Bangunan pencakar langit bawa sial?

Pembinaan bermula pada 21 September 2004, sehingga struktur luarannya disiapkan pada 1 Oktober 2009 dan akhirnya berjaya dibuka secara rasmi pada 4 Januari lalu.

Itulah Burj Khalifa (Menara Khalifa), yang lebih dikenali sebagai Burj Dubai, sebuah pencakar langit teramat tinggi yang didirikan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ia adalah struktur binaan manusia tertinggi yang pernah dibina di dunia pada ketinggian 828 meter.

Ketika pada malam perasmiannya itu, pemandangan cukup indah dengan persembahan bunga api yang memukau dan mempesonakan kepada sesiapa yang menyaksikannya.

Dalam sekelip mata, negara padang pasir itu tiba-tiba terjaga daripada lamunan dan dimandikan bangunan pencakar langit berkilau dengan cahaya bergemerlapan dan beraneka percikan bunga api.

Malangnya, keindahannya hanya pada pandangan mata. Di sebalik kemegahan mercu tanda membelah awan itu, negara Arab yang sekecil itu sesungguhnya dicengkam krisis ekonomi yang cukup dahsyat.

Burj Dubai tersangat tinggi namun ia tidaklah mencerminkan kemewahan negara UAE yang sebenar. Pemimpin kerajaan UAE seperti tidak memijak di bumi nyata. Mereka seperti hidup dalam kayangan. Mereka ingin mencipta sensasi namun akhirnya memakan diri. Pemimpin kerajaan UAE bersikap alpa dan bongkah ketika dilimpahkan kekayaan dan kemewahan.

Biarpun dikurniakan telaga minyak, UAE telah lupa diri. Sedang ekonomi negaranya belum di landasan yang kukuh, mereka ingin tunjukkan kepada seluruh dunia kononnya merekalah negara yang maju dan mampu bersaing dengan negara-negara barat.

Burj Dubai yang menelan belanja RM67 bilion mempunyai lebih 3,000 unit kediaman, 1,200 ruang untuk membeli belah dan sembilan hotel itu sekali gus menjadi pusat membeli belah terbesar di dunia.

Namun apakah manfaatnya menjalankan projek raksasa itu tanpa menguntungkan rakyatnya? Memang bazir, sama ada dari segi ruang pejabat yang terlampau berlebihan dan kegunaan tenaga letrik siang dan malam.

Bagaikan seperti kebetulan, apabila siapnya sesebuah bangunan pencakar langit, sesebuah negara itu bakal diundang musibah kemelesetan ekonomi dunia. Contohnya, ketika bangunan New York World Trde Centre siap dibina pada tahun 1973, krisis minyak pun berlaku di seluruh dunia dan Amerika Syarikat antara salah sebuah negara yang mengalami kesan secara langsung.

Begitu juga pada tahun 1988, sedang kita berbangga dengan perasmian Menara Kembar Petronas, tiba-tiba berlakunya krisis kewangan yang menimpa seluruh rantau Asia, termasuk negara kita sendiri.

Apakah pembinaan bangunan pencakar langit ini mampu mencapai nafsu dan memenuhi kehendak manusia? Apakah sanggup bermegah dengan bangunan tinggi sedangkan kedudukan kewangan negara berada dalam kedudukan yang tidak menentu?

Seperti Burj Dubai ini, UAE sebenarnya tidak memiliki kedudukan kewangan yang kukuh. Akibat terikut nafsu, pelbagai projek dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya, apatah lagi sumber kewangannya adalah berbentuk dana pinjaman daripada negara asing.

UAE kini mendepani krisis kewangan amat buruk. Maruah negara itu menjadi begitu murah dan dipandang serong oleh seluruh dunia.


ONG BOON TECK
Editor Edisi Kelantan
ongbt@sinarharian.com.my

No comments

Powered by Blogger.