Kerajaan Negeri Sedia Dedah Kontraktor Pengurusan Bermasalah

SHAH ALAM, 11 Jan - Kerajaan Selangor sedia mendedahkan senarai kontraktor pengurusan sampah yang bermasalah sebelum tindakan membatalkan kontrak mereka diambil dalam masa terdekat.

Ini berikutan rungutan penduduk Desa Mentari, Petaling Jaya semalam mendakwa berlaku kecuaian dalam pungutan sampah di kediaman mereka.

Rasa tidak puas hati mereka diajukan kepada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemu mereka dalam satu dialog bersama wakil-wakil penduduk Desa Mentari.

“Saya tengah hendak mempamerkan semua nama ejen yang mempunyai rekod yang buruk di seluruh negeri Selangor, jadi mana-mana ejen pengurusan ataupun syarikat-syarikat yang menguruskan rumah-rumah atau pangsapuri-pangsapuri perumahan berstrata dengan cara yang tidak sempurna kita mahu mereka tidak mendapat kontrak lagi ataupun penduduk tidak lagi memberi kontrak”, kata Iskandar kepada pemberita ketika dihubungi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor di Shah Alam hari ini.

Katanya lagi pihaknya dimaklumkan ada sebahagian kontraktor ini tidak membuat penyelenggaraan bangunan terbabit ekoran penduduk tidak menjelaskan yuran penyelenggaraan bulanan.

Bagaimanapun jelanya, kerajaan negeri akan mengenalpasti punca utama masalah ini sering dibangkitkan warga Desa Mentari dengan mencari jalan penyelesaian terbaik demi menjaga kepentingan kedua belah pihak.

“Ada yang tidak melakukan kerja dengan baik, dia kata penduduk tidak membayar yuran penyelenggaraan dan sebagainya, tapi kita akan tengok betul-betul sama ada siapa sebenarnya yang bersalah adakah mereka gagal ataupun tidak boleh menyelenggara sesuatu kawasan disebabkan pungutan yuran penyelenggaran atau kerana mereka sendiri cuai”, jelasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.