Jangan terlibat tindakan provokasi- Pemuda PAS Selangor

Nazri Abdullah
SHAH ALAM, 10 Jan: Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru seluruh ahlinya di semua peringkat agar tidak menyertai mana-mana demontrasi atau terlibat dalam tindakan-tindakan provokasi yang akan mengeruhkan lagi keadaan ekoran beberapa tindakan membakar gereja baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan mereka tidak menolak kemungkinan mungkin akan ada tindakan susulan dari pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan tindakan jahat keatas masjid dan surau pula bagi memberi gambaran bahawa adanya serang balas oleh pihak yang diserang.

"Sama ada kejadian di Surau Taman Menara Maju, Kg Jawa, Klang subuh semalam merupakan tindakbalas penganut agama lain atau angkara provokasi yang terancang atau tindakan orang mabuk dan sebagainya, yang perlu kita ambil pendirian bersama ialah jangan kerana sedikit cetusan yang dibuat oleh perseorangan atau sekelompok kecil manusia yang primitif menyebabkan kita melenting lalu bertindak melulu dengan cara yang sama," jelas kenyataan tersebut.

Pemuda PAS selangor juga mengingatkan jangan kerana seorang yang berlainan bangsa melakukan suatu bentuk onar, maka kita terus menghukum semua bangsa tersebut sebagai pengkhianat lalu menghalalkan tindakan-tindakan yang dilarang oleh agama terhadap bangsa yang berlainan dengan kita itu.

"Cubaan membangkitkan kekacauan antara agama adalah suatu tindakan yang sangat jahat kerana kesannya mungkin akan menyamai kesan kekacauan tragedi 13 Mei 1969.

"Kami menyeru semua rakyat Malaysia tak mengira agama dan bangsa untuk tidak terpengaruh dengan taktik kotor sebahagian ‘rasis’ yang memulakan api permusuhan kaum dengan agenda yang tidak diketahui," jelas kenyataan itu lagi.

Dalam satu lagi kenyataan, Ketua Penerangannya Zulkifli Ahmad menyeru agar semua pihak dan penganut mana-mana agama, jangan melenting dengan provokatif yang disifatkan primitif itu.

Sebarang respon yang boleh menimbulkan kesan buruk tegasnya haruslah dijauhi, ini termasuk sebarang bentuk ucapan atau tindakan yang bersifat emosional.

Masalah ini ujarnya wajar ditangani dengan cara yang penuh baik dan rasional sebagai sebuah bangsa yang merdeka dari sebarang bentuk jajahan minda.

No comments

Powered by Blogger.