Perpaduan: Apa sebenarnya terjadi?

Oleh - Ong Tee Keat

Negara kita telah bebas daripada penjajahan selama 53 tahun, namun rakyat kita masih belum lagi terlepas daripada cengkaman persepsi dan pemikiran lama.

Tahun ini, soal perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama sekali lagi dibangkitkan menjelang perayaan Hari Kebangsaan. Yang bezanya kali ini memperlihatkan mesej yang berupa teguran menyatakan wujudnya risiko kehancuran negara sekiranya negara terus terganggu-gugat oleh polemik perkauman dan agama yang membara.


Kenyataan demi kenyataan yang berbaur cabar-mencabar antara satu sama lain bukanlah sesuatu polemik yang baru, tetapi hanya sekadar ulangan kata-kata menyinggung perasaan yang lapuk.

Ejekan yang menyifatkan bukan Bumiputera sebagai kaum asing atau pendatang; serta secara lantang mencabar mereka balik ke negara asalnya semakin terserlah.

Ini satu petanda yang cukup buruk kerana ejekan sedemikian bukan saja di bibir mulut orang politik, malahan sekarang secara terbuka ia dilafaz oleh pendidik di depan khalayak ramai. Tidaklah mustahil kiranya gelagat yang berbaur perkauman ini menjadi ikutan anak murid nanti.

Nampaknya, sudah tiba masanya kita menerokai kemungkinan menggubal satu undang-undang yang boleh dikenali sebagai Akta Perhubungan Kaum. Ia berbeza daripada Akta Hasutan yang sedia ada kerana bukannya semua kata-kata atau gelagat yang diskriminatif adalah berunsurkan hasutan. Dalam erti kata lain, Akta Hasutan tidak semestinya memadai untuk menghukum mereka yang bergelagat sedemikian rupa.

Selagi Kerajaan tidak bertindak tegas terhadap kata-kata dan gelagat diskriminatif melalui perundangan, maka selama itulah kontroversi yang sama akan terus menghantui kita. Setiap kali kes sedemikian dibiarkan tanpa sebarang tindakan, apa yang kelihatan berikutnya mungkin sekadar keredaan pada zahirnya, namun tahap terjejasnya perpaduan antara kaum kita tidaklah terhitung buat jangka masa panjang.

Mungkin semua pihak yang terlibat dalam politik negara, baik orang parti mahupun NGO, perlu tepuk dada tanya selera: apa yang sebenarnya terjadi kepada perpaduan negara yang telah pun kita usahakan sekian lama?

Dari kes-kes ejekan yang berbaur perkauman baru-baru ini, cukup ternyata budaya toleransi yang kita tegakkan selama ini tidak meninggalkan kesan yang diharap-harapkan.

Lebih-lebih lagi takuk minda yang terserlah dalam kalangan masyarakat majmuk kita masih lagi dibelenggu dalam perspektif Zero Sum, yakni kepentingan sesuatu kaum hanya akan terbela dengan merugikan kepentingan kaum yang lain. Ini bertentangan sama sekali dengan kaedah “Menang-menang” (Win-win approach) yang mengutarakan pendekatan membawa berkat kepada semua pihak.

Sebagai seorang ahli politik, saya boleh faham kenapa ada orang politik yang sanggup mempertikaikan meritokrasi sehingga menyamakannya dengan amalan perkauman, walaupun saya tidak boleh menerima logiknya. Di belakang perhitungan politik peribadi atau perkauman sempit, apakah orang yang berhujah demikian tidak sedar bahawa terkikisnya amalan meritokrasi di bumi sendiri hanya akan melemahkan lagi daya saing masyarakat kita apabila berdepan dengan cabaran luar. Saya setuju kita perlu diberi peluang saksama untuk bersaing, baik di negara sendiri mahupun di persada antarabangsa; namun adalah mustahil kalau tahap pencapaiannya juga perlu diberi jaminan tertentu.

Saya agak terkilan mendapati soal ini masih lagi dikupas dari perspektif perkauman. Tidaklah wajar bahkan cukup menghinakan apabila meritokrasi dianggap monopoli satu-satu kaum yang tertentu sahaja, khasnya kaum bukan Bumiputera. Ini secara tidak langsung menidakkan kejayaan kaum Bumiputera dalam menegakkan keyakinan diri serta daya saingnya dalam beberapa dekad kebelakangan ini.



Datuk Seri Ong Tee Keat adalah bekas Menteri Pengangkutan. Beliau juga adalah Ahli Parlimen Pandan.

No comments

Powered by Blogger.