Kes 5 pelajar UM ‘hina’ isteri PM didengar Jun

KUALA LUMPUR, Jan 12 — Kes lima penuntut Universiti Malaya (UM) yang pernah ditahan berhubung kes menconteng “bini puaka” dan “pembunuh Altantuya”, yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor kira-kira tujuh bulan yang lalu, akan didengar Jun ini.

Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan demikian pagi tadi.

Denga itu kes membabitkan mereka akan didengar mulai 14 hingga 18 Jun ini.

Salah seorang pelajar yang dituduh Shazni Munir Mohd Ithnin, yang merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM berkata, kes kelima-lima mereka ditetapkan selepas mendengar permintaan pendakwa raya.

“Sebenarnya hakim mahu kes kami didengar segera tetapi disebabkan masalah teknikal, oleh kerana pasukan pendakwa memerlukan masa, kes kami akan didengar pada bulan Jun,” katanya ketika dihubungi.

Shazni Munir merupakan salah seorang daripada tiga pelajar UM dikenakan tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melakukan khianat dan menceroboh Fakulti Akademi Pengajian Islam (API) UM 24 Jun lalu.

Selain Shazni Munir, dua yang lain ialah Muhammad Aizat Rosle, 21, dan Muhammad Saufi Jelani, 21. Mereka dikenakan tuduhan awal bulan lalu.

Shazni Munir, juga Pengerusi Solidarati Mahasiswa Malaysia (SMM), merupakan pelajar tahun akhir API.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 436/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga penuntut ini juga menghadapi pertuduhan menceroboh bangunan fakulti itu mengikut Seksyen 447 kanun yang sama

yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Mereka turut didakwa melakukan kesalahan khianat dengan menyimbah petrol di atas karpet dan menconteng di dinding dewan utama fakulti itu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka didakwa bersama dua lagi pelajar API yang telah pun dikenakan tuduhan pada 30 Jun lalu iaitu Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

Izzuddin Hilmi dan Syahruldeen didakwa melakukan kesalahan itu pada pagi 24 Jun lalu, beberapa jam sebelum Rosmah tiba di API untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin, “Power of 10 Sen: Gaza Dibela”.

Pelajar-pelajar berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Izzuddin Hilmi dan Syahruldeen dituduh bawah Seksyen 427 bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Selain menconteng “C4”, “pembunuh Altantuya” dan “bini puaka” mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh Rosmah.

Kedua-dua pelajar itu juga dituduh di bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Bulan lalu pendakwa mahu membicarakan kelima-lima mereka bersama.mi

No comments

Powered by Blogger.