Tiada Nas Halang Penggunaan Kalimah Allah Oleh Bukan Islam

Sepuluh hari yang pertama tahun ini kelihatan tegang dengan isu penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar mingguan Katolik, Herald yang dibenarkan oleh mahkamah dan disusuli dengan lapan insiden menyerang rumah ibadat masyarakat Kristian di seluruh negara.

Meskipun tidak dapat dinafikan isu penggunaan kalimah sudah lama berlarutan tetapi penyertaan di Dewan Himpunan Cina Selangor di ibu negara malam tadi, dalam lingkungan 1,500 orang, membuktikan rakyat negara sudah mempunyai semangat untuk berdialog, berbincang dengan mendengar isu sensitif dengan tenang.

Forum yang membincangkan tajuk “Allah: Siapa Yang Punya”, walaupun ketepatan tajuk ini dipertikaikan dua daripada tujuh panelis, tetapi peserta daripada kalangan pelbagai agama dan kaum, majoritinya golongan muda, menunjukkan sikap terbuka dan kematangan mereka mengikut forum berkenaan.

Di sebalik tepukan menyambut baik pandangan para panelis, hadirin juga nampaknya menerima pandangan dikemukakan tanpa sebarang perasaan emosi walaupun adakalanya diajukan soalan provokasi oleh panelis dan hadirin. Terima kasih kepada penganjur dan pengerusi forum Faridzul Nasaruddin yang dari awal-awal lagi, malah kerap kali memberi peringatan agar menganggap pertemuan malam tadi sebagai satu forum terbuka untuk membincangkan isu semasa iaitu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam khususnya masyarakat Kristian Katolik.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Azwira A. Aziz mengakui imej Islam terjejas sedikit dengan kejadian serangan ke atas gereja sejak minggu lalu.

Beliau mengandaikan sedemikian ekoran maklum balas yang diterima dari dalam dan luar negara.

Pun begitu kata beliau, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Dis lalu memihak kepada akhbar Herald kerana pasukan peguam yang mewakili Kementerian Dalam Negeri ataupun kerajaan telah gagal dalam menyenaraikan bukti-bukti yang menunjukkan bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah “Allah”.

Kata Azwira, beliau berpendapat hakim terbabit telah membuat keputusannya berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh barisan peguam.

“Tiada bukti nas yang jelas... jika peguam pihak defendan dapat mengemukakan bukti-bukti bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah, saya sudah pasti keputusan memihak kepada Islam,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa penggunaan kalimah “Allah” akan menyebabkan kekeliruan di kalangan orang Islam, Azwira menambah, perkara ini perlu dibuktikan dengan kajian yang terperinci.

Malah kata beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh beliau menunjukkan situasi seperti itu tidak wujud termasuk di Sabah dan Sarawak, yang gereja di kedua-dua itu menggunakan Bahasa Malaysia untuk upacara di premis masing-masing.

Sebaliknya kata beliau, maklumat yang diterima menunjukkan lebih ramai rakyat di Sabah dan Sarawak yang menganut Islam sejak kebelakangan ini.

“Ini (wujudnya kekeliruan) andaian sahaja... kalau ada kajian yang betul yang mengatakan orang Islam murtad, kita boleh terima,” katanya.

Mengenai cadangan dialog antara agama, Azwira bersetuju jika diadakan tetapi biarlah dalam skala yang kecil dan terhad.

“Misalnya keanggotaannya terdiri daripada mereka yang betul-betul berkelayakan,” kata beliau ditemui The Malaysian Insider selepas forum berakhir.

Semalam bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata, “Apa salahnya jika kita akan tubuhkan satu badan atau mekanisme yang dibiayai oleh kerajaan untuk membolehkan wakil semua agama duduk berbincang di mana segala hal yang rumit dan yang menjadi masalah serta isu pertelingakahan dapat dibincangkan secara ilmiah dan tertutup.”

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, antara pemimpin PAS yang menjadi sasaran kumpulan yang menentang keputusan mahkamah tempoh hari mengulangi pendirian beliau sebelum ini.

Justeru kata beliau, isu semasa ini harus dilihat secara terbuka dari sudut kepentingan berdakwah bukannya mempersoalkan sama ada orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah” semata-mata.

Pemimpin PAS ini menambah, oleh kerana Islam tidak melarang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, dan sekiranya ia digunakan oleh mereka sudah pasti ia akan memudahkan proses mendakwah di negara ini dalam panjang.

“Ini yang saya tekankan... soal dakwah. Di mana jika bukan Islam menggunakan kalimah, lagi ramai menggunakan kalimah Allah, ia akan memudahkan proses dakwah kita... sangat mudah, sangat jelas,” kata beliau yang berulang kali menekankan bahawa punca kepada masalah asas ini ialah sikap dan dasar Umno selama ini.

“Ia menjadi usaha yang digolak oleh Umno,” kata beliau yang gambarnya dipijak ketika demonstrasi di Selangor Jumaat lalu.

Pun begitu ada juga peserta yang kecewa kerana forum malam tadi tidak dihadiri biskop Roman Katolik Tan Sri Murphy Pakiam dan bekas mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sebagaimana dihebahkan.

Ada juga peserta yang bertanya mengapa ahli politik dari parti lain tidak dijemput.

Penganjur menjelaskan pihaknya sememangnya ada mengajukan jemputan beberapa pihak lain tetapi mereka tidak kesempatan menghadiri forum ini.

Eddin Khoo, seorang penyair, penulis, penterjemah dan budayawan yang terkenal pula berkata, walaupun negara sudah lama merdeka pemikiran sebahagian rakyat masih di paras lama, dilihat sebagai salah satu punca kepada masalah semasa.

Malah beliau juga menyelar apabila ada hadirin mempersoalkan sama ada penganut Buddha dan Hindu juga pada satu hari nanti akan membuat tuntutan untuk menggunakan kalimah “Allah”.

“Saya agak risau apabila kita meleretkan isu penggunaan kalimah Allah dengan penganut agama lain.

“Kita kena membezakan isu yang hadapi sekarang. Bagi saya soalan itu tidak harus timbul, tidak harus dikaitkan dengan isu lain,” kata beliau sambil menambah, masalah semasa secara tidak langsung berkaitan dengan masalah tiadanya keyakinan diri di kalangan masyarakat negara ini.

“Malah masalah ini wujud di negara lain seperti Amerika Syarikat,” katanya.

Oleh itu syor beliau, masyarakat perlu digalakkan untuk mengetahui agama-agama lain secara mendalam tanpa memencilkan diri mereka daripada pengetahuan tentang agama lain.

Dr Mohd. Farid Mohd Shahran dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa berpendapat soal yang perlu diberi penekanan ialah aspek penterjemahan perkataan Tuhan dan Allah bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

“Kita tidak harus lari dari isu sebenarnya. Bagi saya apa yang disuarakan oleh orang Islam ada asasnya walaupun ada yang mengambil kesempatan daripada isu ini.

“Isunya bukan soal monopoli, siapa yang hendak menguasai kalimah Allah. Kalimah Allah sudah sebati dengan umat Islam dan ia membawa makna yang berbeza.

“Oleh itu isunya sekarang ialah soal penterjemahan,” kata beliau yang berpendapat tajuk forum “Allah: Siap Yang Punya” tidak sesuai dengan isu semasa yang timbul.

Turut mengambil bahagian dalam forum ini sebagai ahli panel ialah aktivis Hasmi Hashim, pendakwah Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, Shah Kirit Kakulai Govindji dan Dr Khalif Muammar A. Harris dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma). -MI

No comments

Powered by Blogger.