Najib Gagal, Serangan Ke Atas Gereja Merebak, Terbaru Gereja Di Melaka

Tiga insiden cubaan membakar membabitkan dua buah gereja dan sebuah sekolah berlaku di Taiping awal Ahad selepas dilempar dengan bom api.

Kedua-dua buah gereja berkenaan tidak mengalami kerosakan manakala insiden di Sekolah Menengah Convent Taiping itu membabitkan kerosakan kecil apabila cermin kaca pondok pengawal pecah.

Terbaru, sebuah gereja di Durian Daun Melaka dilemparkan dengan cat hitam, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Sallehhudin Abd Rahman, lapor Malaysian Insider.

Kejadian itu disedari pihak gereja itu kira-kira pukul 9 pagi dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah di sini, pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Kita melihat kes ini secara serius memandangkan ini adalah isu sensitif, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian di negara ini,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Sallehhudin berkata polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihati orang ramai supaya bertenang dengan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan serta melanggar undang-undang negara.

Sambil meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang cuba menggugat keharmonian kaum yang dinikmati selama ini, beliau mahu semua pemilik rumah ibadat menjaga rumah ibadat masing-masing dan dalam masa sama polis membuat pemantauan.

Pagi tadi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar setakat ini.

No comments

Powered by Blogger.