Orang ramai sokong anjur dialog

SHAH ALAM, 11 Jan - Cadangan mengadakan sesi dialog di antara pemimpin Islam dengan Kristian adalah cara terbaik merungkai kemelut yang timbul akibat penggunaan kalimah Allah dalam akhbar The Herald: Catholic Weekly.

Kebanyakan orang ramai yang ditemui juga menyokong dialog itu diadakan secepat mungkin bagi menyelesaikan kekeliruan itu hingga menimbulkan huru-hara.

Pendakwah bebas yang juga mantan Imam Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor, Haslin Baharim, 41, berkata, masalah ini memerlukan perbincangan di antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, usaha umat Islam untuk keluar daripada kekhilafan adalah satu kewajipan sekali gus dapat mewujudkan kefahaman.

“Apabila timbul golongan yang bangun memprotes terhadap keputusan hakim yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh The Herald ini, isu yang wajar diselesaikan ialah merungkai kekeliruan tentang mengapa perkara tersebut berlaku, dan mengapa mereka menggunakan nama Allah dalam majalah tersebut. Jadi dialog ini adalah satu usaha menyelesaikan kekeliruan yang timbul,” katanya.

Haslin berkata, jika kekeliruan ini tidak diselesaikan segera, akidah golongan remaja paling dikhuatiri terperangkap.

Menurutnya, berdialog adalah jalan terbaik bagi menjelaskan tujuan serta pendirian kedua-dua pihak.

Wan Hartini Wan Hashim, 27, juga berpendapat isu yang melibatkan banyak pihak terutama membabitkan isu keagamaan perlu melibatkan perbincangan khusus.

“Saya setuju dialog ini diadakan kerana isu seumpama ini melibatkan semua pihak jadi penyelesaian harus dibuat melalui perbincangan supaya dirungkai bersama,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH

No comments

Powered by Blogger.