Pilih Ketua Murid Ala Pilihan Raya, Timbalan Pengerusi SPR Kurang Setuju

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini berkata adalah terlalu awal bagi kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun didedahkan kepada proses pengundian memilih pemimpin mirip kepada kempen pilihan raya.

"Bagi saya, murid ini terlalu awal didedahkan dengan politik ataupun proses berkempen," katanya bagi mengulas proses pengundian memilih ketua murid yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI)1 semalam.

Biarpun sudah dua kali mengadakan pengundian bagi memilih ketua murid, namun proses pengundian di sekolah itu kali ini mirip satu pilihan raya kerana ia turut melibatkan penyertaan SPR Wilayah Persekutuan selaku pengendali dan pemantau proses itu.

Ia bermula dengan proses penamaan calon, kempen selama seminggu termasuk memasang poster, mengedar kalendar serta nama dan slogan calon, kunjungan calon dari kelas ke kelas dan akhirnya pemilihan yang menggunakan kotak mengundi seperti dalam pengundian pada pilihan raya.

"Di SPR sendiri kami turut menyediakan pendidikan pengundi tetapi terus kepada peringkat sasaran iaitu mereka yang lebih berusia seperti penuntut sekolah menengah dan universiti ataupun kolej," kata Wan Ahmad kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk mengadakan proses pengundian itu merupakan hak sekolah dan beliau menganggap pastinya SKTTDI1 sudah mendapatkan kebenaran ibu bapa.

Wan Ahmad berkata beliau tidak mengetahui tentang proses pengundian yang diadakan di sekolah berkenaan semalam sehinggalah melihat dan membacanya melalui media.

Beliau percaya bahawa SPR di peringkat negeri hanya menjalankan kewajipan dalam memberi bantuan kepada sekolah itu.

"Kami di SPR tidak pernah berbincang mengenai perkara ini di peringkat atasan dan proses pengundian semalam mungkin merupakan rutin yang dijalankan oleh SPR peringkat negeri," katanya.

Ditanya kemungkinan sekolah lain akan mencontohi SKTTDI1 untuk mengadakan proses pengundian yang serupa, Wan Ahmad berkata terpulang kepada Kementerian Pelajaran serta pihak sekolah terbabit manakala SPR hanya akan memberi nasihat dan bantuan yang diperlukan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan sebaliknya memandang positif tindakan sekolah berkenaan dan berharap ibu bapa tidak perlu risau dengan proses pengundian yang dijalankan di peringkat sekolah.

"Saya tidak lihat proses itu melibatkan politik dan menganggapnya sebagai pendedahan bagi anak-anak ini memahami proses demokrasi tulen di negara ini," katanya.

Mohamed Ali berkata pendedahan itu akan membantu proses kematangan kanak-kanak dalam menghadapi proses demokrasi sebenar apabila dewasa kelak.

Namun, katanya, proses pengundian itu perlu dibimbing dan dipantau oleh pihak sekolah supaya tidak disalah guna seperti murid mengaibkan sesama calon semasa berkempen.

"Kita boleh mengajar murid-murid ini supaya menjaga tatasusila dan etika berkempen bagi memupuk mereka nilai-nilai murni. Dengan cara ini, persaingan sihat dapat dipupuk," katanya.

Seorang ibu yang dua anaknya bersekolah di SKTTDI1 berkata beliau menganggap pendedahan yang cuba diberikan itu memberi manfaat kepada murid di Tahun 4, 5 dan 6.

"Tapi bagi murid tahun satu hingga tiga, mereka terlalu muda untuk memahami keseluruhan proses itu dan tujuannya," kata wanita enggan namanya disiarkan.

Beliau bagaimanapun berharap ibu bapa tidak dibiarkan campur tangan dalam proses pengundian ini seperti membantu menyediakan poster dan bahan kempen yang mahal harganya dan memberi tekanan kepada anak-anak yang menjadi calon.

"Proses ini baik untuk membina keyakinan murid, jadi biarkan mereka berkempen secara semula jadi, seperti menyediakan sendiri poster dengan melukis atau mencetak daripada komputer, dan bukan didedahkan kepada kemewahan menempah banner dan sebagainya," katanya. -BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.