiden Pas TG Hadi Awang tidak bersetuju, sudah tentu TG akan bersuara pada mana-mana sidang media. Sudah tentu juga inilah bola tanggung yang dinantikan media kerajaan BN.

DAP tak kata apa pun, Presiden Pas tak komen pun, Cuma Pemuda Pas PP sahaja yang beriya-iaya benar menentang keputusan Dr Mansor sebagai calon Penanti. Ramai yang tidak faham kenapa perkara ini berbangkit dan kenyataan Ketua Pemuda Pas Permatang Pauh menurut laporan Malaysia Kini, Mohd Hafiz Mohd Nordin akan mengadakan perbincangan dengan presiden parti berhubung hal itu dalam tempoh terdekat ini. Untuk apakah ini semua?

Apakah Ketua Pemuda Pas PP tidak sensitif langsung terhadap apa tersirat dalam tulisan Nik Abduh tentang kerja-kerja bodoh dalam PAS (1) dan (2). Ambillah iktibar dari kebimbangan itu supaya tidak berlaku sebarang perpecahan. Nak pergi bincang dengan presiden, pergilah bincang, nak suarakan pun suarakanlah hasrat hati kepada presiden dan kenapa nak digembar gemburkan soal perkara yang belum terjadi dan akan pergi, akan berbincang dan akan itu dan ini.

Suasana jernih kenapa nak dikeruhkan? Kecualilah kalau-kalau Mohd Hafiz Mohd Nordin mempunyai agenda tersembunyi khusus untuk menangguk di air keruh ciptaan sendiri terutama dalam suasana muktamar sekarang? Luka di tangan bolehlah kita nampak, suka di hati Hafiz siapalah yang tahu? Sebaik-baiknya hentikan apa juga percakapan dan perbuatan yang mampu membenihkan bibit perpecahan dalam pakatan.

Sebagai pemuda Hafiz seharusnya bijak mengurus dan mentadbir kemarahan. Jangan dibiarkan berlarutan kelak akan menambah luka di hati naluri sendiri dan ramai lagi. Perkuatkan maufakat untuk menghadapi Umno BN yang akan dimasukkan ke dalam WAD ICU kerana kronik dan muflis modal untuk berkempen. Kenapa antara kita yang sukarela membantu menyediakan dana modal tanggung untuk mereka?

BERUBAHLAH KAMUsebelum KAMU DIUBAH dan

BERUBAH untuk KEMENANGAN RAKYAT dalam PAKATAN.

Ustaz Fadhil Dan Perubahan Umat

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Y.B DatGo to fullsize imageo’ Fadhil Noor terkenal sebagai tokoh yang terbuka dalam menilai keadaan dan suasana. Wataknya ini telah banyak mencetus rentak perubahan berfikir sebahagian mereka yang jumud. Saya menyanggap beliau sebagai tokoh politik pro-Islam yang moderat.


Baru-baru ini saya agak tertarik dengan kenyataan Y.B Dato’ Fadhil Noor, dalam suatu temuramah dengan beliau oleh wakil malaysiakini mengenai penubuhan negara Islam. Kata beliau: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi. Kita perlu mencari strategi bertemu dengan rakyat supaya ia dapat diterima oleh semua pihak”

Mungkin ada sebahagian di kalangan yang kurang faham menganggap Ustaz Fadhil dengan kenyataan ini seolah-olah mula longgar dengan perjuangannya. Namun bagi yang mengkaji nas-nas Islam secara meluas dan mendalam akan menilai kenyataan ini, sebagai suatu kenyataan.yang pengucapnya memahami tabiat Islam. Golongan yang gopoh, yang berkempen negara Islam tanpa ilmu yang masak, seperti yang menghafal sepatah dua ayat dan berceramah tidak mungkin dapat mengucapkan satu unggapan yang begini. Ucapan ini lahir daripada memahami hakikat dan tabiat din yang sebenar.

Kita perlu faham bahawa di dalam agama ada perkara yang sebut sebagai adillah qat`iyyah iaitu dalil-dalil yang putus yang hanya memberi suatu makna jelas yang tidak difahami selain makna tersebut yang ianya juga qat`iyyah al-thubut iaitu yang sampai kepada kita secara mutawatir. Dan ada pula yang disebut sebagai adillah zanniyyah ianya boleh ditafsir lebih dari satu makna dan kepastian tentang ketulenannya juga zan (tidak putus) atau kita katakan tidak sampai ke darjat mutawatir. Bahagian inilah yang mencetuskan khilaf pendapat di kalangan ulamak mujtahidin.
Dalam hukum-hakam dan dalil-dalil syarak kebanyakan adalah zaniyyah dalam ertikata ianya boleh menyebabkan khilaf dalam memahaminya. Inilah yang disebut para penulis Usul al-Fiqh yang klasik mahu yang baru. Kebanyakan hadith-hadith yang termaktub dalam kitab-kitab sahih mengandungi dalil-dalil zaniyyah, samada disebabkan ianya hadith-hadith aahad yang tidak sampai ke darjat mutawatir atau disebabkan ianya boleh difahami dengan berbeza-beza maksud”

Malangnya, ada yang dipanggil ustaz tetapi tidak dapat membezakan dua perkara di atas. Umpamanya, dalam suatu forum kebetulan saya salah seorang panelnya, seorang tokoh, beliau menyatakan Rasulullah dalam baiah tidak bersalam denga perempuan, itu adalah dalil qat`i haram bersalam dengan perempuan” Inilah tanda jahilnya dia terhadap maksud dalil qat`i. Saya bukan menyokong bersalam dengan perempuan ajnabi atau bukan mahram, tetapi ianya adalah masalah khilaf. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam dalam buku al-Fatwa al-Mu`asarah mengharuskannya. Itu adalah tarjih beliau disebabkan dalilnya tidak qat`i. Al-Syeikh `Abd al-Hamid Qafa mentarjihkan sebaliknya.

Semua kita yakin, perlunya ditegakkan kerana pemerintahan yang menjunjung titah perintah Allah dan RasulNya s.a.w. Namun strategi untuk sampai kepadanya memerlukan kebijaksanaan yang cukup. Apatah lagi Islam tidak menentukan suatu cara khusus dalam menegakkan daulah Islamiyyah. Kita juga tidak dapat menerima kenyataan sebahagian orang yang menyatakan bahawa seperti mana Islam mengajar solat demikianlah juga Islam mengajar tentang pembentukan negara Islam. Ini tidak benar, solat diajar oleh Islam dari awal hingga akhir dengan tidak boleh kita membuat sebarang penambahan melebihi apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. kerana itu adalah bid`ah, adapun negara Islam, kita hanya diajar beberapa asas-asas utama sahaja dan baki adalah masalah ijtihadiyyah (ijtihad)

Kita juga perlu tahu bahawa zaman dan tempat tidak menentukan rupa bentu Islam, tetapi Islam meraikan perubahan manusia, tempat dan zaman. Inilah yang disebut oleh ulamak usuliyyin: Taghair al-Fatwa bi taghair al-Amkinah wa al-Azminah iaitu berubahnya fatwa disebabkan berubahnya tempat dan zaman. Umpamanya di dalam hadith-hadith yang sahih termasuk yang diriwayatkan oleh al-Bukhari Rasulullah s.a.w. melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari. Pada tahun berikut para sahabat bertanya Nabi s.a.w.apakah mereka perlu buat seperti tahun lalu? Kata Nabi s.a.w.: Makan dan simpanlah kerana pada tahun lepas orang ramai dalam keadaan susah dan aku mahu kamu menolong mereka”. Dalam riwayat yang lain disebutkan disebabkan daffah iaitu orang ramai yang datang dari luar Madinah. Jelas sekali bahawa adanya larangan Nabi s.a.w. disebabkan oleh keadaan tertentu atau punca tertentu yang sebut dalam usul al-Fiqh sebagai illah al-Hukum. Apabila hilang punca dikeluarkan sesuatu hukum maka hukum pun dipadamkan. Dengan itu, al-Imam as-Syaf`i sebagai tokoh terawal menulis dalam Usul al-Fiqh memasuk bab al-`Ilal fi al-Ahadith (`ilah-ilah di dalam hadith-hadith) dalam kitabnya al-Risalah.

Banyak lagi contoh-contoh yang lain di dalam hadith kalau nak disebutkan, yang menunjukkan perubahan zaman mengubah fatwa. Inilah juga amalan para sahabah yang menghukum beberapa perkara tidak sama seperti hukuman pada zaman Nabi s.a.w. disebabkan perubahan yang berlaku, umpamanya Saidina Umar tidak memberi zakat kepada golongan al-muallaf qulubhum (yang cuba didekatkan kepada Islam) pada zamannya sekalipun hak mereka disebut di dalam al-Quran dan mereka diberikan zakat oleh Rasulullah s.a.w.. Ini disebabkan perubahan keadaan dan suasana dengan kata Umar : Allah telah memuliakan Islam dan tidak memerlukan mereka!” Sesiapa yang ingin pendetilan dia boleh menyemak tuisan para ulama termasuk tulisan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah.

Para ulama ketika mengeluarkan pendapat, fatwa dan huraian juga melihat perubahan keadaan dan masa. `Umar bin `Abd al-Aziz ketika mentadbir Madinah hanya menuntut seorang saksi dan sumpah. Namun ketika di Syam beliau menuntut dua orang saksi disebabkan orang Syam tidak seperti orang Madinah. Inilah juga yang menyebabkan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah ketika mengulas hadith “Para pemimmpin itu dari kalangan Quraish” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhih: sanadnya jaiyyid) ialah disebabkan kerana ketika itu Quraish memilik kekuatan kaum dan puak. Maka mana-mana bangsa dan individu yang mempunyai kekuatan seperti itu dia layak sekalipun bukan Quraish. Ini disebabkan beliau menilai punca lahirnya arahan Nabi s.a.w.

Begitu juga dalam hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dengan al-Tirmizi mensahihkannya, baginda Nabi s.a.w enggan menetapkan harga barang untuk para peniaga pada zaman baginda sekalipun diminta berbuat demikian. Jika kita laksanakan hadith ini pada zaman ini dengan tidak ditetapkan harga siling untuk para pedagang pasti orang ramai akan kesusahan dan para peniaga akan bermaharajalela dengan menaikkan harga gula, beras, daging dan sebagainya mengikut kehendak mereka. Dengan itu para ulama menyatakan Rasulullah s.a.w tidak menetapkan harga disebabkan tidak ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian ketika itu. Para fuqaha mengizinkan untuk para pemerintah mentapkan harga jika perlu. Ini dibahaskan oleh mereka termasuk al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Turuq al-Hukmiyyah, bahkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa menyatakan kadang-kala wajib ditetapkan harga jika keadaan menuntut demikian.

Apa yang saya ingin nyatakan ialah kita perlu menilai perubahan kerana ini tuntutan Islam itu sendiri. Islam agama yang hidup setiap masa dan zaman. Barangkali inilah yang menyebabkan Ust. Fadhil menyebut: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi”

Sebenarnya dalam banyak keadaan, melaksanakan Islam pada zaman ini jauh lebih susah daripada zaman lampau. Memegang Islam bagaikan memegang bara yang panas. Umpamnya, riba dengan mudah sahaja diharamkan pada zaman Nabi .s.a.w.. Dengan penegasan baginda s.a.w., para sahabah berhenti berurusan dengan riba dan negara bersih dari riba. Namun pada zaman ini pengharaman riba memerlukan usaha yang jauh lebih besar dan susah. Ianya bukan hanya melibatkan individu, tetapi bank-bank, bukan sahaja bank-bank biasa tetapi juga Bank Negara, bank negara pula berusan dengan bank-bank di peringkat antarabangsa yang mengamalkan riba. Usaha kita perlu jauh lebih besar.

Dalam keadaan sekarang jika kita ingin menguasai syarikat-syarikat besar dan utama yang menentukan kepentingan umat seperti elektrik negara, air negara dan seumpamanya, terpaksa terjerumus ke dalam kancah riba. Jika dibiarkan pula golongan pihak lain akan mengambilnya dan masa depan umat dalam bahaya. Inilah menyebabkan beberapa tokoh ekonomi Islam seperti al-Syeikh Mustafa al-Zarza, mengizinkan penglibatan muslim dalam hal yang sebegini.
Pemikiran dan kefahaman terhadap agama perlu mendalam dan jauh menjangkau agar Islam tidak dipinggirkan dan dianggap tidak mampu. Usaha mengujudkan daulah Islamiyyah yang memayungi umat adalah kewajipan kita. Namun usaha ke arah itu perlu dengan kefahaman yang mantap terhadap ruh syariat

artikel ini ditulis oleh DR MAZA hampir sembilan tahun lalu (tahun 2000) dalam Majalah Tamadun semasa beliau masih pelajar di IIUM. Semasa itu al-marhum Dato’ Fadhil Noor masih hidup. Tulisan disiarkan semula sekadar bahan bacaan ‘sejarah’ yang pernah ditulis oleh DR MAZA semasa belum memiliki Ph.D, belum menjadi pensyarah universiti, mufti dan belum dikenali seperti sekarang]

MCA apikan perkauman


Saya ingin menyifatkan MCA mengapi-apikan sentimen perkauman apabila mendakwa kritikannya terhadap keputusan kabinet mengenai status agama anak kepada pasangan yang menukar agama menunjukkan pendirian PAS yang menekan hak rakyat bukan Islam.

"Saya mengecam keputusan kabinet (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) itu kerana ia membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin kasar terhadap rakyat sehingga ke peringkat merampas hak ibu bapa ke atas anak-anak mereka.

"Malah, keputusan kabinet yang menekan hak ibu atau bapa yang menukar agama itu juga merampas kuasa mahkamah kerana kes seperti itu boleh dirujuk kepada mahkamah untuk membuat keputusan bagi mengelakkan mana-mana pihak merasa tertindas dan dinafikan hak mereka,"

The Star hari ini melaporkan Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow menyifatkan kritikan saya terhadap keputusan kabinet itu menunjukkan pendirian PAS menekan hak rakyat bukan Islam.

Beliau juga menyifatkan kritikan saya itu menunjukkan PAS tidak mengetepikan matlamatnya untuk menubuhkan negara Islam.

Saya ingin menyifatkan dakwaan Loke bahawa PAS menekan hak rakyat bukan Islam sebagai sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman kerana apa yang beliau persoalkan itu ialah keputusan kabinet yang merampas hak ibu bapa sedangkan negara ini masih ada mahkamah untuk membuat keputusan.

"Kenyataan saya mempertahankan hak asasi ibu bapa ke atas masa depan serta pegangan agama anak-anak mereka kerana keputusan kabinet itu bukan sahaja merampas hak ibu bapa malah merampas kuasa mahkamah dengan membuat keputusan yang berat sebelah.

"Adalah tidak adil Loke mengambil kesempatan untuk mencari sokongan kepada partinya dengan menggunakan kenyataan itu untuk mengapi-apikan sentimen perkauman sempit,"

Kabinet, membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusannya supaya perkara itu diserahkan kepada mahkamah kerana pada masa yang sama memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

"Mengapa kabinet Najib merampas kuasa mahkamah?

"Kalau hak ibu bapa ke atas masa hadapan anak-anak mereka dirampas, kuasa mahkamah dirampas dan kita pula mendiamkan diri, akhirnya nanti kabinet merasa bebas untuk mengambil alih dan merampas apa sahaja,"

Kami tidak mampu menghalang jika Loke dan MCA mahu menyokong keputusan kabinet yang merampas hak ibu bapa dan kuasa mahkamah itu tetapi PAS tidak akan berdiam diri terhadap perkara itu

1Malaysia: Sekadar Kosmetik dan Lunak Retorik!

“Kita Anak Malaysia, Satu Malaysia”

Laungan di atas cukup melunakkan setelah Pakatan Rakyat difitnah sebagai alat Cina!

Setelah didapati dukungan Cina dan India terhadap Umno-BN merosot parah, maka dikumandangkan semula slogan satu Malaysia.

Alahai mirip “Malaysian Malaysia” yang dituntut DAP sekian lama tetapi diserang Umno sebagai perkauman Cina. Akhirnya pimpinan Umno sekonyong-konyong melutut kapada tuntutan perkauman.

Namun jika ditinjau mendalam, apa yang diamalkan adalah sekadar kosmetik, atau botox yang menggantikan bedak sejuk dan celak. Kelonggaran dan liberalisasi adalah untuk menawan hati pengusaha kaya Cina asalkan tidak menjejaskan kepentingan projek, kontrak dan habuan kroni mereka.

Ini berbeda dengan gagasan kita merangka Agenda Ekonomi Malaysia yang menjurus kapada kepentingan rakyat terbanyak, termasuk kaum majoriti Melayu-Bumiputera terpinggir dan miskin atau Cina dan India lainnya.

Dan isu lebih mendesak dari sudut prosedur tender, ketelusan, mengelak amalan boros, rasuah dan pembaziran tidak ditangani.

Demikian slogan ampuh. Bagaimana pula dengan pengamalan “Satu Malaysia”? Lihat saja mesej perkauman dan asabiyah sempit dalam kursus BTN!

Di media umum dibicara perpaduan satu Malaysia. Tetapi dalam kursus diracuni fahaman Melayu terjerat akibat gelojoh Cina dan muslihat serta khianat Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Aziz. Bukankah munafik namanya?

Lagi pun tujuan mereka adalah untuk menyalahkan kalangan lain dan bukannya penjenayah dan perasuah besar yang menyebabkan Melayu hidup merempat setelah diperintah Umno selama satengah abad.

Disebalik tabir, dalam gelap dan berselindung mereka menyerang tetapi bacul manakala berdepan!

ANWAR IBRAHIM
30/04/09

Ustaz ditahan miliki dadah, VCD lucah

BACHOK - Seorang "ustaz" berumur 60-an ditahan kerana dipercayai memiliki dadah dan video cakera padat digital (VCD) lucah di rumahnya di Kampung Beris Kubor Besar di sini baru-baru ini.

Dia ditahan selepas bersembahyang Maghrib dan memberi ceramah agama di sebuah surau di kampung tersebut.

Suspek kemudiannya membawa polis ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Yahya Salleh berkata, di rumah lelaki itu, polis menemui berpuluh-puluh VCD lucah yang disusun rapi di dalam bilik tidurnya dan menemui beberapa bungkus dadah di beberapa tempat di dalam rumah itu.

"Pada mulanya lelaki terbabit tidak mengaku menyimpan dadah, tetapi setelah polis mahu menunjukkan VCD berkenaan di tempat dia menyampaikan kuliah agama, lelaki terbabit membuat pengakuan memilik dadah," kata Yahya. - Bernama

Lagi kelibat Ayah Pin - Tinggal di Narathiwat, bebas keluar masuk Rantau Ptanjang


KELIBAT lelaki yang didakwa Ayah Pin di Pekan Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.





BESUT - Lagi dakwaan ternampak ketua ajaran sesat Kerajaan Langit, Ayah Pin. Ini ekoran dakwaan orang ramai yang terlihat kelibat Ayah Pin yang hilang sejak 2005 itu di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Abey mendakwa, dia pernah melihat kelibat seorang lelaki mirip Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Mohamad (gambar), 69, sebanyak dua kali di Pekan Rantau Panjang yang terletak berdekatan sempadan Thailand.

"Kali pertama saya nampak dia (Ayah Pin) membonceng motosikal menuju masuk ke pekan ini dari arah Siam (Thailand) awal tahun ini.

"Terbaru, kira-kira tiga minggu lepas saya nampak lagi dia (Ayah Pin) semasa dia berhenti di hadapan sebuah gerai," katanya kepada Kosmo! di Jerteh di sini, kelmarin.

Menurut Abey, setelah terserempak dengan lelaki mirip Ayah Pin itu sekali gus membuatkan dirinya percaya dakwaan yang mengatakan Ayah Pin kini tinggal di sebuah kampung di Narathiwat, Thailand selepas melarikan diri dari markasnya di Hulu Besut, Terengganu empat tahun lalu.

Abey memberitahu, semasa terserempak dengan Ayah Pin, dia sempat merakam gambar lelaki tersebut menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Katanya, dia menghampiri Ayah Pin dan menyapanya, namun lelaki itu bertindak meninggalkan tempat tersebut secara tergesa-gesa dengan membonceng sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran negara jiran berkenaan.

Majlis berhemah

PETALING JAYA 29 April – Majlis yang melibatkan pemimpin kerajaan hendaklah diadakan secara berhemah dan tidak melebihi 10.30 malam, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri Kabinet setelah meneliti dari semasa ke semasa, program-program serta acara- acara rasmi dan bukan rasmi yang melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, para menteri serta pemimpin kerajaan lain.

“Yang kedua ialah majlis tersebut seharusnya tidak diadakan sedemikian rupa sehingga ia nampak membazir ataupun berlebih-lebih sangat dari segi persiapan dan juga acara-acara tambahan.

“Ini sejajar dengan nilai yang hendak ditanamkan dan diamalkan di kalangan masyarakat supaya setiap penganjuran majlis itu hendaklah afdal dan menepati matlamatnya tetapi tidak membazir dan tidak membuang masa,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dekat sini, sebelum mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Selain itu, Rais juga menasihatkan supaya sebutan nama orang kenamaan (VVIP) diringkaskan bagi menjimatkan masa.

“Kesemua ini diputuskan dan dipersetujui oleh jemaah menteri memandangkan kita mempunyai tugas dan tugasan yang amat berat, di samping itu, kita harus mendidik masyarakat kita supaya menilai masa dan juga memberi penghargaan kepada keafdalan kita berucap dan di samping itu, mengadakan majlis-majlis rasmi ataupun bukan rasmi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, arahan berhubung perkara itu tidak meliputi acara-acara yang bersifat kebudayaan atau acara-acara yang melibatkan adat-istiadat yang telah menjadi tradisi dan sebahagian daripada amalan budaya.

Rais berkata, penganjuran majlis yang tidak terlalu lama akan memberi peluang kepada semua pihak untuk pulang awal, membaca, menyemak semula program-program atau susulan yang hendak dibuat pada keesokan harinya.

“Dijangka sekiranya sesuatu majlis itu selesai pada pukul 10.30 malam ataupun pukul 10.15 malam, maka waktu pada malam hari itu masih cukup bagi semua pihak yang berkenaan itu untuk menyusun kehidupan, merancang untuk keesokan harinya, apatah lagi bagi seseorang pemimpin seperti PM, TPM dan mereka yang mempunyai masa terhad,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu akan melaksanakan perkara itu secepat mungkin, selain menyebarkan warta itu sebagai amalan yang positif.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menyediakan dokumentari yang menggunakan sedutan ucapan Perdana Menteri dengan isian visual yang boleh menarik dan membawa kepada pemahaman serta penerimaan konsep ‘1Malaysia’ seperti yang dikehendaki oleh kerajaan.

Beliau berkata, prinsip-prinsip ‘1Malaysia’ yang diumumkan Perdana Menteri menerusi ucapannya kepada pegawai kerajaan semalam, amat penting kerana mengandungi prinsip yang membawa kepada negara bangsa yang membina.

“Oleh yang demikian, kita akan membuat sedutan-sedutannya menerusi sebaran dokumentari ini supaya dapat digunakan oleh semua pihak di pelbagai peringkat termasuk kerajaan negeri, badan-badan berkanun, jabatan kerajaan dan juga bagi kampung-kampung serta kampung baru dan juga jentera pentadbiran yang lain,” katanya.

Rais berkata, kementeriannya juga akan menganjurkan program 1Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri di seluruh negara.

“Dalam pada itu, kita akan kapsulkan mesej-mesej membina negara bangsa 1Malaysia ini untuk digunakan oleh semua stesen radio tidak kira swasta atau kerajaan serta stesen televisyen,” katanya. – Bernama

MB SEDIA LEPASKAN JAWATAN



Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said rela melepaskan jawatannya jika rakyat mendapati beliau gagal menjalankan tugas.



Katanya, hanya rakyat yang layak memberi penilaian sama ada beliau berjaya atau gagal mentadbir negeri ini.
Jika rakyat berasakan beliau gagal menjalankan tugas yang diberikan, maka katanya, mereka berhak menggantikan beliau dengan pemimpin lain.



''Sama ada rakyat masih mahukan saya memimpin mereka atau sebaliknya, terserah. Jika saya gagal, gantilah saya.



"Tetapi untuk masa yang singkat ini berilah saya peluang membuktikan keikhlasan dan kesungguhan memperjuangkan nasib rakyat.



''Jangan diletak halangan di hadapan saya yang bertujuan menggagalkan saya. Jika kita semua berjiwa besar dan ikhlas dalam perjuangan, bantulah saya untuk memakmurkan rakyat dan negeri," ujarnya.



Beliau berkata demikian selepas melancarkan kemudahan sistem televisyen litar tertutup tanpa wayar di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang dua hari lepas.




Isu mengenai kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar timbul berikutan tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.



Mereka bertindak demikian atas alasan bimbang keselamatan masing-masing berikutan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) berbau ancaman kepada Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.



Ditanya kenapa beliau mendiamkan diri sejak isu tersebut timbul, Ahmad menjelaskan, beliau bersikap demikian kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta menambah kekeliruan rakyat terhadap kemelut yang berlaku.



''Elok saya berdiam diri dan kini kebenaran telah mula terungkai. Kita perlu ikhlas dalam perjuangan. Rakyat menjadi hakim dan kebiasaannya hukuman yang dijatuhkan oleh rakyat menggambarkan sentimen mereka," ujarnya.



Ahmad mengaku kemelut yang berlarutan sejak beliau dilantik menjadi Menteri Besar hingga ke hari ini adalah merupakan sejarah hitam dalam perjuangan UMNO di Terengganu.



Katanya, perasaan semua ahli UMNO seharusnya dijaga dan yang lebih penting ialah perasaan rakyat yang sekian lama menaruh harapan kepada UMNO untuk membela mereka.



''Kepada ahli UMNO, pilihlah jalan yang benar dan berbaik kerana kita sekarang bukan hanya berhadapan parti lawan tetapi kerenah dalaman yang akan membuat rakyat hilang kepercayaan kepada parti.




Berdasarkan kenyataan Ahmad Said di atas, ternyata beliau ikhlas mahu membangunkan negeri Terengganu tetapi menerima halangan daripada 18 ADUN yang masih menyokong Idris Jusoh. Inilah kesilapan besar Ahmad Said. Sepatutnya dalam tempoh satu tahun berkuasa, isu ini sudah selesai dengan menambat hati 18 ADUN ini dengan melayan kehendak mereka. Mereka mahu jawatan, beri jawatan. Mereka mahu projek, beri projek. Jadi mereka tidak melawan Ahmad Said.




Akibat kedegilan Ahmad Said terus menindas mereka sehingga mereka dibuang Pengerusi Penyelaras DUN walaupun mereka adalah ADUN, maka mereka membalas dendam dan melaporkan kepada Presiden UMNO yang baru, Najib Razak. Hasilnya Ahmad Said diturunkan pangkat menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO.




Di Perlis kumpulan Shahidan Kassim bergaduh dengan kumpulan Dr. Mat Isa Sabu tetapi Dr. Isa dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO perlis. Kenapa Najib tak hantar Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis? Adakah kerana Perlis tidak memberi keuntungan kepada calon Naib Presiden kerana Perlis ada tiga Bahagian UMNO sahaja sedangkan Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mempunyai banyak UMNO Bahagian?




Rosol Wahid dalam blognya menulis adakah Ahmad Said akan melepaskan jawatan Menteri Besar? Pada hemat saya, Ahmad Said tak perlu letak jawatan kecuali dia buat salah kepada rakyat seperti melakukan rasuah. Ahmad Said berjaya membawa balik royalti minyak ke negeri Terengganu. Nak harap kepada Idris Jusoh, Idris hanya layan projek Patrick Badawi saja sehingga tak bersuara untuk desak Pak Lah serahkan semula royalti minyak kepada negeri.




Oleh itu rakyat akan menilai sama ada Ahmad Said ikhlas berjuang untuk rakyat suatu hari nanti. Pedulikanlah 18 ADUN yang keras kepala ini. Mereka lebih pentingkan diri sendiri dan bukannya pentingkan rakyat. Cuma jangan layan sangat kerabat diraja.




Rakyat marah kerana banyak sangat projek dibolot oleh kerabat diraja. Zaman Wan Mokhtar dulu ada Seri Terukun yang dianggap sebagai kontraktor ditaja. Kita tidak mahu di zaman Ahmad Said rakyat mencemuh beliau kerana semua projek mahu disapu kerabat diraja hinggakan yang kecil-kecil pun kerabat diraja mahu sapu. Sebagai Menteri Besar, berlakulah adil mengagihkan projek kepada rakyat dan bukannya kepada kroni semata-mata.




Jika anda berlaku adil, Allah akan menolong anda ketika dilanda krisis seperti ini. Bersabarlah Ahmad Said. Digugurkan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak bermakna anda sudah tidak bagus kerana kuasa masih ada di tangan anda sebagai Menteri besar. Jadi gunakanlah kuasa itu untuk kepentingan rakyat.

http://memobelakang.blogspot.com/

Kenapa Islam melarang makan daging babi

wabak Selsema Babi sedang melanda Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. Terkini 159 orang maut di Mexico ,menjangkiti 65 orang di Amerika Syarikat.

Negara-negara lain yang sudah ada kes sekurang-kurangnya disyaki positif selsema babi ialah: Canada,European Union (EU), Israel and New Zealand

Kalau dilihat kesemua negara-negara di atas ialah penentang Islam dan melabelkan Islam sebagai pengganas. Mungkin ini adalah bala Allah. Ingatkan dahulu, Allah hanya menggunakan nyamuk yang kecil sahaja untuk mengalahkan Firaun yang perasan dia tuhan.

Dari hasil kajian sains, daging babi memang mempunyai cacing , seperti video di bawah;



Jika youtube anda diblock, boleh download video DI SINI

Bola di Kaki Nizar Sekarang!



Siapakah Menteri Besar Perak yang sah?

“Mahkamah Persekutuan tidak mahu mendengar kes ini. Bola ditendang balik ke Mahkamah Tinggi. ‘Pele Pangkor’ cuba tendang gol di Mahkamah Persekutuan semalam. Tetapi, kena tiang! Sekarang, bola di kaki Nizar. Harap-harap Nizar boleh tendang masuk gol di Mahkamah Tinggi nanti. Inilah harapan seluruh rakyat Perak. Tetapi kita harus ingat, dalam permainan ini, referee, lines man dan pengadil semuanya orang dia. Hanya penyokong-penyokong adalah orang kita. Ini bukan satu permainan yang adil. Tapi, kita tidak boleh putus asa.”

Kelima-lima hakim Mahkamah Tinggi secara sebulat suara membuat keputusan untuk mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi. Ini adalah kerana terdapat pertikaian fakta dalam isu pembubaran Dewan Negeri Perak.

Mahkamah Persekutuan telah membenarkan bantahan awal yang dibuat oleh Sulaiman Abdullah (peguam DS Nizar ). Beliau membuat bantahan awal supaya Mahkamah Persekutuan tidak membuat pentafsiran undang-undang seperti mana yang dipohon oleh DS Zambry.

Menurut Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Alauddin Mohd Sheriff, permohonan Zambry ditolak atas bantahan awal yang dibuat. Antara hakim-hakim lain yang turut bersama semalam ialah:

1) Hakim Arifin Zakaria
2) Hakim Zulkefli Ahmad Makinudin
3) Hakim Ghazali Mohd Yusoff
4) Hakim James Foong

Mahkamah Tinggi diperintahkan untuk membuat keputusan mengenai fakta-fakta yang dipertikaikan. Kes ini akan masuk semula ke Mahkamah Tinggi pada 5 dan 6 Mei 2009.

Apakah isu yang menjadi pertikaian dalam kes ini?

Menurut afidavit yang difailkan oleh DS Nizar pada 20 April 2009, terdapat butir-butir yang bercanggah diantara affidavit awalnya dengan afidavit yang difailkan oleh Penasihat Undang-undang Negeri Perak pada 8 April 2009.

Menurut Nizar, beliau tidak memberitahu Sultan Perak bahawa dia telah hilang kepercayaan majoriti di Dewan Negeri Perak.

Nizar juga menegaskan bahawa beliau tidak meminta Sultan Perak untuk membubarkan DUN berdasarkan Artikel 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.


Nizar memohon supaya menyoal balas Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid. Menurut Sulaiman Abdullah, beliau telah memohon untuk menyoal balas Datuk Ahmad Kamal pada 4 Mei 2009. Ini adalah kerana, Datuk Kamal dalam afidavitnya menyatakan bahawa Nizar telah memohon pembubaran DUN berdasarkan Artikel 16(6).

Semalam, Sulaiman Abdullah telah memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya tidak membuat tafsiran undang-undang sebelum Mahkamah Tinggi membuat keputusan berkaitan dengan isu yang dipertikaikan. Permohonannya berjaya!

19 TAHUN PEMBANTU DAN TOK GURU SESAT?

Persoalan yang dibangkitkan oleh Ustaz Nik Abduh adalah berkaitan dengan pembantu-pembantu Tok Guru yang memberi nasihat tidak betul dan sesat terutama dalam soal Unity Government.

Saya terkilan apabila perkataan SESAT kepada orang yang membantu Tok Guru sampai bertahan 19 tahun sebagai Menteri Besar Kelantan keluar dari tulisan anakndanya sendiri.

Masalahnya sekarang PAS sudah kedepan dalam situasi politik negara, PAS juga telah menerima berbondong-bondong dari orang bukan Islam melalui Kelab Penyokong dan PAS juga mempunyai identiti yang telah di terima oleh orang Islam. Tiba-tiba dalam keadaan ini anak Tok Guru sendiri yang mengatakan pembantu-pembantu Tok Guru sesat….

Saya tidak pandai bermain-main kata dan tidak juga mempunyai Ilmu Agama yang banyak. Namun saya mencari Ilmu dan setiap pagi Jumaat berguru dengan Tok Guru semenjak tahun 1978 waktu di dewan Zul lagi.

Sepanjang pengajaran Tok Guru di pagi Jumaat sehingga habis Tafsiran 6666 ayat dua tahun lepas, perkataan SESAT hanya di tujukan kepada orang-orang yang mengkhianati Islam dan sentiasa berusaha memusnahkannya.

Namun apabila Ustaz Nik Abduh menyebut perkataan SESAT kepada pembantu-pembantu Tok Guru dengan kes tidak bersetuju dengan UNITY GOVERMENT maka amat sukarlah untuk di terima oleh sebahagian Pemimpin dan penyokong PAS. Gambaran ini seolah-olah sesiapa yang menentang Kerajaan Perpaduan adalah SESAT.

Dalam keadaan sekarang, perkara pokok yang harus di fikirkan bagaimana menguatkan Jemaah bagi mempertahankan Kerajaan Kelantan. Putaran sekarang adalah sama saperti tahun 1999 - 2004. Pilihanraya 2004 kita begitu menjunam dek merasa kuat selepas pilihanraya 1999.

INGAT ! Mustapha Muhamad adalah seorang yang membuat kerja dalam senyap dan berperaturan. Kekuatan UMNO 2004 adalah di bawah pimpinan Mustapha Muhamad. Jadi dalam keadaan sekarang tumpuan utama kita adalah kearah memperkukuhkan parti bukan melemahkannya…..

Email pilihan oleh: Yasyaari

Pelantikan Hishamudin - UMNO Terengganu Akan Berpecah Tiga

KUALA TERENGGANU – Pelantikan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu baru tidak akan menyatukan semula UMNO Terengganu.


Bahkan, UMNO Terengganu akan mengalami perpecahan lebih serius dan teruk dengan pelantikan tersebut.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/muhyidin.JPGKetua Penerangan PAS Terengganu Hj Muhyidin Abd Rashid (gambar) berkata demikian apabila diminta mengulas perkara berkenaan disini, semalam.

Menurutnya, UMNO Terengganu akan berpecah daripada dua kepada tiga kumpulan, kerana tidak semua anggota parti itu bersetuju dan menyokong pemilihan Hishamuddin menggantikan tempat Dato’ Ahmad Said.


“Pelantikan Hishamudin, yang tidak mempunyai pengalaman sebagai pengerusi perhubungan negeri akan mendedahkan UMNO Terengganu kepada tiga golongan,

“Sudah terdengar desas-desus dikalangan penyokong UMNO peringkat bahawan yang tidak berpuas hati (dengan lantikan Hishamudin), ini akan mewujudkan kumpulan baru (yang tidak berpuas hati).

Katanya, berdasarkan sejarah, kewujudan kumpulan yang menyokong tokoh tertentu dalam UMNO sudah berlaku sekian lama.

Sebelum ini, katanya, pada akhir tahun 90an wujud kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan kumpulan menyokong Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.

“Pada masa yang sama wujud kumpulan yang meyokong Dato’ Abu Bakar Daud dan kumpulan yang menyokong Dato’ Dr.Tengku Mahmud Mansor,”ujarnya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pemilihan Hishammuddin juga sebenarnya mengesahkan kepada umum bahawa Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu dan Datuk Seri Idris Jusoh tidak mampu bekerjasama.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan keadaan UMNO Terengganu sukar untuk pulih dan bersatu seperti sediakala kerana masing-masing tidak dapat menerima antara satu sama lain.

Apabila ditanya, adakah pelantikan Hishamudin akan memberi kesan kepada pengaruh PAS, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada PAS.

“Kemenangan PAS pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada bulan Januari lalu adalah manifestasi rakyat Terengganu yang dapat membezakan antara pemerintahan PAS dengan pemerintahan UMNO/BN,”tambahnya.

Doa Mendepani Selesema Babi

April 29, 2009


Tidak ada insan yang lebih mengenali baginda Rasulullah saw seperti ahlul bait (ahli keluarga baginda). Sahabat-sahabat tidak mengenal baginda seperti mana keluarganya. Doa ini diajar Saidatina Fatimah Zahra Binti Muhammad Rasulullah saw tatkala berdepan dengan wabak penyakit.

Bismillâhir Rahmânir Rahîm
Allâhumma shalli `ala Muhammadin wa âli Muhammad

Bismillâhin Nûr, bismillâhi Nûrin nûr, bismillâhi Nûrun ‘alâ nûr, bismillâhil ladzî Huwa Mudabbirul umûr, bismillâhil ladzî khalaqan nûra minan nûr. Alhamdulillâhil ladzî khalaqan nûra minan nûr, wa anzalan nûra ‘alath thûr, fî kitâbin masthûr, fî riqqin mansyûr, bi-qadarin maqdûr, ‘alâ nabiyyin mahbûr. Alhamdulillâhil ladzî Huwa bil-’izzi madzkûr, wa bil-fakhri masyhûr, wa ‘alas sarrâ-i wadh dharrâi masykûr, wa shallallâhu ‘alâ sayyidinâ Muhammadin wa âlihith thâhirîn.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad

Dengan nama Allah Cahaya, dengan nama Allah Cahaya dari segala cahaya, dengan nama Allah Cahaya di atas cahaya, dengan nama Allah Yang Mengatur segala urusan, dengan nama Allah Yang Menciptakan cahaya dari cahaya. Segala puji bagi Allah Yang Menciptakan cahaya dari cahaya, Yang Menurunkan cahaya ke bukit dalam kitab yang ditulis, dengan ukuran yang tertentu, kepada Nabi yang terpilih. Segala puji bagi Allah yang dikenal kebesaran-Nya, yang masyhur keagungan-Nya, yang disyukuri dalam suka dan duka. Semoga Allah menyampaikan shalawat kepada junjungan kita Muhammad dan keluarganya yang suci.

http://tehranifaisal.blogspot.com/

mana ibrahim ali yang pembela melayu? penakut?

Perkasa! Umno gadai tanah Johor kepada Singapura!



Perkasa! Ini berita lama berita lama yang saya jumpai:
Umno gadai tanah Johor kepada Singapura

KUALA NERUS, 15 Mei 2006 (Hrkh) - Pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa telah menggadai sejumlah tanah di negeri Johor kepada kerajaan Singapura pada awal tahun 1980-an lagi.

Pemimpin Umno pada waktu itu telah menyerahkan tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura dengan bayaran RM350 juta, kata Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Beliau mendakwa Menteri Petanian dan Asas Tani yang juga bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab menggadai tanah-tanah orang Melayu kepada Singapura.

Saya terkejut, rupa-rupanya pada tahun 1980 sewaktu Muhyiddin Yassin jadi Menteri Besar dan waktu itu Musa Hitam jadi Timbalan Perdana Menteri tiada siapa pun tahu didedahkan bahawa pada tahun 1981, kerajaan Johor di bawah Muhyiddin telah menyerahkan tanah di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor sebanyak 51,170 hektar kepada kerajaan Singapura, jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Menentang Penghinaan Terhadap Islam di perkarangan Maahad Tahfiz Wa-Tarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring, baru-baru ini.

Katanya, kawasan tersebut tidak jauh dengan Kota Tinggi yang merupakan kawasan hamparan air seluas 51,170 hektar.

Menurutnya, kawasan berkenaan dipajak kepada kerajaan Singapura selama 60 tahun dengan kadar bayaran RM350 juta dan tidak dibenarkan sesiapa pun memasukinya sekarang ini.

Beliau mendapat maklumat tersebut ketika menghadiri suatu Majlis Dailog Kepentingan Bangsa Peringkat Negeri Johor pada 7 Mei lalu bersama Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, taklimat tertutup itu dikendalikan oleh bekas Setiausaha Kerja Umno Johor, Encik Hamzah Othman yang juga bekas pengerusi guru-guru besar bersara.

Sebelum itu, ada satu taklimat tertutup yang diberi oleh Encik Hamzah Othman, bekas pengerusi guru-guru besar bersara yang pernah jadi Setiausaha Kerja Umno Johor dahulu sewaktu Muhyiddin Yassin jadi Menteri Besar. Dia bagi taklimat dengan tayangan slide, cukup dari segi maklumat, dengan petanya, pelan toponya, jelasnya di hadapan lebih 10,000 orang hadirin.

Sehubungan itu, beliau turut melahirkan rasa kesal dan dukacita setelah enam tahun menganggotai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan 13 tahun menjadi Ketua Bahagian Umno tidak mengetahui isu tersebut.

Katanya, empangan tersebut dibuat setinggi 193 meter dan jika pecah atau dipecahkan seluruh Kota Tinggi termasuk Bandar Tenggara boleh tenggelam.

MUHYIDDIN LEBIH BANYAK MULUT DARIPADA NAJIB



Setiap manusia telah diciptakan oleh Allah dengan satu mulut sahaja. Saya tidak pernah menemui seseorang yang mempunyai dua mulut atau lebih. Hari ini, manusia yang mempunyai satu mulut ini begitu hebat menentang undang-undang Allah, bagaimana pula sekiranya mereka mempunyai lebih dari satu mulut? Sudah pasti mereka lebih hebat mengecam undang-undang Allah!

Contoh “aktiviti” yang dilakukan oleh manusia yang mempunyai satu mulut ini yang mengecam undang-undang Allah ialah apa yang dilakukan oleh Nazri Aziz sendiri. Saya sudah boleh mengatakan bahawa ia adalah bentuk pengecaman terhadap undang-undang Allah kerana dia telah merendahkan hak seorang mu’allaf, sedangkan Allah SWT sudah banyak kali menyebut bahawa Islam itu tinggi dan mulia!

Tetapi di dalam artikel ini, saya lebih cenderung untuk memperihalkan keadaan Najib dan Muhyiddin. Entah kenapa, kerap kali kenyataan yang dikeluarkan, Muhyiddin sahaja yang bercakap. Najib entah ke mana hilangnya. Mungkin Najib ingin dilihat sebagai pimpinan yang lebih banyak bekerja, berbanding bercakap kosong. Tetapi hakikatnya, Muhyiddin pula yang mendapat gelaran banyak mulut disebabkan Najib.

Di kalangan kita sering tertanya-tanya, apakah strategi Najib berbuat demikian? Adakah dia tidak mahu dikritik? Atau dia takut untuk berkata-kata? Atau dia cuba menyelamatkan diri daripada dibuat spekulasi? Atau dan atau….

Kemungkinan pertama ialah, dia tidak mahu dikritik. Oleh itu dia lebih banyak diam daripada bercakap. Walaubagaimanapun, strategi ini menyebabkan orang ramai lebih mengkritiknya. Sepertimana yang kita ketahui, kita mampu menggunakan suara untuk mempengaruhi masyarakat. Tetapi, apabila seseorang pimpinan itu hanya berdiam diri, dia telah meninggalkan salah satu senjata yang paling berkesan.

Kalau tidak mahu bercakap, lebih baik tidak perlu jadi PM. Jadi kuli lagi bagus, sebab bos tidak menyukai kuli yang banyak bercakap. Kemungkinan yang kedua ialah, dia takut untuk berkata-kata. Sebab apakah yang menjadikan dia ketakutan? Mungkin boleh difikirkan bersama. Tetapi, seorang PM tidak perlu rasa takut memandangkan FRU boleh dijadikan alat baginya untuk menjahit mulut-mulut mereka yang membuat spekulasi terhadapnya.

Kemungkinan yang ketiga ialah dia cuba menyelamatkan diri daripada orang ramai membuat spekulasi terhadapnya. Mungkin dia melihat kepada apa yang terjadi kepada Mahadet dan Pak Lah sebelum ini. Setiap kalam mereka dijadikan hujah dan bahan kutukan oleh masyarakat. Ini kerana kata-kata mereka tidak sama seperti kelakuan mereka. Mungkin inilah kemungkinan yang menyebabkan dia berbuat demikian.

Orang ramai cukup meluat apabila mendapati bahawa seseorang pimpinan itu berkata-kata sesuatu yang tidak dilakukannya. Atau dalam loghat India, “cakap tak supa bikin..”. Maka tindakan yang diambil oleh Najib ialah lebih baik tidak berkata-kata. Tiadalah orang yang akan meluat sekiranya dia melakukan sesuatu!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

MOTIVASI DARIPADA ALLAH


Setiap kali menghadiri demo, pasti akan dihiasi dengan gas pemedih mata dan air mandian yang menggatalkan. Pernah satu ketika, saya turut bersama dalam Demo PPSMI yang bukan berpaksikan politik, tetapi bermotifkan menyelamat anak-anak muda daripada membutai bahasa ibunda. Ketika itu, saya melihat orang-orang yang kurang upaya turut menjadi mangsa bedilan gas pemedih mata.

Demikian juga dengan apa yang terjadi ketika demo BERSIH dahulu. Dan baru-baru ini di Taiping ketika ceramah politik diadakan. Bahkan hamper semua demo, sudah pasti akan dihiasi dengan anasir-anasir ini. Teringat juga ketika di Bukit Chandan seawall kenaikan Zambry. Kenaikan beliau sebagai MB haram pada hari pertama lagi sudah membuatkan orang marah. Tetapi malangnya, kita dihadiahkan dengan gas pemedih mata sebagai tanda terima kasih daripada Zambry.

Setiap kali berdemo inilah, hati saya sering berdoa meminta supaya Allah mengembalikan kejahatan tersebut kepada mereka. Setiap kali hati ini berdoa, setiap kali itulah gas pemedih mata semakin banyak disembur. Saya melihat golongan yang lemah menahan kepedihan tersebut. Saya yakin dugaan ini hanya sekelumit jika hendak dibandingkan dengan Nabi Muhammad SAW.

Rupa-rupanya di sana Allah SWT telah memberi motivasi kepada pejuang-pejuangNya yang merasa dizalimi. Allah SWT berfirman
.Dan janganlah engkau menyangka Allah SWT lalai terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim, sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke satu hari yang ketika itu terbeliak mata mereka (Surah Ibrahim : 42)

Setelah terbaca ayat ini, hatiku tenang. Ketika sedang bergelut, kadangkala syaitan membisikkan sesuatu, “Kenapa Allah tidak menolongku?”…. Rupa-rupanya Allah SWT telah pun menjelaskan jawapannya di dalam al Quran.

Allah sengaja membiarkan mereka terus menerus melakukan kezaliman mereka, sehinggalah sampai satu ketika. Kezaliman yang mereka lakukan akan dibalas ketika datangnya hari kiamat. Iaitu hari yang membeliakkan mata-mata mereka yang rakus melakukan kezaliman. Ketika kita sedang perit memohon supaya dibalas kejahatan mereka, Allah SWT memberitahu bahawa kita tidak perlu bimbang kerana sampai satu ketika nanti Allah pasti membalasnya.

Oleh itu, janganlah kita menyangka bahawa Allah tidak nampak kezaliman yang mereka lakukan. Bahkan Allah melihat segala benda, dan tiada satu detik pun yang terlepas daripada pandangan Allah. Allah tidak akan biarkan musuh-musuh Allah memijak-mijak undang-undang Allah, dan Allah juga tidak membiarkan mereka yang merendah-rendahkan Agama Islam yang tinggi.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

APA LAGI YANG DIPERJUANGKAN OLEH UMNO?


Setiap hari, ramai orang semakin tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh UMNO? Adakalanya orang-orang UMNO menjawab, mereka memperjuangkan hak. Adakalanya mereka mengatakan bahawa mereka memperjuangkan bangsa Melayu. Adakalanya juga mereka mengatakan bahawa mereka cuba menobatkan Islam di Malaysia. Entah, apa lagi yang akan dikatakan tentang perjuangan mereka ini.

Sekiranya mereka mengatakan bahawa mereka memperjuangkan hak, hak apakah yang dimaksudkan? Hak peribadi, atau hak rakyat? Ataukah hak Melayu? Sekiranya mereka memperjuangkan hak peribadi, sudah pasti kita menolaknya kerana hak peribadi anda tidak melibatkan ramai orang. Contoh perjuangan hak peribadi yang betul ialah, memperjuangkan harta peribadi daripada dirompak. Atau membela anak isteri daripada dizalimi.

Inilah contoh perjuangan hak peribadi yang sepatutnya ada pada setiap manusia. Sekiranya mereka mengatakan bahawa mereka memperjuangkan hak rakyat, atau dengan kata lain, memperjuangkan hak semua, maka hari ini perkara ini langsung tidak terlihat. Mungkin juga saya kurang membaca berita tentang realiti perjuangan mereka mengukuhkan hak rakyat.

Apakah hak rakyat yang mereka perjuangkan? Adakah memperjuangkan hak seorang anak India untuk kekal menganut Agama Hindu? Sedangkan Agama Islam dipinggirkan? Entahlah, tidak ternampak pun perjuangan mereka menuntut hak rakyat melainkan retorik semata-mata. Bagaimana pula dengan hak Melayu?

Memperjuangkan hak Melayu mestilah berdasarkan garisan yang sebenar. Kadangkala kita merasa sesuatu itu adalah hak kita, tetapi hakikatnya bukan. Kita menyangka itu dan ini adalah kepunyaan kita, tetapi sebenarnya ia adalah hak orang lain. Kita terlalu taksub merebut hak orang lain, dengan mendakwa bahawa ia adalah kepunyaan kita.

Contohnya kerajaan mengatakan bahawa mereka berhak menyekat mana-mana rakyatnya yang bersuara. Mereka mengatakan bahawa sekatan tersebut adalah “hak kami”. Tetapi hakikatnya hak tersebut adalah kepunyaan ramai. Inilah kesilapan UMNO yang mesti dibetulkan. Mereka cuba menuntut hak mereka tetapi hakikatnya mereka telah merampas hak orang lain.

Contoh yang lain, mereka mendakwa mereka berHAK menyekat mana-mana rakyatnya bersuara atas alasan membuat fitnah dan membahayakan kerajaan. Tetapi dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa mereka juga berhak untuk membuat fitnah kepada PR dan mereka mendakwa juga bahawa mereka berhak untuk membahayakan Islam!

Nazri Aziz mengatakan bahawa kabinet layak membuat keputusan tentang agama anak, tetapi hakikatnya dia adalah begitu bodoh untuk bercakap persoalan tersebut. Inilah hakikat orang bodoh yang tidak tahu haknya yang sebenar, dan tidak kenal apakah hak orang lain.

Sekiranya mereka memperjuangkan bangsa Melayu, hakikat ini telah ditolak di dalam al Quran, di dalam Surah al Hujurat ayat 13. Apa lagi yang diperjuangkan oleh UMNO? Tiada lagi kemungkinan yang dapat diandaikan melainkan mereka hanya memperjuangkan periuk nasi mereka sendiri, sehingga sanggup merampas hak orang lain.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Pandangan Dr Mohd Asri Mengenai Isu Agama Anak

Berbagai pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;

1. Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.
2. Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3. Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak. Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.
4. Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.
5. Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya. Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang.
6. Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan. Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.
7. Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.
8. Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka. Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.
9. Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.
10. Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.
11. Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.
12. Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa mereka Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.
13. Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin,
29.4.09
Lampeter, UK.

If Party Needs Me, Party Has To Push Me.

Jika sekiranya arah tuju PAS dapat diperjelaskan dan tidak ada keraguan tentang hubungan hubungan sulit PAS dan UMNO, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang-pemegang jawatan yang sedia ada. Tetapi pada pendapat saya dari trend yang berlaku sekarang ialah wujudnya keraguan terhadap arah tuju PAS

Husam is ready to consider accepting nominations by the divisions for him to go for number 2 position in PAS.

Husam made the announcement today in Pengkalan Chepa. Husam said whether he will challenge Ustaz Nasharuddin Mat Isa or not is base on three factors.

1. Whether or not the reason for those division to nominate him is consider valid and truthful to the spirit of Islam and PAS.

2. The direction of the party and whether he can brave the party into the right direction.

3. Whether by being number 2 he can strengthen the party to face the next General Election.

Husam also said then he has never change and he still not belief in self promotion. “If party needs me, party has to push me”, said Husam.

Read Husam’s full statement here and watch the video below.


Kenyataan Husam Berhubung Pencalonannya Untuk Timbalan Presiden PAS

Sehingga hari ini saya rasa sebelum saya mengumumkan secara rasmi sama ada saya bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau tidak. Saya perlu membuat pertimbangan terhadap beberapa perkara terlebih dahulu.

Faktor pertama ialah, saya harus meneliti harapan daripada PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden.Sejauh mana mereka mengharap supaya saya bertanding. Saya harus menghubungi PAS kawasan-kawasan yang telah memberikan pencalonan mereka untuk mengetahui sebab-sebab mengapa mereka merasakan saya perlu bertanding. Dan jika sebab itu valid, Insya Allah barulah saya buat keputusan secara muktamad.

Faktor kedua ialah, saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya. Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah.

Ketiga, faktor yang saya harus pertimbangkan adalah, adakah dengan penyertaan saya itu saya boleh mengukuhkan pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti, dan bagaimana cara saya boleh berperanan untuk tujuan tersebut. Jawatan Timbalan Presiden PAS ditandingi sejak tahun 2005 dan sekali lagi pada tahun 2007. PAS tidak berpecah walaupun ada yang menang dan ada yang tewas.

Saya percaya bahawa tradisi dan nilai mulia dalam PAS masih kekal dan PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno dalam soal pemilihan ini. Cuma ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah ada perebutan kuasa yang sengit dalam PAS.

Suka saya nasihatkan pimpinan dan ahli-ahli PAS supaya menjaga etika sepanjang pemilihan ini supaya tidak memenuhi agenda media memperlihatkan PAS ini sama dengan Umno. PAS sebenarnya tidak sama dengan Umno, tetapi kadang-kadang cara kita bertindak boleh jadi silap dan memenuhi agenda media arus perdana yang dikuasai Umno-BN.

Kesilapan kita menyebabkan media gembira memetik maklumat dalaman yang boleh melaga-lagakan antara sesama pemimpin, sedangkan agenda media jelas, mahu menyamakan antara PAS dengan Umno.

Bagi saya jika terdapat perkara, yang ahli-ahli ataupun mana-mana pihak dalam PAS rasa menyalahi disiplin PAS, mereka perlu memaklumkan kepada parti dan saya berharap pimpinan-pimpinan tertinggi parti tidak berdiam diri mereka mesti memperlihatkan satu tahap displin yang tinggi supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan yang boleh merosakkan imej PAS yang telah dibina selama ini termasuk termasuk perpaduan sesama ahli.

Pada pendapat saya, Pilihan Raya Umum ke 13 adalah satu pilihan raya yang kritikal kepada semua parti-parti politik utama dalam negara kita. Ianya adalah penentuan samada PAS boleh menjadi teraju utama menggantikan Umno dalam politik negara.

Ini bermakna pertandingan yang lebih kritikal adalah di antara PAS dengan Umno. Jika PAS berjaya mendapatkan kemenangan diatas kerusi-kerusi yang sekarang ini dipunyai oleh Umno, maka PAS boleh keluar sebagai the main anchor party pada masa akan datang.

Jadi tiga faktor inilah yang harus saya pertimbangkan dan rundingkan dengan PAS kawasan-kawasan, ahli-ahli, sebelum saya memberikan kata muktamad saya untuk bertanding.

Pada tahap ini, saya merasakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Walaupun terdapat beberapa nama lain yang dicalonkan ke jawatan Timbalan Presiden, saya fikir tiada masalah untuk mengadakan muqabalah rakan-rakan yang dicalonkan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada mana-mana calon yang lebih mustahak di kedepankan.

Jika PAS boleh membuat muqabalah dengan Umno, maka saya merasakan tiada sebab untuk tidak boleh berunding dengan calon-calon jawatan tertinggi dalam PAS.

Bagaimanapun setakat pemahaman saya, PAS sendiri tidak pernah secara rasmi mempunyai pendirian terhadap perkongsian kuasa dengan parti pemerintah yang sedia ada.

Oleh kerana tidak ada apa-apa ikatan rasmi maka saya fikir, jalan yang lebih munasabah bagi PAS ialah untuk memperkuatkan parti, mendapatkan sokongan di kawasan-kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh Umno.

Bagaimanapun, iika sekiranya arah tuju PAS dapat diperjelaskan dan tidak ada keraguan tentang hubungan hubungan sulit PAS dan Umno, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang-pemegang jawatan yang sedia ada.

Tetapi pada pendapat saya dari trend yang berlaku sekarang ialah wujudnya keraguan terhadap arah tuju PAS, dan masa kita singkat, saya yakin Pilihan Raya Umum ini akan dipanggil lebih cepat dan mungkin dalam tempoh 6 bulan hingga 12 bulan daripada sekarang.

Jika PAS teragak-agak untuk menentukan arah tujunya, maka PAS akan kehilangan peluang persiapan yang secukupnya.

Jelas Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak sudah membuat ketetapan untuk memperkukuhkan PAS dalam Pakatan Rakyat. Kemudian dalam pilihan raya-pilihan raya kecil pun ada kenyataan dan usaha bersama untuk berdiri atas platform Pakatan Rakyat, itu adalah yang telah dimuktamadkan dan kita kena harus bergerak di atas format yang telah dimuktamadkan bagi memenuhi agenda tersebut.

HAJI HUSAM MUSA

NAIB PRESIDEN PAS

29 April 2009

Kota Bharu, Kelantan

Kenyataan di atas disesuaikan dari sessi soal jawab dengan pihak media massa di Kilang Nur Abadi Garments, Zon Perindustrian Pengkalan Chepa pada 29 April 2009.


Video Sidang Media boleh di tonton di sini.

Semasa

Hiburan

Sukan

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.