Sultan Selangor Larang Agama Lain Guna Kalimah Allah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain

Baginda bertitah pendirian ini untuk memelihara akidah dan keharmonian beragama di negeri ini.

Sultan Salahuddin selaku Ketua Agama Negeri merujuk Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 10 Jun 2008 yang telah memutuskan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama- agama bukan Islam yang lain.

Titah baginda sultan itu disampaikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa selepas dipanggil mengadap 5 Januari lalu.

Mohd Adzib berkata baginda juga menitahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli- ahli MAIS.

Turut dipanggil mengadap, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin serta Penasihat Undang-undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin di Istana Mestika.

Sehubungan itu pihak MAIS telah menjalankan beberapa siri perbincangan termasuk bersama- sama 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh Akhbar Katolik The Herald.

Tuntutan The Herald untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya mencetus pelbagai reaksi pelbagai lapisan masyarakat.

Keadaan makin rumit apabila terdapat pihak- pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan bertindak membakar beberapa gereja, menambahkan ketegangan yang sedia ada.

No comments

Powered by Blogger.