Pemandu Teksi Hantar Memorandum, Bantah Roboh Hentian Teksi

Seramai 30 pemandu teksi di sekitar Klang berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah membantah tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) merobohkan perhentian teksi di Lorong Kepayang.

Sehubungan itu, satu memorandum bantahan diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang mewakili Persatuan Pemandu-pemandu Kereta Sewa Bandar Kelang Selangor, meminta kerajaan negeri turun padang melihat masalah pemandu teksi dan juga penduduk di kawasan berkenaan.

“Pada pandangan saya, perhentian teksi ini perlu dikekalkan. 2 minggu lepas Majlis MPK telah mengambil tindakan untuk merobohkan perhentian teksi di Lorong Kepayang. Jadi saya bantah keras-keras dan minta kerajaan di mana Exco, Ronnie Liu telah berjanji hendak turun dan tengok kawasan tetapi sudah sampai setahun, dan kalau boleh kekalkan kedua-duanya perhentian teksi dan perhentian bas,” kata Manikavasagam.

Manikavasagam berkata, MPK dan kerajaan negeri harus menimbang perobohan perhentian teksi dan juga bas berkenaan memandangkan kedua-dua pengangkutan awam tersebut menjadi pengangkutan alternatif utama penduduk di kawasan itu.

Menurut beliau lagi, Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu harus segera bertindak dalam menyelesaikan masalah kira-kira 50 pemandu teksi yang bergantung hidup dengan memandu teksi.

Ujarnya tempat yang sedia ada cukup strategik dan hanya perlu dinaiktaraf untuk kegunaan penduduk.

“Kalau boleh kekal di bandar, kekal di Sental Meru, kekal di pekan Kapar. Saya memerlukannya memandangkan ramai penduduk yang miskin dan tidak mampu. Kalau perhentian teksi dan perhentian bas tidak ada memang susah. Monorel juga tidak ada di kawasan saya. Orang miskin ramai yang duduk. Kalau boleh kekallah,” tabahnya lagi.

Sementara itu, wakil pemandu teksi, Aziz Marsrol, meminta agar perhentian teksi tersebut dikekalkan kerana ia telah beroperasi lebih 30 tahun di kawasan tersebut.

“Saya mewakili semua pemandu-pemandu teksi, jadi saya harap pihak yang berwajib kekalkanlah hentian teksi itu kerana ada yang berkhidmat di perhentian teksi itu hampir 30 tahun. Jadi kalau dikekalkan tempat itu, ia tidak menganggu lalu lintas,” Ujar Aziz.

Seorang lagi pemandu teksi, Sani Mohamad berkata, beliau dan rakan lain tidak kisah jika dipindahkan tapi biarlah di tempat yang sesuai.

“Kalau hendak diberi pindah pun, biar lah di tempat yang sesuai. Saya sudah cuba empat hari, empat jam, satu teksi pun tidak boleh bergerak. Teksi ada hampir 50 biji. Cuba bayangkan. Saya hampir 30 tahun bawa teksi. Cuba fakir sendirilah. Kami bukan tidak mahu pindah tetapi biarlah di tempat yang sesuai,” ujar pemandu ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi yang menerima memorandum tersebut bagi pihak Menteri Besar berkata, beliau akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Tan Sri khalid untuk pertimbangan selanjutnya.

“ Tadi kita terima memorandum yang dihantar oleh pemandu-pemandu teksi. Tidak ada apa lah, dan saya akan serahkan kepada Menteri Besar untuk pertimbangan Dato’ Menteri Besar selanjutnya,” kata Nik Nazmi.

Kira-kira 30 orang anggota polis berkawal di luar bangunan SUK bagi mengawal keadaan.

No comments

Powered by Blogger.