Tiga agenda besar – Saifuddin

Oleh Fazallah Pit

saifuddin nasutionPERSIAPAN menjelang pilihan raya umum depan adalah antara tiga agenda yang diberi tumpuan Setiausaha Agung KEADILAN yang baru, Saifuddin Nasution Ismail.(gambar)

Ahli Parlimen Machang itu menganggap tugasan baru itu berkaitan usaha membina jentera pilihan raya yang lebih mantap menjelang pilihan raya umum ke-13.

Selain itu, beliau akan berusaha keras untuk memperkemas dan memperkuatkan KEADILAN sebagai komponen gabungan Pakatan Rakyat.

Beliau juga mahu meneruskan kesinambungan tugas yang diasaskan Setiausaha Agung terdahulu, Datuk Salehuddin Hashim yang memegang jawatan itu lebih lima tahun.

Mengakui terkejut dengan pelantikan itu, beliau mahu menggunakan pengalamannya lebih dua dekad dalam pengurusan parti politik bagi melaksanakan tiga agenda itu.

“Saya askar yang sentiasa setia dan patuh kepada arahan pimpinan, melakukan apa yang diminta lakukan,” katanya yang mengambil alih jawatan itu berkuat kuasa 1 Februari depan.

Terdahulu, Presiden KEADILAN, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pelantikan Saifuddin pada mesyuarat Biro Politik Sabtu lalu dan disahkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Mesyuarat MPP telah menerima peletakan jawatan Salehuddin yang terus
kekal sebagai ahli parti.

“Dengan berat hati, kami menghormati keputusan Salehuddin dan menerima perletakan jawatannya mulai 31 Januari.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Salehuddin atas perkhidmatan cemerlangnya sejak April 2008 dan sebagai Setiausaha Pengelola dari 2004 hingga 2008,” kata Wan Azizah.

No comments

Powered by Blogger.