News Update :

Politik

Kenyataan

Agama

Dunia

Pemuda PAS: BN makin terdesak mahu musnah Anwar dan Pakatan

April 28, 2011

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 28 April — Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa menggunakan rakaman video seks sebagai “senjata utama” untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS pusat Mohd Firdaus Jaafar berkata pihaknya membidas stategi tersebut yang disifatkan untuk mengaibkan dan menjatuhkan kredibiliti Anwar selaku Ketua Umum PKR.

“Dewan Pemuda PAS pusat membidas kerajaan Umno-BN yang menggunakan strategi politik video lucah serta mengaibkan dalam menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tindakan ini jelas menunjukkan pemimpin Umno-BN berada dalam keadaan terdesak dalam menyekat arus kebangkitan Pakatan Rakyat serta pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Mohd Firdaus, pihaknya juga mempersoalkan sikap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil sikap lepas tangan kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap “Datuk T”, individu yang mendedahkan rakaman video seks itu.

“Datuk T” terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Ketiga-tiga indivitu itu telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

Sehari selepas pendedahan itu, Anwar telah membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah lelaki dalam rakaman video seks itu.

“Kami juga kecewa kerana polis yang terkenal cekap dan tangkas tidak mampu membendung video itu daripada berleluasa.

“Sehingga hari ini trio Datuk T masih tidak ditangkap dan didakwa sedangkan merekalah menyebar asal video seks. Adakah PDRM juga memainkan peranan penting dalam membenarkan konspirasi politik menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?” soal beliau.

“Agaknya kalaulah video itu membabitkan pemimpin utama negara hari ini, sudah tentu PDRM bertindak sepantas kilat dalam membendung penyebaran video seks tersebut. Barangkali sudah tentu penyebar video seks itu telah awal-awal lagi disumbat ke dalam ISA serta mengharamkan mana-mana akhbar memainkan isu ini,” kata Mohd Firdaus.

Menurut Ahli Parlimen Jerai itu, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tertentu yang memuat naik satu lagi rakaman klip video aksi seks itu di lama “Youtube” semalam.

Ekoran klip tersebut akhbar arus perdana menjadikan ia sebagai paparan utama hari ini.

“Kami kesal kerana siri kedua video klip lucah dibiarkan ditayangkan untuk tatapan awam sehinggakan gambar sedutan video seks tersebut dijadikan objek utama dalam akhbar arus perdana hari ini.

“Apakah motif sebenar gambar video seks dijadikan bahan utama di dada akhbar hari ini selain untuk mencemar imej pemimpin tersebut? Apakah dengan penyiaran gambar itu dapat mendidik rakyat Malaysia ke arah yang lebih positif?” katanya.

Justeru Mohd Firdaus percaya ia adalah satu konsprirasi yang dilakukan untuk menjatuhkan Anwar seperti mana yang dilakukan pada 1998 sehingga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipenjarakan.

“Kami tetap percaya bahawa isu ini adalah konspirasi politik tahap tertinggi dan mengulangi episod memalukan pada 1998 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami yakin rakyat turut berpandangan yang sama dengan melihat layanan serta tindakan kerajaan dan PDRM berhubung isu ini,” katanya.

Wakil rakyat PAS itu juga menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar itu bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kami bertegas menolak modus operandi politik lucah dan melampau seperti yang dijalankan sekarang kerana jelas ia bertentangan dengan Islam.

“Islam menetapkan tuduhan terhadap pelaku zina mesti disertai dengan empat orang saksi yang menyaksikan kejadian tersebut. Sekiranya pihak pendakwa gagal mengemukakan saksi, maka tuduhan qazaf perlu dikenakan terhadap trio Datuk T,” katanya lagi.

Sumpah laknat Datuk T tak ikut ajaran Islam- Ustaz Shamsul

KUALA LUMPUR: Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat esok.

“Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li’an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, ” ujarnya kepada Keadilandaily.

“Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,

“Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai,” tegas beliau.

Katanya, sumpah mubahalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak.

“Sumpah Mubahalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah.

Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam.

Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata, di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak.

“Dia (Datuk T) kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh.

“Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak,” tambahnya.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan.

“Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat je mereka ini,” katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4.

Tahniah Buat Ketua Pemuda Pas Tumpat, Mohd Rusli Abdullah

http://a1.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/224000_200103603362063_100000872730071_505914_1707349_n.jpg

Saf Kepimpinan Pemuda Pas Kawasan Tumpat yang baru dilantik.

http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash1/180367_188064731226945_100000702578804_509836_255191_n.jpg

Saudara Ketua Pemuda Pemuda Pas kawasan Tumpat yang berjaya memimpin Saf dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang mendekatkan Pemuda Pas Tumpat dengan masyarakat.

http://a8.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/224628_199808203391603_100000872730071_504141_3988064_n.jpg

Syabas dan tahniah Abe Li. Semoga dapat menjalankan amanah yang dipikul dengan baik dan berkesan. kami Team Kerabu Bersuara akan terus menyokong anda.


Tahniah dari kami team Kerabu Bersuara buat Saudara Mohd Rusli Abdullah, Ketua Pemuda Pas Tumpat kerana terus diberi mandat oleh perwakilan untuk terus menerajui Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat bagi sesi 2011-2013 pada pemilihan yang terbaru.

Sesungguhnya Saudara Rusli telah banyak berjasa dalam menggerakkan kerja-kerja bagi Pemuda Pas Kawasan Tumpat yang semakin aktif sehinggakan menggelamkan Puak Pemuda Umno Tumpat yang semakin hari semakin ketinggalan dan menunggu masa untuk ranap. Ramai rakyat tak kenal siapa Ketua Pemuda Umno kawasan Tumpat.

Ayuh Pemuda Pas Tumpat yang diterajui oleh Saudara Rusli, kita ambil kesempatan ini untuk menghancurkan Umno Tumpat secara khususnya yang sekarang ini menggelabah dengan kebangkitan rakyat kawasan Tumpat atas sebab penipuan dan salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin umno.

Tahniah sekali lagi kepada Saudara Mohd Rusli, Ketua Pemuda Pas kawasan Tumpat dan rakan-rakan sekerja dalam dewan dari kami Kerabu Bersuara.

Hadi wajib tolak pencalonan presiden PAS

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan menjalankan Muktamar Agungnya pada bulan Jun ini. Tahun ini juga merupakan tahun pemilihan. Para perwakilan ke Muktamar Agung akan memilih saf kepimpinan PAS Pusat yang baru.

Saya merasakan bahawa kali ini tidak banyak calon-calon baru yang akan bertanding. PAS Bukit Bintang membuat sedikit kejutan dengan mencalonkan Husam Musa sebagai Presiden. Tetapi itu hanyalah satu kes terpencil. Bukan norma biasa.

Hadi Awang boleh dikatakan telah menjalankan amanah dengan sebaiknya sebagai Presiden PAS. Hadi mengambil alih tampuk kepimpinan setelah Almarhum Fadzil Noor pulang ke rahmatullah. Tanggungjawab yang dipikul oleh Hadi memang besar kerana beliau menggantikan seorang tokoh yang dihormati kawan dan lawan. Tetapi secara umumnya Hadi telah menjalankan amanah yang sewajarnya.

Tiada sesiapa boleh menafikan bahawa Hadi telah membawa PAS ke satu tahap baru dalam sejarahnya. Sepuluh tahun dahulu, siapa yang boleh menyangka bahawa PAS akan mempunyai sebuah sayap untuk mereka yang tidak mempercayai keesaan Allah dan keRasulan Muhammad? Tetapi di bawah kepimpinan Hadi, PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Memang betul masih ada unsur-unsur diskriminasi walaupun badan itu telah wujud. Ahli-ahli Dewan Himpunan masih tidak mempunyai hak yang betul-betul sama dengan ahli PAS yang beragama Islam. Tetapi kita perlu melihat isu ini dari perspektif perubahan jangka panjang.

Apabila sebuah parti Islamis membuka pintunya kepada orang bukan Islam, maka ia merupakan reformasi yang amat signifikan. Sebagai perbandingan, kita tidak mendengar langsung ura-ura MCA mahu menubuhkan satu sayap rasmi untuk orang bukan Cina. Atau MIC untuk kaum bukan India. Apatah lagi Umno untuk orang bukan Melayu.

Maka memang pasti Hadi telah berjaya membawa satu pembaikan yang amat besar terhadap PAS. Tanggungjawab seterusnya ialah untuk meneruskan lagi pembaikan yang dimulakan oleh Hadi agar pada suatu hari nanti golongan bukan Islam benar-benar mempunyai hak dan kuasa yang sama dengan semua ahli lain dalam menentukan dasar-dasar parti itu.

PAS mengambil masa lebih 50 tahun untuk tiba ke tahap ini. Maka rasanya tidak salah jika kita menunggu beberapa ketika lagi sehingga kesaksamaan yang tulin diwujudkan dalam PAS. Yang penting usaha menghapuskan diskriminasi dalam semua parti politik di Malaysia mesti terus berjalan.

Hadi juga merupakan seorang tokoh ulama yang disegani di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Status beliau sebagai seorang ulama amat penting bagi sebuah parti yang secara tradisinya tidak begitu kuat di kawasan bandar, dan penyokongnya pula adalah dari kalangan yang agak menitik beratkan pengamalan agama. Secara tradisinya PAS mempunyai konstituen yang tersendiri dan konstituen ini lebih selesa dengan seorang pemimpin bertaraf ulama.

Saya berpeluang menyertai Hadi di beberapa pertemuan di luar Malaysia. Saya sempat melihat sendiri betapa Hadi dihormati dan dianggap sama taraf dengan ulama besar seperti Yusuf Qardhawi, Rachid Ghanoushi, Kamal Helbawy, dan ramai lagi. Malahan bekas Perdana Menteri Turki Almarhum Najmudin Erbakan juga amat menghormati Hadi.

Ringkasnya ketokohan Hadi sebagai seorang ulama memang tidak boleh dipersoal.

Seperti manusia lain, Hadi juga punyai kelemahan. PAS kalah di Terengganu semasa beliau menjadi Menteri Besar. Dalam pilihanraya Sarawak baru-baru ini pula PAS kalah semua kerusi yang ditandingi. Ada lagi beberapa contoh lain yang boleh diberi untuk menunjukkan kelemahan Hadi.

Tetapi ini lumrah manusia dan sudah pastilah Hadi tidak boleh berlepas tangan. Tetapi, dengan pelbagai kelemahan yang ada, saya tetap merasakan bahawa Hadi telah menjalankan amanah dengan yang terbaik mungkin. Tidak perlulah dibicarakan isu kelemahan ini kerana tidak ada manusia boleh lari daripadanya.

Persoalan yang yang dihadapi oleh para perwakilan ke Muktamar Agung PAS nanti bukan sama ada Hadi telah menjadi Presiden yang baik atau tidak. Ini bukan pemilihan untuk memberi anugerah perkhidmatan cemerlang.

Tetapi, persoalan sebenar ialah, adakah Hadi boleh menjadi Presiden yang baik untuk memimpin PAS dalam pilihanraya akan datang dan seterusnya ke masa hadapan?

Kebenaran mungkin pahit untuk ditelan. Hakikatnya Hadi bukanlah individu terbaik untuk terus menjadi Presiden PAS. Saya akan simpulkan dengan cara semudah mungkin kenapa saya berkata demikian. Hadi tidak mempunyai ketrampilan ataupun ketokohan untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hadi telah mencipta imej beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat Melayu Islam. Tetapi beliau tidak dilihat sebagai seorang pemimpin untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan.

PAS perlu berfikir bagaimana untuk memperkukuh apa yang telah dibina oleh Hadi. Parti itu perlu mula membina imej sebuah parti yang berkemampuan memimpin seluruh rakyat Malaysia, bukan memimpin orang Melayu Islam sahaja. Dan yang nyata, Hadi bukan pembawa imej “pemimpin negara”.

Mungkin ada yang berhujah bahawa ini hanya masalah persepsi. Tetapi jika sebuah parti politik tidak menyedari peri pentingnya persepsi, maka parti itu berada di padang permainan yang salah. Politik ialah sebuah pertandingan persepsi. Kejujuran dan ketokohan seseorang itu hanya bernilai jika sifat-sifat ini berjaya mempengaruhi persepsi pengundi. Jika sifat-sifat itu tidak membawa persepsi positif, maka dalam bahasa kampungnya “tak payah pun tak apa”.

PAS memang memiliki individu-individu yang boleh membawa parti itu ke satu tahap baru. Husam Musa dan Nizar Jamaluddin hanya dua nama yang biasa disebut. Sudah pasti ada tokoh lain yang juga boleh melakukannya dan perlu dipertimbangkan.

Tetapi budaya politik dalam hampir semua parti di Malaysia ini secara umumnya memberi kelebihan kepada presiden sedia ada. Jika mahu menjadi presiden sehingga mati pun biasanya boleh. Parti-parti politik kita tidak mempunyai budaya yang mana seseorang presiden mengumumkan dengan penuh bangga bahawa beliau telah membawa parti itu ke satu tahap tertentu dan telah tiba masanya untuk orang baru mengambil alih untuk membawa parti itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam perubahan pucuk pimpinan Umno, MCA dan MIC. Semuanya terpaksa melalui era transisi yang amat menyeksakan. Dan PAS tidak terkecuali dalam budaya ini.

Hadi seharusnya menarik nafas panjang sambil menilai segala pencapaian besar beliau. Beliau boleh berbangga dengan apa yang beliau telah lakukan. Setelah itu, beliau perlu menerima hakikat bahawa telah tiba masanya untuk menyerahkan obor perjuangan kepada orang lain yang membawa PAS ke tahap yang lebih tinggi, sesuai dengan tuntutan rakyat agar PAS segera melahirkan pemimpin negara, bukan pemimpin bangsa atau pemimpin agama sahaja seperti selama ini.

Hadi pula jangan lah bermain kata-kata, kononnya tidak mahu menjadi presiden selama-lamanya dan bersedia dicabar. Bukannya beliau tidak tahu bahawa budaya parti politik di Malaysia ialah, sekiranya presiden tidak menolak pencalonan, maka tidak ada harapan perubahan akan berlaku.

Tidak ada gunanya bermain kata-kata kerana ia akan menyebabkan seorang presiden yang telah berjaya membawa pelbagai pembaikan akhirnya dilihat sebagai tunggul yang menghalang pembaharuan.

Jika Hadi boleh menyedari hakikat itu, maka parti dan negara akan mengingati beliau sebagai seorang tokoh ulung yang amat ikhlas berjuang sehingga rela mengorbankan jawatan dan kepentingan diri demi membuka laluan agar PAS menjadi sebuah parti nasional yang benar-benar diyakini mampu memimpin sebuah negara berbilang kaum.

Demi memastikan PAS boleh terus mara ke hadapan, Hadi wajib segera mengumumkan bahawa beliau tidak mahu mempertahankan jawatan Presiden dan menolak semua pencalonan. Hanya dengan cara itu sahaja akan berlaku pertandingan sihat yang akan membolehkan wujudnya sebuah PAS baru.

Polis restui blogger Umno-BN

KUALA LUMPUR: KEADILAN mendesak pihak polis menahan dan menyoal siasat pemilik laman web dan penulis blog yang menyebarkan sedutan rakaman video fitnah yang mengaitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Strategi dan Politik, Rafizi Ramli berkata, polis dan pimpinan Umno-Barisan Nasional merestui perbuatan individu tersebut, sebagai sebahagian perancangan jahat untuk menjatuhkan Anwar dan Pakatan Rakyat.

“Mengapa sehingga kini polis tidak memanggil blogger Papagomo tersebut dan lain-lain yang menyebarkannya?,”

“Sedangkan ketiga-tiga saksi (Datuk T) mengakui, selain dari pihak polis, hanya mereka yang mempunyai salinan video. Soalnya, bagaimana maklumat tersebut bocor kepada blogger dan disiarkan di dalam internet?,” katanya kepada Keadilandaily.com

Rafizi mendakwa seolah-olah wujud ‘kerjasama’ di antara pihak berkuasa dengan rangkaian blogger yang membocorkan video fitnah itu yang kini masih dalam siasatan pihak polis.

“Bahkan kita lihat, kenyataan polis turut berbaur politik. Tidak lain tindakan ini merupakan sebahagian dari konspirasi politik bertujuan untuk mencalar kredibliti Ketua Umum KEADILAN,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dalam reaksinya berkata, tindakan blogger tersebut melampau, keterlaluan dan memalukan apabila berniat jahat dengan meletakkan tajuk video yang mengaitkan nama keluarga Anwar Ibrahim.

“Apakah Umno dan Barisan Nasional begitu terdesak dan tiada hujah untuk menghadapi pilhan raya umum akan datang, sehingga membawa fitnah dan mengaitkan nama keluarganya?

“Saya sangat bimbang masa depan negara semakin gelap berikutan isu yang dibawa media bukan lagi berkenaan permasalahan rakyat, tetapi penyebaran fitnah politik yang dibawa secara lucah untuk menundukkan saingan.

“Kerajaan hari ini seolah-olah mahu mendidik rakyat dengan mencipta persepsi politik melalui cara yang jijik, apabila secara fitnah ia disebar secara terang-terangan,” kata Surendran.

Gambar: TG Nik Aziz Menerima Kunjungan Hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia

http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/221912_10150170290552592_358919387591_7352612_1372668_n.jpg

Alhamdulillah, baru selesai mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia. Banyak perkara yang dibincangkan, isu pendidikan, senario politik di Malaysia dan lain-lain. Tidak lupa saya tegaskan pendirian saya terhadap isu Palestin dan rasa tidak puas hati dengan polisi Amerika Syarikat di Palestin. Saya katakan, sepasang selipar pun tidak ada sesiapa yang berhak merampasnya dari tuannya yang asal, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat. Insya-allah, harapan saya mesej ini sampai kepada dunia.

Anwar beri keterangan video fitnah

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan kepada polis berkenaan siasatan video fitnah di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada jam 2.30 petang ini.

Ia susulan laporan polis yang dibuat beliau pada 22 Mac lalu, berhubung video lucah tersebut yang ditayangkan kepada sekumpulan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Semalam, KEADILAN memaklukan sepasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah memohon untuk merakamkan kenyataan tambahan daripada Anwar berhubung video tersebut yang ditayangkan Trio Datuk T yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Eskay Shazryl Abdullah dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Individu-individu ini juga telah mengedarkan kenyataan bertulis kepada para wartawan dengan fitnah bahawa Anwar merupakan individu di dalam video lucah tersebut serta mengugut beliau supaya bersara dari politik.

Difahamkan kenyataan tersebut akan dirakamkan oleh DSP Shanmugamoorthy dan Anwar dijangka mengadakan satu sidang media sebaik kenyataan beliau selesai dirakamkan.

Semalam, blogger Pro Umno-BN menayang sedutan kedua rakaman video fitnah berkenaan di internet.

Sebelum ini, terdapat percanggahan kenyataan yang dikeluarkan pihak polis dan Eskay, salah seorang trio yang menayangkan video lucah berkenaan.

Eskay menyatakan wanita di dalam video itu adalah seorang pelacur warga negara China, dan kejadian seks itu dirakam di sebuah hotel di ibu negara.

Manakala pihak Polis pula menyatakan video tersebut dirakam di sebuah kondominium melibatkan seorang pelajar wanita dari sebuah kolej swasta di ibu negara.

MCA tak patut salahkan Perkasa kerana hilang undi Cina, kata Ibrahim

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 28 April — Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Ketua Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie sebagai “buat sejarah” kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008.

Sebaliknya tegas Ibrahim, BN hilang sokongan masyarakat Cina kerana MCA memilih pemimpin yang tidak bermoral untuk menerajui parti itu.

“Sebab utama MCA ditolak pada pilihan raya umum ke-12 adalah kerana video seks Chua Soi Lek (Presiden MCA) didedahkan kepada umum, yang mana ketika itu Perkasa belum lagi ditubuhkan.

“Jadi MCA ditolak masyarakat Cina kerana mereka malu mempunyai pemimpin yang tidak bermoral dan MCA juga ditolak kerana ramai pemimpin dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan rasuah,” katanya.

Kata beliau, kehilangan sokongan masyarakat Cina kepada BN bukan disebabkan Perkasa kerana pertubuhan membela hak Melayu itu ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

“Nampaknya Datuk Heng Seai Kie buta sejarah kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia penyebab MCA ditolak masyarakat Cina sejak 2008 dan pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

“Saya nak ingatkan beliau (Heng), bukan Perkasa yang sebabkan MCA ditolak masyarakat Cina pada 2008 dan kerana Perkasa belum wujud pada pilihan raya umum ke-12, Perkasa diwujudkan lima bulan selepas pilihan raya umum ke-12 dan Perkasa juga bukan penyebab Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tewas banyak kerusi di Sarawak,” kata Presiden Perkasa itu dalam satu kenyataan.

Kata Ibrahim, kekalahan SUPP tidak ada kaitan dengan Perkasa kerana pertubuhan bukan kerajaan itu tidak mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan parti itu tewas banyak kerusi kepada DAP.

“Perkasa tidak ambil bahagian dalam kempen pilihan raya di Sarawa, perlu ambil perhatian mengapa etnik lain di Sarawak boleh beri sokongan kepada BN di Sarawak jika tidak kerana mereka percaya kepada BN. Masyarakat Cina semuanya beri sokongan kepada BN dan BN juga tidak boleh membentuk kerajaan sekiranya etnik Bumiputera lain menolak BN.

“Mana yang lebih penting, 100 peratus sokongan Bumiputera atau 100 peratus sokongan Cina?” soalnya.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan Heng bahawa Perkasa bukan membenci masyarakat Cina tetapi pemimpin Cina dari BN dan Pakatan Rakyat yang mendesak Putraraja agar menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera,

“Mereka tidak menghormati Perlembagaan negara, ramai juga pemimpin Cina yang menghina Islam dengan mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran.

“Perkasa tidak akan berpeluk tubuh, Perkasa akan terus berjuang mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian Islam dan saya memberi amanaran kepada MCA supaya jangan sakiti orang Melayu kerana undi orang Melayu juga penting,” katanya.

Kelmarin Heng mendakwa Utusan Malaysia dan Perkasa yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008.

Oleh itu beliau juga menggesa Kementerian Dalam Negeri agar mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana mengesyorkan gelombang “1Melayu, 1Bumi” yang mana disokong Perkasa walaupun ditolak penaungnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Heng memberitahu The Malaysian Insider bahawa akhbar milik Umno itu secara berterusan menerbitkan artikel yang bersifat perkauman dan ia akan memberi kesan kepada perpaduan negara.

Utusan Malaysia meminta Umno supaya menggerakkan gelombang “1Melayu, 1Bumi” yang melibatkan semua parti Melayu, dan mendakwa DAP berniat untuk menjatuhkan kepimpinan negara.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok mengingatkan gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang disyorkan akhbar harian berbahasa Malaysia itu akan mewujudkan suasana kurang senang di kalangan rakyat Malaysia.

Alahai PPSMI lagi… — Zainal Abidin Borhan

Bible atau Al-Kitab di dalam Bahasa Melayu telah dibenarkan untuk dibaca oleh para penganut Kristian di Sarawak dan Sabah, mungkin juga di Semenanjung. Tahap literasi Bahasa Melayu sudah meningkat sehingga memerlukan kitab berkenaan ditulis dalam Bahasa Melayu.

Lazimnya terdapat Al-Kitab berbahasa Inggeris di kamar hotel-hotel berbintang di Malaysia. Parent Action Group for Education (PAGE) yang berpusat di Bukit Damansara pula menuntut supaya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikekalkan.

Satu paradoks. Satu pihak mahukan Bahasa Melayu, malah menggunakan perkataan Allah atas kepentingan penyebaran agama, yang satu berterusan mahukan bahasa Inggeris atas kepentingan kemajuan masa depan anak-anak mereka. Manakala pihak Dong Jia Zong mahu terus kekal diajar dalam bahasa ibunda.

Di seluruh dunia apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan dan berdaulat, ada beberapa tindakan yang dilakukan iaitu pembinaan negara bangsa, perpaduan, nasional dan politik, serta pembangunan kemajuan ekonomi. Pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional digembleng untuk mewujudkan identiti, jati diri dan perwatakan kebangsaan.

Bahasa kebudayaan hatta agama serta segala bentuk, ciri, sifat, sistem nilai dan warisan dijadikan instrumen perpaduan. Negara-negara yang mengekalkan institusi raja dan kesultanan meletakkan institusi berkenaan sebagai lambang perpaduan dan payungan berteraskan perlembagaan.

Semenjak Persekutuan Malaysia merdeka segala wadah dan wahana identiti kebangsaan sudah mantap dan terkanun atau termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta segala dasar yang sehubungan dengannya. Isu bahasa khasnya penggunaan bahasa pengantar di sekolah nampaknya tidak kunjung selesai apabila dipolitikan dan digunakan sebagai tuntutan hak dan keistimewaan.

Bahasa pengantar yang mengguna Bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) sering dicabar oleh pihak yang mahu mengekalkan bahasa sukuan dan kauman.

Pengajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan ditetapkan dan dituntut supaya guru-guru hendaklah daripada keturunan tertentu tidak dari penutur asli bahasa ibunda Bahasa Melayu.

PPSMI kini mencetuskan polemik yang tidak kunjung selesai, malah menimbulkan reaksi yang pelbagai apabila Perdana Menteri menyebut di kalangan sahabat Facebook di Pulau Pinang, bahawa kemungkinan kerajaan akan mengkaji cadangan PPSMI diajar di dalam dua bahasa pengantar.

PAGE dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris mula mencanangkan isu bilingualism untuk PPSMI sebagai jalan keluar terbaik, suatu situasi menang-menang, yang tidak semestinya terbaik.

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) bersama-sama 48 pertubuhan Melayu juga Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) membantah sekeras-kerasnya akan cadangan berkenaan. Lulus jarum lulus kelindan, bermula dari PPSMI, maka akan ada pula cadangan untuk multilingualism di sekolah-sekolah.

Identiti nasional yang berteraskan kepada seluruh wadah dan wahana kebangsaan akan hancur luluh, diluluh-lantakkan oleh kepentingan kelompok minoriti. Bahasa sebagai simbol perjuangan kebangsaan, perpaduan kebangsaan yang berteraskan semangat kebangsaan tidak lagi mempunyai apa-apa makna. Ia akan terakam sebagai satu sejarah yang dikalahkan oleh kepentingan praktis dan material kehidupan manusia.

Para pejuang bahasa sekeras-kerasnya menolak PPSMI tetapi tidak menolak peri pentingnya Bahasa Inggeris. Mereka memikirkan kepentingan bangsa dan negara bukannya kepentingan sekelompok kecil elit dan kelas atasan. Ditimbulkan persoalan ini bukannya para pejuang bahasa anti kelas tetapi khuatir ada pihak yang akan mengguna isu ini dalam kerangka kepentingan politik.

Secara khususnya pembesaran kelas menengah Melayu disebabkan oleh pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Semakin ramai kelas teknokrat, korporat dan birokrat Melayu adalah disebabkan kedua-dua dasar tersebut, walau pun dari segi jumlah kelas ini masih kecil berbanding kelas yang sepertinya di kalangan bukan Melayu.

Amat dikhuatirkan Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengucapan kelas birokrat, teknokrat dan korporat Melayu di bandar seperti Bukit Damansara dan kawasan-kawasan sepertinya, berbanding majoriti rakyat di luar bandar yang terus berbahasa Melayu. Maka Bahasa Inggeris untuk kelas atasan Melayu manakala Bahasa Melayu untuk kelas bawahan Melayu.

Bahasa Melayu akan terus dipandang kampungan, penuh kekolotan dan tradisional. Satu jurang kebudayaan yang tidak molek dalam kerangka perpaduan Melayu. Bukan sahaja berlaku susun lapis dari segi sosial dan ekonomi, malah dari segi bahasa, kembali ke fenomena zaman kolonial dan pra-merdeka.

Padang sosial akan terus tidak rata, akan sukar untuk mencapai keadilan sosial, walau pun sesama Melayu, apatah lagi dengan bukan Melayu.

Seandainya isu PPSMI kembali dipolitikkan dan parti politik Melayu yang dominan seperti Umno sepi pula untuk memberikan reaksi, kemungkinan parti politik pembangkang Melayu lain akan mengutipnya mewadahi perjuangan politik mereka. Faktor jurang kebudayaan ini boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik. Sekiranya agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tidak direalisasi secara konkrit, maka masalah juga akan muncul.

Pengumuman membolehkan PPSMI dalam dua bahasa pengantar sedikit sebanyak merupakan kemenangan politik kepada PAGE. Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak merupakan kepentingan politik? Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak didahulukan?

Sewajarnya kita belajar dari pengalaman negara-negara lain di dunia untuk memahami betapa perlunya proses pembinaan negara bangsa melalui bahasa. Orang Turki, Kurdi dan Arab memiliki bahasa yang hampir sama, tetapi lantaran kepentingan politik mereka saling berusaha untuk menidakkan antara satu sama lain, sehingga orang Kurdi bertempiaran di seluruh dunia.

Begitu juga orang Serbia, Croatia, dan Bosnia yang menggunakan bahasa yang sama, lantaran perbezaan agama, Serbia Ortodoks Kristian, Croatia Katoliks dan Bosnia Islam, maka runtuhlah Yugoslavia, melahirkan negara Serbia, Croatia dan Bosnia.

Bahasa Hebrew atau Ibrani telah lama pupus. Ia adalah bahasa Kitab Zabur dan Taurat. Tetapi Israel menghidupkan kembali bahasa Ibrani tersebut dengan pelbagai tindakan dan pendekatan termasuk menubuhkan Dewan Bahasa, maka bahasa Ibrani memberikan identiti, menyatu-padukan orang Israel sehingga memberi kekuatan mahu menghapuskan Arab Palestin.

Daripada pengalaman tersebut bahasa boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu negara, tetapi adalah amat diharapkan isu PPSMI ini tidak terjerumus ke lembah konflik. Pihak pemerintah telah mengemukakan MBMMBI, maka pelaksanaannya perlu disegerakan dan tidak wajar PPSMI dikaji semula atau dilaksanakan dalam apa jua bentuk.

Pendekatan dan kaedah yang ditetapkan oleh MBMMBI amat memadai untuk mempertingkatkan keterampilan berbahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah.

Kita tidak mahu ada kelompok yang terus mengasingkan diri dari kelompok majoriti. Pengasingan budaya melalui bahasa amat berbahaya.

Janganlah isu PPSMI diulang kembali untuk memusnahkan segala harapan untuk mencapai kemajuan, kesejahteraan, keamanan, masa depan rakyat terbanyak dan negara, maka berjiwa besarlah untuk mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak. — Utusan Malaysia

* Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan adalah setiausaha Satu Gapena.

Anwar lafazlah Wallahi, Wabillahi, Watallahi — itu bukan saya! — Zaini Hassan

Nasib malang Anwar Ibrahim semakin bertimpa. Di Mahkamah Tinggi kelmarin, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mendakwa Anwar Ibrahim sebagai penyumbang utama asid deoksiribonuklek (DNA) Lelaki Y yang ditemui di dalam rektum Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Ujian DNA tidak menipu. Ujian saintifik itu adalah 100 peratus tepat, bukan seperti mulut manusia yang sering bernista dan berdusta.

Isu moral melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia — yang selama ini cukup berazam mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia — amat sukar diketepi lagi. Video seks mirip Anwar Ibrahim, yang saya syorkan supaya diedarkan secepat mungkin bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat, adalah salah satu lagi bala yang menimpa Anwar.

Hampir semua yang melihat video seminit lebih itu percaya itu adalah Anwar. Namun, Anwar menafikannya. Isterinya, Wan Azizah Ismail atau dipanggil Kak Wan serta anaknya Nurul Izzah juga menafikannya.

Kita amat faham perasaan Kak Wan dan Nurul Izzah untuk mempertahankan suami dan bapa mereka itu.

Bagi Anwar dia mempunyai tanggungjawab moral yang cukup tinggi dalam sejarah dirinya dan keluarganya. Beliau harus kembali ke jalan Allah SWT dan kembali ke jalan Islam. Ini bukan permainan perhubungan awam lagi, atau permainan politik dan psikologi songsang.

Dia kena bersihkan namanya secara Islam. Dia kena bersumpah mubahalah. Anwar kena bersumpah laknat, di hadapan rakyat jelata dan para pengikutnya. Nik Aziz Nik Mat yang selama ini mempertahankan Anwar harus menasihati ‘buah hatinya’ itu supaya bersumpah laknat.

Anwar hanya perlu lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Saiful dulu.

Anwar kena bersumpah bagi menjelaskan tuduhan trio Datuk T ke atasnya berhubung rakaman video seks yang didedahkan itu adalah tidak betul. Jika tidak betul, biar Allah yang menentukannya.

Datuk Shazryl Eskay Abdullah atau dikenali sebagai Datuk Eskay, orang yang dikatakan turut kelihatan dalam video itu, perlu juga melakukan sumpah laknat. Ia bagi membuktikan bahawa memang benar orang yang berada dalam video itu adalah dia dan Anwar, dan itu bukan pembohongan.

Eskay mungkin akan didakwa di mahkamah kerana mengedar dan memiliki video itu yang dikatakan sebagai bahan lucah. Tapi tindakan Eskay itu, sama seperti sahabat-sahabat Anwar yang telah berpaling tadah, ialah kerana mereka sudah tidak tertahan dengan perangai dan tabiat luar biasa Anwar itu.

Sesiapa sahaja yang waras akan mengambil tindakan yang sama seperti Eskay. Eskay merasakan perbuatan Anwar perlu dihentikan. Mungkin kerana itulah beliau membuat pendedahan mengenai video itu.

Dalam upacara sumpah laknat itu, kedua-dua Anwar dan Eskay perlu ada. Saya rasa itu lebih afdal. Masa yang paling baik ialah selepas solat Jumaat. Apa kata minggu ini? Kita berharap kedua-duanya dapat mengadakan upacara itu bagi membersihkan diri masing-masing.

Saya berharap jika upacara itu jadi dibuat. Semua alim-alim ulama negara harus dijemput hadir sama. Ia bagi membolehkan fitnah-fitnah yang ditimbulkan hasil daripada isu video lucah itu dapat dihentikan.

Kita bimbang dengan fenomena masyarakat Melayu Islam di negara kita sekarang. Mimbar masjid telah digunakan untuk mempolitikkan isu ini. Sebelum fitnah memfitnah menjadi lebih besar, para ulama harus menyaksikan upacara itu.

Dalam peristiwa Islam hasil daripada sumpah laknat itu akan Allah tunjukkan sejak di dunia lagi. Dalam tradisi Hindu, ia disebut Hukum Karma atau the Law of Karma yang membawa maksud hukum pembalasan di dunia.

Buat Anwar dan Eskay, anda tidak perlu bimbang. Jika anda tidak bersalah, apa yang dibimbangkan? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui, Allahu A’lam. — Utusan Malaysia

DAP mahukan pemimpin Melayu yang berintergriti memimpin negara — Aspan Alias

Saya ditanya oleh beberapa orang adakah DAP benar-benar ingin mengambil alih negara ini dan pemimpinnya akan menjadi PM jika DAP berkuasa? Jawapan saya kepada soalan itu ialah; jika DAP berjaya menguasai Parlimen pemimpinnya akan menjadi PM dan mengetuai eksekutif negara.

Tetapi adakah itu akan terjadi? Jawapannya adalah TIDAK kerana DAP tidak pernah menurunkan jumlah calun yang cukup untuk mengambil alih negara jika semua calunnya menang di dalam pilihanraya umum.

Di Sarawak baru-baru ini DAP hanya bertanding di lima belas kerusi dari jumlah 71 di dalam DUN Sarawak. Di Pulau Pinang sendiri DAP hanya bertanding di 19 kerusi sedangkan untuk mendapat majoriti yang “simple” parti itu memerlukan 21 kerusi setidak-tidaknya. DAP menurunkan 19 calun dan memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya.

Seperti juga MCA kehadzirannya di dalam politik negara bukan untuk mengetuai kerajaan dan menjadi PM kepada negara ini. Di Perak PAS hanya memenangi kerusi yang kecil bilangannya tetapi DAP yang telah memenangi kerusi yang banyak tidak mengambil kerusi MB kerana undang-undang tubuh negari itu hanya memperuntukan jawatan MB itu untuk orang Melayu. Maka diberikan kerusi itu kepada Nizar Jamaludin dari PAS.

Tetapi UMNO telah merampas kuasa melalui permainan politik kotor dan mengambil alih pentadbiran negeri Perak itu. Hanya UMNO sahaja memilih seorang MB yang tidak berapa Melayu sebagai MB negeri itu. Itu bukan salah DAP.

Dalam pilihanraya dahulu DAP telah bertanding kurang dari 50 kerusi Parlimen dan jumlah itu tidak sampai pun 25 peratus dari keseluruhan jumlah kerusi di Dewan Parlimen kita. Masing-masing bilanglah jumlah kerusi yang dipertandingkan oleh DAP di negeri-negeri lain. Jumlah calun mereka jika menang sekali pun tidak akan membolehkan DAP menjadi tunjang pemerintahan negara.

Hanya mereka bersatu dengan parti-parti yang mereka bersama di dalam “coalition” alternatif untuk memerintah di Pulalu Pinang seperti juga yang berlaku semasa Gerakan memerintah dahulu. Bezanya dulu Gerakan yang di dominasi oleh bangsa Cina dan sekarang di perintah oleh DAP parti “multiracial” yang di dominasi oleh kaum Cina juga.

Persoalannya, apa yang menjadi masalah kepada orang Melayu di Pulau Pinang misalnya . . . atau kepada orang Melayu di seluruh negara? MCA tidak akan membolehkan bangsa Melayu untuk menjadi calun sedangkan DAP jika menunjukan dengan secara “real” yang parti itu merupakan parti “multiracial”. Jika DAP meletakan calun Melayu di setengah kawasan, maka parti itu wajar menjadi alternatif kepada MCA. Apa lagi yang orang Melayu hendak memberikan sokongan kepada MCA lagi sedangkan parti itu tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada BN?

Malahan MCA sudah menjadi beban yang berat untuk dikendung bersama. Calun-calun MCA terpaksa di letakan di kawasan yang di dominasi oleh orang Melayu untuk mendapatkan sedikit peluang untuk menang, sedangkan DAP merupakan parti yang “reliable” yang boleh membawa sokongan orang cina jika kita bekerja sama dengannya. Tidak bolehkah BN memikirkan hal ini?

Kenapa tidak di usahakan untuk bekerjasama? Mungkin DAP boleh memberikan kerjasama dengan BN tetapi yang menjadi “apprehension” kepada parti itu ialah samada mereka berkeyakinan dengan keseluruhan kepimpinan BN khususnya Umno yang ada pada hari ini.

Itulah sebabnya jika pemimpin Umno mampu untuk berkorban demi parti dan bangsanya maka kerjasama itu tidak mustahil boleh di lakukan. Apabila kerjasama itu mampu dilakukan maka kita akan kembali kepada zaman negara mula mencapai kemerdekaan dahulu. Parti Cina mengambil sokongan orang Cina, parti Melayu meraih sokongan orang Melayu dan India mengambil sokongan orang India. Itulah Perikatan dahulu.

Yang masih menjadi masalah ialah orang Melayu sahaja. Orang Cina sudah sepakat berteduh di bawah DAP, orang India nampaknya sudah kembali bersatu di bawah MIC dengan kompromi yang sedang di lakukan oleh parti itu dengan menyatukan kembali semua ahli-ahlinya yang telah dipecat oleh Samy Velu dahulu dengan ahli-ahli yang sedia ada.

Pendeknya orang Cina telah mengambil sikap dan telah pun menunjukan pendirian mereka. Orang India pula mengambil sikap untuk terus bersama MIC. Hanya orang Melayu sebenarnya yang belum bersatu dan saya merasakan orang Melayu sedang melakukan “soul-searching” dan belum lagi menampakan “urgency” untuk menentukan sikap mereka.

Orang Cina dan India sudah bersedia dan sudah pun menentukan sikap yang baik untuk mereka. In\i negara demokrasi. Orang Melayu sememangnya tunjang kepada politik negara. Tetapi orang Melayu harus menunjukan “disposition” sebagai peneraju kepada politik negara. Sebagai tunjang pemimpin Melayu mesti menunjukan kepimpinan bersih yang hakiki untuk mendapat penghormatan oleh bangsa lain yang kita pimpin sekali.

DAP tidak anti Melayu. Tetapi momokan media dengan parti-parti yang berkuasa telah membuat orang Melayu mempunyai perasaan takut kepada dominasi DAP di kalangan bangsa Cina. Maka yang menggunakan sentiment rasis ini adalah Umno dan ini hakikat. Takkanlah saya keliru kerana saya juga pernah bergiat aktif dalam Umno dan itu perkara yang di antara sesama Melayu memahaminya.

Jika DAP menunjukan kepada rakyat yang parti itu adalah parti untuk semua kaum maka DAP sepatutnya meletakan beberapa calun Melayu dan jika ini dilakukan oleh DAP maka yang pasti akan terjadi parti itu akan mendapat sokongan dari sebahagian pengundi Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang.

Saban hari rakyat bertambah terbuka dan berfikir dan tidak lagi menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh media perdana dan aktivis pro BN yang giat melalu alam cyber dan sebagainya. Zaman berubah dan siasah pun berubah. Sedangkan sungai kan berubah apatah lagi pemikiran manusia yang begitu sofiskated di hari ini.

Yang menjadi “apprehension” yang terbesar bagi DAP untuk bekerjasama pada pendapat ramai yang saya bertanya ialah DAP tidak berkeyakinan kepimpinan pada hari ini boleh melaksanakan tugas kenegaraan dengan penuh tanggungjawab dan telus.

Maka itu masalah UMNO. Tidak tahulah kita samada parti ini boleh melakukan perubahan kerana ianya memerlukan pengorbanan barisan kepimpinan untuk mempastikan UMNO ini relevan lagi kepada keperluan dan kehendak ramai.

Tetapi mahu tidak mahu UMNO mesti berubah untuk tidak menjdi parti yang dipinggirkan oleh rakyat di masa yang akan datang. Kehendak rakyat lagi berperanan dari kehendak pemimpin, kerana tanpa rakyat tiada pemimpin. Persepsi yang buruk yang ada pada UMNO harus dikikis dan ianya hanya boleh dilakukan dengan pertukaran barisan kepimpinan. — aspanasliasnet.blogspot.com

Kehormatan tidak terletak di celah kangkang kaum wanita — Erna Mahyuni

Baru-baru ini saya dikecam keras ekoran gurauan saya yang merujuk kepada seorang ibu sebagai seorang pelacur (rujuk sini). Saya akui ia menyinggung hati dan ia satu percubaan secara sengaja untuk memprovokasi.

Tetapi sejujurnya, saya tidak memandang rendah terhadap golongan pelacur atau pelacuran. Lagipun, ia sering disebut sebagai ‘kerjaya yang paling tua di dunia’. Hakikatnya permintaan merangsang bekalan dan bukan sebaliknya.

Pada pendapat saya adalah tidak adil sekiranya kehormatan seorang wanita ditakrif berdasarkan organ yang tersarang di celah kakinya. Apabila seorang lelaki “membela kehormatan seorang wanita”, bererti dia sebenarnya mempertahankan bahagian tubuh tersebut juga. Carut-marut yang paling teruk sekali di dalam bahasa Cina dan bahasa Melayu pun bukan lain dari nama-nama kesat untuk kelamin wanita.

Segalanya berkisar pada dara, kemurnian dan sucinya anu kaum hawa. Kita dihantui dengan pembelaan faraj wanita hingga masyarakat kita dari segi itu boleh diumpamakan sebagai cawat besi yang mutakhir.

Kehormatan seorang lelaki manakala tidak pula bergayut pada kelangkangnya. Ini jelas tidak adil. Kalau, misalan kata, saya mengurat seorang teruna dan kami bersetubuh, kehormatan dia tidak tercabul. Tetapi songsangkanlah jantina dan lain pula kesimpulannya.

Mengapakah ukuran kehormatan dan nama baik seorang wanita tidak mengambil kira seluruh aspek dirinya, dan bukan sahaja bertumpu pada liang peranakannya?

Mengapa janji seorang wanita tidak boleh dikira sebagai jaminan buat dirinya? Kenapakah watak, akal dan pencapaian seorang wanita tidak dinilai dengan lebih tinggi daripada soal sama ada seorang wanita mengizinkan atau tidak seorang lelaki untuk mengisi ‘jurang sulitnya’?

Saya terharu semasa membaca ulasan-ulasan mengenai ‘kes pikat’ Daphne Iking. Suami Iking tergamak untuk membalas dendam terhadap pesaing untuk kasihnya dengan menggunakan undang-undang yang berkenaan. Ini satu persendaan. Undang-undang tersebut menyifatkan wanita tidak lebih daripada barang milik peribadi. Di bawah taklukan undang-undang tersebut, Iking tidak lain daripada seekor haiwan beban. “Kamu menggoda kaldai saya supaya masuk ke ladang kamu maka kamu bayarlah ganti ruginya!”

Adakah para pembaca mengambil kisah tentang perkara itu? Tidak. Ulasan-ulasan yang ditinggalkan pada rencana itu menjijikan. Para moralis dengan senang-wenang menghakimi Iking, menggelarnya jalang, wanita yang tidak bermoral, pisau cukur. Mereka hairan mengapa majikan Iking tetap menggajinya walaupun tahu tentang masa lampaunya yang tidak menyenangkan itu.

Saya tidak mengenali Daphne Iking secara peribadi tetapi saya rasa dia tidak patut difitnah sebegitu rupa kerana tersilap langkah dalam cinta. Tidak pelik jika kita terjatuh hati dengan orang yang salah pada waktu yang salah di situasi-situasi yang paling rumit sekali — itulah hakikat hidup manusia.

Mereka yang berdesas-desus tentang siapakah ayah sebenar kepada anak perempuan Iking patut berasa malu. Buat apa menjaga tepi kain orang? Lagipun, apa yang dibuat oleh seorang wanita dengan anu di antara kakinya ialah urusan dia dan bukan urusan siapa-siapa selain darinya.

Siapa yang kamu tiduri, tidak tiduri atau mahu tiduri itu sebenarnya urusan peribadi anda. Kita sering bergembar-gembur tentang seks dan moraliti kononnya dan lupa apa ertinya menjadi seorang insan yang baik, berbudi, yang mengambil berat; insan yang tidak menghakimi orang lain dan yang melayan orang lain sepertimana kita sendiri mahu dilayani.

Buat kaum hawa, ingatlah: Kini sudahpun abad yang ke-21. Sanjungi diri anda dan naluri cita anda serta berbanggalah dengan hakikat bahawa anda tidak dinilai harga diri berdasarkan alat kelamin anda semata-mata. — english.cpiasia.net

* Terjemahan rencana yang bertajuk ‘Honour is not found between a woman’s legs’; The Malaysian Insider, Mac 9, 2011.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Imej Kuntilanak dekat jambatan runtuh

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0428/Kosmo/Dunia/du_05.1.jpg
HANTU kuntilanak (dalam bulatan) dirakamkan oleh Pego Guntoro dekat sebuah jambatan di Tanjong Anom, Indonesia pada Isnin lalu.

TANJUNG ANOM - Seorang lelaki, Pego Guntoro berjaya merakamkan gambar hantu kuntilanak di celah sebatang pokok di sebuah jambatan yang runtuh di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar itu dirakamkan oleh Guntoro menerusi telefon bimbit berkamera pada petang Isnin lalu.

Dalam imej tersebut, hantu kuntilanak itu memakai baju labuh berwarna putih, rambut panjang mengurai manakala tangannya tidak kelihatan.

"Jika diperhatikan, ia seperti kuntilanak," kata seorang rakan Guntoro yang hanya mahu dikenali sebagai Ratno.

Menurutnya, semasa gambar itu dirakamkan, Guntoro kelihatan ketakutan dan menghantar imej tersebut kepadanya.

Penduduk di sekitar lokasi jambatan itu mengaku kuntilanak pernah dilihat di kawasan tersebut.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Agus menyatakan bahawa dia pernah melihat kuntilanak dengan wajahnya yang cukup cantik semasa melintas di atas jambatan itu.

Kuntilanak merupakan hantu yang dipercayai berasal dari ibu hamil yang mati. - Agensi

Gambar: Obama dedah sijil lahir

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0428/Kosmo/Dunia/du_02.1.jpg

SIJIL kelahiran Barack Obama yang didedahkan semalam.

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam mendedahkan sijil kelahirannya bagi menamatkan isu bahawa beliau bukan warga AS.

“Kami tidak mempunyai masa untuk kebodohan ini,” kata Obama menerusi ucapan yang disiarkan menerusi televisyen dari White House di sini.

Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa beliau tidak dilahirkan di AS sehingga menyebabkan bilionair terkenal, Donald Trump menghantar para penyiasat ke Hawaii untuk mengesahkan kedudukan sebenar Obama.

Desas-desus itu juga menyebabkan ahli-ahli perwakilan di negeri Arizona mengundi rang undang-undang yang mahukan calon presiden menunjukkan bukti mereka lahir di AS.

Dalam sijil kelahiran yang didedahkan semalam, Obama dinyatakan dilahirkan oleh bapa keturunan Kenya dan ibu warga AS di Hawaii.

Tempat lahir Obama di Hawaii itu sekali gus menyebabkan beliau layak untuk memegang jawatan presiden AS berdasarkan perlembagaan negara ini.

Dokumen kelahiran Obama itu ditandatangani oleh seorang doktor yang menyambut kelahirannya di Hanolulu, Hawaii pada 4 Ogos 1961.

“Saya yakin, bahawa rakyat Amerika dan pemimpin politik Amerika boleh bersatu dalam apa jua cara dan menyelesaikan masalah ini,” kata Obama. – Agensi

Pemilih baru naik ketara, lebih 300,000 daftar suku pertama 2011

KUALA LUMPUR, 27 April – Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 semakin dekat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mencatatkan peningkatan jumlah mereka mendaftar sebagai pemilih baru – lebih 300,000 orang mengemukakan permohonan pada suku pertama tahun ini.

Angka itu mengatasi lima suku terakhir sebelum ini dan mengalami peningkatan peningkatan ketara.

Ia juga dua kali ganda lebih tinggi berbanding suku pertama tahun lalu.

Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku pertama tahun 2011 iaitu dari Januari hingga Mac, SPR menerima 301,171 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 59,075 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Nama-nama baru itu akan dipamer di bawah Rang Daftar Pemilih tambahan bagi suku pertama tahun 2011 untuk semakan orang ramai mulai esok hingga 4 Mei, kata Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said.

Ia akan dipamerkan di 1,005 tempat di seluruh negara iaitu 15 Pejabat Pilihan Raya Negeri; 475 Pejabat Pos Berkomputer; 105 kompleks/pejabat kerajaan; 156 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah; 51 majlis daerah/perbandaran; 173 dewan serbaguna/rukun tertangga/balai raya/ penghulu atau dewan; dan 30 di tempat-tempat lain.

“Orang ramai yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi, dinasihat membuat semakan,” katanya.

Perangkaan dikeluarkan SPR sebelum ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Berdasarkan daftar yang disahkan setakat 31 Disember lalu, SPR mempunyai 11,817,936 orang pemilih.

Siar fitnah, Utusan tetap tidak beretika- Idris Ahmad

April 27, 2011

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, Utusan tidak beretika apabila melaporkan secara semborono mengenai perkembangan kes perbicaraan Fitnah II membabitkan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau merujuk laporan Utusan Malaysia semalam dengan tajuk berita utama ‘Anwar Lelaki Y’, yang menjurus kepada usaha membina persepsi bagi menyatakan Anwar bersalah dalam kes itu.

Menurut Idris, ia salah dari segi etika kewartawanan kerana mendahului keputusan mahkamah, sedangkan berita tersebut pula hanya berpihak kepada hujah Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

“Ini merupakan suatu tindakan yang tidak beretika. Masalahnya, mengapa dalam akhbar yang sama tidak pula melaporkan hujahan oleh peguam bela,” soal Idris.

Beliau menjelaskan demikian, berikutan timbulnya kekeliruan di kalangan orang Melayu yang beragama Islam, apabila dilambakkan dengan pelbagai maklumat dan berita yang bersifat spekulasi semata-mata.

Menurutnya, Islam telah menganjurkan kepada umatnya kaedah ‘Tabayun’ iaitu tatacara dalam menguruskan maklumat atau pun sumber bagi sesuatu berita.

“Dari segi maklumat atau berita, tidak sepenuhnya kita yang mendapat perkhabaran itu untuk terima atau tolak. Tetapi adalah wajib untuk kita selidiki terlebih dahulu sumber-sumbernya,” kata Idris kepada Keadilandaily.

Justeru, beliau mengingatkan kepada wartawan dan editor akhbar supaya berhati-hati dalam membuat laporan.

“Ini kerana fitnah yang berbentuk tulisan lebih berbahaya daripada fitnah yang berbentuk perkataan. Fitnah yang berbentuk tulisan ini orang akan simpan kerana ia kekal,” katanya.

Video Fitnah: Kami tidak akan tunduk- Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mengulangi ketegasan bahawa individu dalam rakaman video seks fitnah- bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya beliau menyifatkan ia sebagai usaha jijik dan terdesak Umno-Barisan Nasional untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

“Kami tidak akan tunduk ataupun takut dengan taktik sedemikian,” kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, ketika mengulas sedutan kedua rakaman video fitnah yang ditayangkan di internet oleh bloger pro Umno-BN hari ini.

Nurul menegaskan bahawa beliau serta ahli keluarganya tetap berdiri teguh bersama Anwar dalam menolak fitnah jahat berkenaan.

“Ini usaha paling terdesak yang terbaru bagi memusnahkan semangat juang kami dari landasan reformasi yang sangat diperlukan bagi negara ini,” tegas beliau.

Nurul, yang juga anak sulung Anwar itu dalam masa yang sama menyeru rakyat Malaysia supaya bangkit melawan politik kotor Umno-BN.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia, abang dan adik, ibu dan bapa untuk bangun melawan politik jijik ini. Mari kita berusaha untuk merealisasikan satu negara Malaysia yang lebih baik,” tegasnya.

Justeru itu, beliau turut mendesak supaya individu yang menyebarkan dan menayangkan video seks fitnah berkenaan- diheret ke muka pengadilan.

“Dalam semua keadaan, secara undang-undang, Islam dan undang-undang semulajadi- penjenayah sebenar adalah siapa yang menyebar video itu kepada awam,” tegas nya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, video seks fitnah tersebut bukan yang terakhir, malah BN akan memusnahkan Anwar dalam apa juga cara.

“Sesiapa yang melihat rakaman itu tahu ia bukan Anwar. Sepanjang yang kami tahu, BN akan terus melakukan perkara ini, sehingga pilihan raya umum. Jadi mereka perlu memusnahkan Anwar dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Nik Nazmi, tanpa berselindung mendakwa Umno terlibat sebagai dalang video fitnah berkenaan.

“Sudah tentu video itu berada di tangan Umno. Ia tidak memerlukan seseorang itu genius untuk tahu perkara itu. Segalanya telah dirancang,”katanya.

Sah Bukan Anwar! Kesian Dengan Puak Umno, Mampus Modal Nanti!

http://4.bp.blogspot.com/-0OHkHz7QALE/Tbf-wmAwy5I/AAAAAAAAfUE/zusBgaxAawQ/s1600/f3fae94c488df55751cf914dd930441e.jpg

Video Seks Bahagian Kedua Muncul Di Internet

PETALING JAYA: Video seks bahagian kedua yang didakwa melibatkan pemimpin pembangkang tersebar di internet petang Rabu termasuk di blog www.papagomo.com.

Klip video yang dipercayai mirip pemimpin pembangkang disiarkan menerusi laman youtube petang Rabu.

Klip video berdurasi 1 minit 47 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun youtube wakparjosudorno.

Rakaman video hitam putih berkenaan memaparkan aksi seseorang lelaki bertuala dan seorang wanita tanpa seurat benang dalam sebuah bilik dipercayai selepas melakukan aksi seks.

Lelaki berkenaan kemudian pada minit ke 39 dilihat menanggalkan tualanya di hujung katil sebelah kiri video sebelum berjalan dalam keadaan bogel mengambil baju dalam nipis yang terdapat di atas katil.

Individu yang mempunyai fizikal perut buncit berkenaan kemudiannya dilihat mengambil seluar dalamnya dan membongkokkan badan pada durasi 1 minit 9 saat sehingga melihatkan wajahnya di hadapan kamera.

Isu rakaman video seks itu tercetus apabila sekumpulan wartawan dijemput oleh sekumpulan individu menamakan mereka sebagai `Datuk T' untuk menonton tayangan video seks hitam putih di Hotel Carcosa Seri Negara di sini pada 21 Mac lalu.

Rakaman video berdurasi selama 22 minit bermula pada pukul 10.23 malam 21 Februari lalu itu didakwa berlaku di sebuah apartmen di Ampang.

Sehari selepas rakaman itu dipertontonkan kepada wartawan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menafikan pembabitannya sebagai pelaku dalam rakaman video seks tersebut.

Identiti `Datuk T' yang mendedahkan rakaman itu terbongkar apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas Bendahari Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuaib Lazim dan seorang ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah muncul membuat pengakuan bahawa mereka merupakan trio `Datuk T'. -mstar


Video seks bahagian kedua di Youtube

Klip video bahagian kedua yang didakwa membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur kini disebarkan di Internet.

Malaysiakini difahamkan bahawa video yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II' yang dipertontonkan kepada wartawan terpilih pada 21 Mac lalu boleh didapati di Youtube sejak jam 1.30 tengahari.

Semakan Malaysiakini juga mendapati video sepanjang 1.46 minit itu dimuat-naik oleh seorang pengguna yang menggunakan nama "wakparjosudorno."

Ia dipercayai dilakukan dari Indonesia dan pengguna yang tidak dikenali itu menyertai Youtube hanya semalam.

Namun pada jam 6.45 petang tadi, video berkenaan telah dikeluarkan kerna didakwa melanggar syarat-syarat penggunan Youtube kerana memaparkan bahan lucah dan gambar bogel.

Namun dipercayai video berkenaan masih boleh didapati di beberapa laman web pembangkang dan juga di Youtube yang dimuat-naik oleh pengguna lain.

Sebelum ini, bahagian pertama video berkenaan dimuat-naik pada 4 April lalu.

Ia menunjukkan lelaki yang sama menggunakan tuala memeluk seorang gadis berkulit cerah yang hanya berkemban.

Pada bahagian kedua video ini, ia dipercayai disunting pada bahagian akhir. Ia menunjukkan lelaki berkenaan memakai pakaiannya semula selepas aksi seks tersebut manakala wanita yang bogel itu berjalan menuju ke bilik air.

Video kedua juga tidak mempunyai sarikata dalam bahasa Thai dan jelas memaparkan tarikh dan masa rakaman iaitu 2011/02/21 manakala rakaman masa adalah antara jam 22.43 malam hingga 22.45 malam.

Beberapa pihak sebelum ini mendakwa lelaki dalam video berkenaan mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Anwar yang juga ketua umum PKR telah menafikan beliau adalah lelaki dalam video itu dan mengemukakan beberapa bukti termasuk catatannya di Twitter dan Facebook.

Serentak dengan tayangan itu, kumpulan yang mengaku bertanggungjawab di sebalik video itu yang menamakan diri sebagai 'Datuk T” mendedahkan identiti mereka - Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim.

Sebelum ini, Eskay berkata mereka belum menyerahkan video penuh 22 minit itu kepada sesiapa dan salinan tunggal hanya diserahkan kepada polis.

Eskay hari ini memberitahu wartawan bahawa beliau telah memberikan sampel DNA miliknya bagi melancarkan siasatan polis.

"Saya dipanggil pagi ini untuk disoal-siasat lanjut dan saya secara sukarela menyerahkan sampel DNA,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran pertemuannya dengan polis di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur itu tetapi sekadar berkata tunggu sidang akhbarnya esok. -mk

Sebar berita fitnah haram di sisi Islam – Dr Haron Din

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am Pas, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz, berkata, haram menyebar atau membaca mana-mana berita yang berbaur fitnah.

Menurut beliau, larangan Allah terhadap fitnah secara jelas terkandung dalam Al Quran seperti disebut dalam surah An Nur dan Al Hujurat.

Ketika dihubungi KeadilanDaily hari ini, Dr Haron bagaimanapun berkata, beliau merujuk kepada semua berita yang berunsur fitnah dan tidak menyatakan kepada mana-mana pihak tertentu.

“Saya kata, adalah haram menyebarkan berita yang berbaur fitnah,” ujarnya.

“Pemberita yang menulis tentang sesuatu fitnah memanglah haram. Kita bercakap secara umum. Saya tak refer kepada mana-mana pihak. Itu terpulang kepada pengertian masing-masing,” ujarnya.

Klip kedua video seks muncul, Eskay beri sampel DNA

KUALA LUMPUR, 27 April – Satu lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin tertinggi pembangkang telah dimuat naik dalam laman Internet.

Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.

Klip video tersebut dimuat naik pada Rabu di dalam laman ‘Youtube’ dan laman web blogger Papagomo, www.papagomo.com kira-kira 1.30 tengah hari ini, lapor Bernama Online.

Sebelum ini pada 4 April lalu, satu klip video berdurasi yang sama tersebar luas di Internet.

Pada 21 Mac lalu, tiga individu yang menggelarkan diri mereka “Datuk T” telah mendedahkan kewujudan video seks yang didakwa mereka membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Terdahulu, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, yang mendedahkan video seks yang pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memberi sampel DNA beliau kepada pihak polis.

Eskay berkata beliau telah diminta datang ke Bukit Aman untuk memberikan sampel DNA itu dan juga untuk memberi keterangan tambahan untuk membantu siasatan kes video seks itu.

“Saya secara sukarela telah memberi sampel DNA kepada pihak polis untuk membantu siasatan kes video seks,” katanya kepada pemberita di luar pintu masuk Bukit Aman.

Katanya, beliau berada di Bukit Aman dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari dan turut ditanya beberapa soalan oleh pihak polis.

Eskay berkata beliau akan mengadakan satu sidang akhbar esok untuk memberikan situasi terkini mengenai video itu.

PAS Kedah sokong Hadi kekal presiden

ALOR SETAR, 27 April – PAS Kedah akan terus menyokong dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden pada pemilihan parti Jun ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Abdul Hadi adalah orang yang paling layak memimpin PAS ketika ini kerana berjaya membawa banyak perubahan kepada parti.

“Beliau telah membawa kejayaan besar kepada PAS. Di bawah beliau, kita dapat menawan Kedah...kita juga dapat mengekalkan Kelantan. Beliau juga berjaya meyakinkan ahli-ahli untuk bekerjasama dan berganding bahu di bawah Pakatan Rakyat.

“Dulu kita susah nak bekerjasama dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat,” kata Menteri Besar Kedah itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding jawatan tertinggi parti pada pemilihan itu, Azizan berkata beliau menyerahkan kepada anggota parti untuk mencalonkannya bagi sebarang jawatan.

“Saya pernah jadi Naib Presiden tetapi kemudian pemilihan lepas saya tak bertanding. Saya hanya tunggu orang calonkan saya untuk saya bertanding,” katanya dipetik Bernama Online.

Mengulas mengenai kemungkinan pemilihan kali ini akan menyaksikan pertandingan sengit, Azizan berkata pemilihan dalam PAS sengit sejak dahulu lagi tetapi kurang mendapat perhatian media.

Beliau turut menafikan wujud kem dalam PAS berdasarkan keadaan semasa yang membayangkan banyak individu mahu merebut jawatan tertinggi dalam parti itu.

“Setakat yang saya tahu..tak ada kem-kem dalam PAS. Tapi kalau di luar pengetahuan saya, saya tak tahulah,” katanya.

Isu Wahabi: Jakim jelas pandangan pegawainya salah

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PUTRAJAYA, 27 April — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memanggil pegawainya Zamihan Mat Zain yang mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini.

Pengesahan itu dibuat Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha ketika sidang media di sini.

“Padangan beliau (Zamihan) itu salah, kita memang menjemput Imam Besar Masjidil Haram ini dan menerima kunjungannya untuk menjalin hubungan lebih erat antara dua negara termasuk tentang Islam.

“Jadi tidak ada seperti yang didakwa kononnya Imam Besar Masjidil Haram ini cuba menyuntik fahaman Wahabi dan sebagainya, saya telah panggil pegawai ini pagi tadi serta memberi penjelasan kepada dia tentang kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini ke Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada Jakim akan mengambil tindakan terhadap Zamihan, Othman bagaimanapun berkata pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu.

“Kita akan siasat dulu perkara ini dan dalam pertemuan dengan pegawai ini pagi tadi saya dah jelaskan, nampaknya dia akur dengan apa yang saya katakan.

“Apa-apa pun kita akan siasat dulu, kita ikut prosedur... tindakan itu akan dibuat kemudian,” katanya.

Tahun lalu, Zamihan menjadi perhatian ekoran laporan bahawa beliau mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Semalam, Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.

Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar anjuran kerajaan negeri Perlis itu.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kenyataan yang dikeluarkan Zamihan itu bukan mewakili kerajaan atau Jakim.

“Apa yang dia katakan tidak mewakili kerajaan dan Jakim, itu mungkin hanya pandangan peribadinya.

“Biasalah dia ini, biasanya bila orang cakap A, dia akan cakap B tapi apa yang dia katakan dalam perkara ini bukan sebagai lidah kerajaan,” tegasnya.

Sambil mempertahankan kehadiran Sheikh Abdul Rahman, Jamil Khir berkata kunjungan itu bertujuan untuk mewujukan hubungan yang lebih erat antara dua negara - Malaysia dan Arab Saudi.

Selain itu, Juanda turut mempertahankan kehadiran Sheikh Abdul Rahman sambil menafikan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi.

Sehubungan itu kata beliau, kenyataan bahawa Sheikh Abdul Rahman telah menggunakan platform jemputan kerajaan untuk menyebarkan amalan Wahabi di Malaysia adalah “satu fitnah.”

AMK desak polis tangkap individu, blogger sebar video fitnah

CYBERJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mendesak pihak polis mengambil tindakan segera terhadap individu dan blogger pro BN kerana menyebar video seks fitnah, yang dikaitkan dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK menamakan pengguna youtube ‘thepowercam’, blogger Pisau.net dan Papagomo, antara individu yang memuatnaik dan menyebarkan video tersebut, dalam usaha meneruskan tuduhan fitnah terhadap Anwar.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, tindakan itu wajib dilakukan untuk membuktikan komitmen pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menangani penyebaran bahan kes yang masih dalam siasatan.

“Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim perlu menjalankan fungsinya.Pihak SKMM perlu menyiasat dan mendakwa pihak yang membocorkan bahan kes dan menyebarkannya di internet.

“Sehingga hari ini, blog-blog tersebut masih menyiarkan video itu, manakala komen dan ulasan pelayar web berbentuk lucah dan menghina.

“Persoalannya, kenapa mereka masih terus mengaitkan video tersebut dengan Anwar? Dari mana mereka dapat video tersebut, sedangkan orang pertama yang menyiarkan video itu mengakui, hanya dia dan pihak polis yang mempunyai bukti tersebut,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Rozan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kertas siasatan yang dibuka susulan aduan AMK Malaysia pada 5 April lalu mengenai aduan terhadap blogger-blogger pro BN di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, hari ini.

KEADILAN fail petisyen Pilihanraya Sarawak – Baru Bian

KUALA LUMPUR: KEADILAN sedang mengumpul bukti bagi memfailkan petisyen di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada pilihanraya Sarawak yang berakhir 16 April lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian berkata, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggazetkan keputusan pilihanraya itu, pihaknya akan memfailkan petisyen dalam tempoh 14 hari.

“Itu undang-undang yang perlu kita patuhi. Tujuan memfailkan petisyen ini bagi memastikan ketelusan proses pilihanraya terutamanya di beberapa kawasan yang kita mempunyai bukti Barisan Nasional merasuah penduduk sehingga calonnya menang.

“Malah, ugutan turut berlaku. Setiap cabang KEADILAN di kerusi DUN yang kita tandingi sudah diarahkan termasuklah mengumpulkan bukti bergambar bagi memastikan petisyen yang kita failkan kelak benar-benar teliti,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Baru yang juga Adun Ba’kelalan menjelaskan, kerusi yang pasti akan difailkan termasuk DUN Senadin yang menyaksikan calon KEADILAN, Dr Michael Teo Yu Keng hanya tewas 58 undi kepada BN dalam saingan satu lawan satu.

Namun, katanya, SPR enggan membuat kiraan semula undi meskipun didesak oleh calon dan wakil calon KEADILAN supaya berbuat demikian.

“Dalam kes Senadin misalnya, terdapat bukti kotak undi di usik manakala pegawai SPR enggan mengira semula undi walaupun dari segi undang-undang pengiraan harus dibuat. Bukti seperti ini akan turut diambil kira di DUN lain yang kita tandingi,” katanya.

Sebelum ini, calon KEADILAN di DUN Tebedu, Dr Christopher Anak Kiyui percaya SPR bersuhabat memenangkan BN di kawasan itu melalui tandatangan palsu pada borang 14.

“Dari 45 agen kira undi (PACA), hanya lima orang diberi Borang 14 yang asli. Seramai 35 agen KEADILAN lain tidak dapat, (kecuali) semuanya borang adalah salinan (fotostat).

“Apabila diperiksa, satu borang itu wujud pemalsuan dua tandatangan (pada Borang 14) disyaki (dilakukan oleh) SPR. Bilangan undi pada Borang 14 turut diubah pihak tertentu,” kata Christopher yang sudah pun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Maung pada 18 April lalu.

DUN Tebedu dimenangi calon BN, yang juga penyandang kerusi itu selama 15 tahun, Datuk Michael Manyin Anak Jawong dengan majoriti 4,066 undi berbanding undi yang diraih Christopher sebanyak 2,130.

Calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Anthony Anak Nais dan calon Bebas Kipli Anak Ale yang turut bertanding di kerusi itu masing-masing hanya mendapat 468 dan 260 undi sekaligus hilang wang pertaruhan.

Pembangkang Singapura dijangka letak ramai calon

SINGAPURA, 27 April — Dengan hari penamaan calon hari ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerusi partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menghadapi pilihan raya umum buat kali kedua.

Buat kali ini juga, pihak pembangkang dijangka menamakan calon mereka untuk bertanding di lebih banyak kawasan berbanding pada tahun 2006.

Penamaan calon bermula 10.30 pagi di sembilan buah pusat.

Pada 2006, Lee mengetuai PAP untuk memenangi 82 daripada 84 kerusi termasuk di 37 kerusi yang calonnya menarik diri.

Lee dan enam anggota pasukannya memenangi kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) atau kawasan parlimen Ang Mo Kio dengan mendapat 96,591 (60.42 peratus) undi daripada keseluruhan 159,872 undi yang dibuat.

Kebanyakan kumpulan Pekerja Parti (WP) pembangkang seramai enam orang adalah dalam lingkungan umur 20-an dan ini akan menjadi pertama kali GRC Ang Mo Kio ditandingi selepas 15 tahun.

Pilihan raya umum kali ini akan turut menjadi ujian buat Lee ekoran beberapa kawasan yang tidak pernah ditandingi buat beberapa tahun akan ditandingi oleh pembangkang, lapor Bernama Online.

Antara kawasan itu ialah GRC Marine Parade, GRC Bishan-Toa Payoh dan GRC West Coast.

Saluran NewsAsia melaporkan pertarungan sengit dijangka berlaku di GRC Aljunied.

PAP sebelum ini berkata pilihan raya umum kali ini ialah mengenai pembaharuan kepimpinan dengan kemungkinan pasukan teras merupakan pemimpin generasi keempat daripada 24 calon baru yang bertanding.

Lee yang juga Setiausaha Agung PAP berkata: “Calon yang bertanding dalam pilihan raya umum ini akan membentuk pasukan kepimpinan masa depan Singapura.”

Manifesto PAP bertemakan “Securing Our Future Together” yang menjadi tugas pasukan baru untuk melaksanakannya.

Khir Toyo: 1Melayu, 1Bumi ‘perjuangan sah dan mulia’

KUALA LUMPUR, 27 April — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata gerakan “1Melayu, 1Bumi” - idea dilontarkan Utusan Malaysia dan disahut Perkasa, patut dianggap sebagai satu “perjuangan yang sah dan mulia” jika bertujuan menyatupadukan kaum Bumiputera dan Islam.

Sebaliknya kata beliau, gerakan itu bertujuan memindas dan menghancurkan kaum Cina, maka ia sepatutnya dianggap perkauman dan ditentang habis-habisan.

“Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia,” katanya lagi.

“Namun jika ia bertujuan menyatukan kaum Bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina, maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya. Saya sendiri tidak akan bersetuju dengan sebarang konsep menindas dan menghancurkan kedudukan kaum lain,” kata beliau dalam entri terbaru blognya.

Justeru kata beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Besar ini menambah, perkauman atau tidak slogan ‘1Melayu 1Bumi” yang dicadangkan oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Zaini Hassan bergantung kepada pelaksanaan, tuntutan dan kehendak gerakan tersebut.

Gerakan itu akan dilancarkan oleh Perkasa di Alor Setar Sabtu ini.

Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata gerakan gelombang “1Melayu 1Bumi” akan menggugat matlamat gagasan 1 Malaysia yang sudah mula diterima ramai.

Bagaiamanapun beliau tidak melihat langkah menggerakkan gelombang itu berada dalam kedudukan yang betul memandangkan gagasan 1 Malaysia sudah pun diterima dengan baik menerusi pelbagai aktiviti diadakan ke arah itu.

Ahli Parlimen Jelebu ini berkata sebarang idea yang bercanggah dengan gagasan 1 Malaysia tidak seharusnya disokong.

Perkasa bertegas mahu meneruskan pelancaran gerakan “1Bumiputera” - menyahut idea “1Melayu, 1Bumi” walaupun tidak disambut baik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata idea gelombang “1Melayu, 1Bumi” adalah tidak baik untuk negara jika diadakan dan akan membawa kepada malapetaka.

Dr Khir juga menulis bahawa bagi orang Melayu sendiri corak pengundian kaum Cina dan dasar DAP yang dilihat anti segala-galanya yang membabitkan kepentingan Bumiputera dan agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bahawa sudah wujud gelombang mahu memperkasakan kuasa kaum Cina dalam politik setelah mereka menguasai ekonomi.

“Justeru apakah mahu dipersalahkan penulis Melayu dan orang Melayu jika ada yang menganjurkan slogan 1Melayu 1Bumiputera sebagai jawapan kepada pengundian bercorak perkauman sebahagian besar kaum Cina hari ini?

“Saya selalu bertanya mengapa bila orang Melayu bercakap soal hak pribumi maka ia dianggap sebagai perkauman, tetapi apabila kaum Cina bercakap soal sekolah Cina, bahasa Cina dan ekonomi kaum Cina tidak dianggap perkauman?” katanya.

Malahan soal beliau, apakah kempen-kempen politik DAP yang mempertikaikan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional kerana dipimpin oleh orang Melayu bukan merupakan satu kempen perkauman.

“Malangnya tiada pula ada akhbar-akhbar milik kaum Cina menganggap kenyataan DAP tersebut sebagai kenyataan berbaur perkauman,” katanya lagi.

“Mengapa apabila ditubuhkan Perkasa maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?” tulis beliau lagi.

Bekas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ini bukan satu sikap perkauman apabila ada kaum Cina yang menggesa dan mendesak bahasa Melayu dijenamakan semula sebagai bahasa Malaysia.

“Kononnya, nama bahasa Melayu bersifat perkauman dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan serasi untuk belajar dan bercakap. Mungkin suatu hari nanti apa sahaja ikon kebangsaan yang ada nama Melayu mahu dihapuskan atas alasan tidak mencerminkan konsep 1 Malaysia,” katanya lagi.

Tak patut syaki Imam Besar Masjidil Haram suntik Wahabi, kata bekas MB

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 27 April — Tiada sesiapa pun wajar menuduh seseorang itu berfahaman ataupun cuba mengembangkan fahaman Wahabi, kata bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim sambil menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan sewajarnya ekoran isu terbaru ini.

Mengulas laporan yang memetik Zamihan Mat Zain, pegawai Jakim yang mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini, Shahidan berkata:

“Tiada sesiapa yang boleh tuduh seseorang itu berfahaman Wahabi atau tidak...tiadak siapa yang berhak membuat hukuman sebegitu, saya tak tahu kenapa ada individu yang berani mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini.”

Tahun lalu, Zamihan menjadi perhatian ekoran laporan bahawa beliau mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Shahidan sendiri dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Dan, semalam Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman, yang berada di Malaysia minggu lalu sempena lawatan kerja lima hari cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”

Seminar anjuran kerajaan negeri Perlis selama dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Sambil menyifatkan tindakan Zamihan itu keterlaluan, Shahidan berkata tuduhan yang melampau terhadap Sheikh Abdul Rahman itu adalah satu perkara yang tidak wajar bagi seorang individu yang berpendidikan agama.

“Ini boleh rosakkan dan jejaskan hubungan kita dan Arab Saudi, mana boleh kata individu itu berfahaman Wahabi.

“Imam Besar ini datang ke Malaysia atas rangka lawatan kerja. Ketika solat Jumaat tempoh hari ramai yang datang dengar khutbah Jumaat yang beliau berikan, ramai yang beri pengiktirafan kepada beliau,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini ketika ditemui pada satu majlis di sini malam tadi.

“Tiada sesiapa yang boleh tuduh seseorang itu berfahaman Wahabi atau tidak... tidak siapa yang berhak membuat hukuman sebegitu.

“Saya tak tahu kenapa ada individu yang berani mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini,” katanya lagi.

Tegas beliau, apa yang dilakukan Zamihan ini adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan .

“Apa hak dia (Zamihan) nak mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini? Imam Besar ini datang dengan niat baik untuk satukan umat Islam, salahkah jika ada orang yang berbuat demikian? Salahkah kalau ada orang yang berdoa demi kebaikan kita semua?

Live! Polis Kelantan Bersama Rakyat

Timbalan ketua polis Kelantan sedang berucap. Hari ni pihak polis mengadakan polis bersama rakyat.

Video seks: Polis dedah identiti si pelaku ‘masa sesuai’

April 26, 2011

SUBANG, 26 April — Polis tidak teragak-agak untuk mendedahkan “si pelaku” dalam video seks yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada umum sekiranya perlu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar dipetik media hari ini.

“Siasatan masih lagi dijalankan. Apa jua perkara yang kita perlu dedahkan kepada umum kita akan dedahkan, yang mana perkara yang tak perlu kita dedahkan kita tak perlu dedahkan,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Bagi pihak kami (polis) siasat dahulu, apabila sampai masanya polis akan beritahu siapa pelakunya dan kita masih siasat kes ini di bawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah),” katanya selepas Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah dari seluruh negara di sini pada hari Selasa.

Ditanya mengenai sebab Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes berkenaan, Khalid menegaskan bahawa ia merupakan prosedur biasa dalam melengkapkan kertas siasatan sesuatu kes.

“Kita dah siapkan kertas siasatan itu, sudah tentu kita akan hantar kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara. Sekiranya dia (Peguam Negara) melihat terdapat perkara-perkara yang belum jelas pada kertas siasatan itu ia akan dipulang semula kepada kita.

“Dengan ini kita akur dengan apa jua arahan yang diberikan pada kita. Ini proses biasa dan kemungkinan kita akan serahkan semula kertas siasatan kepada Peguam Negara minggu ini,” katanya.

Pada 21 Mac lepas, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai “Datuk T” di Carcosa Seri Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini mengumumkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar tempatan yang memeriksa video berkenaan.

Mengenai perkembangan kes kematian pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, Khalid berkata Peguam Negara masih meneliti kertas siasatan yang telah diserahkan pada Jumaat lepas.

“Kita masih lagi menunggu beberapa laporan-laporan dari pakar yang belum siap sepenuhnya sebelum Peguam Negara boleh buat keputusan,” katanya.

Imam Besar Masjidil Haram bawa Wahabi ke Malaysia, syaki pegawai Jakim

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 26 April — Seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia minggu lalu, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Zamihan Mat Zin, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”

Seminar dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata . . . ada tangan . . . ada kaki . . . itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Tahun lalu Zamihan telah menimbulkan kontroversi apabila dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

Tegas beliau, amalan dan ajaran yang dibawa Sheikh Abdul Rahman bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah dan ia bertentangan dengan amalan umat Islam.

“Sebab itu (ajaran Sheikh Abdul Rahman) bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah, sebaliknya ia merupakan metodologi sebahagian amalan al-Hanabilah al-Mujassimah dan metodologi ini bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah yang kita amalkan di Malaysia.

“Memandangkan metodologi ini dipopularkan ajaran Wahabi dan ulama bangkit menentangnya, maka metodologi ini tidak perlu disebarkan kepada umat Islam dalam apa jua pendekatan kerana ia bukan metodologi yang benar yang diwarisi dari Rasulullah,” katanya.

Kata Zamihan, beliau menentang keras tindakan Sheikh Abdul Rahman yang cuba mewujudkan suasana tidak senang di kalangan umat Islam dengan membawa fahaman yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah.

“Jika ia (amalan Wahabi) mahu dipraktikkan di Arab Saudi terpulanglah, tapi kita di Malaysia mengamalkan metodologi Ahli Sunah Waljamaah yang jelas iaitu berpegang dengan prinsip akidah yang dirintis dari Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari bermazhab Shafie dan berpandukan metodologi tasawuf dari kalangan ulama sufi yang muktabar.

“Imam Besar Masjidil Haram ini juga pernah membuat (mencetuskan) kontroversi apabila mengemukakan pandangan bahawa orang Islam dilarang menziarai makam Nabi, malah saya ada bukti lain yang menunjukkan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi.

“Malah dalam seminar yang dihadiri beliau pada Sabtu dan Ahad lalu juga, hampir keseluruhan jurucakap dan tetamu yang hadir mengamalkan metodologi Wahabi, tapi gunakan nama lain daripada diketahui dan ini mengelirukan umat Islam,” katanya.

Justeru, kata beliau, pihak berkuasa terutamanya polis dan jabatan agama Islam harus menyiasat perkara tersebut agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Selain itu, Zamihan juga mempersoalkan bagaimana penceramah-penceramah dari luar negara dibenarkan untuk bercakap soal agama tanpa permit.

“Kedatangan Imam Besar Masjidil Haram ini kalau untuk kegiatan umat Islam tiada masalah tapi kalau nak bawa metodologi ia tidak wajar . . . tindakan ini akan mengelirukan umat Islam dan wajar pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini.

“Kalau nak masuk Singapura pun kena ada permit tapi bila orang luar berucap pasal agama dan nak bawa metologi Wahabi tidak perlukan permitkah? Sheikh Abdul Rahman datang dengan tujuan untuk semai fahaman Wahabi dan ini tidak wajar,” katanya yang turut menjadi perhatian ekoran satu seminar di Singapura awal tahun lalu.

Pada Jumaat lalu Sheikh Abdul Rahman menggesa umat Islam berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian.

“Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah mengenai pentingnya berpegang teguh dengan al-Quran dan As-Sunah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam),” katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.

Khutbah beliau bertajuk “Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa” diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Datuk Mahamud Abdul.

Pendakwa, peguam negara jadi alat politik Umno- Anwar

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara dan pendakwaraya dalam kes Fitnah II, merelakan diri mereka menjadi alat politik dan diperhambakan Umno.

Beliau antara lain mempersoalkan kaedah ujian ke atas sampel DNA yang meragukan apabila saksi pendakwa ke-25, DSP Jude Pereira menyimpan sampel itu selama 96 jam sebelum menyerahkannya ke Jabatan Kimia.

“Pendakwa jadi alat politik Umno, mainkan isu sperma atau air mani, walaupun dalam keterangan mahkamah, 96 jam tidak ada (disimpan) dalam freezer, namun ia dipadamkan supaya jadi isu politik murahan,” tegas Anwar.

Fakta itu, kata Anwar dinafikan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dengan restu Peguam Negara Datuk Gani Patail.

“Datuk Yusof sama sekali tak sentuh hal itu samada sah mani itu walaupun dijelaskan rentetan peristiwa dari apa yang dikatakan kejadian, (sampel) disimpan dalam bilik Jude, tidak dalam freezer, dua hari berikutnya barulah diberikan kepada Jabatan Kimia.

“Jadi Peguam Negara hanya menjalankan kerja mereka untuk memuaskan hati tuan politik mereka,” kata Anwar sewaktu bercakap kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut Anwar, Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan terus menjadikan kes fitnah II itu sebagai senjata memburukkan nama baik beliau, meskipun hakikatnya kes itu sepatutnya telah digugurkan.

“Semua tahu kes ini tidak ada asas, tapi seperti kita tahu Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan terus mencela kita seolah-olah mereka ini orang-orang yang baik moral mereka.

“Jadi itu sahaja kekuatan mereka, kalau tunjuk moral Anwar ini kurang baik mereka akan menang,” kata Anwar.

Kes perbicaraan Fitnah II ditangguhkan hari ini selepas kedua-dua peguam bela dan pendakwa raya selesai membentangkan hujah penggulungan mereka.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 16 Mei depan sebagai tarikh untuk beliau mengumumkan samada Anwar akan dipanggil membela diri atau membuang kes berkenaan.

Bersatulah Melayu

Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai UMNO khususnya Utusan Malaysia dengan slogan ‘Bersatulah Melayu’ mereka. Ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat. DAP dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP!

Dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda UMNO, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk ‘menentang Melayu’. Pemikiran perkauman yang menguasai minda UMNO, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP. Mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman. Tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman.

Hakikatnya, masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina. Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi? Ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina. Yang berbeza adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR. BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rausah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan. Keadaan Taib Mahmood sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir dipemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya!

Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah. Penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan Negara.

Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan. Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau ‘BESAR’ mana sekalipun, walaupun Presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah.

Sememangnya, orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka! Tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan PERKASA. Orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa “pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api Neraka”. Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain. Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini.

Ini berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh UMNO; dan UMNO di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala! UMNO yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari UMNO kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa. UMNO yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila UMNO kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR.

Dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini UMNO meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu. Oleh itu, UMNO ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa. Dan inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya. Untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh UMNO ke atas mereka. Sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah.

Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam? Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita. Bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga. Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam? Seperti yang dikatakan TGNA, "sudahlah tiada wang, tiada ilmu, tiada akhlak pula!". Naudzubillah-himin dzalik.

Pada hakikatnya, UMNO mahu menutup kelemahan dan kegagalan mereka dengan melaungkan kembali laungan zaman jahiliyyah. Korupnya mereka, tidak cekapnya mereka, menyelewengnya mereka, semua ini ingin mereka tutupi dengan laungan jahiliyyah perkauman. Supaya Melayu terus sokong mereka walaupun mereka telah gagal dalam semua aspek. Semoga kita tidak tertipu dengan laungan ini dan kita ingat kembali saranan Rasulullah (SAW);

“Tidak dariku, mereka yang menyeru atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang berperang atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang mati atas dasar assobiyyah”.

Maka apabila ditanya oleh sahabat Baginda apa itu assobiyyah, maka dijawabnya “menyokong kaummu atas dasar yang zalim”. Rasuah itu zalim, penyelewengan itu zalim, pemborosan wang rakyat itu zalim dan perkauman itu zalim. Yang dizalimi adalah rakyat yang akhirnya dinafikan hak mereka dan diadu-domba atas dasar perkauman sehingga persoalan kebenaran dan keadilan menjadi kabur dan tidak diutamakan.

Semoga kita dibebaskan dari belenggu UMNO dan masyarakat Melayu juga akan turut bersatu menolak calon dari UMNO dan BN yang merupakan lambang pemerintahan rasuah dan penyelewengan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Semasa

Hiburan

Sukan

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.