Graduan Ramadan

Oleh Maznah Daud

Beberapa hari saja lagi madrasah ramadan 1431 akan menutup pintunya buat selama-lamanya. Tidak ada seorang pun yang berpeluang memasukinya lagi. Jika bernasib baik mungkin ada peluang untuk memasuki madrasah seumpamanya pada tahun hadapan. Jika tidak, maka inilah peluang terakhir yang telah diberikan.

Kebiasaannya seseorang yang baru tamat dariapada mana-mana madrasah akan dinilai dan ditanya tahap pencapaiannya, lulus atau tidak, dan kalau lulus, mendapat gred berapa? Umum mengakui bahawa Ramadan adalah sebuah madrasah atau sekolah, sebuah bengkel atau pusat latihan untuk menjana individu yang bertakwa.

Kini, kita yang berpeluang memasuki madrasah Ramadan tahun ini sedang melalui ujian terakhir dan akan keluar beberapa hari, malah beberapa jam saja lagi.

Apakah pencapaian kita? Lulus atau sebaliknya? Bagaimana mahu mengukurnya?

Untuk mengukurnya, boleh diperhatikan pada perubahan sifat serta sikap sendiri selepas tamatnya ibadat puasa pada bulan Ramadan.

Pertama: Puasa bererti menahan diri. Menahan diri sama ertinya dengan sabar. Sabar mempunyai banyak kategori serta peringkatnya; sabar menanggung kesusahan, sabar dalam mengerjakan suruhan Allah azzawajalla, sabar dalam menjauhi larangan-Nya dan sabar ketika marah. Justeru orang yang telah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan sepatutnya mencapai gred cemerlang dalam subjek sabar.

Kedua: Ramadan adalah bulan al-Quran. Setiap muslim yang berpuasa berusaha sedaya upaya untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang bulan Ramadan. Membaca al-Quran boleh khatam dalam masa sebulan, bukan sekali, malah beberapa kali pun boleh. Tetapi memahami al-Quran, menghayati dan melaksanakan titah perintahnya tidak mungkin tercapai dalam masa sebulan. Maka mereka yang telah khatam baca al-Quran dalam bulan Ramadan mestilah mendampingi al-Quran secara berterusan sepanjang tahun selagi hayat dikandung badan. Hal ini kerana al-Quran merupakan hidayah, rahmah, mau’izhoh (nasihat), furqan (pembeza), nur dan syifa’ (penawar).

Ketiga: Qiam. Qiamullail atau bangun untuk solat pada waktu malam adalah antara ciri utama bulan Ramadan. Apakah pada bulan-bulan selain Ramadan ia tidak dituntut dan digalakkan? Sesungguhnya qiamullail adalah ciri yang ada pada orang yang bertakwa sebagaimana disebut dalam firman Allah yang bermaksud:

“...Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”

(Az-Zariat 51:17-18)

Keupayaan menunaikan solat malam (terawih) antara 8 hingga 20 rakaat atau lebih setiap malam sepanjang Ramadan sepatutnya menjadi pendorong bagi memotivasikan diri untuk terus mengekalkan tabiat solat malam sehingga menjadi satu budaya dalam kehidupan. Solat malam adalah solat sunat yang paling afdal selepas solat fardhu.

Keempat: Sedekah. Puasa mendidik Muslim agar bersyukur di atas segala nikmat terutamanya nikmat sihat serta dapat menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang lazat-lazat. Rasa syukur melahirkan perasaan insaf dan simpati terhadap golongan yang kurang berada. Kemudian, terbentuk sifat pemurah dan suka menderma. Sebagaimana murahnya Allah mencurah nikmat ke atas kita, begitulah pula murahnya kita membantu makhluk-makhluk-Nya.

Kelima: Jihad. Berjaya mengalahkan nafsu sepanjang Ramadan merupakan langkah permulaan ke medan jihad menentang musuh-musuh agama dan kemanusiaan. Orang yang tidak berjaya menewaskan nafsu yang berlegar dalam diri sendiri tidak akan mampu menewaskan musuh di luar dirinya.

Wahai graduan Ramadan! Medan jihad melambai-lambai memanggil namamu. Musuh agama, musuh-musuh kemanusiaan berkeliaran bermaharajalela di mana-mana. Bangkit dan hadapi mereka dengan semangat waja.

Keenam: Kebebasan. Puasa benar-benar mengajar erti kebebasan yang hakiki. Orang yang berpuasa tidak tunduk kepada tuntutan siapa saja, hatta nafsu sendiri. Dia hanya tunduk kepada Allah dan perintah-Nya sahaja. Tidak ada satu kuasa pun yang boleh menundukkannya hatta desakan nafsu sendiri.

Betapa hebat pengabdian orang yang berpuasa! Dia tidak makan walaupun perut terasa lapar, tidak minum walaupun tekak begitu haus tanpa mendapat keizinan daripada Allah azzawajalla! Orang tua-tua pernah bermadah, 'ikut hati mati, ikut nafsu lesu'. Orang yang berpuasa hanya ikut perintah Allah. Hatinya tidak akan mati dan jiwanya tidak akan lesu.

Di sinilah letaknya kemuliaan orang yang berpuasa. Dia telah membebaskan dirinya daripada segala belenggu, sama ada tuntutan nafsu, hasutan syaitan juga kehendak manusia. Dia hidup hanya untuk Allah dan beramal kerana Allah. MalaysiaHarmonis.com

No comments

Powered by Blogger.