Rasuah: Beban kepada Negara (Corruption Cost To The Nation)

Muqaddimah

1. Ibnu Khaldoun, pemikir sosiologi Islam yang agung pernah mengungkapkan di dalam Al-Muqaddimah bahawa punca rasuah berlaku apabila pemerintah ghairah kepada budaya kemewahan. Secara umumnya inilah akar kepada permasalahan rasuah yang sedang membelenggu Malaysia. Tidak keterlaluan dikatakan, Malaysia sedang berhadapan dengan krisis peradaban yang disebabkan oleh rasuah. Skandal PKFZ, kehilangan Balasubramaniam, runtuhnya Stadium Gong Badak, retaknya MRR2 yang tak kunjung sudah, semuanya bermula daripada rasuah yang semakin menjadi ‘makanan rohani’ di kalangan penguasa. Laporan Ketua Audit Negara saban tahun menghidangkan rakyat dengan penyelewengan wang rakyat yang mencecah jutaan ringgit, tetapi sehingga ke saat ini, kes-kes tersebut sunyi. Andaikan jika ratusan juta boleh diselamatkan melalui penguatkuasaan dan pemantauan yang berkesan, pastinya subsidi gula boleh dikekalkan dan harga minyak tidak akan naik lagi Mei depan sebagaimana dirancang Umno-BN!

2. Berdasarkan dapatan yang telah dibentangkan oleh Institut Integriti Malaysia berkaitan dengan persepsi Masyarakat mengenai pembudayaan integriti melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional dan TEKAD 2008, statistik menunjukkan iaitu amalan rasuah di kalangan penjawat awam dan pertubuhan ekonomi mencecah 60%. Selanjutnya, 55% rakyat bersetuju bahawa amalan rasuah politik di Malaysia adalah tidak terkawal. Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa Negara kita berada di dalam keadaan bahaya dan memerlukan kepoada satu ‘pakej rangsangan untuk membasmi rasuah sehingga ke akar umbi, bersesuain dengan tema Hari anti Rasuah sedunia don’t let corruption kill development.

3. Data National Youth Survey yang telah dijalankan pada tahun 2008, antara lain berkaitan dengan apakah isu/perkara yang rakyat mahu parti politik suarakan untuk kepentingan generasi muda, satu pertiga daripada ribuan responden yang terlibat dalam kaji selidik berkenaan memberikan jawapan yang mudah: melawan rasuah.

4. Tentunya maklumat ini memberikan harapan baru kepada Negara di mana generasi mendatang telah mempunyai asas kefahaman mengenai peri penting pembasmian rasuah yang menjadi barah masyarakat.

5. Justeru, langkah-langkah proaktif perlu diambil demi memastikan rasuah dapat dibasmi ke peringkat akar umbi agar tidak membarah di kalangan masyarakat. Pendekatan yang agresif harus diambil tanpa sebarang usaha melengah-lengahkannya.

Apa yang perlu dilakukan sekarang?


Secara umumnya saya mencadangkan pemerkasaan tiga aspek terpenting yang sangat realistik untuk dilaksanakan samada pada kadar segera atau dalam tempoh jangka panjang. Ianya merujuk kepada aspek pemerkasaan undang-undang; pemerkasaan sosial dan pemerkasaan governans.

i. Pemerkasaan Undang-undang
- Menyegerakan Akta Perlindungan Saksi. Melalui akta ini, banyak kes-kes yang melibatkan penyelewengan kuasa dan rasuah di kalangan anggota kabinet, penjawat awam, ahli politik, ahli perniagaan mampu didedahkan dengan terperinci. Persoalan yang timbul di Malaysia kini ialah apakah keselamatan pemberi maklumat terjamin selepas mereka memberikan kerjasama kepada polis. Di Malaysia, seolah-olah wujud dogma bahawa betapa kebebasan ini hilang selepas maklumat diberikan, dan ini terbukti dengan kehilangan Balasubramaniam selepas memperakukan Perakuan Sumpah beliau mengenai skandal melibatkan Perdana Menteri sekarang.

- Selain daripada itu,penubuhan Mahkamah Rasuah sepertimana yang dilakukan di negara jiran, Indonesia juga boleh dilihat sebagai mekanisme penting untuk memerangi rasuah ke peringkat akar umbi. Jika Kementerian Dalam Negeri sanggup mempertimbangkan untuk mewujudkan Mahkamah Malam untuk menyelesaikan kes-kes jenayah jalanan, maka atas keprihatinan yang sama ke atas gejala rasuah wajarlah bagi kerajaan untuk menubuhkan Mahkamah Rasuah untuk menyelesaikan kes-kes rasuah yang sudah menjadi jeruk di dalam simpanan Kamar Peguam Negara.

- Menyegerakan ratifikasi United Nation Convention Against Corruption (UNCAC). UNCAC telah dipersetujui oleh Malaysia seawal tahun 2004, tetapi sangat memelikkan apabila hampir 6 tahun ia disimpan tanpa sebarang ratifikasi atau pelaksanaan melalui pentadbiran kerajaan kita. Ini menimbulkan tanda soal besar di sebalik kelewatan pelaksanaan ini berikutan fasal-fasal yang diperuntukkan di bawah UNCAC adalah sangat tegas dan tuntas di dalam menangani rasuah dari peringkat akar umbi ke peringkat tertinggi.

- Pelaksanaan Ombudsman secara menyeluruh di Malaysia. Sebagaimana SELCAT, Ombudsman perlu ditubuhkan dengan bentuk sebuah Sekretariat Bebas dikawal selia di bawal Parlimen / DUN Negeri-negeri untuk memantau sebarang elemen salahlaku dan penyelewengan kuasa di kalangan kementerian/jabatan/agensi.

ii. Pemerkasaan Sosial (Social Empowerment)
- Menambahbaik sistem pendidikan: memperkenalkan subjek Integriti & Rasuah sebagai satu subjek di peringkat universiti.

- Mewujudkan satu jaringan aktivisme belia, yang antara lain dicadangkan sebagai Kelab Angkatan Muda Anti Rasuah (KAMAR). KAMAR perlu diinstitusikan di dalam setiap lapisan komuniti masyarakat, sebagai satu mekanisme aliran informasi dan maklumat berkenaan kepentingan rasuah dibanteras ke peringkat akar umbi.

- Program latihan dan penerangan di peringkat rakyat terbanyak. Negeri-negeri PR boleh mengambil inisiatif untuk menyebarluas program seumpama ini dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia dan badan-badan bebas yang lain.

iii. Pemerkasaan Governans (Governance Empowerment)
- Di peringkat sektor awam, MAMPU telah melaksanakan Sistem Star Rating (SSR) bertujuan untuk mengukur kualiti, prestasi dan produktiviti setiap kementerian/jabatan/agensi. Dicadangkan agar dalam penilaian SSR, pembudayaan integriti dan indeks pencegahan rasuah dijadikan indikator utama. Ini mengambil kira hubungkait di antara integriti dan produktiviti sektor awam.
- Bidangkuasa Biro Pengaduan Awam (BPA) juga harus diperbesarkan sebagaimana cadangan penubuhan Ombudsman yang disebut sebelum ini. Peranan BPA sekarang sangat terbatas.

Muafakat Membasmi Rasuah

Kita telah sampai di satu tahap di mana rasuah sudah semakin membarah dan diinstitusikan secara tidak sedar khususnya sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahathir. Menjadi satu tanggungjawab rakyat seluruhnya untuk mengelak daripada berhadapan dengan satu bentuk krisis peradaban yang diakibatkan oleh rasuah.

Tentunya pendedahan Barry Wain di dalam buku terbaru beliau, Malaysian Maverick Mahathir Mohamad In Turbulences Times yang mendedahkan bahawa sepanjang pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, wang rakyat sebanyak RM 100 billion telah hilang sepatutnya menjadi satu eye opener kepada rakyat Malaysia. Ini melayakkan beliau diberi gelaran sebagai Bapa Perasuah Negara. Di dalam posting terbaru Dr Mahathir di laman blog beliau, Abdullah Ahmad Badawi pula diserang dengan pendedahan mengenai kehilangan RM 270 billion wang petronas. Selepas ini berapa pula wang yang akan hilang di bawah pemerintahan Rosmah dan Najib ?

(Kertas ini merupakan intipati kepada pembentangan saya semasa menjadi ahli panel forum isu-isu global anjuran Biro Antarabangsa Keadilan bertajuk Corruption: Cost To The Nation yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2010. Ahli-ahli panel lain, termasuk Tan Sri Ramon Navaratnam, Tan Sri Megat Najmuddin, Datuk Ambeega dan Datuk Zaid Ibrahim)


shamsul iskandar

No comments

Powered by Blogger.