Nik Aziz Tidak Mahu Campur Tangan Peletakan Jawatan Anaknya

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak mahu campur tangan dalam isu peletakan jawatan anaknya, Nik Mohd Abduh, sebagai ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Beliau berkata, perkara itu adalah di luar tanggungjawabnya walaupun beliau seorang bapa kerana anaknya sudah dewasa dan boleh membuat keputusan sendiri.

"Dia seorang peniaga, mungkin dia ingin menumpukan perhatian terhadap perniagaannya, molek juga dia letak jawatan kerana tidak mengganggu tugasnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Nik Mohd Abduh telah melepaskan jawatan sebagai ahli majlis MPKB dan sebagai Pengarah Binaraya Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat PKINK.

Ditanya sama ada keputusan anaknya untuk meletakkan jawatan itu pernah dibincangkan dengannya, Nik Aziz berkata, beliau tidak boleh mencampuri urusan begitu kerana anaknya itu sudah dewasa. - BERNAMA

****

Nik Abduh mahu lepaskan semua jawatan

KOTA BHARU 11 Jan. - Anak Menteri Besar, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) hari ini mengesahkan mahu melepaskan dua jawatannya dalam pentadbiran negeri yang dibuat secara lantikan politik.

Dua jawatan berkenaan ialah ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Pengarah Binaraya PKINK Sdn. Bhd. (Binaraya), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Bagi jawatan di Binaraya, Nik Mohd. Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat berkata, beliau akan berkhidmat sehingga kontraknya tamat pada tahun ini.

Menurut Nik Mohd. Abduh, keputusan itu bagi membolehkan beliau menumpukan kepada pelajaran dan perniagaan yang kini menyebabkan beliau terpaksa berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

"Jika ada tawaran baru, saya akan melepaskannya (menolak) kerana kebiasaannya lantikan ini disambung setiap tahun.

"Tahun ini saya sibuk dengan pelajaran selain mulakan perniagaan. Saya takut mengganggu, saya tidak dapat hadir semua mesyuarat MPKB-BRI dan Binaraya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ketidakhadirannya pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPKB-BRI di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditanya pemberita tentang kedudukan Nik Mohd. Abduh memberitahu, anak Mursyidul Am Pas itu telah dilantik semula ke jawatan itu.

Bagaimanapun, menurut Takiyuddin, beliau tidak tahu mengapa Nik Mohd. Abduh tidak hadir pada majlis itu.

Pada majlis itu, 18 daripada 25 ahli majlis mengangkat sumpah penerimaan jawatan di hadapan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Pada 25 November lalu, ketika isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang membabitkan iparnya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman memuncak, Nik Mohd. Abduh dalam blognya menyatakan hasrat melepaskan semua jawatan lantikan politiknya dalam kerajaan negeri.

Alasan yang diberikannya ialah kerana ingin melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun, ramai pihak melihat pengunduran Nik Mohd. Abduh mempunyai kaitan dengan kemelut yang melanda keluarganya itu.

Sementara itu, Nik Abduh berkata, beliau telah memaklumkan hasratnya tidak menerima pelantikan sebagai ahli MPKB-BRI kepada parti secara lisan sebelum disusuli dengan surat rasmi.

"Pelantikan ini biasanya dimaklumkan secara lisan terlebih dahulu sebelum surat rasmi dikeluarkan.

"Saya telah memaklumkan secara lisan dan surat lewat dihantar kerana surat tawaran daripada MPKB-BRI juga lewat (dihantar)," katanya.

No comments

Powered by Blogger.