Siapa cederakan mangsa? - Gobind

SHAH ALAM, 10 Mac - Peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock berkata kecederaan yang dialami bekas Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu adalah sebelum mangsa terjatuh, seraya mengundang beberapa persoalan penting.

Gobind Singh Deo berkata dua patologis kerajaan tidak menjawab bagaimana, mengapa dan untuk apa kecederaan-kecederaan ini dalam laporan bedah siasat pertama mereka.
“Pertama sekali, laporan bedah siasat pertama tidak menyebut secara terperinci kecederaan pada leher mangsa, dan saya berpendapat kesaksian dari (pakar patologi kedua) Dr. Shahidan Md Noor telah menonjolkan betapa pentingnya kecederaan pada leher mangsa dalam kes ini,” kata Gobind.

“Ini kerana kecederaan ini berlaku sebelum mangsa jatuh. Maka, seseorang perlu bertanggungjawab kerana mencederakan mangsa. Ini mengundang persoalan bagaimana dua pakar patologi sebelum ini tidak perasan atau tidak menonjolkan kecederaan ini dalam laporan mereka,” tambah beliau.

Namun sebelum mencapai kesimpulan, Gobind berkata semua pihak perlu menunggu pendapat dari pakar-pakar patologi lain.

“Kita biarkan mahkamah untuk tentukan perkara ini, lagipun kita ada dua lagi pakar patologi iaitu Dr Pornthip Rojanasunand dan Prof Vanezis. Tuan Majistret telah meminta mereka untuk hadir, dan dengar penemuan mereka dahulu, sebelum kita panggil doktor-doktor dari bedah siasat pertama untuk menjelaskan kedudukan mereka,” tegas beliau.

http://www.selangorkini.com.my/my/berita/11157


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.