News Update :

Politik

Kenyataan

Agama

Dunia

Penjelasan Ke Atas Penarikan Balik Gelaran "Temenggong"

September 30, 2010

1. Laporan agensi berita Bernama bertajuk “Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik” bertarikh 30 September 2010 di bawah adalah dirujuk.

2. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, di antara perkara yang paling pahit untuk dilakukan di dalam dunia ini ialah untuk menegakkan kebenaran terhadap ayahanda bonda dan kaum kerabat kita sendiri.

3. Namun begitu, walau betapa pahit sekalipun ia, ia tetap juga perlu dilakukan sebagai mematuhi:

(i) Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Nisa’: Ayat 135)

(ii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya”.

(iii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: “Demi Allah! Jika anakku Fatimah sekalipun yang mencuri nescaya tetap akan aku potong tangannya”.

4. Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, tidak pernah terniat untuk memusuhi apalagi untuk mengaibkan adinda Baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra, sebaliknya, tindakan Baginda ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada perasaan kasih sayang yang teramat sangat Baginda terhadap adinda Baginda ini.

5. Tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada kesedaran Baginda untuk memenuhi tuntutan Allah yang menghendaki Baginda memastikan diri Baginda dan keluarga Baginda sentiasa dipelihara dari mendapat kemurkaan Allah dan seterusnya memastikan mereka sentiasa berada di dalam keredhaan Allah selaras dengan Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah al-Tahrim: Ayat 6)

6. Selain daripada selaras dengan kehendak agama, tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini juga adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) (versi bahasa Inggerisnya, Laws of the Constitution of Kelantan (Second Part)), iaitu:

(i)
43. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam Negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan, dan jika perkara mengadakan mana-mana Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan itu akan mengenai perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, maka mustahaklah mendapat kebenaran Dewan Negeri.

versi bahasa Inggerisnya:

XLIII. (1) His Royal Highness is the fountain of all honours and dignities within the State and He alone may confer titles and dignities and institute Orders and Badges of Honour and Dignity, and if the conferment of any title and dignity or the institution of any Order or Badge of Honour and Dignity will involve expenditure out of the Consolidated Fund, the approval of the Legislative Assembly shall be necessary.

(ii)

44. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai hak mengada, melantik dan menggelar daripada kerabatnya, sama ada yang jauh atau yang dekat, seorang lelaki menjadi Bendahara atau Temenggong atau Laksamana atau Panglima dan mengkurniakan kepada mana-mana orang lain, sama ada Kerabat D’Raja atau lainnya, akan mana-mana gelaran yang pada zaman dahulu telah ada atau telah biasa dipakai dalam Negeri Kelantan.

versi bahasa Inggerisnya:

XLIV. (1) His Royal Highness has the right to create, appoint and nominate from among His relatives, whether distant or near, a male person to be Bendahara or Temenggong or Laksamana or Panglima and to confer upon any other person, whether royal or otherwise, any title which in former times existed or commonly used in the State of Kelantan.

(iii)

45. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menurunkan pangkat mana-mana orang yang telah dikurniakan kepadanya mana-mana pangkat atau gelaran atau Pingat-Pingat Kehormatan mengikut syarat-syarat Perkara 43 atau 44 Bahagian ini, jika ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan yang mengharuskan diperbuat demikian itu.

versi bahasa Inggerisnya:

XLV. (1) His Royal Highness may degrade any person upon whom any rank or title or order or badge of Honour has been conferred by virtue of the provisions of Articles XLIII and XLIV of this Part, if sufficient fault or offence has been committed so as to make such degradation just and expedient.

7. Kami di The Kelantan Insider tidaklah berhasrat untuk mendedahkan “fault or offence” yang telah mewajarkan tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini kerana walau apa sekalipun Tengku Muhammad Fakhry Petra masih lagi merupakan adinda Baginda.

8. Pada masa yang sama, bagi mengelakkan Sultan Muhammad Ke-V dari menerima tohmahan berlaku tidak adil ke atas adinda Baginda ini, perlulah kami nyatakan di sini bahawa “fault or offence” ini adalah diperakui oleh Kerajaan Negeri Kelantan sendiri, termasuklah oleh Penasihat Undang-Undangnya.

9. Kepada mereka yang masih juga tidak berpuas hati dengan penjelasan kami ini, sila rujuk kembali kepada posting kami bertarikh 10 April 2010 bertajuk “POSTING 3: A DOCUMENT SPEAKS A THOUSAND WORDS” untuk mencari jawapannya.

10. Akhirnya, sukalah ditegaskan bahawa hubungan persaudaraan di antara Sultan Muhammad Ke-V dan adinda Baginda masih berkekalan sepertimana kata bidalan Melayu, “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”. Kita menunggu tiba saatnya tatkala Baginda dan adinda Baginda akan bertaut kembali sepertimana kisah Nabi Yusuf dan saudara-saudara Baginda yang berbunyi, mafhumnya: “Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: “Wahai ayahku! Inilah dia ta’bir mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar; dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku tatkala Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari desa sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendaki-Nya; sesungguhnya Dia-lah yang Amat Mengetahui, lagi Amat Bijaksana”. (Surah Yusuf: Ayat 100)

Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik

30 September 2010 15:01 PM

KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V menarik balik pelantikan dan penganugerahan gelaran "Temenggong" dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang ditauliahkan kepada adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias pada satu sidang akhbar di pejabatnya di sini setelah surat pemakluman itu diserahkan kepada kakitangan Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini, 10 pagi tadi.

Mohd Aiseri berkata Sultan Muhammad Ke-V turut menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) (Al-Muhammadi) yang dianugerahkan sebelum ini kepada Tengku Muhamad Fakhry.

"Penarikan telah dimaklumkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini melalui surat kepada beliau yang dialamatkan di Istana Mahkota, Kubang Kerian," katanya.

Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan anakanda ketiga kepada Sultan Ismail Petra manakala Sultan Muhammad Ke-V adalah yang sulung.

-- BERNAMA

[Sumber]

BN janka isu royalty minyak dibangkitkan di galas: Mukhriz

NILAI, 30 Sept – Umno dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk menjelaskan sebaik mungkin isu royalti minyak yang mungkin ditimbulkan oleh PAS dalam kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas nanti, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

“Kita yakin pada pilihan raya kecil Galas ini kita akan dapat terus menjelaskan sebaik mungkin apa keadaan sebenarnya kerana yang kita lihat kerajaan negeri PAS di Kelantan khususnya kerap kali memutarbelitkan fakta dan mengelirukan rakyat yang akhirnya ianya sebenarnya menjadi isu politik semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang Astra Manufacturing Sdn Bhd di Mantin dekat sini hari ini.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS kerana barah usus pada Ahad lepas.

Mengenai pelantikan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu, Mukhriz berkata pelantikan itu sangat tepat memandangkan kerusi Galas terletak di kawasan Parlimen yang diwakili Tengku Razaleigh.

“Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh yang besar di kawasan tersebut dan saya kira dengan pengaruh itu ianya akan dapat memberi kelebihan kepada kita,” katanya. – Bernama

Samy Vellu umum keputusan muktamad sara Januari 2011

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Datuk Seri S. Samy Vellu yang menerajui MIC sejak tiga dekad lalu akan melepaskan jawatan presiden parti itu Januari depan.

Samy Vellu mengumumkan keputusannya untuk bersara sembilan bulan lebih awal selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat di sini hari ini.

“Hari ini, saya dengan rasmi mengumumkan keputusan saya untuk meletakkan jawatan dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada timbalan (Datuk G. Palanivel) saya mulai Januari tahun depan,” kata beliau.

Keputusan itu dimaklumkan kepada anggota jawatankuasa itu hari ini.

Sebelum ini, kumpulan antikepimpinannya mengadakan Kempen Anti Samy Vellu (GAS) mendesak beliau berundur menjelang Disember ini selepas Mei lalu Samy Vellu mengumumkan akan bersara September 2011.

Pada 18 Mei lalu, Samy Vellu mengumumkan rancangannya untuk melepaskan jawatan beliau selewat-lewatnya lapan atau sembilan bulan sebelum tempoh perkhidmatan beliau berakhir.

Mandat semasa sebagai presiden akan berakhir pada 21 Mei 2012.

Samy Vellu menjadi Presiden MIC sejak 1979, selama 11 penggal berturut-turut.

Beliau juga merupakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang paling lama menjadi ahli Kabinet BN sehinggalah beliau tewas semasa pilihanraya umum 2008.

Bagaimanapun keputusan tempoh hari tidak memuaskan sesetengah pihak dalam MIC, sekali gus membawa kepada tentangan termasuk kempen GAS.

Tentangan itu membawa kepada pemecatan empat anggota pemimpin termasuk dua anggota jawatankuasa kerja pusat oleh Samy Vellu menggunakan kuasanya sebagai presiden.

Turut dipecat ialah timbalan ketua Pemuda MIC V. Mugilan.

Beberapa perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan MIC Julai lalu menggesa Samy Vellu meneruskan kepimpinannya sehingga Mei 2012.

Samy Vellu yang berusia 74 tahun, kelahiran Kluang, Johor, itu berkata timbalannya Senator Datuk G. Palanivel akan mengambil alih jawatan tersebut.

“Saya akan mengumumkan tarikh khusus kemudian,” katanya.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya itu, peletakan jawatan tersebut mungkin berlaku sebelum atau selepas beliau menghadiri perhimpunan kesembilan Pravasi Bharatiya Divas di New Dehli, India, Januari depan.

Palanivel iaitu Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, yang duduk di sebelah Samy Vellu pada sidang akhbar itu, enggan mengulas sambil berkata beliau akan memberi komen pada satu tarikh kemudian.

Kajian media: Komplot dalaman Umno kekal kuasa ancaman besar kestabilan negara

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Di sebalik pelbagai spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13, laporan terbaru The Economist Intelligence Unit mendakwa komplot dalaman Umno dan nekad parti pemerintah untuk kekal berkuasa dengan menggunakan apa jua cara merupakan ancaman besar kepada kestabilan politik di Malaysia.

Laporan itu mengenai Malaysia juga mengesyorkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memperlihatkan peningkatan kerusi dalam pilihan raya umum ke-13, tetapi tidak mungkin akan memperolehi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Kestabilan Malaysia sepanjang lima dekad lalu bergantung pada tiga faktor utama iaitu penguasaan mantap Barisan Nasional (BN), kawalan ketat Umno ke atas perikatan ini dan sokongan majoriti Melayu terhadap parti dominasi BN itu, kata laporan edisi keluaran Oktober itu.

Bagaimanapun menurut laporan itu, faktor-faktor itu bukan sesuatu yang kekal berterusan, lebih-lebih lagi selepas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008 dan kejayaan bersejarah PR dalam menguasai lima negeri dan 82 kerusi Parlimen.

“Pilihan raya umum 2008 menunjukkan ketiga-tiga faktor itu menjadi lemah.

“Ekorannya, kuasa-kuasa ini kemungkinan tidak membolehkan rangka kerja politik negara kekal seperti biasa sepanjang 2010-2-14,” kata laporan itu lagi.

Mandat semasa kerajaan hanya akan berakhir Mei 2013, tetapi ramai menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan awal tahun depan.

Oleh itu jelas laporan itu, komplot politik dalam Umno sendiri dan ditambah dengan kesungguhan untuk kekal dalam kuasa menerusi apa jua cara akan menjadi ancaman kepada kestabilan politik negara ini.

BN mahu memperoleh kembali kerusi majoriti di Parlimen dan menawan negeri-negeri yang jatuh khususnya Selangor.

Puak-puak dalam Umno mula kelihatan muncul dalam usaha menentukan hala tuju parti itu sejak kebelakangan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno melahirkan tekad untuk memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan mesra pasaran.

Bagaimanapun Najib berhadapan dengan tekanan dan bantahan daripada elemen-elemen konservatif dari dalam Umno dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Malah Najib yang juga Pengerusi BN berhadapan dengan bantahan dalam usahanya memperkenalkan Model Baru Ekonomi, khususnya daripada Perkasa yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali.

Najib dijadual memperkenalkan laporan kedua model itu bulan depan bersama Bajet 2011.

Selain itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan pendirian-pendirian yang dilihat boleh menjejaskan usaha Najib memperkenalkan pembaharuan dasar.

The Economist Intelligent Unit juga menekankan bahawa BN akan kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang memandangkan Umno tidak boleh lagi mengharapkan sokongan orang Melayu daripada golongan “berpendidikan tinggi, liberal dan kelas pertengahan” yang memihak sokongan kepada pembangkang.

Malah menurut laporan itu, kemungkinan keputusan pilihan raya akan memperlihatkan lebih banyak kehilangan kerusi di pihak BN, memandangkan pengundi Melayu berpendirian sederhana yang kecewa dengan siri skandal politik selain tindakan Umno begitu agresif memperkenalkan nilai-nilai Islam, tidak akan memberikan sokongan mereka.

Katanya, pengundi-pengundi Cina dan India kekal enggan kembali ke pangkuan BN. — Bernama

DUN Galas: Tarikh pilihan raya kecil diumum 6 Okt

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong sejak Isnin lalu pada 6 Oktober ini.

“SPR sudah putuskan, kami akan adakan mesyuarat khas pada 6 Oktober, Rabu depan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

“Pegawai pengurus pilihan raya yang dilantik juga akan diperkenalkan pada hari tersebut, dan juga makluman mengenai writ pilihan raya, saya akan umumkan selepas mesyuarat khas pukul 11 pagi (Rabu depan),” kata beliau lagi.

SPR dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN Galas, Kelantan kelmarin.

Suruhanjaya itu ada masa sehingga 7 Oktober untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi itu yang kosong ekoran kematian penyandang Che Hashim Sulaima Isnin lalu.

Semalam beliau berkata bahawa penetapan tarikh pilihan raya kecil ini, yang kali ke-12 akan mengambil kira semua aktiviti parti termasuk Perhimpunan Agung Tahunan Umno bulan depan.

Selain itu kata beliau, SPR juga akan mengambil kira hari-hari kebesaran seperti sambutan Deepavali dan Aidiladha, jatuh sebelum pertengahan November, dalam menentukan tarikh pilihan raya.

Kerusi itu dimenangi Che Hashim pada pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon Umno, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Exco Pulau Pinang dakwa ada pihak desak warga emas pulang wang ihsan

GEORGE TOWN, 30 Sept — Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim (gambar).

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

“Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka,” katanya kepada pemberita bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.

Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Dipetik Bernama, Abdul Malik sekali lagi mengulangi bahawa wang itu bukan daripada hasil judi, sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Kumpulan itu menyerahkan wang berkenaan kepada Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, semalam.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga berkata, pihaknya menganjurkan majlis tersebut selepas diminta oleh warga emas sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas yang mahu memulangkan wang ihsan berkenaan.

“Bukan Umno yang suruh mereka (warga emas) bagi balik duit berkenaan, sebaliknya mereka yang hubungi saya untuk minta pulangkan wang itu kerana tidak sanggup guna wang dari sumber haram,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang.

Azhar juga berkata lebih ramai warga emas akan berbuat demikian dalam masa terdekat dan pihaknya akan mengumpulkan semua wang tersebut sebelum menyerahkan kepada Pemuda Umno Pulau Pinang untuk dikembalikan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pemuda Umno negeri mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ihsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.

Dalam kenyataannya selepas itu, Lim yang mengakui menerima sumbangan tersebut berkata ia digunakan bagi program membasmi kemiskinan tegar dengan menerimanya adalah bukan Islam, bukan untuk penghargaan warga emas.

Sebelum ini, Abdul Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pemuda Umno bahawa kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat awal bulan ini adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.

“Daripada peruntukkan yang diberikan kita telah membelanjakan sebanyak RM10.7 juta dan masih mempunyai lebihan RM9.3 juta untuk meneruskan program penghargaan warga emas.

“Suka ditegaskan di sini bahawa wang ihsan tersebut bukan hasil dari sumber judi. Ia adalah hasil dari pungutan cukai tanah serta sumber selain dari judi.

“Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan lesen judi sedangkan kerajaan pusat sahaja yang mempunyai kuasa untuk meluluskan semua lesen judi yang ada dalam negara kini,” katanya beliau kepada The Malaysian Insider.

Dr Khir mahu saman ekor dikaji semula

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berharap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein melihat semula isu saman ekor ini.

Katanya, saman ekor hanya bertujuan menguatkuasa peraturan had laju seolah-olah kelajuan punca utama kemalangan jalan raya.

"Sedangkan sebahagian besar kemalangan berpunca daripada kecuaian, memandu secara semberono dan keletihan, bukannya melanggar had laju semata-mata," katanya dalam blognya.

Kempen anti saman ekor ini dilancarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar beberapa bulan lalu kerana berpendapat ia tidak adil kepada pemandu kenderaan.

Dr Khir berkata usaha menyenaraihitamkan mereka yang mempunyai saman ekor tertunggak ditangguhkan sehingga awal tahun depan mengurangkan rungutan dan kemarahan orang ramai tetapi tidak menyelesaikan masalah.

Tahun depan, katanya masalah ini akan disebut lagi dan kesan-kesan yang sama akan berulang lagi.

"Apakah hubungan rakyat dan kerajaan hari ini menjadi seperti penukul dan pahat, Sekali rakyat merungut, sekali kerajaan bergerak?" katanya.

Dr Mohd Khir berkata, saman ekor merupakan satu pilihan kepada pihak berkuasa dalam menguatkuasa peraturan had laju kerana ia lebih cekap dari segi penggunaan tenaga penguatkuasa dan juga mengelakkan kesesakan jalan raya.

Satu lagi kaedah ialah mengadakan perangkap had laju dan menahan pemandu beberapa kilometer kemudian.

"Saya percaya saman ekor diperkenalkan dengan tujuan baik iaitu untuk mendisiplinkan pemandu dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Namun kaedah pelaksanaannya sangat meragukan dan menimbulkan kemarahan rakyat.

"Berbanding saman secara bersemuka yang menyaman pemandu atau lebih tepat mereka yang melakukan kesalahan, saman ekor lebih banyak menganiaya orang ramai.

"Banyak kes mereka yang tidak bersalah mendapati telah disaman memandu melebihi had laju. Antara isu utama ialah orang lain memandu kereta dan pemalsuan plat kenderaan. Ini menyebabkan banyak tuan punya kereta yang tidak bersalah terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya," katanya.

Dr Mohd Khir menambah. masalah bertambah serius apabila mereka yang disaman tidak mengetahui saman tersebut sehingga beberapa bulan dan ada juga yang memakan masa beberapa tahun.

Ini bukan sahaja menyebabkan ia tertunggak malah menafikan peluang pembelaan. Jika kesalahan enam bulan lalu, baru diketahui hari ini, bagaimanakah mereka yang disaman mahu mempertahankan diri?

Katanya, ada juga yang hanya mengetahui mempunyai saman ekor yang dilakukan pada tahun lalu atau beberapa tahun lalu.

"Terdapat juga individu yang menemui saya menunjukkan saman ekor yang beliau dapat di sebatang jalan di Sarawak sedangkan kereta beliau berdaftar di Kuala Lumpur dan masih berada di Kuala Lumpur sehingga hari ini. Jangankan kereta, tuan punya kereta pun belum pernah sampai ke negeri bumi kenyalang tersebut.

"Maka untuk mempertahankan diri tuan empunya kereta ini terpaksa menulis surat dan mengemukakan bukti. Jika mahu gambar kena pula membuat permohonan kepada polis dan membayar jumlah tertentu. Nampaknya penguatkuasa kerja senang, rakyat pula yang terpaksa bersusah payah mempertahankan diri akibat kelemahan dan kecuaian penguatkuasaan undang-undang.

"Oleh kerana terdapat banyak kecuaian dan kelemahan penguatkuasaan dalam kes saman ekor ini saya ingin mendesak agar kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang tertunggak," katanya.

Sehubungan itu, bekas menteri besar Selangor itu menyarankan saman ekor yang dikeluarkan hendaklah sampai kepada mereka yang didakwa melakukan kesalahan tidak lebih daripada 14 hari dari tarikh kesalahan tersebut.

Saman hendaklah disampaikan mengikut kaedah dan peraturan penyampaian sapina atau saman mahkamah.

Beliau berkata, saman ekor yang dikeluarkan hendaklah disertakan bukti bergambar secara otomatik tanpa sebarang bayaran.

Kaedah sekarang yang memerlukan mereka yang kena saman membuat permohonan dan dikenakan bayaran harus dihapuskan.

Adalah menjadi tanggungjawab penguatkuasa membuktikan bahawa mereka yang disaman telah melakukan kesalahan bukan sebaliknya. Konsep seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dipraktikkan.

"Jumlah kompaun hendaklah mengikut lebihan KM berbanding had laju bukannya pukul rata sehingga tiada beza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam.

"Ini wajar kerana dari segi risiko kemalangan juga berbeza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam biarpun kedua-duanya melanggar had laju yang ditetapkan," katanya.

Kenyataan Media

KENYATAAN BRANSON MENJADI TANDA JELAS BUAT UMNO-BN UNTUK LAKSANAKAN REFORMASI SISTEM

Saya merakamkan penghargaan di atas kenyataan yang dibuat oleh Richard Branson,usahawan terkemuka Britain yang menyatakan pandangan ikhlas beliau mengenai konspirasi dan fitnah ke atas Anwar Ibrahim.

Kenyataan Branson, dalam majlis khas di Kuala Lumpur semalam, tuntasnya senada dengan kenyataan-kenyataan tokoh-tokoh besar dunia seperti Sheikh Yusuf Al-Qardhawi, Sheikh Taha Jabir Al-alwani, Maulana Ihsan Hendriks dan lain-lain tokoh yang mengecam perbicaraan berat sebelah kes konspirasi kedua ke atas Anwar. Penekanan beliau mengenai keperluan Malaysia menjadi lebih terbuka wajar dipandang serius oleh pemerintah.

Tatkala imej negara sekian lama dicemar dengan ketidakadilan, senario ini,j ika dibiar berterusan, pastinya mengesani persepsi masyarakat dunia ke atas imej Malaysia. Justeru KEADILAN mengalu-alukan kenyataan Branson itu dan diharap menjadi indikator jelas buat Umno-BN untuk melaksanakan reformasi sistem.

KEADILAN konsisten mempertahan prinsip kedaulatan undang-undang melalui sistem kehakiman yang telus dan saksama. Yang kekal dikecam ialah penyalahgunaan proses mahkamah dan memperalatkan jentera dan instrumen kerajaan untuk memfitnah sewenangnya.

DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Isu PTPTN UMNO Mungkin Kecundang PRU-13

Sekiranya UMNO/BN tidak segera menyelesaikan masalah yang sedang membelengu para peminjam PTPTN, saya fikir undi orang muda mungkin tidak mampu untuk membantu kemenangan BN/UMNO dalam PRU-13 yang akan datang. Isu pinjaman PTPTN yang membebankan pelajar, bakal dimanipulasi oleh Pakatang Pembangkang bagi memancing undi generasi muda untuk memilih Pakatan Rakyat berbanding BN/UMNO. Pada hemat saya, sudah tiba masanya kerajaan, menghapuskan terus pinjaman PTPTN dan menjadikankan sebagai biasiswa. PTPTN sememangnya membebankan - bukan semata-mata kerana "faedah" yang dikenakan, malah ia tanpa sedar telah mewujudkan generasi muda yang berhutang keliling pinggang. Baca tulisan Mohd Aizat Mohd Salleh di bawah :

1. Ketika bergelar mahasiswa dahulu, saya berkesempatan bertemu pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Antara mereka Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan timbalan menteri pelajaran, Datuk Puad Zakarshi.

2. Mereka ini adalah pemimpin yang kerap menyebut perihal mahasiswa dan anak muda sama ada di dalam parlimen, mahupun di pentas politik. Selain berbincang mengenai isu dan agenda mahasiswa serta anak muda, saya akan menanyakan soalan perihal Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Soalan saya, “Kenapa anda tidak memperjuangkan untuk menghapuskan bayaran balik PTPTN apabila memerintah?”

3. Itu soalan cepu emas. Jika menyebut perihal pinjaman ini, sebut sahaja mahasiswa mana, pastinya akan tertekan dengan perkara yang 'mengikat' mereka. Bayaran balik, kadar faedah yang tidak jelas, serta isu riba yang diharamkan Islam.

Undi Pakatan

4. Saya terfikir, seandainya Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang ini, meletakkan antara salah satu daripada manifestonya kepada mahasiswa atau anak muda ialah, menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN, saya kira paling kurang 90 peratus mahasiswa mengundi Pakatan. Mungkin idea itu terlalu tinggi untuk dicapai. Memandangkan negara mengalami kemerosotan ekonomi dan beban hutang, mana mungkin untuk membayar semula pinjaman ini.

5. Apabila saya meneliti, PTPTN memerlukan hampir 13 bilion untuk menampung satu-satu sesi kemasukan pelajar ke IPTA mahupun IPTS. Sekurang-kurangnya, menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hampir 40 ribu mahasiswa berdaftar untuk kemasukan ijazah pertama setiap tahun di seluruh negara.

6. Realitinya, dengan pertumbuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bagaikan cendawan selepas hujan, yang kebanyakannya berorientasikan perniagaan, PTPTN mendapati peluang ini adalah paling besar untuk melabur. Dan hakikatnya, pinjaman PTPTN boleh membenarkan sesiapa sahaja pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi, dengan pendapatan keluarga minimum 4 ribu ke bawah. Pendidikan percuma

7. Seingat saya, gagasan pendidikan percuma mula diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat tatkala berkempen dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan keberjayaan mereka menguasai lima buah negeri. Ini bermakna, slogan pendidikan percuma sangat relevan kepada rakyat. Soalnya, bagaimana praktikalnya agenda ini? Jika ia dapat direalisasikan, maka idea memansuhkan bayaran semula PTPTN adalah turut termasuk dalam perjuangan ini.

8. Bermula hari ini, Pakatan Rakyat perlu memikirkan bagaimana mekanisme untuk memperjuangkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi. Cuba bayangkan hampir 80 peratus anak muda di IPT kesemuanya berumur 21 tahun dan keatas dan layak mengundi.

9. Ini bermakna, sesiapa sahaja, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, seandainya memperjuangkannya, maka undi anak muda atau mahasiswa sudah berada di dalam genggaman. Soalnya, Pakatan Rakyat haruslah mendahului dan segera bertindak berbincang bersama anak muda dan mahasiswa dan segera mencari jalan keluar dan penyelesaian.

Penulis adalah setiausaha agung, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan boleh dihubungi di aisal_daruliman@yahoo.com

Transformasi ekonomi akan gagal di bawah Umno BN

Thursday, 21 Syawal 1431

Intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Hubungan Luar (CFR) yang berlangsung di New York, semalam (29 Oktober) mengenai Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Malaysia adalah merupakan satu lagi ucapan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam negara kita.

Perdana Menteri bersyarah mengenai satu paradigma baru yang perlu dilakukan oleh Malaysia sebagai keperluan untuk menyesuaikan Malaysia dengan persekitaran global untuk bersaing dengan pasaran China, India dan Vietnam.

Parti Islam Islam Se-Malaysia (PAS) melihat bahawa hasrat untuk membawa pasaran ekonomi negara ke persada dunia adalah suatu cita-cita yang murni, tetapi keadaan semasa urustadbir dan ketelusan pihak Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) di ketika ini sebenarnya adalah merupakan satu halangan besar terhadap impian membawa negara ke ekonomi yang lebih kompetetif dan berdaya saing.

Ini adalah kerana persekitaran kerakusan rasuah dan ketirisan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi masih berleluasa serta ketelusan urus tadbir kerajaan yang masih berada di takuk lama malah semakin buruk adalah merupakan halangan terbesar yang gagal dihadapi oleh kerajaan pimpinan Umno BN sejak puluhan tahun di negara kita ini.

Oleh yang demikian, PAS tidak terperanjat dengan pengumuman terbaru Laporan Daya Saing Dunia tahun 2010/2011, Forum Ekonomi Dunia yang mana Malaysia terus jatuh ke tempat 26 daripada 139 buah negara. Untuk rekod dalam laporan sama 2009/2010 Malaysia di tempat 24 dari 133 negara dan dalam tahun 2008/2009 Malaysia di tempat 21 dari 134 negara.

Keputusan ini juga sudah dijangka oleh PAS, malah oleh para penganalisa pasaran berdasarkan rekod buruk Malaysia dari segi ketelusan dan urus tadbir korporat.

Malah campur tangan kuasa politik dalam urus tadbir yang menyebabkan rekod ketelusan dalam urus tadbir semakin teruk dan menyebabkan pelabur semakin tidak yakin dengan daya saing Malaysia. PAS juga memandang serius mendedahan terbaru yang telah dibuat oleh salah seorang tokoh korporat yang hampir dengan pimpinan Umno bahawa terdapat orang-orang peringkat tinggi kerajaan yang telah merancang dan memaksa beliau keluar dan menjual semua pegangan dalam sebuah syarikat korporat secara paksa. Selain dari itu, beliau juga menegaskan bahawa sejumlah saham syarikat berkenaan adalah bukan milik beliau atau pihak yang berkaitan dengan beliau.

Ini merupakan pendedahan terbaru yang membuktikan betapa tidak telusnya pasaran dan pengurusan pasaran Malaysia disebabkan oleh campur tangan politik dan kerajaan.

Justeru PAS mendesak kerajaan dengan segera membuat pengakuan dan pendedahan terbuka terhadap apa yang telah didedahkan oleh Tan Sri Halim Saad tersebut kerana hanya itu yang boleh memperbaiki keyakinan pelabur dan memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.

Jika gagal, PAS amat yakin daya saing Malaysia akan semakin teruk dan seterusnya akan memburukkan lagi pasaran dan ekonomi negara.

PRK DUN Galas - bukan pertandingan diantara BN dan PR.

PRK Galas akan diadakan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak lama lagi berikutan kematian ADUN kawasan tersebut dari PAS, Chek Hashim Sulaiman 46 tahun akibat kansur usus. Pilihanraya ini merupakan pilihanraya yang tidak seperti PRK yang terdahulu, kerana J/K Pengurusan UMNO telah melantik Tengku Razaleigh Hamzah (TR) menjadi Pengarah Pilihanraya kecil tersebut.

TS Muhyiddin yang sepatut dan lazimnya menjadi pengarah PRK-PRK, mengumumkannya sendiri perlantikkan TR sebagai Pengarah Pilihanraya tersebut dan Mustapha Muhammad, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan menjadi Timbalan Pengarahnya.

Kepada banyak pihak perlantikanya (TR) sebagai pengarah dan Pengerusi Perhubungan sebagai Timbalan Pengarah menimbulkan seribu satu persoalan tetapi tidak payahlah kita kaji perkara ini sampai terperinci.

Kita hanya perlu mengetahui yang PRK kali ini merupakan PRK yang sangat penting kepada kedua-dua belah pihak, PAS dan UMNO. Bagi saya ini bukan pertandingan diantara PR dengan BN tetapi pemilihan diantara sesama kita orang Melayu seAgama dan sebangsa. Disinilah ‘acid test’ samada apa yang dilangkan oleh ramai pemimpin yang beretorik tentang perpaduan dan perjuangan orang Melayu mampu diikuti dengan praktikalnya.

Kita mahu lihat bagaimana pemimpin kita yang melaungkan perpaduan bangsa dan sebagainya bertindak dalam pilihanraya kecil ini. Bagi siapa yang memahami keadaan setempat akan mengambil perhatian yang teliti dan sempurna jika kita inginkan UMNO mengambil kembali kawasan DUN ini dengan cara yang 'civil'.

Elok pemimpin-pemimpin pusat tidak membuat-kenyataan-kenyataan yang semborono sahaja untuk mendapat pubisiti murahan. Kali ini biarkan orang Gua Musang sahaja yang sibuk kerana ditakuti kedatangan orang dan pemerhati-pemerhati dan penyibuk-penyibuk dari luar yang keterlaluan mungkin akan menjejaskan kelancaran PRK itu.

Biarlah pemimpin-pemimpi tertentu sahaja yang datang memberikan sokongan yang diperlukan dan tidak payahlah pihak-pihak yang tidak diperlukan menyibukkan keadaan disana. Tak perlulah Puteri UMNO datang dengan baju dan delang emas yang sampai kesiku dengan wangian yang semerbak untuk berkempen. Pergi kesana mesti membantu menambah undi, bukannya untuk mengurangkan undi.

Ramai berpendapat, biarlah TR sahaja yang berunding diantara sesama mereka disana dan saya mempunyai keyakinan besar kejayaan akan memihak kepada UMNO.Kalau pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO memahami keadaan ini maka bergembiralah kita dalam UMNO selepas pilihanraya itu.

Elakkanlah dari pergi keGua Musang untuk menunjuk-nunjukkan kereta-kereta mewah dengan ceru-cerut besar dan panjang dan menayangkan harta kekayaan disana. Lakukanlah kerja-kerja itu ditempat lain, jangan diGua Musang.

Semua pihak mesti mengambil berat segala adat dan adab supaya proses mengambil kembali kerusi Galas boleh dilakukan dengan baik. Hormati jugalah pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli parti lawan. Kita bukan hendak bergaduh; kita hanya hendak melalui proses demokrasi dengan elok dan tidak memecah belahkan rakyat disana.

Bagi diri saya, sikit-sikit tu fahamlah sentimen masyarakat disana. Janganlah pergi keDua Musang kali ini untuk berpesta dan bersukaria. Kalau hendak menghisap cerut yang besar-besar hisaplah ditempat penginapan masing-masing. Kita inginkan rakyat Galas memilih kita; itu yang penting.

Bak kata orang tuo-tuo dikampong saya, jangan ‘togah dek lonjak posuk ketayap kek kopalo’.

[Sumber]

Galas: Calon PAS pilihan rakyat

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 30 Sept: Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun, berkata PAS hanya akan memilih calon yang menjadi pilihan rakyat dan bukannya lain-lain pihak.

Menurutnya, ini kerana rakyat yang ingin memilih wakil rakyatnya, maka calon yang bakal dipilih untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas nanti akan diambil kira dari pandangan mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi Sidang Dun Khas Kelantan berakhir pagi tadi ketika diminta mengulas berhubung bakal calon yang akan dipilih.

Menurutnya lagi, PAS tidak ketandusan dalam mencari calon memandangkan ramai calon tempatan yang lebih berwibawa.

“Calon kita ramai ada di kalangan profesional, akademik, ulamak dan lain-lain lagi, tetapi kita ingin meminta pandangan rakyat sendiri berhubung pemilihan calon,” ujarnya yang juga Adun Bukit Tuku.

Bagaimanapun, menurutnya setakat ini PAS belum lagi memutuskan bakal calon, memandangkan ianya masih terlalu awal.

Beliau tidak menolak PAS menghadapi sedikit masalah dengan perlantikan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya kecil Dun Galas.

Menurutnya, Ku Li telah memperlihatkan kewibawaannya sebagai pucuk pimpinan apabila berjaya mengalahkan Kelantan pada tahun 1978 sewaktu menjawat jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

“Bagaimanapun kita akan sentiasa berhati dan terus berhati-hati memandangkan sikap PAS sendiri yang sedemikian dalam setiap pilihan raya,” ujarnya.

Keputusan Mahkamah Sanggah Dakwaan PR Hasut Peneroka

SHAH ALAM 30 Sept - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) supaya membuat pembayaran tanam semula kepada 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 membuktikan bahawa dakwaan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menuduh pemimpin Pakatan Rakyat menghasut peneroka adalah tidak benar.

Sebelum itu, Hakim Datuk Mariana Yahya semalam membuat keputusan mengarahkan Felda membuat pembayaran sebanyak RM1,700 seekar bagi pembayaran tanam semula walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Mengulas kemenangan tersebut, Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Seluruh Malaysia (Anak) Mazlan Aliman, berkata ini membukti perjuangan para peneroka yang tertindas dalam isu Kadar Perahan Gred (KPG) dan bayaran tanam semula akhirnya membuahkan kejayaan.

"Saya bersyukur kerana perjuangan mereka dalam menuntut hak akhirnya berjaya. Ini membuktikan perjuangan Anak adalah benardan bukan seperti dituduh pemimpin Umno.

"Kemenangan menyangkal dakwaan Ahmad yang menuduh Pakatan Rakyat yang menjadi dalang menghasut peneroka supaya membuat tuntutan khususnya berhubung isu KPG dan bayaran tanam semula.

"Ini memberikan isyarat kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional supaya merendahkan sedikit ego dan tahap kesombongan dan mendengar rintihan penoka yang selama ini tertindas. Tuduhan yang mengatakan peneroka tidak tahu apa-apa dan dihasut oleh Pakatan Rakyat adalah tidak betul," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Ketika ditanya berhubung rancangan Anak selepas ini, Mazlan berkata beliau akan meneruskan lagi perjuangan bagi menuntut hak peneroka dalam isu tersebut.

"10 Oktober depan, kita akan melancarkan Anak khususnya bagi Lembah Klang dan kita mengharapkan agar anak-anak peneroka yang berjumlah hampir 800,000 orang akan turut bersama untuk membantu kita.

"Daripada jumlah itu, terdapat 10,000 orang anak peneroka ini terdiri daripada golongan profesional dan kebanyakkan daripada mereka telah menghubungi saya untuk turut sama membantu," tambah beliau.

Sehubungan itu juga, pada hari yang sama, beliau akan turut melancarkan penubuhan alumni bekas pekerja Felda di bangunan Ibupejabat PAS Kuala Lumpur bagi bersama-sama memberikan penerangan kepada masyarakat berhubung masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda di seluruh negara.

Isu BTN: 1 Malaysia lalui tugas berat, Najib perlu sokongan awam

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Kenyataan menyentuh sensitiviti kaum yang terbaru melibatkan parti politik dan Biro Tata Negara (BTN), menurut penganalisis politik, menunjukkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak berhadapan dengan tugas berat dalam menjayakan konsep 1 Malaysia.

Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin berkata kenyataan yang dikeluarkan pegawai kanan BTN pada majlis anjuran Puteri Umno memperlihatkan ia bertentangan dengan konsep 1 Malaysia yang dibentuk Perdana Menteri.

“Ketika rakyat di negara ini cuba untuk mengelak daripada perkara seperti ini berlaku masih ada individu yang cuba untuk menjejaskan perpaduan yang ada sekarang.

“Malah ia telah merosakkan dan menjejaskan konsep 1 Malaysia yang dilaung-laungkan selama ini,” katanya.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin yang berkhidmat di bawah agensi kerajaan sepatutnya lebih peka akan sensitiviti kaum di negara ini.

“Beliau (Hamim) sepatutnya mendokong konsep 1 Malaysia dan mengamalkan perpaduan. Jangan sesekali keluarkan kenyataan yang berbaur perkauman.

“Jika perkara ini berterusan makan konsep 1 Malaysia ini hanya akan menjadi retorik sahaja,” katanya.

Nidzamuddin berkata Perdana Menteri harus peka dan memastikan kesemua agensi terutamanya pegawai-pegawai kanan memahami konsep 1 Malaysia agar ia selari dengan agenda kerajaan.

“Ini penting agar pemimpin dalam agensi-agensi ini tidak mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan matlamat negara.

“Saya yakin jika tidak ditangani pihak tertentu akan cuba mengambil kesempatan dalam isu ini,” katanya.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian pula berkata dalam isu kenyataan pegawai kanan berkenaan menunjukkan pihak berwajib harus mengambil tindakan segera bagi mengatasi perkara tersebut.

“Sebagai seorang pegawai kanan BTN, beliau sepatutnya harus memastikan kepimpinan melalui teladan harus diterapkan agar perpaduan yang selama ini kita sebut dalam konsep 1 Malaysia dapat dicapai.

“Isu perkauman ini adalah tanggungjawab bersama, bukan tanggungjawab seoarang individu sahaja,” katanya.

Beliau berkata proses pemantauan terhadap agensi kerajaan termasuk BTN perlu dijalankan bagi memastikan tiada individu yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.

“Berdasarkan konsep 1 Malaysia semua kaum perlu mengamalkan prinsip menerima, menghormati dan memahami antara satu sama lain atas dasar kejujuran.

“Bila semua rakyat negara ini mengamalkannya baru hasrat untuk memupuk perpaduan akan tercapai,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri juga harus memastikan semua agensi memainkan peranan penting dalam isu ini agar tidak lagi terjadi perkara sedemikian.

“Perdana Menteri perlu mengambil tindakan segera agar kesemua agensi terbabit akan lebih prihatin dan tiada lagi pemimpin dalam agensi tersebut mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.

“Ini kerana sebagai pemimpin mereka harus menjadi teladan dan setiap kenyataan yang dikeluarkan harus berhati-hati agar tidak disalah tafsir,” katanya.

Kedua-dua penganalisis ini mengulas perkembangan terbabit kenyataan Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutuan Hamim Hussain dalam memberikan pandangan bahawa hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan boleh bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang didakwa menggunakan kata-kata yang dilihat menguris masyarakat Cina dan India.

Hamim juga mengakui orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasama dengan -masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.

“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.

“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.

“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.

“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.

Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin masyarakat Cina dan India.

Semalan Kabinet mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat berhubung isu terbaru ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata jemaah menteri melahirkan rasa kecewa berhubung kenyataan itu.

Selain itu satu Jawatankuasa Siasatan telah ditubuhkan oleh BTN untuk menyiasat insiden terbabru ini.

Ketua Pengarah BTN Datuk Shagul Hamid Abdullah meminta orang ramai memberi ruang dan masa kepada jawatankuasa untuk menjalankan siasatan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh yang akan diambil oleh jawatankuasa itu untuk menyelesaikan siasatannya.

1,000 Peneroka Bakal Saman Felda Lagi Isu KPG

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 30 Sept - Seramai 1,000 peneroka Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh daerah Jengka, Pahang dijangka akan memfailkan saman berhubung harga Kadar Perahan Gred (KPG) yang didakwa rendah daripada harga pasaran sebenar.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal KEADILAN Suhaimi Said ketika dihubungi Suara Keadilan berkata satu perjumpaan akan diadakan pada 3 Oktober depan bagi memberikan penerangan kepada peneroka seterusnya memfailkan saman terhadap agensi tersebut.

"Kita akan memfailkan saman bagi pihak peneroka, kerana mereka ini telah dianiaya dan ditipu apabila hanya diberikan antara 18 hingga 20 peratus KPG sedangkan ikut pasaran adalah 26 peratus.

"Memandangkan di kawasan Jengka ini mempunyai banyak kilang dan kadar perahannya pula berbeza antara satu sama yang lain, jadi kita akan kumpulkan peneroka mengikut kilang yang ada di sini," kata beliau.

Menurut Suhaimi lagi, kadar 1 peratus KPG dianggarkan sekitar RM40 yang bermakna setiap kali hasil sawit peneroka dipetik, mereka kerugian antara RM200 hingga RM300.

Tambah beliau, tindakan itu bukannya dilakukan sekadar suka-suka tetapi bagi menuntut hak peneroka yang saban tahun telah ditipu oleh Felda berhubung harga sebenar kadar perahan buah kelapa sawit.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan supaya Felda membayar RM11 juta kepada 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan.

Ini memberikan tamparan hebat kepada agensi itu dan kemenangan moral yang besar kepada peneroka Felda di seluruh negara.

Tindakan agensi itu dilihat tidak menghormati hak peneroka berhubung harga KPG sudah lama berlaku di kebanyakan rancangan Felda di seluruh negara.

Berhubung dakwaan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan kononnya Pakatan Rakyat menghasut peneroka menyaman Felda, Suhaimi berkata tindakan saman itu bukan hanya menuntut hak peneroka yang menganggotai KEADILAN dan PAS sahaja bahkan untuk semua peneroka tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Kes liwat: Kerajaan Malaysia tidak tentang Anwar tapi stafnya, kata Najib

NEW YORK, 30 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan Malaysia pimpinan beliau tidak menentang Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berhadapan dengan kes liwat buat kali kedua dalam satu dekad lalu.

Dipetik Bernama, Najib menjelaskan, kes itu muncul selepas salah seorang kakitangannya sendiri yang telah memfailkan satu laporan polis terhadap beliau.

Anwar dan penyokongnya mendakwa beliau diperangkap dan kes terbaru ini didalangi oleh kepimpinan Najib dan Umno.

Bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis Jun 2008 mendakwa dia telah diliwat oleh oleh bekas majikannya itu.

Perbicaraan kes itu sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan diteruskan pada 14 dan 15 Oktober ini dengan menyaksikan pasukan pembelaan membuat pemeriksaan balas ke atas seorang doktor Hospital Kuala Lumpur.

Selain itu, Anwar juga ada memfailkan saman terhadap Saiful pada 30 Jun 2008 mendakwa bekas pembantunya itu membuat laporan polis kerana mempunyai niat tersembunyi dan juga untuk mencemarkan peribadinya sebagai ahli politik.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat dibicarakan atas tuduhan meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit

Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Kesiksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Najib mengambil peluang untuk mempromosikan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan peluang yang diberikan pada Majlis Hubungan Luar (CFR), sebuah kumpulan pemikir hal ehwal luar terkemuka di New York.

Ucapan Najib yang bertajuk “Program Transformasi Ekonomi di Malaysia”, merungkai perubahan dalam negara yang perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran global untuk bersaing dengan China, India dan terkini Vietnam.

Beliau bercakap mengenai pengwujudan satu paradigma baru untuk Malaysia dengan mencuba mencapai sebuah negara yang dibina dalam bentuk konsep 1Malaysia, yang bertujuan membawa semua rakyat Malaysia bersama tanpa mengira latar belakang etnik dan agama, agar mereka boleh bergerak seiring.

Sehubungan itu beliau menggesa rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat bersama-sama menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.

Malaysia katanya, yang mempunyai penduduk pelbagai etnik dan bangsa khasnya Cina dan India boleh menjadi penghubung kepada China, India, Timur Tengah dan tempat lain.

“Kita boleh dihubungkan kepada dunia,” tegasnya.

“Dasar baru itu akan membantu Bumiputera yang layak dibantu bukan kerana jaringan mereka tetapi merit mereka.

“Ini akan juga menggalakkan pelabur asing datang ke Malaysia. Pemikiran (lama) kita hendaklah berubah, jika kita mahu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Kita telah melancarkan Model Baru Ekonomi untuk meningkatkan per kapita rakyat Malaysia daripada kini AS$7,000 (RM22,000) kepada AS$15,000, dengan mewujudkan kira-kira 3.3 juta pekerjaan, dan kita telah mengenal pasti 135 projek utama di negara,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata sektor swasta akan dirancakkan yang akan menyediakan 92 peratus pelaburan dan fungsi sebagai sebuah enjin pertumbuhan sebagai merujuk kepada projek infrastruktur besar dengan membina sistem MRT untuk Kuala Lumpur dengan pelaburan AS$12.5 bilion bertujuan meningkatkan ekonomi.

Projek seperti itu akan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan dan memudahkan peralihan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju menjelang 2020.

Najib berkata, Malaysia berminat dalam perjanjian Kawasan Bebas Perdagangan (FTA) dengan Amerika Syarikat — rundingan telah dihentikan semasa pentadbiran George Bush setelah kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang kemajuan.

Bagaimanapun beliau berkata terdapat rangka kerja multilateral untuk rundingan antara Amerika Syarikat dan Asean.

Perdana Menteri juga menjelaskan pentingnya Amerika Syarikat bukan hanya kerana ia merupakan pasaran ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura, tetapi juga kerana “kita berkongsi nilai-nilai dan kebebasan yang sama.”

Beliau juga menjelaskan kini terdapat 600 syarikat Amerika Syarikat di Malaysia.

Selain isu ekonomi dan perniagaan yang menjadi elemen utama dalam ucapannya, Najib kemudian menjawab beberapa isu dalam sesi soal jawab yang diketuai oleh pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) CV Starr dan Co Inc Maurice R. Greenberg.

Dalam sesi itu Perdana Menteri berkata Malaysia berhasrat menjadi rakan strategik Amerika Syarikat. “Kita sepatutnya berhubung semula dengan Amerika Syarikat kerana kekuatan yang menyambungkan kita adalah besar daripada yang memisahkan kita.

Amerika Syarikat dan Malaysia kekal sebagai rakan baik kerana nilai-nilai bersama yang mengikat kita,” tegas Najib.

Beliau menyeru untuk kesederhaan bagi Amerika Syarikat dan Malaysia untuk bekerjasama memberhentikan ekstremisme dan keganasan.

Perdana Menteri mengiktiraf peranan ketua-ketua gereja yang mampu memberhentikan ugutan paderi Amerika Syarikat yang mahu membakar al-Quran baru-baru ini.

Najib berkata Islam adalah agama yang aman dan bertoleransi yang mengamalkan keadilan untuk semua — Muslim dan bukan Muslim.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia akan menghantar satu pasukan doktor wanita Muslim ke Afghanistan yang menghadapi kekurangan pakar perubatan wanita untuk merawat penduduk wanita di negara itu.

Mengenai kebimbangan di kalangan pemikir strategik rakyat Amerika mengenai kekuatan China di Asia Tenggara, Najib berkata Malaysia mestilah menerima kenyataan kekuatan negara China yang baru.

“Bagaimanapun, kita percaya China tidak dapat mengancam kestabilan rantau ini.

“Kita ada mekanisme dalam Asean untuk menyelesaikan sebarang perbezaan. Rakyat China adalah pragmatik. Tetapi China sudah pasti mempunyai pengaruh ekonomi yang kuat,” kata Najib.

Bagaimanapun, Malaysia juga percaya bahawa rantau ini janganlah untuk didominasi oleh satu kuasa sahaja.

Mengenai lawatan Perdana Menteri India Manmohan Singh ke Malaysia bulan depan, Najib berkata lawatan itu sangat penting bagi Malaysia untuk mengadakan kerjasama dalam banyak bidang.

DUN Galas: Bakal keputusan petunjuk aliran sokongan Melayu PRU-13

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, 30 Sept — Bakal pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dilihat akan menjadi indikasi arah aliran sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke-13, yang kemungkinan dipanggil awal tahun depan, demikian menurut penganalisis dan ahli-ahli politik.

Malah, penganalisis juga berkata pertarungan untuk menguasai kerusi DUN Galas akan menyaksikan kemunculan isu-isu menyentuh kedudukan orang Melayu secara lebih agresif oleh kedua-dua Umno dan PAS.

Bagaimanapun mereka tidak menolak pengundi masyarakat minoriti, membabitkan kaum-kaum lain termasuk Orang Asli, akan memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan keputusan.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

“Saya melihat pilihan raya kecil Galas akan menjadi petunjuk tentang kedudukan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

“Memandangkan kerusi ini terdiri daripada 70 peratus pengundi Melayu, ini akan menjadi tempat di mana Umno akan berusaha membuktikan bahawa ia parti pembela lebih baik berbanding PAS, malah lebih baik berbanding PKR,” kata beliau lagi.

PAS dan PKR adalah komponen Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu Ibrahim memberitahu bahawa keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi petunjuk langsung sama ada pengundi Melayu memihak kepada PR ataupun Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu ingat bahawa ini adalah kerusi yang akan menggambarkan bagaimana pengundi Melayu akan bertindak,” kata beliau dengan merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Galas dalam bahagian Parlimen Gua Musang.

“Ini salah satu daripada beberapa kerusi dalam Kelantan yang bukan memihak kepada PAS (selama ini).

“Jika Umno menang, mereka akan kelihatan kuat dan adalah baik bagi mereka,” kata Ibrahim.

Bagaimanapun penganalisis menekankan, kerusi DUN juga mempunyai pengundi bukan Melayu dalam jumlah yang signifikan.

Oleh itu katanya, jika kedua-dua pihak cuba memainkan isu perkauman, langkah tersebut boleh menjejaskan sokongan pengundi minoriti kalangan Cina, India dan Orang Asli.

“Anda boleh lihat bahawa sejak kebelakangan ini PAS meletakkan diri mereka sebagai parti yang bukan sahaja memikat pengundi-pengundi Melayu-Islam, tetapi juga pengundi Cina dan India.

“Ada juga pandangan bahawa pengundi-pengundi bukan Melayu boleh menentukan kemenangan pilihan raya kecil pada saat-saat akhir,” kata Ibrahim.

Malah beliau juga percaya bahawa tindakan kerajaan persekutuan dalam menghalang pembinaan gereja Orang Asli dekat Gua Musang akan memainkan peranan dalam arah aliran undi di kerusi DUN Galas.

“Secara tradisi undi Orang Asli sangat kuat bagi BN,” katanya.

Oleh itu kata beliau, mengambil kira perkembangan terbaru ia kemungkinan akan memberi kesan dalam arah aliran sokongan Orang Asli.

“Apa sahaja yang berkaitan dengan isu agama, adalah isu yang menyentuh emosi dan boleh mempengaruhi pengundi,” kata beliau yang merujuk kepada lebih 1,000 pengundi Orang Asli yang bakal membawa kesan besar kepada BN.

Awal bulan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli mengarahkan pembinaan gereja konkrit dibina oleh masyarakat Kristian Temian di Pos Pasik.

Profesor Shamsul Adabi Mamat pula percaya PAS dan Umno akan memainkan isu-isu kaum dalam beberapa minggu menjelang pilihan raya kecil nanti.

“Umno dan PAS akan menggunakan apa sahaja sumber yang ada untuk memenangi pengundi-pengundi Melayu.

“Saya merasakan Umno mahu lebih berfokus dan bersedia untuk menang di Galas, dan mereka perlu menang kerusi ini.

“Jika ada peningkatan undi bagi Umno kali ini, ia akan menjadi petanda awal pengundi akan menyokong dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Shamsul.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberitahu The Malaysian Insider, pilihan raya kecil Galas sudah pasti akan menjadi ujian bagi Umno sama ada ia boleh menarik penyokong kalangan Melayu di negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1990.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa partinya tidak akan menggunakan pendekatan bersifat perkauman ketika kempen pilihan raya kecil DUN Galas ini dengan mendakwa pesaingnya akan menggunakan apa sahaja untuk menarik pengundi-pengundi Melayu.

“Umno akan memainkan isu-isu Melayu untuk memenangi pengundi Melayu,” katanya.

“Jika jentera kempen pilihan raya kecil diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya percaya ia akan lebih kepada retorik Melayu. Isu perkauman akan menjadi tajuk utama dan isu-isu lain akan ke belakang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Sambil mengakui kerusi DUN Galas secara tradisi adalah bahagian dikuasia Umno dan berada dalam bahagian Parlimen Gua Musang pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, Mahfuz berkata, PAS sudah pun membuat persiapan menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Dengan melihat bahawa Allahyarham Che Hashim sudah lama tidak sihat, kami sudah sibuk dalam mempersiapkan jentera kami.

“Kami tidak akan memainkan isu-isu perkauman, tetapi akan fokus untuk mendapatkan undi daripada kesemua kaum,” katanya lagi.

Bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar berpendapat bahawa kedudukan Umno sama ada akan memainkan isu-isu perkauman bergantung pada keputusan sama ada Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno Gua Musang, akan diberikan peranan signifikan dalam proses kempen nanti.

“Umno akan lebih berhati-hati dalam memainkan isu kaum. Berbanding dengan bahagian-bahagian lain di Kelantan, ia bukan kerusi didominasi pengundi Melayu sama sekali.

“Jika Tengku Razaleigh dilantik mengetuai jentera pilihan raya Umno, maka corak gerak-geri akan berubah, Umno tidak akan agresif dalam mendapatkan undi orang Melayu,” kata Ahli Parlimen Tumpat ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN untuk pilihan raya kecil Galas.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sudah tentu Umno akan memberi fokus untuk mendapatkan pengundi Melayu dan pada masa yang sama akan berusaha lebih untuk mendapatkan pengundi bukan Melayu.

“Ia adalah kawasan orang Melayu, jadi Umno akan memberi fokus untuk mendapatkan undi maksimum orang Melayu.

“Tetapi pada masa yang sama, kami tidak mahu terlalu agresif atau konfrontasi, kami akan lebih berwaspada dalam usaha mendampingi pengundi,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda BN.

Khairy juga menekankan kepentingan pengundi bukan Melayu dengan menjangkakan sokongan pengundi Melayu akan berpecah antara PAS dan Umno.

RM6 Juta Untuk Perkasakan Sekolah Agama Rakyat

SHAH ALAM,30 SEPT – Dalam usaha memperkasakan institusi pendidikan agama di Selangor,Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) memperuntukkan sebanyak RM6 juta kepada sekolah agama rakyat seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, peruntukkan tersebut sebagai galakkan selain membantu memperkasakan institusi berkenaan.

Sebelum itu, Dr Halimah menyerahkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada pengurusan Maahad Tahzibwa Al-Taalim yang diwakili Mohd Nazmi Abd Karim.

Katanya lagi, untuk fasa pertama sebanyak 100 sekolah telah menerima sumbangan berjumlah RM2.7 juta manakala fasa kedua akan disalurkan November ini.

“Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan sekolah agama rakyat malah institusi ini sentiasa mendapat keutamaan dan diberikan perhatian sepenuhnya.

“Ini kerana kita menyedari sekolah agama rakyat mampu melahirkan modal insan yang bertanggungjawab serta berguna kepada agama dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Halimah berkata, Kerajaan Negeri mahu menjadikan negeri ini sebagai hab ilmu dan pendidikan.

“Kerajaan Negeri mahu jadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama kerana kita mahu melihat rakyat negeri ini berilmu pengetahuan dan mampu bersaing di peringkat global.

“Kita juga berharap peruntukan pendidikan daripada Kerajaan Negeri mampu menyuntik semangat sekolah agama rakyat seterusnya melahirkan ilmuwan Islam tersohor,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap dengan pengagihan peruntukan itu, ia akan memberi perangsang kepada semua pelajar dan guru yang terlibat untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan.

Dun Kelantan rafak sembah Sultan Muhammad ke-V

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/berita/3feb/dun1.jpg

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 30 Sept: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Khas yang bermula kira-kira jam 9.00 pagi ini merakamkan ucapan tahniah (merafak sembah) dan sembah taat setia kepada Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad ke-V.

Cadangan merafak sembah (ucapan tahniah) yang mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kelantan dikemukakan Ustaz Abdullah Yakob (PAS-Air Lanas) (kanan) sebentar tadi yang disokong oleh Drs Zainuddin Awang Hamad (PAS-Limbongan) (kiri).

Turut menyokong cadangan ucapan tahniah itu, Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad, (BN-Kok Lanas).

Abdullah ketika berucap membentangkan cadangan rakaman tahniah itu berkata perlantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad ke-V dinanti-nantikan oleh rakyat seluruhnya.

Beliau juga turut mengakui rakyat seluruh Kelantan melahirkan rasa gembira di atas perlantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Sambungnya lagi, perlantikan itu juga sejajar dengan kehendak rakyat memandangkan baginda lebih mengambil perhatian serta menyelesaikan mereka.

“Kami dari pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong Tuanku sejak mula tuanku ditabalkan sebagai Sultan Kelantan lagi,” ujarnya.

Katanya lagi, perlantikan baginda bagi menggantikan ayahanda baginda yang sedang gering bertepatan dan tidak menyalahi undang-undang memandangkan Sultan Ismail Petra tidak mampu lagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Abdullah berkata, baginda yang gemar turun ke bawah untuk menunaikan solat sunat hajat dan menyelami masalah rakyat begitu mengharukan rakyat seluruh negeri ini.

Sementara itu, Alwi turut menyokong perlantikan dan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

“Saya mewakili Barisan Nasional Kelantan menyokong penuh di atas perlantikan tuanku sebagai Sultan Kelantan yang baru yang membawa gelaran Sultan Muhammad Ke-V,” ujarnya.

Drs Zainuddin Awang Hamad, ketika mengambil bahagian dalam perbahasan bagi menyokong ucapan merafak sembah itu mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengganggu-gugat kedaulatan Sultan Kelantan sekarang.

Katanya, perlantikan baginda yang sah di sisi undang-undang itu, jangan sekali-kali dicabar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kuasa Barat Dokong Pemerintahan Negara Islam Yang Zalim, Menindas Rakyat

Oleh Dzulkarnain Taib


SHAH ALAM 30 Sept - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap kuasa-kuasa Barat yang menutup sebelah mata terhadap pemerintahan zalim di beberapa negara yang menindas secara terang-terangan hak asasi manusia atas alasan mempromosi demokrasi.Anwar menyelar sikap ini yang dilihat sebagai hipokrit di mana kuasa Barat menyokong negara yang menindas rakyatnya sendiri tetapi pada masa yang sama mengecam tindakan serupa di negara lain.

"Anda tidak boleh berkata," berikan kami sokongan anda dalam perang melawan terorisme dan kami tidak akan campur tangan dalam hal dalaman anda. Polisi 'anda garu belakang saya, saya garu belakang anda' mungkin bagus untuk diplomasi realpolitik tetapi ia adalah satu pengkhianatan kepada perjuangan menegakkan demokrasi dan kebebasan.

"Malangnya inilah pendekatan bersikap hipokrasi kepada demokratisasi yang kita lihat di kebanyakan negara islam yang hidup dalam merana di bawah sistem demokrasi palsu. Pemerintahan sebegini diselaputi dengan imej demokrasi yang muluk tetapi pada hakikatnya penuh dengan kedurjanaan, kezaliman dan ketidakadilan.

"Demokrasi seperti ini menggunakan seluruh apparatus negara dan mengeksploitasi dana rakyat demi agenda serta kepentingan peribadi mereka. Mereka merompak perbendaharaan negara, merampas kawasan tanah prima dan bernilai tinggi dan menganugerahkannya kepada kaum kerabat, kroni serta mengambil jutaan ekar hutan dara dan mentransformasinya kepada tanah yang kontang dan tidak berguna," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Why Islam and Democracy are destined to coincide' di Brussels Selasa lalu.

Dalam ucapannya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertahankan ideologi Islam yang berteraskan kepada konsep keadilan dan mempromosi keamanan dan perpaduan sejagat.

Beliau mengecam golongan yang menggunakan nama Islam untuk melakukan kezaliman dan penindasan ke atas orang Islam di negara yang kononnya mengaku mengamalkan sistem Islam.

"Mereka yang mengkritik Islam berkata ia bukan sahaja membenarkan malah menggalakkan pengikutnya untuk melakukan keganasan atas nama jihad. Ini pendapat yang mengarut. Mereka turut menggunakan ayat Al-Quran untuk menyokong pendapat mereka. Memang ada, tapi mereka mentafsirnya secara ekstrim. Sebaliknya, hakikat sebenar ialah Islam melarang keganasan dan terorisme kerana ia mendokong prinsip kesederhanaan dan perlindungan nyawa dan keselamatan. Ini tersirat di bawah doktrin maqasid al-Shari’ah, satu instrumen yang amat penting dan signifikan untuk memajukan masyarakat Islam.

"Bagaimanapun ia telah dipinggirkan dan diketepikan. Melalui doktrin ini umpamanya, jihad adalah seruan kepada umat untuk mentaati tiang agama dengan berbuat amalan baik dan menjauhi kemungkaran, menegakkan keadilan, menganjurkan amal jariah dan membantu golongan lemah dan terpinggir.

"Ia bukannya laungan untuk berperang, apatah lagi melakukan kerosakan dan membunuh. Lebih penting, jihad menggalakkan orang Islam mewujudkan keamanan dan melindungi kesucian nyawa dan harta benda. Ini merupakan prinsip yang selari dengan desakan demokrasi," jelas beliau lagi.

Anwar menjelaskan mereka yang menyeru kepada keganasan dan terorisme atas nama jihad tidak mendapat sokongan terhadap aliran Islam yang mereka reka.

Mengambil contoh Indonesia di mana semasa dua pilihan raya umum yang lepas memperlihatkan rakyat negara itu menolak secara mutlak golongan radikal yang menunggangi atas tiket jihad.

Kata beliau, perkembangan ini penting untuk menyanggah pemikiran bahawa demokrasi di dalam negara majoriti orang Islam senang dipengaruhi oleh ekstremis dan radikal.

Malah kata Anwar, Islam menggalakkan umatnya mempertahankan kesamarataan, keadilan dan maruah insan.

Jika keganasan dan terorisme disebar luaskan oleh umat Islam atas nama Islam maka yang dipersalahkan pengikutnya dan bukan agama.

Menyalahkan Islam tidak akan menyelesaikan masalah selagi puncanya tidak diatasi dan diselesaikan.

Tambah Anwar, Turki adalah contoh baik di mana pemimpinnya memegang taat kepada prinsip asas kenegaraan Islam: modernis, sederhana, progresif dan toleransi dengan keadilan dan negara hukum sebagai motto pemerintahan.

Anwar berkata referendum baru-baru ini yang menyokong perubahan asas kepada perlembagaan untuk mengukuhkan demokrasi adalah bukti jelas.

Dalam hal ini pemimpin Turki amat berlawanan dengan pemimpin autokratik dan diktator di sesetengah negara Islam yang terus menafikan rakyat nikmat demokrasi dengan mengamalkan sikap ekstrim.

"Jadi hakikatnya serangan ke atas kebebasan dan demokrasi bukan datangnya dari Islam walaupun kebanyakan yang melakukannya adalah orang Islam. Indonesia dan Turki membuktikan demokrasi bukan sahaja diterima malah amat penting dalam Islam. Sebaliknya musuh Islam bukan dari demokrasi tetapi adalah kezaliman, rasuah, tirani, dan ketamakan.

"Kebebasan dan demokrasi adalah sebahagian daripada kebenaran hakiki yang membezakan antara makhluk di bumi ini. Isu sebenar bukannya Islam dan demokrasi ditakdirkan selari tetapi samada golongan yang berkuasa di negara Islam akan menghormati kebebesan dan demokrasi, memartabatkan undang-undang dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat. Jika ini tidak berlaku adalah wajib bagi kita merealisasikannya dan itu satu perjuangan yang wajar.

"Kemodenan Islam di Asia Tenggara dicerminkan oleh adaptasi prinsip kebebasan dan demokrasi untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas. Dari segi ini peralihan rantau ini kepada demokrasi menyanggah ide Islam dan demokrasi tidak selari.

"Tindakan menyamakan Islam dengan sikap tidak toleransi dan keganasan pun tidak mempunyai asas dalam realiti. Orang Islam memerintah Sepanyol berkurun lamanya dan ini disahkan oleh rekod sejarah sebagai bukti jelas kepada toleransi dan semangat hidup muafakat antara orang Islam, Kristian dan Yahudi.

"Di Asia Tenggara, pedagang dan ahli Sufi menyebarkan agama melalui stail dakwah akomodatif yang menarik minat penganut yang pada masa sama mengekalkan aspek signifikan budaya pra-Islam. Ini menjelaskan bagaimana kepelbagaian budaya dan agama wujud dalam negara bermajoriti Islam," tegas Anwar dalam ucapannya.

Anwar berkata adalah penting merubah kekakuan aliran idealogi yang menjurus kepada persepsi bahawa ajaran Islam adalah kaku dan eksklusif.

Hakikat bahawa Islam mampu mengadaptasi kepada keadaan sekeliling menunjukkan sifat inklusifnya.

" Bagi memastikan negara Islam bergerak ke arah memartabatkan demokrasi berperlembagaan dan menterjemahkannya kepada realiti, adalah penting mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, memastikan pemisahan kuasa dan menjamin kebebesan hak sivil termasuk membenarkan penglibatan wanita dalam arean politik.

"Pendakwaan bersifat kedengkian, penahanan rambang, dan salahguna apparat negara untuk mengekang musuh politik mestilah dihapuskan. Reformasi ini mesti dilaksanakan, jika tidak harapan pertembungan Islam dan demokrasi hanyalah satu fatamorgana," kata Anwar.

Mahathir Momokkan Orang Melayu Kerana Umnoputra Takut Hilang Kuasa

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 30 Sept - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memomok-momokkan kononnya masyarakat Melayu akan kehilangan kuasa jika Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Rakyat menubuhkan Kerajaan Pusat sebenarnya menyerlahkan ketakutan golongan elit Umnoputra kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail yang menyanggah dakwaan Dr Mahathir itu berkata kenyataan beliau amat tidak tepat dan malah berunsur ugutan kerana yang mengkhianati umat Melayu dan Islam adalah Umno itu sendiri.

"Ini terbukti dalam kes Perlembagaan membabitkan Raja-Raja Melayu dan penarikan bantuan sekolah-sekolah agama.

"Ia juga terbukti dalam pengagihan peluang perniagaan, permit AP dan saham yang hanya tertumpu kepada golongan elit pemerintah Umno sahaja dan bukan rakyat terbanyak," tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Tambahnya lagi, ini berpunca daripada kegagalan Umno untuk mengekalkan kerjasama baik di antara kaum yang akhirnya melemahkan tapak sokongan Melayu.

"Tohmahan beliau ini adalah tohmahan daripada seorang yang mempunyai hati yang sangat busuk, berbaur kebencian yang tidak terubat bila melihat kejayaan KEADILAN dan PAS khususnya dalam mendekati masyarakat Melayu," ujar Saifuddin lagi.

Minggu lalu, Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu turut menuduh PAS yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi mereka sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.

Dr Mahathir juga menuduh KEADILAN bukannya untuk memperjuangkan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk merealisasikan cita-cita peribadi seseorang pemimpin mereka untuk menjadi Perdana Menteri.

Kerjasama padu kerajaan dan sultan untuk rakyat

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 30 Sept: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata Kerajaan Kelantan akan sentiasa memberi kerjasama yang padu pada Sultan Muhammad Ke-V, dalam apa juga urusan untuk perpaduan dan kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan cadangan merafak sembah perlantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Muhammad Ke-V dalam persidangan Dun Khas yang berlangsung sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan Kelantan turut merafak sembah terhadap perlantikan itu dan akan sentiasa memberi kerjasama kepada baginda.

Pada masa yang sama, Ahmad yakin program kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh ayahanda baginda sebelum ini dapat diteruskan oleh Sultan Muhammad Ke-V .

“Kerajaan negeri sentiasa akan memberi kerjasama kepada baginda bersesuaian sebagai ketua pentadbir negeri,” ujarnya.

Katanya, rakyat mengharapkan kebaikan dan keberkatan yang berlebihan dari Allah berikutan sikap baginda yang lebih mementingkan agama.

“Sultan yang memerintah dan bertaqwa kepada Allah bersesuaian dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam, dapat digarap bersama demi untuk keberkatan yang berlebihan,” ujarnya.

Beliau menambah,rakyat merasa bertuah apabila mempunyai sultan yang memayungi rakyat, apabila setiap tindak tanduk berasakan ketaqwaan kepada Allah.

KEADILAN, PAS Tidak Ada Masa Layan Pelawaan Perkasa

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 30 Sept - Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menganggap cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) untuk mengadakan rundingan meja bulat antara orang Melayu di dalam KEADILAN, PAS dan Umno sebagai satu pelawaan biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata pada ketika ini, KEADILAN dan PAS mempunyai agenda yang lebih penting dan lebih utama daripada itu.

"Saya berpendapat adalah lebih baik KEADILAN dan PAS memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting daripada menerima pelawaan Perkasa untuk mengadakan perbincangan meja bulat berhubung isu orang Melayu.

"Kita menganjurkan supaya Perkasa meneruskan sahaja kerja buat mereka dalam lapangan yang mereka percaya.

"KEADILAN pula dalam konteks tersebut akan memfokuskan isu-isu utama seperti persiapan parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang serta memperkukuhkan organisasi," ujar beliau.

Pada masa yang sama, KEADILAN kata Ahli Parlimen Machang itu akan memperhebatkan lagi siri penerangan kepada rakyat terbanyak.

"Dalam kata lain, saya berpendapat pelawaan Perkasa itu sebagai pelawaan biasa dan tidak perlu diberikan tumpuan dan perhatian," ujar beliau.

Ahad lalu, Wira Perkasa Kedah mencadangkan supaya diadakan Rundingan Meja Bulat melibatkan Pemuda Umno, Pemuda PAS dan Angkatan Muda KEADILAN bagi membincangkan beberapa isu yang disifatkan menjadi penyebab perpecahan Melayu.

Ketuanya Shaharol Niza Omar berkata tujuan rundingan itu diadakan bagi merungkai permasalahan dan pertelingkahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini antara Perkasa dan parti-parti politik itu.

Mimpi Umno-BN Hilang Kuasa Pada PRU-13 Bertambah Ngeri

Oleh Amir Hamzah

Melihat kepada suhu ketegangan kaum yang semakin dahsyat kini dan Umno pula kelihatan semakin fobia dan ekstrim dengan agenda Perkasa dan ultra-Melayunya, akhirnya Barisan Nasional akan dipulaukan secara total oleh yang bukan Melayu dan menyebabkan kejatuhan kerajaan BN yang terbina atas sifat kow-tow kepada orang Inggeris dahulukala.

Sekaligus membenarkan teori RAHMAN daripada kumpulan mistik penyokong Umno. Teori yang mereka gunakan untuk menafikan Anwar kini menjadi senjata terhadap mereka sendiri, kerana N untuk Najib adalah huruf terakhir; maka dacing itupun tumbang.

Kembalinya Umno kepada perjuangan ultra-Melayu adalah kesan langsung daripada kekalahan teruknya dalam pilihan raya umum 2008. Keadaan yang sama memperlihatkan PAS kembali kepada perjuangan negara Islam pada 2004 apabila Barisan Alternatif mengalami kekalahan teruk ketika itu.

Namun sentralisasi ini ada kelemahannya. Di dalam usaha memperkuatkan kembali parti maka segala persefahaman diantara sahabat politik akhirnya terbantut. Dan sokongan hasil daripada penggabungan dalam BA terhakis.

Situasi sama kini berlaku kepada Umno. Di dalam mencari penyelasaian kekalahan BN pada 2008, mereka kembali kepada perjuangan Melayu mereka tanpa mempedulikan persefahaman MCA dan MIC.

Maka timbullah isu 'Hak Melayu' dan 'Kedaulatan Islam Melayu' yang menghancurkan setiakawan antara tiga sekawan yang dahulunya dilihat sebagai 'Sekukuh Gunung Tahan'.

Kini MCA dan MIC hanya berpura-pura sesama-sendiri bersahabat dengan Umno dan Umno pula dilihat terus menerus menyerang kaum-kaum selain Melayu didalam usahanya menawan kembali 'base-support' mereka iaitu orang Melayu.

Kini MCA dan MIC hampir lumpuh diserang ahli mereka sendiri. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa BN sendiri yang akan menghancurkan BN, dan hakikat ini dilihat dalam percaturan terakhir BN dalam menghadapi PEMILU yang akan datang.

PR atau Pakatan Rakyat tidak lagi dilihat sebagai 'gabungan lemah' malah persepsi rakyat kini melihat mereka sebagai 'Government-in-Waiting'.

Pelbagai taktik digunakan Umno seperti rasuah sehingga tumbangnya kerajaan Perak, membuka semula kes Anwar dan menahan pimpinan mereka.

Namun ini adalah gerak longlai terakhir rejim zalim yang tersalah arah, dan PR akan mengorak langkah ke Putrajaya dengan penuh bergaya.

Umno mengatakan bahawa tujuan Anwar adalah untuk menjadi Perdana Menteri. Saya dan jutaan rakyat yang akan mengundi Pakatan Rakyat turut bersetuju dan berikrar akan melakukan apa jua untuk memastikan beliau ke sana.

Kenapa pula Umno tidak tertanya-tanya mengapa boleh pula Rosmah 'tergila-gila'kan gelaran First Lady? sehinggakan membuat 'First Ladies Summit' di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh mereka yang turut 'tergila-gila'kan gelaran yang sama? Perlu kita ingat beratus negara menolak pelawaan Rosmah itu kerana mereka tahu penyertaan mereka memberikan legitimasi kepada Rosmah dan mereka tidak mahu dipergunakan untuk tujuan politik.

Ayuh kita berlaku adil dan letakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai.

puterakemuning.blogspot.com

JPP Umum Keptusan MATC Kota Raja 2010

SHAH ALAM 30 Sept - Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Kota Raja yang dikatakan diselubungi kontroversi akibat kekecohan pada hari pengundian Ahad lalu, telah diselesaikan dengan baik oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat.

Menurut Ahli JPP, Abd Malek Hussin melaporkan proses pengundian melibatkan 8,851 kertas undi yang terdiri daripada 8,481 (95.82%) undi sah dan 370 (4.18%) undi rosak.

Pertandingan bagi jawatan-jawatan dalam Cabang Kota Raja telah melibatkan kesemua 12 jawatan bagi pimpinan Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Cabang yang telah berlangsung di Dewan Bukit Naga mulai jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang.

"Setelah tamat pengundian, bagi tujuan menjamin kelancaran dan kesempurnaan pemilihan tersebut, pengawas pemilihan yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat Parti Keadilan Rakyat (JPP) membuat keputusan bahawa proses pengiraan dan penjumlahan undi tidak dapat diteruskan di Dewan Bukit Naga, Shah Alam.

"Sebaliknya urusan-urusan tersebut diserahkan kepada tanggungjawab langsung JPP yang beribu pejabat di A-1-09 Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya, Selangor.

"Jawatankuasa Pemilihan Pusat, menurut Fasal 18.15 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat, adalah bertanggungjawab bagi mengawalselia proses pengundian dan pemilihan untuk jawatan dalam parti di peringkat Cabang dan Pusat. Di bawah kuasa menurut peruntukan Fasal tersebut, JPP memutuskan untuk menyempurnakan proses pengiraan dan penjumlahan undi bagi pemilihan Cabang Kota Raja itu di dalam bangunan Ibu Pejabat Parti dalam tempoh seberapa segera yang mungkin," jelas Abdul Malik dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata bagi tujuan melaksanakan keputusan tersebut, JPP telah melantik Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Sharifah Shahidah sebagai Penyelia yang bertindak mengetuai satu pasukan petugas khas terdiri daripada pengawas-pengawas dan kakitangan Ibu Pejabat untuk menjalankan urusan Penjumlahan dan Pengiraan Undi bagi Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja.

Katanya, proses pengiraan dan penjumlahan undi itu bermula dari jam 2.30 pagi, Isnin 27 September 2010 dan berakhir pada 4.17 petang, Selasa 28 September 2010.

Penjumlahan undi telah dijalankan mengikut satu demi satu kotak-kotak undi yang berjumlah 20 kotak undi semuanya.

"Sejumlah kertas-kertas undi telah diasingkan ke dalam bekas kiraan mengikut calon-calon yang bertanding atau sebagai undi rosak. Pengiraan undi pula dijalankan mengikut satu demi satu jawatan yang dipertandingkan.

"Setelah selesai urusan pengiraan dan penjumlahan undi, satu inventori dokumentasi urusan pengiraan dan penjumlahan undi bagi Cabang Kota Raja telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat pada jam 5.23 petang, Selasa 28 September 2010 bagi tujuan semakan dan pengesahannya.

"Setelah disemak, Jawatankuasa Pemilihan Pusat mendapati bahawa proses pengiraan dan penjumlahan tersebut telah dijalankan dengan sempurnanya sejajar dengan kehendak Peraturan Penjumlahan dan Pengiraan Undi Pemilihan Pimpinan Cabang di bawah Tatacara Pemilihan 2010 Parti Keadilan Rakyat," kata beliau lagi.

Keputusan Rasmi Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja adalah seperti berikut:

Profil Cabang Kota Raja

Jumlah Anggota - 7,992

Lelaki - 4,835 60.50%

Perempuan - 3,154 39.50%

AMK - 3,978 49.77%

Keturunan Anggota

Melayu - 2,212 27.68%

Cina - 292 3.65%

India - 5,470 68.44%

Jumlah Anggota Berdaftar Untuk MATC / Pemilihan

- 1,264 15.82%

Keputusan Rasmi Pemilihan Cabang 2010

Pimpinan Cabang Kota Raja

Ketua Cabang - Dr Xavier Jayakumar A/L Arulanandam

Timbalan Ketua Cabang - Mat Suhaimi Shafiei

Naib Ketua Cabang - Zaidi Yusof

AJK Cabang -

1) Alagan A/L Vellasamy

2) Halim Amin

3) Manimaran A/L Municaamy

4) Sandan A/L Vellasamy

5) Vicknesvaran Krishnan

6) Mohammad Ishak

7) Muhamad Fauzi Mukhtar

8) Mohana Sundar A/L Arumugam

9) Zaini Zailani

10) Tan Ah Kow

11) Nor Azman Badaruddin

12) Salehhin Hassan

13) Saharuddin Shaid

14) Tan Eng Ghee

15) Md Husain Mohd Samuri

Pimpinan Wanita Cabang Kota Raja

Ketua Wanita - Rozaina Hamzah

Timbalan Ketua Wanita - Ruthira A/P K Surasan

Naib Ketua Wanita - Jamiah Abas

AJK Wanita -

1) Kalaiarasi A/P Krishnan

2) Saraswathy A/P Ramalingan

3) Anida Abu Bakar

4) Gan Siew Lian

5) Anita Hanan

6) Sri Mahalekshumy

7) Zaleha Jalal

Pimpinan AMK Cabang Kota Raja

Ketua AMK - Azmizam Zamanhuri

Timbalan Ketua AMK - Satthya Seelan A/L Nagamuttu

Naib Ketua AMK - Hannafe Zaini

AJK AMK -

1) Jesttin Raj A/L Savarimuthu

2) Nageswaran A/L Munisamy

3) Nagarajan A/L Kaniappan

4) Mageswaran A/L Rajagopal

5) Jeyabalan A/L Subramaniam

6) Poobalan A/L M. Seenivasan

7) Idanis Suriani Mohd Jahanis

8) Amiruddin Md Arif

9) Ahmad Fahmi Hanapiah

10) Azali Abd Wahab

11) Abdul Halim Amin

12) Jaberi Ami

13) Khairul Muhidin

14) Mohd Aris Zakaria

15) Mohd Nazar Sulaiman

JPP Batal Keputusan Pemilihan Cabang Jika Menyeleweng

SHAH ALAM 30 Sept - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan mana-mana keputusan pemilihan peringkat cabang sekiranya didapati proses pemilihan telah dicemari atau terbukti perlakuan intimidasi dan perbuatan ganas yang mempengaruhi perjalanannya.

Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah berkata pihaknya juga tidak akan berkompromi untuk mencadangkan tindakan memecat ahli parti yang didapati terlibat dalam kekacauan atau menghalang perjalanan lancar pemilihan atau terbabit dalam aktiviti yang ditegah seperti membeli undi.

"Dalam membuat keputusan kami akan mempertimbangkan laporan dari ahli dan juga kakitangan sekretariat dan sukarelawan parti yang telah melaksanakan proses pemilihan atas arahan JPP.

"Kami menyeru mana-mana ahli yang ada aduan berhubung perjalanan pemilihan pada peringkat cabang supaya mengemukakannya kepada JPP samada secara rasmi agar perhatian sewajarnya diberi. Individu yang tidak berpuas hati terhadap proses pemilihan disarankan menggunakan saluran ini dan tidak membuat dakwaan di dalam media terhadap JPP atau sekretariat KEADILAN," kata Dr Molly dalam satu kenyataan Selasa lalu.

Beliau berkata 166 cabang telah mengadakan mesyuarat agung tahunan dalam tempoh dua minggu lalu dan berpuas hati kebanyakan daripada MATC berjalan lancar dan teratur.

Keputusan Penuh Liga Juara-juara Eropah

Champions League - Group A
01:58September 29

FTInter Milan4 - 0Werder Bremen

FTTottenham H.4 - 1FC Twente Enschede



Champions League - Group B
September 29

FTHapoel Tel Aviv1 - 3Lyon

FTSchalke2 - 0Benfica



Champions League - Group C
01:58September 29

FTRangers1 - 0Bursaspor

FTValencia0 - 1Manchester U.



Champions League - Group D
01:58September 29

FTRubin Kazan1 - 1Barcelona

FTPanathinaikos0 - 2FC Copenhagen

Cadangan Takiyuddin Perlu Disokong

ADA 'kuliha'nya juga cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan supaya kerusi Galas yang kosong kini diserahkan saja kepada Pas. Umno tidak payah bertanding. Katanya Takyuddin kalau benar Umno yang melaungkan soal perpaduan kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada Pas sebagai bukti keikhlasannya.

Kalau cadangan itu menjadi realiti ia boleh mengurangkan pergeseran antara kedua buah parti tersebut. Saya nampak cadangan itu ikhlas dan postif. Ia bukan bermakna Pas takut menghadapi pilihan raya berkenaan. Dan jika Umno sedia bermain politik secara profesional ia juga tidak merugikan parti berkenaan, malahan akan dilihat sebagai bijak.

Sebelum ini pun Umno pernah tidak bertanding di pilihan raya kecil Dun Penanti di Pulau Pinang. Umno menggunakan alasan kerana kerusi itu bukan kosong kerana kematian tetapi disengajakan disebabkan PKR ingin menguji kedudukannya. Walhal apa yang berlaku kekosongan kerusi Penanti itu apabila Adunnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Dr Mansor Othman menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Walaupun kerusi Galas kosong kerana kematian wakilnya, Che Hashdim Sulaima Isnin lalu, tidak jadi masalah kalau Umno mengambil sikap positif. Banyak faedah dan untungnya kalau Umno sedia memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Pas. Pertama ia boleh mengendurkan ketegangan antara Pas dengan Umno seperti mana kata Takiyuddin. Kedua ia boleh menyelamatkan banyak wang rakyat dan juga kerajaan. Ketiga sikap politik terbuka dan jilah itu boleh menguatkan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Selalunya dalam pilihan raya kecil kedua parti akan mengeluarkan wang yang banyak. Tenaga dan masa juga banyak dihabiskan di sepanjang berkempen. Kerajaan (SPR) juga terpaksa menggunakan wang yang banyak. Bukan itu saja kerajaan harus membayar elaun polis, tentera dan pegawai-pegawai lain yang terlibat menjaga keselamatan di sepanjang pilihan raya berkenaan.

Sekiranya tiada pilihan raya perbelanjaan ini semua boleh dijimatkan dan tidak akan berlaku pembaziran.

Bukan itu saja, sudah sampai masanya parti politik negara ini bersikap profesional dan waras. Tidak mengikut perasaan dan hawa nafsu. Di pihak Umno khasnya perlu menyedari walaupun mereka memerlukan kemenangan bagi menunjukkan kekuatan di Kelantan, tetapi kemenangan itu tidak membawa apa-apa erti. Kedudukan Pas di DUN Kelantan begitu selesa waktu ini. Lainlah kalau kerusi itu milik Umno, ia perlu dipertahankan demi menjaga maruahnya.

Dalam hal ini begitu juga dengan Pas. Sekiranya berlaku kematian di kerusi Umno, Pas hendaklah memberi laluan mudah kepada Umno. Biarlah Umno memiliki semula kerusi itu tanpa tentangan Pas. Sama seperti kedudukan Pas hari ini kalau Umno terus memiliki kerusinya ia tidak menjejaskan kedudukan Pas selaku kerajaan.

Saya rasa persefahaman politik sebegini disukai ramai orang. Ketegangan yang berlaku semasa pilihan raya kecil kadang membawa kepada hal-hal jenayah sesuatu nyang dikesalkan dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Mungkin Umno akan berkata kalau pun mereka memberi laluan, pilihan raya tetap juga akan diadakan. Sudah pasti akan ada mereka yang teringin gambar mereka diletak dipokok kayu akan bertanding sebagai calon bebas. Tidak mengapa kalau itu berlaku. Calon bebas apalah sangat yang ada kepada mereka.

Hari ini kemunculan calon bebas tidak dipadang sebelah mata pun oleh pengundi negara ini. Rakyat hanya memilih dua parti saja, sama ada BN atau Pakatan Rakyat. Betapa bebas cuba mempamerkan dan mengatakan mereka ada agenda - membela itu dan membela ini orang akan tetap menganggap ianya sebagai pengacau. Apa lagi mereka yang menjadi calon bebas itu wibawa dan syaksiahnya boleh dipersoalkan.

Duhai parti politik Pas dan Umno mulailah sesuatu yang baik itu dalam pilihan raya kecil Galas ini. Ia memang sukar untuk dimulakan begitulah fitrah alam ini. Tetapi setelah ia dimulakan selepas itu ia akan jadi perkara biasa. Lakukanlah perubahan ke atas senerio politik kita.

http://msomelayu.blogspot.com/

Semasa

Hiburan

Sukan

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.