Ganyanglah!

Oleh Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh

"Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!" - Presiden Soekarno

Itu adalah petikan daripada ucapan Ganyang Malaysia, sebagai reaksi kepada demonstrasi anti-Indonesia di Kuala Lumpur yang berlangsung tanggal 17 September 1963 di mana lambang Garuda Pancasila dari kedutaan Indonesia diturunkan oleh Samy Vellu yang masih muda, dan oleh pemberita Berita Harian ketika itu Khalid Yunus.


Lambang itu telah diturunkan dari bangunan Kedutaan Indonesia di Jalan Ampang dan diheret dengan skuter dan motosikal ke kediaman Perdana Menteri ketika itu, di Jalan Dato Onn. Mereka telah memaksa Tunku yang enggan memijak lambang tersebut dengan mengusung Tunku dan diletakkan di atas lambang itu.

Zaman konfrontasi

Demonstrasi tersebut adalah berpunca daripada konfrontasi yang dilancarkan oleh Presiden Soekarno dan juga serangan militia Indonesia terhadap kita dengan menawan Balai Polis Tebedu pada 12 April 1963. Presiden Soekarno pada waktu itu berpendapat Malaysia hanya sebuah boneka Inggeris, dan pembentukan Persekutuan Malaysia hanya akan menguatkan pengaruh Inggeris di rantau Nusantara sekaligus mengancam kemerdekaan Indonesia.

Pemimpin Indonesia melihat pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai satu perlanggaran perjanjian Manila Accord, dan sebagai bukti kolonialisme dan imperialisme Inggeris. Pada 28 Mei 1966 di sebuah persidangan di Bangkok, Kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia telah mengumumkan bahawa konflik di antara kedua-dua pihak sudah selesai dan satu perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos. Namun demikian, semangat Ganyang Malaysia masih hidup dan membara di kalangan rakyat Indonesia. Malah Ganyang Malaysia mempunyai belasan ribu orang peminat dalam laman sosial Facebook, sehingga kini.

Semangat Ganyang Malaysia juga melahirkan satu lagi label baru untuk Malaysia, yang dikenali sebagai Malingsia. Ini berikutan dengan dakwaan yang Malaysia mencuri budaya Indonesia, dari wayang kulit hinggalah ke lagu Rasa Sayang. Selain daripada itu, kes Pulau Sipadan, Pulau Ligitan, Pulau Ambalat, kes keganasan PDRM terhadap juri Karate Indonesia ketika Kejohanan Karate Asia 2007, kes penderaan pembantu rumah Nirmala Bonat, kes keganasan rumah tangga Manohara Odelia Pinot (gambar atas), isu gaji minima pekerja Indonesia dan yang terbaru Polis Marin Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menjadi subjek kemarahan warga Indonesia.

Kemarahan Indonesia baru-baru ini

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia baru-baru ini, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing. Kedua-dua negara kemudian membebaskan tahanan-tahanan itu pada 17 Ogos lalu.

Barangkali peristiwa itu dijadikan suatu alasan untuk melahirkan kemarahan warga Indonesia yang telah disimpan sekian lama dalam hati mereka. Mereka melahirkan rasa tidak puas hati dengan melempar najis manusia ke dalam perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, selain memijak, membakar, menconteng dan menodai Jalur Gemilang dengan najis yang sama.

Mengapa kerajaan kita bertindak sebegini rupa sehingga maruah Negara diperjijikan oleh warga Indonesia? Mengapa kerajaan Malaysia membenarkan kapal Israel, Zim Genova berlabuh di Pelabuhan Klang pada 7 Jun yang lalu, tetapi bertindak keras terhadap jiran kita sendiri? Mengapa isu kecil ini diperbesarkan lebih daripada isu Zim Genova? Bagaimana pula dengan Kapal-kapal perang China yang mendarat di Kepulauan Spratley? Mengapa Kerajaan tidak bertindak ke atas mereka? Inikah yang dikatakan sebagai tidak berlembut dalam menangani isu yang dilihat mencemarkan kedaulatan Negara?

Kita terhutang budi kepada buruh Indonesia

Jika diperhatikan, ekonomi Negara banyak terhutang budi kepada buruh-buruh dan pekerja dari Indonesia. Sewajarnya kita memberi layanan dan kompromi yang lebih longgar kepada republik tersebut, berbanding mana-mana kuasa asing lain. Sememangnya kita tidak harus berlembut dalam isu kedaulatan Negara, tetapi itu tidak bermakna kita harus dangkal dan angkuh dalam mempertimbangkan baik buruk sesuatu tindakan itu. Tidak salah rasanya jika kerajaan memohon maaf untuk menjaga hati rakyat Indonesia, dan pada masa yang sama menjaga maruah Malaysia. Sebaliknya, Malaysia kini dilihat sebagai satu Negara menindas bukan sahaja rakyatnya sendiri tetapi juga rakyat Indonesia sehinggakan langsung tidak dihormati warga Indonesia.

Barangkali kita harus meninggalkan ego, dan keangkuhan untuk kebaikan bersama. Pada waktu ini, Kerajaan Barisan Nasional bukan sahaja berdepan dengan ketidakpuasan rakyat kita sendiri, tetapi kini berdepan dengan kemarahan rakyat Indonesia. Apa yang lebih menghairankan adalah reaksi rakyat Malaysia sendiri yang tidak terkata-kata dengan tindakan jijik warga Indonesia. Mungkinkah rakyat kita berpendapat bahawa tindakan itu memang wajar melihatkan kerenah Kerajaan Malaysia yang tidak menentu dan sukar difahami? Apa yang pasti, rakyat Malaysia tidak menyalahkan Indonesia dalam isu ini, sebaliknya memerhati kesalahan dan kesilapan kita sendiri.

Tidak lagi menjadi rahsia, bahawasanya rakyat Malaysia memandang rendah terhadap pekerja-pekerja asing dari negara-negara Asia, khususnya Asia Tenggara, dengan pengecualian bagi warga Singapura. Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Malaysia sememangnya terkenal dalam penciplakan. Lihat sahaja Jalur Gemilang, lagu Negaraku, Rukun Negara, 1Malaysia, kereta-kereta nasional, malah Putrajaya sendiri tidak lari daripada "pengaruh" luar. Kita bukan mengakui semua tuduhan dan dakwaan rakyat Indonesia, tetapi kita faham akan reaksi dan tindakan mereka, kerana kita sendiri sudah tidak mampu untuk mempertahankan tindakan-tindakan Kerajaan kita yang tidak masuk akal.

Akhir kata, kami berharap "salah faham" yang berlaku antara kedua-dua Negara ini tidak berterusan, jangan sehingga berlaku pertempuran bersenjata.

*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.

No comments

Powered by Blogger.