Kerajaan Negeri beku projek MK Land

DAMANSARA DAMAI –Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan membekukan semua projek di bawah pemaju MK Land Holdings Berhad.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Elizabeth Wong berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam satu mesyuarat terakhir yang diadakan bersama MBPJ Disember tahun lalu.

Menurut beliau, tindakan tegas itu diambil berikutan pemaju itu dikatakan gagal menyerahkan beberapa kawasan perumahan untuk ditadbir sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan juga MBPJ.

”Isu ini sudah berlarutan sejak bertahun-tahun dan ia menimbulkan masalah kepada Kerajaan Negeri untuk menguruskan perumahan termasuklah untuk membaik pulih kemudahan awam seperti jalan, lampu dan ia termasuklah di Flora Damansara, dan Damansara Damai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pagar Berpalang Automatik dan Buggy Apartment Saujana di sini.

Jelasnya, projek syarikat pemaju ini akan dibekukan termasuk beberapa projek unit kondominium dan perumahan kos rendah di Bukit Lanjan.

“Pembekuan projek ini akan berkuat kuasa sehingga mereka (MK Land) menyerahkan kesemua kawasan perumahan ini kepada MBPJ,” katanya.

Menurut beliau, penduduk juga diharap dapat bersatu untuk menuntut hak mereka kepada pemaju terutama melibatkan pemberian hak serata.

Selain itu katanya, untuk tahun ini Kerajaan Negeri mahu memastikan semua penduduk flat dan kondominium di Selangor menerima air percuma.

“Hutang dengan pihak Syabas itu perkara kedua, tetapi pihak pengurusan bangunan perlu tukarkan meter pukal kepada meter individu agar semua penduduk dapat menerima pemberian air percuma oleh Kerajaan Negeri,” katanya.SH

No comments

Powered by Blogger.