10 Rela dicekup lepas peras ugut

SERI KEMBANGAN – Malang bagi sekumpulan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) apabila hasrat membahagikan wang tunai sebanyak RM1,015 hasil peras ugut dalam satu ‘operasi’ dijalankan mereka lebur selepas kesemuanya ditahan polis, lewat malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, 10 anggota Rela termasuk seorang lelaki yang menyamar sebagai Pegawai daripada Jabatan Imigresen menyerbu masuk satu unit rumah yang dihuni sebuah keluarga di Taman Seri Serdang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, dalam ‘operasi’ yang turut disertai seorang wanita itu, kumpulan berkenaan melakukan pemeriksaan terhadap isteri seorang lelaki tempatan yang berasal dari Indonesia.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki yang menyamar sebagai pegawai Imigresen itu memaklumkan pasport yang dimiliki wanita itu tidak sah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Bagaimanapun kumpulan berkenaan dikatakan melakukan rundingan bersama suami mangsa dan bersedia melepaskan wanita itu sekiranya sanggup membayar sejumlah wang.

“Kumpulan berkenaan dikatakan meminta wang ‘perlindungan’ sebanyak RM500 untuk mengelakkan daripada tangkapan dibuat,” katanya.

Kata Zainal, suami mangsa akhirnya hanya bersetuju membayar RM300 sebelum kumpulan berkenaan beredar dari kawasan rumahnya.

“Bimbang terpedaya, suami mangsa kemudian membuat satu laporan di Balai Polis Serdang kira-kira jam 11.45 malam.

“Bertindak atas maklumat itu, polis berjaya menahan kesemua mereka hanya beberapa kilometer dari jarak rumah mangsa,” katanya yang memaklumkan enam daripada lelaki terbabit masih lengkap berpakaian uniform ketika ditahan di sebuah deretan kedai di Seri Serdang.

No comments

Powered by Blogger.