Ean jumpa pengetua Khamis ini bincang isu guru

SERI KEMBANGAN, 12 Jan - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah akan berbincang dengan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari, Seri Kembangan, untuk membincangkan aduan berkenaan guru sekolah terbabit .

Beliau menerima aduan daripada keluarga seorang pelajar, Simon Chan Kar Ho,13, yang membuat aduan tentang sikap seorang guru sekolah berkenaan yang bersikap kasar terhadap Simon dan keluarganya, pagi tadi.

Keluarga Simon meminta supaya Ean membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan meminta kerjasama dan tindakan sewajarnya daripada Jabatan Pelajaran.

Ean berkata, isu ini harus dibincangkan secara jelas dalam satu pertemuan khusus bersama pihak sekolah terbabit.

“Mungkin pada hari Khamis saya akan berjumpa dengan guru besar, supaya guru besar dapat menerangkan hal sebenar kepada saya dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada sidang akhbar berkaitan kejadian itu di pejabatnya, di Pusat Khidmat Masyarakat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan, pagi tadi.

Ean berkata, pihaknya juga dimaklumkan oleh kakak Simon, Chan Pow Yoong, 25, bahawa Simon turut dipukul di bahagian belakang badannya oleh guru sama.

Selain itu, telefon bimbit milik kakaknya turut dirosakkan ketika keluarga Simon datang ke sekolah untuk bertemu guru terbabit.

Pow Yoong berkata, dia bersama ibunya ke sekolah itu untuk meminta semula loket Buddha yang dirampas guru tersebut kerana loket itu dipakai atas alasan keagamaan.

Sementara itu, Ean berharap kementerian dapat melatih gurunya agar lebih berkualiti dan memberi nilai terbaik kepada masyarakat.

“Saya menyeru kepada kementerian supaya dapat melatih guru yang berkualiti dan bekerja demi kecemerlangan murid-murid. Itu yang paling penting. Jika tidak bagaimana guru dapat menjadi role model kepada pelajar mereka,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH

No comments

Powered by Blogger.