News Update :

Politik

Kenyataan

Agama

Dunia

Roboh gerai di Sungai Petani: Ada tangan-tangan ghaib Umno?

May 31, 2011

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Belum selesai isu perobohan gerai pulut udang di Stadium Darul Aman oleh Majlis Bandaraya Alor Setar, muncul cerita baru mengenai roboh gerai di Sungai Petani. Kali ini 12 buah gerai yang berderetan di hadapan Kelab Cinta Sayang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Gerai tersebut bukan gerai roda tiga atau pemegang lesen penjaja mudah alih yang hanya bertenggek di situ pada waktu tertentu, tetapi gerai yang dibina seolah-olah mahu berniaga kekal di situ. Sebahagian gerai makanan itu sudah beroperasi lebih 10 tahun.

Ia memang menyalahi peraturan dan para peniaga juga sedar mereka telah melakukan kesalahan. Tetapi dalam dunia ini ‘kesalahan’ disahkan hanya apabila terdapat penguatkuasaan terhadap peraturan atau undang-undang.

Terdapat di kalangan rakyat negara ini yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motorsikal namun mereka tidak dianggap melakukan kesalahan sehingga polis menahan dan mengeluarkan notis saman.

Dalam suasana yang tidak ada penguatkuasaan, ramai yang tidak ambil peduli tentang kesalahan. Apatah lagi jika apa yang hendak dilakukan itu adalah perkara baik; berniaga barang yang halal untuk menyara keluarga.

Timbul persoalan mengapa penguatkuasaan tidak dibuat sewaktu tiang mula dipacak oleh peniaga untuk mendirikan gerai? Selepas mereka berniaga dengan maju, sehingga berbelas tahun baru MPSPK berfikir untuk bertindak.

Para penguatkuasa MPSPK dikatakan datang ‘ala gengstar’ beroperasi sewaktu pelanggan sedang menjamu selera di waktu pagi, sewaktu hidangan lauk pauk tersusun rapi di atas meja. Adakah ini cara bertindak yang rasional?

ADUN kawasan terbabit yang juga merupakan Exco kerajaan negeri, S. Manikumar berkejar ke tempat kejadian. Beliau cuba mempertahankan peniaga, menghalang gerai dari dirobohkan. Tapi pihak penguatkuasa tidak hiraukan Exco kerana kononnya hanya mahu mengikut arahan ‘dari atas’. Siapakah yang lebih atas dari Exco itu? Manikumar tidak berputus asa terus cuba menghalang tetapi dia ditolak ke tepi macam polis bertindak terhadap peserta demonstrasi. Sungguh biadap.

Akhirnya gerai-gerai tersebut dirobohkan. Para peniaga mula menghala persoalan kepada kerajaan negeri yang sedang giat memperkasa visi ‘Kedah Sejahtera’. Rupanya ahli-ahli MPSPK juga tidak tahu menahu mengenai operasi tersebut. Menteri Besar, Exco dan ADUN jauh sekali dari diberitahu. Tindakan penguatkuasa lebih sudu dari garpu, menggambarkan seolah-olah ada dalang di belakang mereka.

Ahli-ahli MPSPK menjelaskan bahawa mereka telah membuat satu ketetapan dalam mesyuarat kerajaan tempatan iaitu tindakan pencegahan atau perobohan hanyalah untuk geri-gerai baru yang sedang dibina.

Manakala bagi gerai-gerai yang sudah lama beroperasi, ruang niaga alternatif mesti disediakan terlebih dahulu kepada mereka sebelum bertindak. Itu cara berfikir dan bertindak orang politik. Sekarang waktu yang hampir dengan pilihanraya.

Kerajaan yang memerintah harus mengambil langkah terbaik untuk mengelak kontroversi. Meroboh dan mengusir adalah istilah yang sangat buruk di mata rakyat terhadap sesebuah kerajaan.

Kerajaan Pakatan Rakyat di mana-mana negeri pun terpaksa berhadapan dengan manipulasi media.
Kekuatan BN masih pada penguasaan media-media utama. Mereka hanya mengambil aspek yang ‘nampak zalim’ untuk dimomokkan kepada rakyat, sedangkan scenario asal terhadap tindakan tidak diceritakan. Inilah yang mahu dielakkan oleh kerajaan PR.

Malangnya ketetapan yang dibuat oleh ahli-ahli majlis tersebut dicabul oleh pihak penguatkuasa. Mereka seolah-olah dipaksa untuk mendengar satu arahan lain. Ia memberi dua andaian; pertama pegawai yang berkuasa yang mengarahkan kepada tindakan betul-betul bertindak secara professional berdasarkan peraturan.

Aspek lain, selain peraturan, bukan menjadi kriteria langsung untuk dipertimbangkan termasuklah aspek untung rugi politik.

“Kerana kami pentadbir, bukan orang politik,” mungkin hujah mereka.

Andaian kedua, ialah terdapat ‘grand design’ untuk mencipta isu-isu yang boleh boleh mencetuskan kemarahan rakyat.

Kita berharap semoga apa yang berlaku bukannya kerana andaian yang kedua tersebut kerana di Kedah, zahirnya para pegawai tiada yang menikam kerajaan dari belakang. Justeru kepimpinan kerajaan negeri perlu berbincang dan membuat keputusan terbaik dengan para pegawai yang merancang penguatkuasaan. Jangan beri ruang langsung pada musuh mengeksploit isu.

Najib, Umno Dan BN Penakut Taik!

Najib mungkin lewatkan PRU-13 elak ‘protes’ kesan tarif elektrik naik

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Kesan keputusan Malaysia menaikkan tarif elektrik dan juga kemungkinan harga minyak ekoran perubahan harga peringkat gloabal kemungkinan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil pilihan raya umum sangat tipis kerana kepimpinannya perlu menangani rasa tidak puas hati terlebih dahulu.

Semalam, pentadbiran Najib mengumumkan kenaikan tarif elektrik purata 7.1 peratus yang dikuatkuasakan mulai esok.

Bagaimanapun penganalisis berkata sebarang kemungkinan kenaikan harga bahan api masih sedang diteliti.

“Kenaikan tarif elektrik adalah balon ujian politik bagi Najib untuk mengukur rasa tidak puas hati orang ramai sebelum beliau memutuskan kenaikan harga bahan api,” kata Bridget Welsh, seorang pakar tentang Malaysia di Singapore Management University.

Najib dalam ucapan terbaru di London menyifatkan subsidi bahan api sebagai candu tetapi beliau sangat berhati-hati dalam mencetuskan rasa tidak senang di kalangan pengundi ketika cuba membina semula sokongan bagi BN selepas prestasi buruk ketika 2008.

Mandat semasa hanya berakhir pertengahan 2013 tetapi ramai meramalkan Najib akan memanggil pilihan raya seawal tahun ini selepas KDNK mencatati 7.2 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun dalam nota penyelidikannya, HwangDBS dan J.P.Morgan berkata jadual masa pilihan raya itu tidak mungkin.

“Pengumuman Isnin (semalam) menunjukkan bahawa kerajaan sanggup membuat beberapa tindakan politik yang tidak popular tetapi positif secara ekonomi dalam waktu terdekat, yang (menyebabkan) kemungkinan pilihan raya ditangguh hingga 2012,” kata HwangDBS.

Isu Rolyati Rakyat Kelantan: Sudah Masanya Rakyat Ajar Najib Dan Umno Erti Penderitaan!

Royalti: Anak Kelantan serah memorandum gesa PM kembali hak rakyat

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Jawatankuasa Bertindak Anak Kelantan Perantauan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji beliau berhubung pembayaran isu hak pembayaran royalti kepada kerajaan Kelantan seperti mana yang dimaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Pengerusinya Apandi Mohamad berkata kerajaan negeri Kelantan yang diterajui Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhak mendapat hak sama rata seperti mana diperoleh kerajaan negeri Terengganu di bawah Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri dijangka menerima semua baki wang royalti minyak RM118 juta daripada Petronas melalui Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada RM938 juta yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri itu.

Ahmad berkata, tiada perjanjian atau terma baru yang ditandatangani dan ia kekal dibayar lima peratus oleh Petronas melalui kerajaan pusat.

Menurut Apandi, pelaksanaan pembayaran royalti perlu diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan dan ia selaras dengan ucapan bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein di Parlimen yang menyebut “semua negeri di Malaysia melainkan Sabah dan Sarawak telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974.”

Tegas beliau, pihaknya juga menuntut Najib supaya pembayaran royalti mesti buat secara tunai terus kepada kerajaan negeri dan tidak dibayar kepada mana-mana pihak lain atas apa jua alasan.

“Kami mahu hak kami dikembalikan sama seperti yang diterima kerajaan negeri Kelantan dan pembayaran mesti dibuat secara tunai oleh Petronas kepada kerajaan negeri Kelantan,” katanya.

Pagi tadi Apandi telah menyerahkan memorandum di Putrajaya menuntut agar hak kerajaan negeri Kelantan dikembalikan.

Memorandum itu diterima wakil Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir sama Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu, Senator Mumtaz Mohd Nawi dan Ketua AMK Kelantan Mohammad Azihan Che Seman.

Pada 30 Ogos lalu, kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Kerajaan wajar ‘rasionalisasi’ dasar untungkan korporat besar- KPRU

KUALA LUMPUR: Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) kesal dengan langkah kerajaan menaikkan tarif elektrik secara purata sebanyak 7.12% mulai Jun 2011 meskipun dalam tekanan inflasi yang semakin mendesak.

KPRU berpendapat kenaikan itu membebankan pengguna dan majoriti rakyat berpendapatan rendah di negara ini, sebaliknya hanya menguntungkan syarikat korporat besar menerusi dasar kerajaan yang berat sebelah.

“Pengurangan subsidi rakyat sewajarnya dilaksanakan selepas kerajaan menilai dan merunding semula perjanjian yang memberikan subsidi ‘luar biasa’ kepada korporat besar, antaranya termasuk perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Penjana Tenaga Swasta (IPP) yang memberikan subsidi sebanyak RM22 billion setahun.

“Jika tidak, langkah kenaikan kos kehidupan rakyat tersebut bukan sahaja akan mewujudkan persepsi ketidakadilan dan kurang ‘legitimate’, malah dilihat sebagai menjalankan penjajahan berbentuk ekonomi terhadap golongan rakyat marhaen,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut KPRU, kerajaan secara sengaja mengabaikan fakta bahawa harga barangan harian dan makanan akan turut meningkat susulan pengumuman tarif baru elektrik.

Hal ini kerana industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik yang dijangka memindah kenaikan kos yang ditanggung kepada pihak pengguna.

“Dalam konteks kenaikan kos atau harga barangan utama dan barangan harian lain beberapa kali sebelum ini, kenaikan tarif elektrik kali ini akan menyebabkan gegaran berganda kepada pengeluar yang akhirnya memindahkan tekanan itu kepada harga barangan pengguna,” katanya.

Misalnya, mulai Julai 2010 harga minyak RON97 yang pada masa itu RM2.15 seliter kini mencecah RM2.90 seliter selepas kerajaan menaikkan bahan api itu baru-baru ini.

Manakala RON95 yang mula diperkenal pada 1 September 2009 dinaikkan daripada RM1.75 seliter kepada RM1.80 di mana pada 2010 meningkat sebanyak dua kali.

Harga gula pula, katanya, mengalami peningkatan mendadak sebanyak 55 peratus iaitu pada paras RM1.10 sekilogram, naik sebanyak tiga kali sehingga RM2.30 sekilogram.

Menurut KPRU, satu lagi faktor yang diabai kerajaan adalah kadar kenaikan gaji dan pendapatan boleh guna rakyat yang tidak dapat menyaingi kadar inflasi.

Mengikut Laporan Bank Dunia, purata kenaikan gaji sebenar di negara ini hanya sekitar 2.6% dari tahun 1994 hingga tahun 2007.

“Hakikatnya, pada tahun 2010, antara lebih 10 juta tenaga kerja di Malaysia, hanya 3.76 juta orang rakyat yang layak membayar cukai.Dengan kata lain, hampir 6.4 juta rakyat Malaysia tidak mampu membayar cukai pendapatan peribadi,” tegasnya.

Golongan tersebut katanya membentuk lapisan rakyat miskin, seperti yang disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai ‘40% isi rumah yang berpendapatan kurang RM2,300 sebulan.

“Golongan sebeginilah yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, kekurangan peluang pekerjaan, tekanan harga barang dan sewa rumah yang melambung serta masa depan yang muram.

“Akibatnya, dasar rasionalisasi subsidi secara tergesa-gesa ini memang tidak banyak menggoyangkan gaya hidup golongan atasan dan elit, tetapi kehidupan rakyat biasa terjejas dan terbiar papa kedana,” ujarnya.

Hata Wahari letak jawatan presiden NUJ

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Bekas wartawan kanan Utusan Malaysia Hata Wahari melepaskan jawatan presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung NUJ V. Anbalagan dalams satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata Anbalagan, Majlis Eksekutif telah melantik Naib Presiden NUJ Chin Sung Chew untuk jawatan nombor satu itu.

“Majlis Eksekutif mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hata atas sumbangan kepada kesatuan,” katanya.

Hata telah dipecat dari Kumpulan Utusan kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan mencemari imej syarikat milik Umno itu.

Syarikat itu memaklumkan keputusannya dalam satu surat bertarikh 21 April 2011, yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Sumber Manusia Mohd Nazlan Osman.

Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan.

Hata sebelum ini sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Dia telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh Kumpulan Utusan.

Lesap RM52 bilion saham bumiputera, Umno khianat Melayu- Khalid Jaafar

Dari Keadilan Daily

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Khalid Jaafar mengulangi desakan supaya pimpinan Umno memberi penjelasan ke mana hilangnya RM52 bilion saham bumiputra, sebelum bercakap soal membela orang Melayu.

Beliau berkata demikian mengulas isu saham bumiputera berjumlah RM52 bilion yang dilesapkan di Bursa Kuala Lumpur, seperti mana yang didedah Pakatan Rakyat sebelum ini.

Namun sehingga kini, katanya, kerajaan pimpinan Umno masih belum memberi sebarang penjelasan berhubung isu itu.

“Sehingga sekarang masih tiada pemimpin Umno perjelaskan isu saham yang disonglap mereka. Semua orang perlu tahu ke mana perginya sejumlah besar saham tersebut,” kata Khalid ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Menurutnya, saham bumiputera diperuntukan melalui Dasar Ekonomi Baru, cetusan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bagi mengangkat martabat ekonomi di kalangan bumiputera.

Namun katanya, akibat perbuatan Umno yang sanggup mengkhianati orang Melayu sendiri, menyebabkan bangsa itu masih terkebelakang dalam soal ekonomi dan pegangan ekuiti.

“Mereka (Umno) tidak layak bercakap pembelaan orang Melayu, kerana mereka tidak bermoral untuk membela orang Melayu.

“Saham bumiputra sebenarnya rancangan dalam DEB, yang kita tahu DEB itu sendiri dirumuskan untuk mengangkat martabat orang Melayu, tapi apa yang berlaku sebaliknya apabila Umno sendiri yang mengkhianati orang Melayu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak amalan rasuah dan khianat yang dianjurkan Umno punca saham Bumiputra hilang.

“Menteri sendiri mengaku DEB gagal, ini semua kerana rasuah, khianat yang dilakukan Umno. Sebab itu Pakatan Rakyat menolak DEB, tetapi kita pula dituduh pengkhianat,” katanya.

Menurut Khalid, sekiranya siasatan dijalankan, beliau percaya banyak lagi pengkhianatan yang dilakukan Umno kepada orang Melayu dapat didedahkan.

“Siasat dulu ke mana hilangnya saham Bumiputra, saya pasti banyak lagi dapat dibongkarkan kerana mungkin juga ianya bersiri. Tambahan pula jumlah yang dilesapkan itu terlalu besar,” katanya.

Isu saham bumiputera ditimbulkan sejak Mac tahun lalu oleh Pakatan Rakyat. Ia berdasarkan pengakuan perdana menteri sendiri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan saham bumiputera hanya tinggal RM2 bilion dari RM54 bilion yang diperuntukkan.

KEADILAN sejak Febuari lalu mendesak supaya kerajaan merombak satu mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham berkenaan, serta mengumum senarai penerima 1.5 bilion unit saham khas tersebut tahun lalu.

Harakah dan impian kuasai Putrajaya

Ahmad Lutfi Othman

Teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13 timbul lagi. Memang begitulah. Melepasi tempoh tiga tahun penggal Parlimen, selalunya ramalan dan jangkaan tarikh pilihan raya hangat dibincangkan. Bualan mengenainya heboh diperkatakan terutama selepas memerhati gelagat Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak untuk mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terbaru, ramai menyebut Julai ini, hanya sekitar dua bulan lagi. Nampak macam begitu tergesa-gesa. Saya sendiri agak payah mencari rasionalnya. Tidak mudah BN menghadapi pilihan raya dalam suasana sekarang. PRU13 adalah hidup-mati buat Najib dan BN. Juga sama penting kepada Pakatan Rakyat. Pertarungan ini perlu persiapan rapi dari segi taktik, strategi dan logistik. Di samping faktor kekuatan, kecenderungan mengundi juga dipengaruhi oleh "siapa yang paling sedikit melakukan kesilapan"?

Apakah Najib Razak, yang pertama kali bakal memimpin BN dalam pilihan raya paling sengit pernah disaksikan di negara ini, yakin bahawa momentum Mac 2008 sudah dimatikan? Mampukah dia mengembalikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menebus maruah di negeri-negeri Pakatan? Sukar dipastikan apakah petunjuk yang dipegang Najib? Selain itu, dan ini di antara yang terpenting buat jentera BN, bagaimana dengan kantung dana politiknya, yang akan digunakan untuk membeli undi nanti?

Umno juga sering dihantui perpecahan dalaman apabila calon-calon pilihan rayanya dipilih. Begitu juga dengan prestasi merudum komponen BN, yang belum dapat dipulihkan lagi, khususnya parti-parti berasaskan kaum Cina. Pakatan wajar meneliti apakah benar amarah pengundi India terhadap BN sudah diubati?

Selain itu, "peperangan" merebut hati pengundi Melayu tidak seharusnya dibebankan kepada PAS semata-mata. Imej Pakatan di kalangan Melayu -- jika terdapat "gangguan" -- mesti dijernihkan secara bersepadu. Persepsi pengundi jangan diremehkan. Banyak perkara yang bersarang dalam kepala pengundi (sebahagiannya nampak seperti mudah ditepis) harus ditangani dan diperbetulkan.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, selain membayangkan kemungkinan tarikh PRU13 berlegar di antara hujung Ogos sehingga Oktober, turut menekankan soal "pertarungan sebenar adalah di kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya adalah Melayu".

"Ya, itu satu cabaran dan kita mungkin masih belum melakukannya dengan mencukupi (memberi tumpuan kawasan Melayu). Tetapi kami akan ke akar umbi dan Umno menyedari ini," kata Anwar apabila diwawancara Malaysiakini.

Melaka dan Johor, secara tradisionalnya dianggap kubu BN dan diperkukuhkan baru-baru ini dengan 'mengharamkan' Anwar daripada berceramah di negeri-negeri berkenaan.

"Saya gagal mendapatkan satu permit (polis) pun sekarang untuk berceramah di Johor, kecuali jika ia jamuan makan dengan orang Cina -- ini tidak boleh diterima. Jadi dalam kes ini, Melayu didiskriminasi tetapi Cina tidak," kata Anwar.

Lebih merimaskan adalah manipulasi BN terhadap senarai daftar pemilih. Melalui kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga pihak polis, komplot terancang menjatuhkan Pakatan terlaksana lebih awal sebelum hari mengundi. Berulang kali Harakah membongkar taktik kotor ini, terutama di Selangor dan dipercayai ia juga mensasarkan Kedah. Kelantan turut dimasukkan dalam agenda.

Soalnya, apakah dengan siri pendedahan itu membuatkan konspirasi ini terbantut, ataupun mereka "hanya memekakkan telinga dan buat bodoh sahaja" serta meneruskan tipu-muslihat tanpa segan-silu? Cukupkah satu dua bantahan dibuat kepada SPR, apatah lagi kos hangus yang terpaksa ditanggung cukup besar?

Atau, apa yang kita harapkan dengan perhimpunan raksasa Bersih, 9 Julai depan? Sejauh mana empat tuntutan asas pilihan raya bersih dan adil itu, yang ditambah dua lagi, akan dipenuhi sebelum Parlimen dibubarkan?

Sebagai warga media, saya lebih terdorong untuk memikir dan merencanakan persiapan terbaik Harakah berdepan kempen PRU13 ini. Selain membekalkan maklumat semasa, menjelaskan kekeliruan, mempamerkan perubahan kerajaan negeri Pakatan atau mendedahkan kebobrokan elit penguasa BN, bagi pembaca tertentu, Harakah harus lebih "beremosi" dan mampu "menginspirasikan" transformasi.

Begitu juga dengan tugas sukar membetulkan persepsi, terutama bagi masyarakat Melayu di kampung-kampung, yang berada di luar wilayah tradisi PAS. Harakah dituntut untuk membongkar komplot jahat BN, memerangi penyakit korupsi yang bertambah kompleks dan sukar dikesan undang-undang, tanpa melupai tawaran formula penyelesaian, mengubati krisis sosial, merawati keluh-kesah kenaikan kos sara hidup dan menguruskan secara berhemah khazanah negara; tentunya tidak sekadar membutirkan kembali dokumen Buku Jingga.

Berbanding PRU Mac 2008, kekerapan Harakah hanya dua kali sebulan. Apabila Parlimen dibubarkan, kami terpaksa menerbitkan akhbar tidak berkala, Kempen dan menambahkan halaman Harakah bagi menampung bahan-bahan yang melimpah, termasuk manifesto dan senarai calon. Peningkatan muka surat bermakna penambahan kos cetak.

Agak beruntung waktu itu, tempoh berkempen agak lama, lebih kurang dua minggu. Kuasa siber juga cukup dominan, terutama YouTube, blog dan laman-laman web, menjadikan pengundi selesa mendapatkan informasi daripada dalam bilik tidur sahaja!

Kini, cabaran terbesar Harakah -- selain mempertingkatkan kandungan dan persembahannya bagi menambat hati pembaca -- jumlah edarannya juga mesti dilipatgandakan sebelum tarikh pilihan raya ditentukan. Alhamdulillah, kekerapannya telah dikembalikan kepada dua kali seminggu. Mungkin target 350,000 naskhah seperti dicatatkan menjelang pilihan raya umum 1999 cukup tinggi untuk digapai, tetapi sekurang-kurangnya setiap pelosok dan ceruk rantau harus ditembusi Harakah.

Berdasarkan respons pembaca dan tinjauan rambang, edaran Harakah masih terbatas. Malah terdapat rungutan bahawa pimpinan dan aktivis PAS sendiri seperti tidak memberi sokongan sepenuhnya kepada Harakah. Lidah rasmi parti itu hanya berkembang atas kehendak pasaran, tidak didokong oleh pelan pemasaran yang lebih agresif. Harus diingat sekatan KDN tetap membelenggunya.

Justeru, ada pihak mencadangkan agar kempen meningkatkan pengedaran Harakah disegerakan. Beberapa syor untuk "memasyarakatkan" Harakah telah dikemukakan, termasuk dalam kolum Wacana Budaya Dinsman, dengan mencari dermawan bagi mengagihkannya secara percuma, selain sokongan terbuka pimpinan tertinggi PAS sendiri. Jika Utusan Malaysia (yang kerap menyiarkan "bahan lucah") itu pun diedarkan secara meluas ke sekolah-sekolah melalui penajaan khas, mengapa Harakah harus bersikap apolegetik.

Sebagai permulaan saya menggagahkan diri mengunjungi pimpinan PAS di peringkat negeri, sekurang-kurangnya mendengar sendiri harapan dan mungkin kekecewaan mereka terhadap Harakah. Berbanding KeADILan dan DAP, tumpuan PAS mungkin lebih difokuskan di peringkat Dun. Berdasarkan pengagihan kerusi dalam pilihan raya Mac 2008, hampir di semua negeri, PAS diberi kepercayaaan untuk bertanding paling kerusi negeri.

Di samping mengharapkan ada inisiatif segera mempergiatkan rangkaian jualan Harakah, seterusnya memastikan setiap pengundi mendapat maklumat dan penjelasan, sama ada melalui akhbar bercetak atau versi online, kami di bahagian editorial bertekad untuk memastikan satu lagi sejarah baru politik Malaysia bakal terbentuk dalam PRU13, insya-Allah.

Namun begitu, ingatan seorang pembaca Harakah melalui emel kepada saya elok untuk direnung: "Saya kira, Pakatan Rakyat jangan ghairah sangat sebut hendak tawan Putrajaya atau lantang bercakap menambah bilangan negeri untuk dikuasainya, atau terlalu asyik membincangkan hal pilihan raya. Bukan semua rakyat suka dengan teka-teki tarikh PRU13 ini. Mereka lebih prihatin dengan masalah seharian yang bertindan-tindih, dan mahu segera diselesaikan, termasuk di negeri-negeri Pakatan."

Bonda Sultan Selangor mangkat

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Bonda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mangkat di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini pagi ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, 88, mangkat pada kira-kira pukul 9 pagi.

Laporan Bernama Online menyebut, Munir ketika dihubungi berkata jenazah Almarhum akan dibawa ke Istana Alam Shah Klang, sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Asar.

kerabu bersuara: mari kira sama-sama sedekahkan al fatihah ke atas almarhum, semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa-dosa. amin

Presiden Perkasa juga mahu Anwar digantung jawatan Ketua

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 31 Mei — Datuk Ibrahim Ali juga mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung jawatan Ketua Pembangkang Parlimen sehingga hasil siasatan rakaman video seks selesai.

Kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, tindakan menggantung Anwar selaras dengan prinsip dan amalan yang dilakukan di perkhidmatan awam di sisi undang-undang.

“Sebagai ahli Parlimen saya menyokong 101 peratus cadangan (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) Datuk Seri Rais Yatim agar jawatan ketua pembangkang yang disandang Anwar digantung sehingga kes dakwaan dalam rakaman video seks dan perbincaan bela diri kes liwatnya selesai.

“Ini kerana ia selaras dengan prinsip dan amalan yang dilakukan pada perkhidmatan awam di sisi undang-undang yang mana semua orang sama sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR, didakwa terlibat dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu, namun telah dinafikan.

Selain itu, Anwar juga kini berhadapan dengan perbicaraan kes liwat yang melibatkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan telah diarahkan untuk membela diri.

Laporan media memetik Rais berkata jalan terbaik untuk meredakan keraguan dalam isu itu ialah menggantung Anwar sehingga kes dakwaan dalam rakaman video seks selesai.

Beliau berkata, prinsip dan amalan itu dilakukan pada perkhidmatan awam di sisi undang-undang.

“Kenapa ia tidak dilakukan kepada ahli Parlimen yang berjawatan.

“Lagipun Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa setiap orang adalah sama di sisi undang-undang. Jika Anwar tak rela ‘cuti’ dari jawatannya itu, bermakna beliau tidak menghormati amalan akauntabiliti demokrasi dan undang-undang negara,” katanya.

Selain itu, kata Rais, sekiranya mahkamah memutuskan Anwar tidak bersalah maka Pakatan Rakyat boleh mengesyorkan pengembalian jawatan itu.

Dalam kenyataan itu, Ibrahim yang juga Presiden Perkasa juga mempersoalkan “keistimewaan” yang ada pada Anwar sehingga tidak boleh sebarang tindakan diambil terhadapnya.

“Tapi Anwar hebat kerana setakat ini beliau tidak mengamalkan akauntabiliti demokrasi dan undang-undang negara, malah tiada sesiapa yang boleh menghalang Anwar membawa kes perbicaraannya ke ceramah-ceramah terbuka.

“Amat luar biasa kebebasan yang ada pada Anwar, beliau boleh bergerak ke seluruh dunia... orang lain tidak perlu empat saksi tapi dalam kes Anwar mesti ada empat saksi, jika tidak ada empat saksi semua tuduhan adalah fitnah dan ini hujah penyokong Anwar,” katanya.

Tambah Ibrahim, pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Anwar menyebabkan kedudukan pemimpin itu tidak boleh disentuh.

“Pendirian Datuk Nik Aziz lagi luar biasa, beliau kata ia fitnah tapi tidak lihat video itu.

“Kalau orang lain belum tentu benar atau tidak, kalau musuh beliau serang habis-habisan, kalau kena batang tubuh sendiri macam-macam alasan diberikan,” katanya.

Tegas beliau, Anwar sepatutnya tidak diberikan sebarang kedudukan istimewa dan tindakan perlu diambil kepada beliau.

“Anwar bukan malaikat... Anwar bukan maksum... maka cadangan Datuk Seri Rais Yatim ada asasnya.

“Sama ada dari segi akademik, undang-undang, moral, akauntabiliti, rasa malu, nama baik institusi Parlimen dan sebagainya jawatan ketua pembangkang Parlimen wajar dibersihkan selagi mana ia disandang oleh Anwar,” katanya.

Amaran Bangang Kerajaan Kepada Peniaga

Setiap kali kerojaan menaikan sesuatu benda, amaran bangang ni la yang akan keluar.

Kalau kerojaan boleh naikan sesuka hati, kenapa peniaga yang t'tekan dan dihimpit tekanan tidak boleh naikan dengan harga yang sesuai?

Macam ni bangang punya pemimpin pun puak umno boleh dok puja.

Pemimpin dan penyokong sama bangang!

Umno mahu berkuasa sendirian di Selangor

Oleh Safar Jumaat

UMNO Selangor di bawah kepimpinan Presidennya, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memasang cita-cita untuk menawan kembali Selangor daripada tangan Pakatan Rakyat dalam PRU13 akan datang.

Dari 56 kerusi yang ada di Selangor, Umno nampak ada 30 kerusi, yang kesemuanya bakal ditandingi wakil Umno yang mewakili BN mempunyai harapan untuk menang tetapi tidak langsung menaruh harapan di kerusi-kerusi yang diwakili rakan-rakan komponen BN, termasuk yang diwakili MCA, MIC dan Gerakan!

Cuma, untuk mereka menang di 30 kerusi ini, mereka masih bergantung kepada sokongan MCA, MIC dan Gerakan di kawasan-kawasan yang diwakili Umno, tetapi dalam masa yang sama, Umno tidak memberi sokongan atau fokus kepada kawasan-kawasan yang diwakili MCA, MIC dan Gerakan.

Bukan sahaja mereka tidak berkeyakinan boleh menang di kawasan yang bukan diwakili Umno, malahan, mereka tidak percaya ada sokongan daripada pengundi Cina dan India di kawasan yang ditandingi MCA, MIC dan Gerakan, hingga boleh menyebabkan calon BN di situ mampu menang.

Begitu dahsyat penghinaan Umno Selangor terhadap MCA, MIC dan Gerakan. Bukan sahaja mereka tidak yakin kerusi-kerusi yang diberikan kepada rakan-rakan komponen BN ini mampu menang, malahan mereka mahu berkuasa sendirian, tanpa bantuan daripada rakan-rakan mereka yang lain.

Tidak cukup dengan penghinaan itu, ketika Umno Selangor masih mengharapkan sokongan undi daripada pengundi Cina dan India di kawasan yang ditandingi Umno, Umno Selangor tidak mempunyai sedikit pun keyakinan bahawa ada kerusi yang diwakili MCA, MIC atau Gerakan akan memberi sumbangan kepada BN kali ini di Selangor.

Dari strategi yang disusun Umno, mengedarkan video lucah adalah salah satu dari tugas besar. Itulah sebabnya, di mana-mana sahaja ada program Pakatan Rakyat di Selangor, risalah dan video lucah ini diedarkan sebanyak mungkin, termasuk diletakkan di cermin-cermin kenderaan yang memenuhi kawasan ceramah diadakan.

Dulu mereka cuba menyeret Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan isu rasuah, kononnya menyalahgunakan kuasa dalam isu lembu korban dan penggunaan kenderaan sendiri tetapi tidak lekat.

Mereka kejar lagi Menteri Besar dengan isu-isu lain, juga tidak lekat dan kini, mereka berusaha sedaya upaya untuk menarik sokongan orang Melayu di Selangor supaya hilang keyakinan kepada Pakatan Rakyat dengan menonton video lucah.

Setakat ini, inilah strategi Umno untuk kembali berkuasa di Selangor. Nama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato’ Seri Noh Omar makin tenggelam kebelakangan ini, khabarnya kerana tidak mahu mengecilkan hati orang-orang Cina dan India di Selangor.

Imej Noh dikatakan tercemar apabila dia masih berpegang kepada cerita orang Cina dan India adalah kaum pendatang, ketika menyampaikan ucapan di satu Konvensyen BN tidak lama dahulu. Dia kemudiannya meminta maaf apabila ada bantahan terhadap ucapannya itu dan menarik balik kata-katanya.

Namun, orang Cina dan India dalam MCA. MIC dan Gerakan tidak dapat melupakan kata-kata Noh itu walaupun, mulut mereka berkata mereka bersedia memaafkannya.

Umno Selangor juga resah dengan cerita beberapa pemimpin bahagian mereka yang terpalit dengan dakwaan rasuah. Bekas Menteri Besar, Dr. Mohd Khir Toyo sedang berhempas pulas mempertahankan diri dari dakwaan membeli rumah dengan harga rendah dari harga sebenar.

Dato’ Kuris Mohd Nor yang merupakan bekas Adun di Hulu Langat baru sahaja dibebaskan dari dakwaan terkait rasuah. Bekas Ketua Umno Bahagian Pandan juga begitu. Ahli Parlimen Sabak Bernam masih belum pasti nasibnya dan ramai lagi yang terpaksa menutup mulut kerana bimbang kes masing-masing terdedah juga.

Dari semua masalah ini, Umno Selangor yang tergamam selepas negeri ini tumbang dalam PRU12 yang lalu, terpaksa juga memujuk beberapa pemimpin bahagian yang dikatakan berkecil hati dengan sikap Najib terhadap mereka.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sampai sekarang masih bercuti daripada menerajui Umno Bahagian Kelana Jaya.

Dato’ Kapten (B) Zahar Hashim bertindak meninggalkan kepimpinan Umno dan mengisytiharkan dirinya menyertai PAS, manakala Dato’ Seri Mohd Zin Mohamad baru sahaja sejuk hatinya sejak digugurkan daripada kabinet dengan menerima pelantikan menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor.

Ketika mereka semua terkial-kial mencari pengganti Dr Khir Toyo dan Muhammad, timbullah idea untuk menjadi pengedar video lucah di merata tempat. Walaupun, mereka boleh menafikan dakwaan itu, tetapi mustahil ada pihak lain yang sanggup mengeluarkan modal dan kos mencetak begitu banyak video dan risalah untuk diedarkan secara percuma.

Tentulah mereka mengharapkan orang Melayu percaya akan video itu dan sekali gus menolak Pakatan Rakyat.

Jika dengan pengedaran video pun BN masih tidak mampu menang lagi, mereka tentulah tidak mempunyai keupayaan lain lagi untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Umno mengharapkan pengundi Melayu kembali menyokong BN. Dalam masa yang sama, Umno tidak pula berusaha untuk mendapatkan kembali sokongan terbuka daripada Muhammad dan beberapa bekas pemimpin yang merajuk.

Jika mereka gagal memujuk Muhammad, bagaimanakah mereka mampu memujuk pengundi?

Apakah mereka boleh menyakinkan kepada pengundi di Selangor bahawa beberapa nama pemimpin Umno yang terpalit dengan kes di mahkamah hanya "kesilapan teknikal" dan ia tidak membebankan BN dalam pilihan raya akan datang?

Ketika mereka bercerita tentang moral beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, dapatkan mereka menyakinkan pengundi bahawa moral pemimpin-pemimpin Umno di Selangor cukup bersih?

BN di Selangor sebenarnya tidak mempunyai pemimpin yang dilihat bersih di mata pengundi.

Itulah sebabnya mereka terkial-kial mahu menonjolkan beberapa nama baru dalam Umno yang kononnya boleh dibandingkan dengan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Malangnya, sehingga hari ini mereka gagal dan yang boleh, hanya mereka menjadi pengedar video lucah dengan harapan rakyat melupakan kes yang membabitkan pemimpin Umno kerana asyik melihat video lucah!

Kasihannya Umno Selangor. Sampai bankrap modal. Bukan setakat bankrap modal, malahan bankrap moral juga!

Please walk the talk Mohd Sidek!

Oleh Ahmad Tajdid

KETUA Setiausaha Negara (KSN) dilaporkan menghantar memo kepada kakitangan kerajaan supaya bersikap non-partisan apabila melaksanakan tugas masing-masing. Nasihat Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya kakitangan kerajaan meninggalkan pegangan politik mereka ketika menjalankan tugas memang patut disokong.

Sepatut dan sewajarnya sikap sedemikian diamalkan oleh kakitangan kerajaan - sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan - kerana tugas mereka adalah berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah (government of the day) dan bukannya kepada tuan politik (political masters).


Dalam sebuah negara demokrasi berpaksikan parlimen dan Raja Berperlembagaan, kakitangan kerajaan mempunyai 'wilayah tadbirnya' sendiri. Ia bukan satu keistimewaan tetapi adalah satu keperluan untuk memastikan segala keputusan dan tindakan yang diambil tidak dipengaruhi kepentingan politik pihak yang memerintah.

Kita sering mendengar ungkapan 'little Napolean' yang selalu diwar-warkan oleh aktivis politik bagi mengecam sesetengah kakitangan kerajaan atau lebih tepatnya ketua-ketua jabatan yang enggan mengikut arahan 'orang politik'. Dan selalunya kecaman-kecaman itu ditujukan kepada ketua-ketua jabatan yang punyai kuasa untuk meluluskan sesuatu tender atau projek. Baru-baru ini 'keributan' muncul apabila seorang ketua jabatan yang dikenali ketegasannya dalam berhadapan orang-orang politik diarah bertukar ke jabatan lain kerana sikapnya itu tidak digemari mereka yang berkuasa.

Sayangnya ketua jabatan tersebut tidak pula mendapat pembelaan KSN kerana seperti biasa Mohd Sidek juga sebenarnya lebih memilih untuk berkhidmat kepada 'political masters' daripada berkhidmat untuk rakyat.

Dalam memonya juga, Mohd Sidek mengingatkan bahawa tugas kakitangan kerajaan adalah untuk melaksanakan polisi kerajaan memerintah yang dipilih rakyat. Walaupun terdapat empat negeri yang diperintah oleh kerajaan yang berlainan daripada kerajaan persekutuan, mereka perlu memenuhi hasrat dan polisi kerajaan negeri yang memerintah.

Tapi persoalannya, adakah Mohd Sidek sendiri mematuhi apa yang dinasihatkan kepada orang-orang bawahannya?

Beberapa bulan lalu, satu mesyuarat (atau dipanggil makmal) tentang hal ehwal pentadbiran tanah telah diadakan di Putrajaya. Antara peserta makmal perbincangan itu ialah wakil Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri. Bagaimanapun makmal yang dipengerusikan Mohd Sidek tidak menjemput wakil-wakil PTG daripada negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. Tindak-tanduk Mohd Sidek ini tidak dipersetujui oleh pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat kerana bagi mereka mengetepikan PTG daripada negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam makmal perbincangan itu samalah seperti mengetepikan rakyat di empat negeri tersebut.

Kita juga tentunya masih ingat tentang peranan, sikap dan tindak tanduk KSN dalam krisis rampasan kuasa di Perak juga isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Selangor awal tahun ini. Maka bolehlah disimpulkan bahawa Mohd Sidek mempunyai suatu lagi kewajipan iaitu perlu berani menjadi contoh teladan kepada ratusan ribu kakitangan kerajaan dengan berpegang kepada etika dan prinsip perkhidmatan dan tidak mudah tunduk kepada arahan tuan politik.

Jika keberanian tidak wujud dalam diri beliau, maka memo yang dihantar itu hanyalah sekadar secebis kertas atau mel elektronik (mel-e) yang tiada nilai dan harga.

Sebenarnya banyak contoh boleh dikutip bagi mendedahkan betapa tidak profesionalnya sesetengah jabatan kerajaan dalam menangani isu hubungan kerajaan negeri - persekutuan di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat. Semuanya ini berpunca daripada sikap tidak menghormati 'government of the day' akibat arahan tuan politik (political master) di peringkat persekutuan.

Contoh paling mudah dan dianggap remeh tetapi sebenarnya mempunyai implikasi yang besar adalah penggantungan gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri di premis-premis yang dimiliki kerajaan persekutuan.

Sudah menjadi rahsia umum bahawa gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri diperintah Pakatan Rakyat tidak digantung atau dipamerkan di premis-premis milik kerajaan persekutuan. Di sekolah-sekolah suatu masa dahulu, gambar Menteri Besar/Ketua Menteri digantung bersekali dengan gambar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan dan Sultanah, Yang Dipertua Negeri juga Perdana Menteri.

Bagaimanapun kini, amat jarang kelihatan gambar Menteri Besar/Ketua Menteri digantung di premis sekolah milik Kementerian Pelajaran. Gambar Menteri Besar/Ketua Menteri diganti pula dengan gambar menteri pelajaran, pengarah pelajaran persekutuan dan negeri.

Umum mengetahui bahawa gambar-gambar itu digantung dengan tujuan memperkenalkan ketua negara dan ketua kerajaan kepada orang ramai. Ia juga boleh memupuk semangat menghormati pemimpin negara dan sistem bernegara yang kita amalkan. Tindakan tidak menggantung gambar Menteri Besar/Ketua Menteri di samping gambar Perdana Menteri di premis milik kerajaan persekutuan di negeri-negeri Pakatan Rakyat samalah seperti tidak menghormati pilihan rakyat negeri itu, sekaligus tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan.

Ia juga memberi isyarat yang salah kepada rakyat khususnya para pelajar bahawa dalam sistem bernegara yang kita amalkan, ada kerajaan dan pemimpin yang perlu kita hormati dan ada kerajaan dan pemimpin yang tidak perlu kita hormati.

Saranan Mohd Sidek supaya kakitangan kerajaan bersikap non-partisan ketika menjalankan tugas memang wajar disokong. Tetapi saranan itu wajar disusuli dengan tindakan. Dan tindakan awal yang patut dilakukan Mohd Sidek adalah mengarahkan supaya gambar Menteri Besar Kelantan, Kedah, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang digantung di premis-premis milik kerajaan persekutuan!

IC haram menidakkan kuasa rakyat

Oleh Muhammad Nuruddin Bashah

Saya segera bersetuju dengan kenyataan Mohamad Sabu (Harakah 27-29 Mei 2011) bahawa sindrom pemberian kad pengenalan (IC) segera kepada rakyat asing untuk dimasukkan ke kawasan tenat BN adalah suatu tindakan menggadai negara. Malah ia merupakan suatu pengkhianatan tanahair yang tidak wajar diampunkan oleh rakyat yang sedar.


Sama ada rakyat Malaysia sedar atau tidak, membaca atau tidak, jahil atau pandai, mereka perlu diberikan penerangan berkenaan konsep pilihanraya yang menjamin pengekalan maruah tanah nusa bangsa. Memenangkan parti tertentu denganmenggunakan sokongan pihak luar seperti rakyat negara lain sebagai penentu politik dan siasah masa depan negara adalah agenda yang cukup bejat.

Gettell menegaskan negara adalah: komuniti yang bermastautin mendiami wilayah tertentu, menuntut dengan sah kemerdekaan dan mempunyai sebuah organisasi pemerintahan, dengan mencipta dan menjalankan hukum secara menyeluruh di dalam sempadan negaranya. Negara tidak akan berdaulat jika keutuhannya diraih melalui undi dan sokongan rakyat luar.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:- 1. warganegara Malaysia; 2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan; 3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan 4. tidak hilang kelayakan. Akan tetapi jauh daripada itu, rakyat yang dibenarkan untuk memilih perlu diterapkan agar memahami peri penting undinya mencorak kemakmuran negara, kemerdekaan, keharmonian dan kedaulatan daripada dicemari anasir luar.

Dalam aspek siasah Islam, si pengundi perlu memahami tujuan membuang undi adalah untuk memastikan masa depan negara masih berada dalam lingkungan wilayah pentadbiran dan mengamalkan syariah serta syiar islam. Mereka perlu celik dan kenal mana calon yang adil, bermatlamat ke arah kebaikan serta mendokong keutuhan agama.

Pilihan raya adalah satu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di parlimen. Ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan penggubal undang-undang, eksekutif, perundangan dan kerajaan tempatan. Di sisi syara', pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Dan dalam peristiwa baiat 'Aqabah II, Rasulullah s.a.w. meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).

Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”. Jika zaman Rasulullah, baiah mudah diperolehi lantaran penduduk Madinah menyerah urusna pemilihan kepada ahli halli wal aqdi yang adil iaitu sahabat Nabi yang tersohor, zaman terkemudin menyaksikan pemilihan ketua negara Islam lebih kompleks dan akhirnya pilihanraya demokrasi ala Barat diterima pakai kerana ia mendekati kaedah pemilihan kepimpinan zaman Rasulullah. Kerencaman pemikiran rakyat, fertiliti yang semakin meningkat, umat Islam yang pelbagai bangsa dan budaya menghendaki sistem pilihanraya mengantikan undi baiah secara ahli halli wal aqdi yang terhad kepada beberapa orang sahaja zaman Rasulullah.

Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada rakyat, rakyat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara rakyat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr. Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian (syahadah) terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih.

Namun hal ini tidak bermakna jika politikus yang gilakan kuasa sanggup meremehkan urusan kewarganegaraan, memberi lesen kuasa undi kepada sesiapa sahaja yang sanggup membuta tuli mengundi mereka, yang akhirnya akan menghasilkan parti pemerintah yang menang dari aspek kertas undi tetapi kalah dalam perleksanaan mandat negara kerana rakyat tidak lagi menyokong mereka. Dalam erti kata lain mereka memerintah dalam situasi ‘syok sendiri’. Adakah ia suatu kenikmatan hidup yang mereka kejari?

Dahulu Hasnar Ebrahim pernah ditahan ISA pada tahun 1980-an kerana mendedahkan bahawa beliau pernah bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara membincangkan kaedah pemberian IC kepada pendatang di sabah. Lantaran itu sebarang retorik BN bahawa mereka sedang menyelesaikan isu pendatang haram adalah dusta malah hipokrit kerana Projek IC segera di Sabah jelas direstui oleh Mahathir.

Selepas kes IC palsu dilaporkan sekitar 1990-an, 17 kakitangan JPN termasuk Jabar Khan ditahan ISA juga sebagai satu cara kambing hitam tindakan Mahathir.

Gempar juga apabila seorang buruh Indonesia yang menunggu kad pengenalan selama 30 tahun mendedahkan bahawa beliau diminta menyokong BN jika inginkan kad pengenalan biru. Malah beliau diminta mengundi bukan di alamat tetapnya di Lembah kelang sebaliknya di Johor untuk memantu kawasan BN.

Kini didedah pula hal sepucuk surat yang dihantar oleh Umno Bahagian Hulu Selangor kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein bertarikh 23 Mac 2011 menyatakan jika ingin mengekalkan kerusi parlimen tersebut, Umno bahagian meminta "jasa baik" menteri supaya membawa masuk "bakal pengundi" terutamanya pemastautin tetap (PR - permanent resident) sebanyak 2,000 orang.

Jika Machiavelli masih hidup, beliau juga akan mengutuk tindakan kerajaan sebegini kerana Machiavelli cukup benci kepada pemerintah yang berjaya atas bantuan tentera upahan, tentera rakyat asing serta bergantung kepada para menteri yang hanya pandai mengampu.

Rakyat perlu disedarkan bahawa mereka kini tiada lagi nilai di mata BN kerana rakyat asing akan menggantikan rakyat Malaysia sebagai penyokong dan pengundi BN.

Beri IC kepada warga asing jelas suatu tindakan menghina rakyat sendiri, menidakkan kuasa undi rakyat sendiri.

Penulis adalah Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

Ciri-ciri pemimpin yang diperlu rakyat

Oleh Abd Shukur Harun

DALAM suasana politik tidak menentu sekarang, di mana runtuhnya institusi moral, undang-undang dan peraturan akibat sengketa politik, raykat sedang menanti kepimpinan baru yang diharapkan mampu menyelamatkan keadaan.

Kepimpinan yang boleh menyelamatkan generasi masa kini dan akan datang itu sudah pasti datangnya daripada kalangan yang sangat berpegang teguh dengan prinsip agama, etika moral universal dan undang-undang.


Ada dua jenis kepimpinan, iaitu bersifat negarawan dan kepimpinan politik semata-mata. Negarawan memikirkan nasib generasi akan datang, sementara pemimpin politik semata-mata memikirkan kemenangan pilihan raya akan datang. Kepimpinan politik seperti ini sangat bahaya bukan saja kepada rakyat, tetapi juga kepada negara. Justeru dia akan berbuat apa saja untuk memenangi pilihan raya dan mengekalkan kuasa.

Pemimpin politik seperti ini – yang membujur lalu melintang patah – tidak akan mempedulikan aspek agama, mengkesampingkan nilai moral, etika universal, bahkan segala hukum dan undang-undang, serta melakukan pelbagai kezaliman dan penindasan.

Inilah jenis pemimpin politik yang sangat dikhuatiri rakyat jika ia berkuasa ataupun sudah berkuasa. Kepimpinan diktator yang ditampilkan oleh Hosni Mubarak, Zainal e- Abidin, Muammar Gaddafi, Saddam Hussein dan kebanyakan pemimpin Arab yang lain adalah contohnya.

Adapun yang dikatakan negarawan tidak begitu sifatnya. Dia memikirkan masa depan rakyat dan negaranya, penuh dengan misi dan visi, menegakkan keadilan, tidak melakukan diskriminasi sebaliknya patuh kepada tuntutan agama, mengambil kira dosa dan pahala, etika moral, peraturan dan undang-undang.

Kepimpinan seumpama ini menyerlah pada tokoh abad ke-20 antaranya Dr Muhamad Hatta, Muhamad Natsir, Nelson Mandela dan beberapa orang lain. Jumlahnya sedikit, namun sangat cemerlang.

Saya teringat sebuah kata-kata oleh Presiden Amerika, Benjamin Franklin (1706-1790) "If you would not be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing." Maksudnya di sini bahawa jika kamu (pemimpin) tidak mahu dilupakan sebaik saja kamu mati dan reput; menulislah perkara yang wajar dibaca, atau berbuat sesuatu yang wajar ditulis orang.

Adapun ciri-ciri pemimpin yang diperlukan di dalam Islam, ialah:

* Menganggap tugas memimpin itu amanah, bukan peluang untuk menambah kekayaan untuk diri, keluarga dan suku sakatnya.

* Ia mesti bijaksana, merancang sesuatu jauh ke depan dan bertindak secara bijaksana dan bijaksana.

* Dia mesti mempunyai idea dan berfikiran terkini serta berstrategi, mampu menghadapi cabaran betapapun hebatnya.

* Dia mesti bersikap terbuka, demokratik dan menjadi pendengar yang baik, iaitu bersedia mendengar pandangan orang lain serta bersedia pula menerima kritikan.

* Menjadikan rakyat atau orang yang dipimpinnya itu sebagai rakan penting untuk sama-sama memikul tanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

Adapun pemimpin yang tidak mempunyai idea, tidak dinamik, tidak memandang jauh ke depan dan bekerja tanpa strategi adalah pemimpin yang lemah dan tidak wajar disokong oleh rakyat.

Dalam hal ini ada sebuah pandangan menarik dari seorang pemimpin yang menjadi pemerintah Dubai,Sheikh Mohammad al-Maktoum dalam sebuah bukunya, antara lain ia bercerita:

"Setiap pagi, si rusa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu jika dia lupa maka dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli datangnya pagi.

"Setiap pagi juga, si singa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia perlu terus berlari kerana dia tahu jika dia lupa dia akan mengundang bencana. Iaitu dia akan kehilangan rusa dan mati kelaparan, disebabkan lupa dan tidak peduli kepada datangnya pagi.

"Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas daripada lawanmu … untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya, dalam membangunkan Dubai…" - terjemahan bebas oleh saifulislam.com.

Ertinya di sini, pemimpin mestilah lebih pantas berfikir daripada orang lain dan pemikirannya mestilah sentiasa terkini dan relevan.

Dalam suasana yang ada sekarang di negara ini, ketika keadilan tidak menjadi agenda utama negara, pemimpin Islam wajib membetulkan keadaan ini dengan menerangkan bahawa keadilan menjadi paksi utama syariat Islam. Aspek keadilan begitu banyak ditegaskan di dalam al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w. dan perihal yang dilakukan oleh para sahabat ternama.

Sayidina Abu Bakar r.a. menekankan dalam ucapan sulungnya yang amat terkenal ketika dilantik sebagai khalifah pertama, bahawa "Aku bukanlah pemimpin terbaik di antara kamu, tetapi aku telah diserahkan amanah untuk memimpin kamu. Bantulah aku menjalankan amanah ini dan betulkanlah jika aku menyeleweng."

Kepimpinan Khulafa-ur-Rashidin yang lain, Umar al-Khattab yang sangat adil dan peka dengan kehidupan lingkungan, Usman Affan yang sangat amanah dan jujur dan Ali Abi Talib yang sangat berani dan bijaksana, menyerlahkan teladan paling terbaik perihal kepimpinan Islam.

Tentulah sangat malang, kecemerlangan kepimpinan Nabi s.a.w. dan para sahabat ini tidak menjadi panduan kepada kebanyakan pemimpin umat Islam masa kini. Bahkan kepimpinan mereka tersangat jauh dengan kepimpinan Nabi s.a.w. dan para sahabat.

Oleh itu menjadi kewajipan rakyat, melalui demokrasi pilihan raya, memilih pemimpin yang dapat melindungi dan memenuhi keperluan mereka. Mereka mahukan pemimpin yang dapat melaksanakan amanah, keadilan dan demokrasi, yang dapat menyelesaikan masalah mereka, yang mampu menjalankan pemerintahan dengan cekap dan berwibawa.

Pemimpin yang diperlukan mestilah tokoh yang boleh berfikir, bukan pemimpin yang ucapannya pun disediakan oleh orang lain, atau pemimpin yang lemah, tidak mengetahui kelemahan diri sendiri, tidak tahu apa yang berlaku sekitarnya, jauh daripada rakyatnya sendiri.

Dia hanya sibuk mengumpul harta untuk keluarga dan suku sakatnya dan lebih malang lagi jika ia bercita-cita untuk menjadi pemimpin seumur hidup, walau dengan apa cara sekalipun.

Daripada tokoh yang lemah inilah, biasanya, melahirkan pemimpin yang enggan menerima kritikan dan tidak bersedia untuk mendengar pandangan orang lain. Pemimpin seperti inilah akhirnya menjadi diktator yang sentiasa ‘menyeringaikan taringnya’ untuk membaham mangsanya. Islam sama sekali menentang kepimpinan seumpama ini.

Negara ini mengadakan pilihan raya umum lima tahun sekali, atau lebih cepat daripada itu, justeru rakyat perlu memilih pemimpin yang bersifat negarawan, yang ada visi, mempunyai pandangan terkini, bukan tokoh politik yang hanya memikirkan kemenangan pilihan raya.

Tarif Elektrik Naik Bantut Daya Saing Negara

SHAH ALAM 30 Mei - Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus akan memberi kesan negatif kepada sektor perindustrian sekali gus menjejaskan daya saing negara.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor Teresa Kok Suh Sim berkata kenaikan itu akan memberi kesan kepada industri pembuatan di negeri ini yang bergantung kepada penjanaan tenaga letrik yang tinggi untuk menghasilkan produk masing-masing.

Beliau berkata kenaikan mendadak tujuh peratus bil elektrik bermakna kos menghasilkan barangan seperti peralatan elektrik akan meningkat di Malaysia berbanding negara lain.

” Ia (Kenaikan tariff elektrik akan menjadikan industri pembuatan yang banyak menggunakan tenaga elektrik ini menjadi kurang kompetitif atau hilang daya saing berbanding negara lain. Produk yang dikeluarkan industri tempatan akan mengalami kenaikkan harga barangan terbabit.

Teresa berkata kerajaan persekutuan harus memikirkan pendekatan yang sesuai untuk meringankan beban rakyat ekoran kenaikan tariff elektrik. Usaha juga harus dibuat oleh memastikan orang ramai tidak membazir menggunakan bahan tenaga itu.

” Saya ingin menyeru kerajaan melancarkan satu kempen untuk menjimatkan penggunaan elektrik dan memberi lebih banyak insentif untuk menggunakan peralatan elektrik,” kata beliau.

“Saya rasa kerajaan juga perlu menambah lagi insentif bagi orang ramai yang menggunakan alat elektrik supaya menggunakan alat yang menjimat tenaga seperti plug penjimat tenaga dan kuasa solar di mana boleh,” tambah beliau.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus itu sebagai langkah mengurangkan subsidi yang dikatakan semakin menghauskan perbendaharaan negara.

Selain itu harga gas asli juga dinaikan kepada RM3 mmBtu setiap enam bulan sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016 setelah diapung sepenuhnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapha Mohamad mendakwa kenaikan itu hanya akan memberi kesan minima kepada kadar inflasi negara yang kian tertekan ekoran kenaikan harga minyak dan barangan seperti gula baru-baru ini.

Menteri Tenaga Teknoloji Hijau dan Air Datuk Peter Chin pula mendakwa kenaikan kadar elektrik itu hanya memberi kesan kepada 25 peratus daripada pengguna yang menggunakan lebih daripada 300KW tenaga setiap bulan.

Sebelum ini Perdana Menteri Najib Razak menyatakan subsidi yang diumpamakan seperti ‘candu’ harus dikurangkan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Rakyat Malaysia terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi selepas kerajaan pimpinan Najib Razak memotong subsidi yang mengakibatkan harga barangan keperluan seperti gula dan petrol meningkat secara mendadak.

Kerajaan sebelum ini menarik subsidi gula bernilai RM116 juta, tetapi mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.

Keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barangan berpaksi kepada dasar-dasar tidak seimbang kerajaan khususnya yang membabitkan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat besar.

Harga barangan meningkat turut disebabkan tata urus kewangan negara, khususnya keghairahan mengadakan projek-projek mega yang akhirnya menyebabkan defisit negara antara yang tertinggi di rantau ini.

Lynas perlukan kajian antarabangsa

30 MEI — Kerja membangunkan projek Lynas yang sedang berjalan di Gebeng, Kuantan atas bantan penduduk tempatan terpaksa dihentikan dulu.

Kerajaan pun bersetuju membentuk satu badan antarabangsa terdiri dari pakar atom. Tentulah ia akan diselia oleh suruhanjaya atom antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tiada orang dalam negeri dalam pasukan kajian itu bagi memastikan pandangannya bebas dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan.

Ikut kata Menteri Perdagangan AntaraBangsa, Datuk Mustapa Mohamad, tiada orang Melayu, orang Cina dan orang India dalam badan itu.

Apa perlunya kajian itu dibuat oleh orang antarabangsa? Apakah kita tidak percaya kepada orang dalam negeri sendiri? Atau tidak adakah orang dalam negeri yang layak dari segi kelulusan akadamiknya dan berwibawa untuk membuat kajian itu?

Orang Malaysia yang ada pengetahuan itu ada seperti Dr Che Rosli Che Mat, Anggota Parlimen Pakatan Rakyat Hulu Langat, tetapi kerajaan BN tidak yakin akan kebebasannya.

Dan kita juga ada badan menguasai atom malah pernah mewarwarkan untuk mengeluarkan tenaga neuklear sendiri. Tidak bolehkan mereka dipercayai?

Agaknya kerajaan juga tidak yakin badan yang dikuasai kerajaan dan pakarnya dipercayai oleh orang ramai seperti tidak yakin setengah orang tentang wibawa Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua SPR Ketua SPRM dan lain-lain.

Semua mereka ada kelulusan, ada pengalaman, ada latihan seperti latihan tokoh-tokoh negara asing, tetapi kerana mereka adalah pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, maka wibawa dan integriti dipersoal oleh orang banyak bahkan setengah pemimpin dan penyokong Umno pun totok orang makan gaji, bukan sungguh-sungguh berkhidmat untuk profesion masing-masing.

Antara mereka jujur dengan profesionnya tetapi kerana politik Malaysia benar-benar menghidupkan sifat haiwan politiknya, yang jujur pun diborong sebagai hamba Umno belaka.

Lynas dibangkitkan oleh pembangkang sebagai projek melambakkan sisa dan hampas yang tidak berguna yang dikatakan membahayakan alam sekitar dan makhluk bernyawa. Australia telah menolaknya, maka ia dilambakkan pula di Pahang.

Dikatakan projek itu boleh memberi banyak peluang pekerjaan dan menguntungkan. Tetapi mengapa pula Australia menolak tuah yang baik?

Negeri itu adalah negeri Perdana Menteri Najib. Kalau Australia yang rakyatnya peka pada sebarang ancaman kesihatan, mengapa Perdana Menteri Malaysia mudah mengimpotnya ke negeri tok neneknya?

Jarang kerajaan Barisan Nasional prihatin tentang isu yang dibangkitkan oleh pembangkang. Tetapi Lynas ini memaksa ia menangguhkan kerja yang sudah berjalan bagi memberi laluan kepada kajian pakar antarabangsa.

Pertama bisa-bisa atom itu amat sensitif bagi masyarakat di dunia, dan kedua kita adalah di ambang pilihan raya. Isu yang dibawa pembangkang ini laris untuk pilihan raya.

Boleh dipuji atas prihatin kerajaan itu. Tetapi mengapa diserah bulat kepada pakar antarabangsa saja? Mengapa tidak disertakan denan tenaga pakar dalam negeri sama?

Suka sangat orang negara ini menyerahkan kepercayaan bulat kepada pakar asing. Menjelang kemerdekaan itu kerajaan pimpinan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak menyerah bulat kepada Suruhanjaya Reid yang terdiri dari pakar undang-undang Komenwel untuk merangka perlembagaan negara merdeka.

Begitu ramai ahli undang-undang dalam negeri. Mereka tidak dihargai dan tidak diperlukan. Tanggungjawab dan prihatin orang luar negeri tidaklah sama dengan orang dalam negeri. Sekali pun kita mahukan ia tidak dipengaruhi oleh unsur dalaman, tetapi pandangan dalaman tetap diperlukan.

Rakyat tidak seronok urusan merangka perlembagaan itu diserak bulat kepada geng Orang Putih. Kerana tiada orang dalam negeri dalam lembaga itu, banyaklah yang rakyat rasa perlu diberi perhatian dibiarkan saja. Perlembagaan itu akan lebih indah jika pakar dalam negeri disertakan.

Bukan kita tidak yakin sepenuhnya kepada pakar luar tetapi pakar luar juga ada kalanya mengarut juga. PBB pernah menghantar pakarnya untuk memantau senjata memusnahkan yang dikatakan dimajukan oleh kerajaan Iraq di bawa Saddam Hussein.

Laporannya dipalsukan kononnya senjata itu ada disorokkan. Tetapi setelah Iraq terbuka kepada tentera Amerika dan Nato ternyata senjata itu tidak ada, malah ada pula yang memecahkan rahsia bahawa laporan awal dulu memang dipalsukan.

Ketika orang tahu isu senjata pemusnah itu hanya satu rekaan, Iraq sudah pun jadi padang jarak padang tekukur — Iraq sudah musnah.

Pandangan pakar asing adalah penting, tetapi memberi hak kepada pakar asing saja menentukan sesuatu yang kita ada kepentingan adalah satu penyakit jiwa. Jangan jadikan Malaysia dikenali sebagai bangsa yang sakit jiwa!

Haji Abdul Subky Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan Hanya Kerja Angguk. Geleng Haram

May 30, 2011

Gerakan nafi usaha singkir Tsu Koon Presiden Gerakan


KUALA LUMPUR, 30 Mei – Gerakan menafikan terdapat usaha dari dalam parti itu untuk menyingkirkan presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon walaupun terdapat laporan bahawa semakin ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata malahan kini pemimpin dan ahli parti sedang sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 di bawah kepimpinan Koh.

“Ia tidak benar. Ada orang yang mahukan publisiti dengan membuat dakwaan demikian,” katanya dipetik laporan Bernama Online.

Bekas naib ketua Pemuda parti itu, S Paranjothy mendakwa wujud perasaan tidak puas hati dalam parti dan terdapat ahli yang merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menyikirkan Koh.

Paranjothy yang merupakan ketua cawangan Taman Ehsan mendakwa ramai ahli yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinan Koh yang dianggap lebih sebagai “yes man” dan mengetepikan pandangan dan isu yang dikemukakan oleh sayap Pemuda dan Wanita.

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lebih berminat untuk menjaga kedudukan politiknya dalam kerajaan dan tidak menghiraukan masalah dalam parti.

Laporan itu mendakwa bukan itu sahaja, Koh dikritik kerana kerana tidak mengemukakan strategi untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada pembangkang.

Namun Chang menjelaskan adalah perkara biasa bagi mana-mana ahli parti untuk mempunyai pandangan yang berbeza mengenai banyak isu, tetapi ia tidak bermakna mereka merancang untuk menjatuhkan pemimpin parti.

Malah katanya, di bawah kepimpinan Koh, Gerakan telah membuka lebih banyak cawangan dan menarik lebih ramai ahli baru di seluruh negara.

Beliau memberi contoh, Gerakan berjaya menarik empat anggota dewan undangan negeri bebas, tiga di Sabah dan seorang di Pahang menyertai parti itu.

Mereka ialah Peter Pang En Yin (Karamunting), Raymond Tan Shu Kiah (Tanjung Papat) dan Au Kam Wah (Elopura) semuanya dari Sabah serta Ho Yip Kap (Tanah Rata) dari Pahang yang menang pada pilihan raya umum 2008.

Pang keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menyertai Gerakan pada Mac lalu sementara Tan dan Au keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP) selepas parti itu keluar dari gabungan Barisan Nasional pada September 2008.

Chang juga berkata di bawah kepimpinan Koh, bekas naib presiden LDP, Datuk Liew Yun Fah turut menyertai Gerakan.

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow turut menafikan terdapat rancangan untuk mengadakan EGM bagi menyikirkan Koh.

“Jika benar, saya adalah orang pertama yang akan tahu kerana mereka perlu mengemukakan permintaan kepada Setiausaha Agung. Saya boleh beritahu kamu, tidak ada perkara itu, hanya ada orang sengaja mahu buat cerita,” katanya.

Najib dan kekalahan Manchester United

Oleh HARIS ZALKAPLI

Perhimpunan sejuta belia di Putrajaya semalam memberi tanda-tanda kegemilangan pada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Program di seberang lain oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan diatur dengan tergesa-gesa, dengan kehadiran belia yang terhad, dan dengan tajuk generik "sesi ramah mesra."

PAS pula beberapa bulan lalu hanya dapat mengumpul 30,000 pemuda di Kedah. Najib menurut laporan media pro-Umno dapat mengumpulkan sejuta belia.

Kemuncak program Najib itu ialah perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah menemukan pasukan bola sepak ikon budaya popular, Manchester United dengan pasukan Sepanyol, Barcelona.

Najib hadir sebagai penyokong pasukan paling popular - tetapi menjengkelkan pada pandangan sesetengah pihak - Manchester United, lengkap dengan jersi dan aksesori lain.

Kemenangan Manchester United boleh memberikan poin besar kepada beliau, lebih-lebih lagi memandangkan usaha Najib mendekatkan diri dengan golongan muda untuk membina dan mengukuhkan sokongan mereka.

Pemerintah juga kini semakin biasa mempolitikkan sukan untuk membina sentimen positif, seperti dilakukan ketika Kelantan menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Manchester United tidak berjaya, tewas kepada Barcelona dengan jaringan 1 berbalas 3, keputusan yang kemudian mencetuskan pelbagai kritikan keras termasuk dari media Inggeris sendiri.

Poin besar yang diharapkan Najib tidak kesampaian, dan mendedahkan dirinya kepada sindiran-sindiran, seperti yang biasa, disebut sebagai menjadi punca kekalahan pasukan popular itu (walaupun ada juga yang mengaitkannya dengan isteri beliau yang sering dikait dengan imej negatif).

Sindiran seperti ini sememangnya bersifat murahan, tetapi memberi sedikit poin kepada penentang Najib dan parti pemerintah untuk dijadikan bahan jenaka buat seketika.

Boleh dijangkakan, media propemerintah hari ini penuh dengan laporan-laporan dan komentar mengaitkan Najib dengan kemenangan sekiranya Manchester berjaya, tetapi menjadi laporan sukan biasa apabila pasukan sokongan perdana menteri itu tidak mencapai kemenangan.

Tetapi, sebagai pemimpin yang semakin selesa dan berjaya memanfaatkan budaya popular - termasuk Facebook, Twitter dan kemunculan di radio popular bersama DJ selebriti - kehadiran Najib menonton perlawanan itu, dengan publisiti yang meluas, sekurang-kurangnya telah berjaya mendekatkan dirinya dengan golongan belia.

Sedikit demi sedikit, permainan imej melalui budaya popular oleh Najib kini semakin menunjukkan kesan, terutama pada tahun ini, ketika pilihan raya umum akan datang dirasakan semakin dekat.

Tahniah Untuk 1Malaysia. Hadiah Dari Umno Dan BN Untuk Rakyat

Tarif elektrik naik 7.12 peratus, kuat kuasa 1 Jun


PUTRAJAYA, 30 Mei – Tarif elektrik akan mengalami kenaikan sebanyak 7.12 peratus berkuat kuasa I Jun ini.

Bagaimanapun ia tidak akan memberi impak ke atas 75 peratus pengguna domestik.

Langkah itu sebahagian daripada proses merasionlisasikan subsidi yang sedang dilaksanakan.

Di bawa keputusan itu, kerajaan mengumumkan purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen kilowatt sejam atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen kw sejam daripada 31.31 sen kw sejam.

Laporan Bernama Online menyebut, bagaimanapun langkah berkenaan tidak akan menjejaskan kira-kira 75 peratus penduduk yang menggunakan kurang daripada 300kw sebulan.

Pengumuman berkenaan dibuat pada sidang akhbar bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Tenaga, Tenaga Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin.

Mereka berkata kenaikan 7.12 peratus itu disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk sektor tenaga.

Dalam pada itu, kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Tenaga, Hijau dan Air menyebut harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjun daripada RM10.70/MMBtu kepada RM13.70/MMBtu, maka tarif elektrik di Semenanjung perlu disemak semula.

“Berkuat kuasa 1 Jun 2011, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen/kWj atau 7.12 peratus daripada kadar purata semasa 31.31sen/kWj kepada 33.54sen/kWj,” katanya.

Kata kenyataan itu, ia melibatkan dua komponen iaitu kesan penyelarasan harga gas daripada RM10.70/MMBtu kepada RM13.70/MMBtu ke atas tarif elektrik sebanyak 5.12 peratus atau 1.60sen/kWj dan semakan tarif asas TNB iaitu kenaikan sebanyak 2 peratus atau 0.63sen/kWj daripada kadar purata tarif semasa.

Ketika ini, gas asli merupakan sumber utama penjanaan elektrik di Semenanjung (54.2 peratus), diikuti arang batu (40.2 peratus) manakala selebihnya adalah daripada sumber hidro (5.2 peratus) dan ‘distillate’ (0.4 peratus).

Oleh itu kata kenyataan, berikutan penyelarasan harga gas sebanyak RM3/MMBtu, maka tarif elektrik perlu diselaraskan 5.12 peratus atau 1.60sen/kWj.

Walaupun pada masa sekarang, harga arang batu di pasaran antarabangsa adalah sekitar AS$120/tan, untuk semakan tarif elektrik kali ini, katanya, kerajaan menetapkan harga arang batu untuk sektor elektrik dikekalkan pada harga AS$85/tan sepertimana diguna pakai bagi penyelarasan tarif elektrik pada 1 Mac lalu.

“Selaras dengan usaha kerajaan untuk merasionalisasikan harga tenaga mengikut mekanisme harga pasaran, maka kerajaan telah bersetuju supaya mekanisme pelepasan kos bahan api diguna pakai dalam penetapan tarif elektrik di masa hadapan,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kuantum kos bahan api yang akan dilepaskan kepada pengguna adalah dikira berdasarkan pada kos sebenar bahan api iaitu gas dan arang batu bagi tujuan penjanaan untuk tempoh enam bulan.

Mengenai semakan tarif asas TNB, kata kenyataan itu, selain mengambil kira kenaikan harga bahan api, pihak kerajaan telah meluluskan permohonan TNB untuk menyemak semula tarif asas.

Katanya, keputusan telah dibuat supaya tarif asas TNB dinaikkan sebanyak dua peratus.

Malah tambah kenyataan, semakan tarif asas TNB diperlukan bagi membolehkannya menampung peningkatan kos pembekalan elektrik semasa.

KERAjaan sentiasa bersama rakyat dalam susah dan senang.

Rakyat sentiasa dihati pemimpin umno dan bn.

pemimpin umno bn faham akan kesusahan yang dialami rakyat sekarang.

Rakyat perlu bersama KERAjaan dalam setiap masa.

Pemuda belia negara akan pertahan putrajaya.

Semua kenyataan di atas tu adalah lakonan tipu daya umno dan bn memperbodohkan rakyat. Tapi sayang, puak penyokong umno laknat masih bodoh dan tidak memikirkan apa yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka. Sanggup diperbodohkan!

Ekonomis : Harga Makanan Dijangka Naik

KUALA LUMPUR 30 Mei - Harga makanan dijangka meningkat seiring pengumuman kerajaan menaikkan tarif elektrik, kata ketua ekonomis Ratings Agency Malaysia Yeah Kim Leng.

Katanya, ini ekoran industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik.

“Sebanyak 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, tetapi mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada pengguna,” katanya.

Hasil daripada tekanan inflasi, Yeah berkata, kerajaan sebaiknya mengatur pemotongan subsidi untuk barangan yang berbeza-beza, sebagai contoh petrol.

“Sekiranya kerajaan memotong subsidi petrol sekarang, ia akan menyebabkan gegaran berganda kepada pengeluar yang akhirnya memindahkan tekanan itu kepada harga barangan pengguna,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui bagi pengguna antara 301kW hingga 1000kW unit, tarifnya dinaikkan daripada 0.1 hingga 10 peratus bermula 1 Jun.

Yeah berkata, pengumuman hari ini akan memberikan tekanan kepada kumpulan berpendapatan rendah walaupun jumlahnya mungkin kecil.

“Ia mungkin tidak signifikan namum ia menjadi perbelanjaan tambahan untuk golongan miskin dan perlu ditelan,” katanya.

-Malaysiakini-

Petronas tanggung RM21 bilion kerugian dari perjanjian IPP-Rafizi

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa kerajaan mengkaji semula keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan tenaga di negara ini supaya berlaku adil kepada rakyat.

Menurut beliau, selepas menjadikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai kambing hitam oleh kerajaan, Petronas pula terpaksa menanggung bebanan sehingga RM21 bilion setiap tahun.

“Untuk berlaku adil, keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan elektrik perlu dikaji. TNB dipaksa menandatangani perjanjian membeli elektrik dari penjana bebas pada kadar yang tinggi. Lebih dari separuh kos TNB adalah untuk membayar Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Yang dimarahi rakyat adalah TNB kerana TNB yang menjadi kambing hitam dan budak jahat.

“Lebih teruk, apabila perjanjian itu juga menyebut kalau ada sebarang kenaikan kos bahan api (gas, arang batu), IPP ini tidak perlu menanggungnya.

“Akibatnya Petronas pula yang terpaksa menanggung sehingga berjumlah RM21 bilion setiap tahun berdasarkan anggaran terbaru kita,” kata Rafizi yang juga bekas Pengurus kanan di Petronas.

Untuk rekod, TNB dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal manakala Petronas pula diarah menjual gas dengan harga lebih murah kepada syarikat tersebut.

IPP pula kemudian membeli tenaga lebih mahal daripada Indonesia dan kawasan minyak JDA di sempadan Malaysia-Thailand.

Rafizi baru-baru ini mendakwa Petronas terpaksa membeli setong minyak dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10.

Katanya, ekoran keresahan Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan rakyat berhubung kenaikan tarif elektrik, mereka terpaksa menenangkan rakyat kononnya kerajaan memotong subsidi korporat.

“Bila rakyat mula bangkit, BN resah dan mahu menenangkan rakyat dengan menghebahkan kononnya memotong subsidi korporat. Tetapi jalan yang diambil adalah dengan menghukum rakyat, apabila tarif elektrik dinaikkan supaya kenaikan harga bahan api (arang batu dan gas) ditanggung oleh rakyat.

“Ini akan beri kesan kepada harga barang dan melonjakkan lagi kadar inflasi yang sudah tinggi akibat beberapa siri kenaikan harga baik gula, harga petrol, diesel dan lain-lain sejak kebelakangan ini.

“Dalam keadaan gaji rakyat yang tidak naik akibat kegagalan BN mewujudkan agihan kekayaan yang adil, ini akan menyukarkan lagi hidup seharian rakyat,” kata beliau kepada Keadilandaily.com.

Selain itu katanya, kerajaan perlu mengambil inisiatif yang bijak bagi mengelakkan kenaikkan tarif elektrik yang membebankan rakyat.

“Runding dengan IPP supaya caj yang terlampau mahal yang dikenakan kepada TNB atas elektrik yang dijual dikurangkan, kerana caj yang terlalu tinggi hingga memberi keuntungan besar dan berat sebelah inilah yang menyebabkan tarif elektrik di Malaysia tinggi.

“Apabila caj dari IPP ini dikurangkan, barulah beban kewangan TNB boleh dikurangkan dan subsidi bahan api (gas dan arang batu) boleh dikurangkan agar wang boleh digunakan untuk tujuan lain sementara tarif lektrik dikekalkan kerana penjimatan dari caj IPP yang lebih rendah boleh digunakan untuk menampung kenaikan kos bahan api,” kata beliau.

Taksubnya Nik Aziz pertahan Anwar — Zulkiflee Bakar

30 MEI — Mentri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi tampil sebagai “wira” untuk membela Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaru di Sungai Buloh, kelmarin, Nik Abdul Aziz yang berucap di satu majlis menasihatkan pihak yang dianggap memfitnah Anwar tampil memohon maaf.

“Dosa orang yang buat fitnah tidak akan merasa nikmat kubur apatah lagi hendak masuk syurga melainkan kena minta maaf dengan Anwar, itupun kalau Anwar bagi.”

Malahan Nik Abdul Aziz juga berhujah bahawa, kredibiliti Anwar sebagai pemimpin berlandaskan syiar Islam adalah faktor kemaraan politiknya disekat kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) yang khuatir kehilangan kuasa.

Demikianlah hebatnya “ketaksuban” Nik Abdul Aziz mempertahankan Anwar. Bagi Menteri Besar Kelantan itu apa pun orang kata tentang Anwar semuanya fitnah, konspirasi dan mainan politik semata-mata.

Orang seperti Nik Abdul Aziz seolah-olah tidak mahu lagi mendengar hujah pihak lain sebaliknya hanya percaya kepada kata-kata Anwar sahaja.

Persoalannya sejak bila pula, Nik Abdul Aziz begitu mengambil berat soal fitnah ini, apakah hanya kerana melibatkan Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang, ia dianggap fitnah tetapi kalau melibatkan pemimpin Umno atau BN, itu dianggap satu kebenaran?

Kenapa Nik Abdul Aziz tidak bersuara apabila pelbagai fitnah dilemparkan oleh pembangkang termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana tindakan yang sama pernah dilakukan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Begitu juga dengan pelbagai tuduhan pembangkang kepada kerajaan BN dan pemimpin Umno yang sebahagian besarnya menjurus kepada fitnah tetapi Nik Abdul Aziz hanya senyap sahaja.

Kepentingan politik telah menguasai pemikiran Nik Abdul Aziz sehinggakan beliau hanya akan mengeluarkan hujah-hujah berlandaskan al-Quran dan hadis jika sesuatu isu itu melibatkan kepentingan pembangkang.

Kalau benar Nik Abdul Aziz begitu percaya bahawa Anwar difitnah, kenapakah beliau tidak membantu ketua pembangkang itu untuk membersihkan namanya dengan menggunakan apa juga cara?

Anwar bukannya tidak diberi ruang untuk berbuat demikian, tetapi semuanya ditolak bulat-bulat manakala Nik Abdul Aziz sendiri menolak semua hujah biarpun dari semasa ke semasa kebenaran semakin tidak menyebelahi Ketua pembangkang tersebut.

Hujah Nik Abdul Aziz bahawa Anwar seorang pemimpin berlandaskan syiar Islam juga boleh dianggap sesuatu melucukan dan hanya kenyataan politik semata-mata.

Ia disebabkan tindak tanduk Anwar selama ini termasuklah berhadapan dengan dua tuduhan liwat tidak melayakkan beliau mendapat pengiktirafan seumpama itu.

Apatah lagi Anwar sendiri lebih mengutamakan persahabatan dengan DAP berbanding PAS, sebab itulah suatu ketika Anwar secara terbuka berkata, pembangkang sepakat bahawa isu perjuangan negara Islam tiada agenda mereka.

Malahan Anwar juga baru-baru ini menyinggung perasaan PAS apabila menyatakan bahawa parti itu memahami bahawa golongan gay dan lesbian harus diberi layanan sama seperti warga lain.

Semua fakta ini tidak dinilai oleh Nik Abdul Aziz, sebaliknya beliau bermati-matian mempertahankan Anwar sehingga keadaan itu turut merimaskan sesetengah ahli-ahli PAS.

Malahan ada antara mereka pernah mengesyorkan kepada penulis supaya jangan melaporkan apa juga kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz.

Ia kerana pada pandangan mereka, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan kepada PAS.

Begitulah juga dalam isu Anwar ini, Nik Abdul Aziz seolah-olah begitu teruja membela beliau biarpun semakin ramai ahli PAS meragui keikhlasan Anwar.

Tetapi Nik Abdul Aziz seperti biasa tidak akan mempedulikan apa pandangan orang lain, selagi ada kesempatan untuk membela Anwar, maka beliau akan berbuat demikian.

Mungkin Mentri Besar Kelantan itu sendiri tidak yakin bahawa ada orang lain yang boleh memimpin pembangkang selain Anwar.

Oleh itu, beliau terus berusaha untuk memastikan kredibiliti Anwar tidak terjejas biarpun ketua pembangkang itu semakin banyak berhadapan dengan isu-isu berkaitan dengan moral.

Keadaan itu menggembirakan Anwar dan juga pemimpin pembangkang lain kerana mereka tahu apa pun yang dilakukan pasti ada seorang mursyidul am yang akan membela mereka

Kesudahannya, walaupun ada pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan sesuatu perkara termasuklah dalam isu melibatkan Anwar mereka tidak akan berkata-kata apa-apa kerana bimbang bertentangan pendapat dengan Nik Abdul Aziz.

Sebenarnya, tindakan Nik Abdul Aziz meletakkan PAS di dalam bahaya kerana jika siasatan polis selepas ini tidak memihak kepada Anwar ia boleh memberikan kesan buruk kepada politik PAS.

Ia kerana sebagai Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz membawa suara PAS, oleh itu sudah pastilah apa yang beliau katakan akan dianggap pendirian PAS.

Jika itu berlaku, PAS akan terus ditolak oleh rakyat seperti mana berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini yang jelas menunjukkan pengundi-pengundi atas pagar semakin meninggalkan PAS.

Semua itu berlaku kerana mereka melihat PAS tidak konsisten dalam mempertegaskan sesuatu isu dan ia menjadi betapa buruk apabila seolah-olah tidak ada sesiapa pun di dalam parti berkenaan yang berani menegur keterlanjuran dan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz.

Malahan sebelum ini disebabkan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz, ada pihak yang mendakwa kemerosotan pengaruh PAS adalah disebabkan oleh beliau.

Sememangnya kita tidak boleh menyatakan sejauh manakah dakwaan itu benar, tetapi kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz sememangnya kadang kala boleh “memudaratkan imej” PAS sebagai parti Islam.

Atas sebab itulah, ada pihak di dalam PAS sendiri yang menaruh harapan agar ada perwakilan di dalam muktamar tahunan parti itu pada Jumaat ini akan menegur secara berhemah sikap Mursyidul Am tersebut.

“Teguran bukanlah dengan bahasa yang kesat atau kasar tetapi berlapik dan berhemah. Kita mahu sampaikan mesej kepada beliau bahawa tindakan-tindakannya banyak meresahkan ahli-ahli PAS di peringkat umbi,” kata seorang ahli PAS ketika berbual-bual dengan penulis.

Kita tidak pasti sama ada perwakilan PAS mempunyai keberanian itu atau tidak, biarpun sebelum ini pemimpin mereka mendakwa perwakilan bebas bercakap apa sahaja isu.

Tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa imej PAS semakin tergugat kerana kenyataan-kenyataan Nik Abdul Aziz.

Adalah lebih baik jika Mentri Besar Kelantan itu menumpukan perhatian sebagai mursyidul am yang menasihatkan parti dalam sesuatu isu dan bukannya melakukan tindakan politik yang dilihat seolah-olah di dalam PAS ada “dua Presiden”. — Utusan Malaysia

Najib tak faham fungsi Putrajaya, dakwa AMK

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Sayap pemuda PKR mengecam tindakan Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan platform Himpunan Sejuta Belia 2011 sambil menyifatkannya sebagai langkah terdesak Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan sokongan golongan muda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon, ucapan Najib yang meminta golongan muda untuk mempertahankan Putrajaya daripada Pakatan Rakyat disifatkan sebagai agenda politik sempit yang masih diamalkan BN.

Dalam ucapan Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Najib yang juga presidennya berkata Putrajaya harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

“AMK mengecam tindakan BN yang mengeksploitasikan aktiviti Himpunan Sejuta Belia sebagai platform untuk mempertahankan kuasa pemerintah yang penuh dengan agenda politik sempit selain itu perhimpunan itu juga membazirkan wang rakyat.

“Tahun lepas, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan bahawa BN akan mempertahankan Putrajaya walau apa pun terjadi semasa pada Mesyuarat Agung Umno. Kini, beliau telah menggunakan Himpunan Belia sebagai alat untuk menyerang parti pembangkang,” kata Lee dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, apa yang diucapkan Najib itu membuktikan perdana menteri keenam itu tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.

“Keadaan ini telah menunjukkan perdana menteri tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Di bawah konteks sebuah negara yang demokrasi, Putrajaya adalah milik rakyat Malaysia dan ia merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang dipilih oleh rakyat semasa pilihan raya, jadi Putrajaya bukan dimiliki mutlak oleh mana-mana parti politik,” katanya. Bagaimanapun Lee percaya golongan muda tidak akan mudah terpedaya dengan agenda politik yang digunakan BN.

“AMK amat kesal dengan Himpunan Belia yang telah dijadikan sebagai majlis menyokong BN dan kebanyakan anak muda dipercayai tidak mengetahui bahawa perhimpunan tersebut merupakan rapat umum BN untuk mempertahankan Putrajaya.

“Akan tetapi, terdapat juga pemimpin-pemimpin anak muda dalam NGO menyatakan bahawa NGO tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik selepas mengambil bahagian dalam program tersebut,” katanya.

Tambah beliau, Najib sepatutnya menjadi teladan kepada golongan muda dan bukan meminta agar mempertahankan Putrajaya daripada jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menawan kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa.

“Sebagai seorang perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya menjadi satu teladan yang baik kepada anak muda dan bukan semata-matanya melaungkan bahawa hendak mempertahankan Putrajaya bersama-sama dengan golongan muda.

“Selain itu, perdana menteri juga perlu membersihkan sistem pilihanraya yang tidak adil, kotor dan ketidaktelusan terlebih dahulu sekiranya ingin disokong oleh rakyat,” kata Lee.

Najib dalam perhimpunan yang diadakan di Putrajaya mahu mahu golongan muda mempertahankan Putrajaya daripada Pakatan Rakyat jika ingin melihat Malaysia menjadi negara maju.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berjaya dalam usaha transformasi tanpa sokongan daripada belia negara ini.

“Ada yang panggil saya Bapa Transformasi, saya tidak tahu, tetapi anda semua adalah pemangkin perubahan,” katanya.

“Jika belia bersama dengan kerajaan, negara kita akan aman dan kita boleh menjadikan negara kita makmur,” katanya.

Umno Cuba 'Ngorat' Nik Aziz, Tawar Jawatan Menteri

'5 kali cuba pujuk Nik Aziz, tawar 3 menteri'

Abdul Rahim Sabri

Usaha memujuk PAS bekerjasama dengan Umno dilihat berterusan apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat mendakwa beliau didatangi wakil Umno sebanyak lima kali untuk tujuan itu dalam masa terdekat.

Menurut ahli parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain, Nik Aziz mendedahkan perkara itu ketika bertemu dengan anak-anak Kelantan di Lembah Klang di Dengkil petang semalam.

"Ya, betul, beliau sebut (ada) lima kali pertemuan. Ia berlaku dalam masa terdekat, (ia) mengenai isu kerjasama PAS dengan Umno," katanya yang hadir dalam majlis di dewan orang ramai di situ.

Menteri besar Kelantan itu bagaimanapun didakwa tidak memperincikan individu itu sebaliknya hanya menyebutnya sebagai "berpangkat datuk" dan "pesara kerajaan".

Muhammad juga berkata, Nik Aziz ada memberitahu, PAS ditawarkan tiga jawatan menteri sekiranya membentuk kerajaan perpaduan dengan parti Islam itu.

Bagaimanapun menurut Muhammad, Nik Aziz menolak mentah-mentah pujukan itu kerana PAS sudah membuat perjanjian dengan DAP dan PKR.

Muhamad juga menjelaskan, mursyidul am PAS itu memberitahu, usaha itu berlaku sejak April lalu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kembali menjaja isu kerjasama kedua-dua parti Melayu itu.

Difahamkan, majlis itu dihadiri kira-kira 500 orang. Turut serta Setiausa Agung PKR Saifuddin Nasution dan dua anggota parlimen, termasuk Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh), Abdullah Sani (Kuala Langat).

Sementara itu, beberapa pihak yang hadir dalam majlis minum petang itu mengesahkan ucapan Nik Aziz itu dan ada daripada mereka yang difahamkan terkejut dengan pendedahan itu.

Jeng Jeng! Tarif Elektrik Naik?

Saham TNB digantung tengah hari, dipercayai berkaitan tarif

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Saham syarikat tenaga elektrik negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) digantung tengah hari tadi di sebalik laporan bahawa Putrajaya akan mengumumkan keputusannya mengenai tarif elektrik petang ini.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan mengadakan sidang media berkaitan aspek itu pada pukul 4 petang ini.

Tiada maklumat lanjut diperoleh. — Reuters

Tarif elektrik: Putrajaya umum keputusan petang ini

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Kementerian Tenaga, Hijau dan Air akan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang ini, tiga hari selepas kerajaan mengatakan bahawa ia sudah memuktamadkan kajian semula tarif elektrik, yang ramai meramalkan ia akan mengalami kenaikan.

Pegawai-pegawai kementerian yang dihubungi Reuters tidak memberikan butiran lanjut.

Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan satu mesyuarat telah diadakan pagi tadi berhubung perkara tersebut.

Laporan itu berkata kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan tarif dalam usahanya mengawal kos subsidi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneliti laporan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (NEC) berhubung dengan tarif elektrik.

“Apa pun kita akan tengok dulu. Kita tak boleh kata apa. Itu laporan... terpulang kepada mereka,” kata Najib.

Mengulas mengenai pendirian kerajaan mengenai subsidi serta kesannya kepada rakyat, beliau berkata: “Saya sudah maklumkan dasar kita tetapi banyak orang tidak berapa faham.”

“Ini bukan pengurangan subsidi tetapi sebenarnya kurangkan kenaikan subsidi. Subsidi bukan sahaja tetap diberikan tetapi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion.

“Jadi, kerajaan terpaksa cari tambahan lebih RM8 bilion, bukan satu jumlah kecil,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata isu berhubung semakan harga gas dan tarif elektrik telah dibincangkan dalam mesyuarat NEC, Jumaat lalu.

Muktamar Ipoh dan permulaan persaingan Erdogan-ulama

Tahun 2008 ialah permulaan jelas persaingan dua kumpulan dalam PAS, yang menyaksikan satu haluan lain diambil dan ditegaskan lagi sebagai jalan masa depan bagi PAS.

Kumpulan yang kemudian digelar Erdogan itu memperlihatkan sikapnya dengan jelas pada muktamar PAS di Ipoh, Perak, pada 2008 selepas gabungan yang kemudian ditubuh sebagai Pakatan Rakyat menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun itu.

Artikel di bawah ini, yang ditulis selepas muktamar PAS di Ipoh pada Ogos 2008, merupakan satu catatan yang mendokumenkan permulaan persaingan ide dalam parti itu, yang kemudian menjadi isu utama dalam muktamar-muktamar selepas itu, termasuk yang akan datang awal Jun nanti.

PAS menghadapi cabaran politik baharu
Oleh HARIS ZALKAPLI

Muktamar PAS yang berakhir 17 Ogos lalu menunjukkan satu gambaran yang jelas, iaitu parti pembangkang terbesar Malaysia ini berdepan satu cabaran yang hebat ketika ia melangkah memasuki Malaysia yang lebih liberal dan politik baharu yang lebih mencabar.

Apa yang jelas dilihat dalam muktamar kali ini ialah dalam masa tiga dekad kebelakangan ini, PAS pertama kali berdepan ujian perbezaan pendapat terbesar, sehingga perbezaan pendapat ini dapat dilihat dengan jelas sepanjang muktamar, melalui reaksi pemimpin-pemimpin.

Malah, satu-satunya perkara paling jelas dapat diperhatikan dalam muktamar kali ini ialah perbezaan pendapat dua kumpulan besar ini, iaitu kumpulan yang menentang rundingan dengan Umno, yang digelar kumpulan Erdogan (merujuk kepada perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan), dan yang menyokong diketuai Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kumpulan ulama.

Perbezaan dan persaingan ini dapat diperhatikan ketika dua tokoh ulama PAS, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Harun Din dan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masing-masing mengemukakan hujah mewakili pandangan dua kumpulan ini. Sangat jelas reaksi pemimpin-pemimpin ketika tokoh mewakili dan tidak mewakili mereka berucap.

Kemudian, pada hari Sabtu ketika berlangsung penamaan calon untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh, pentas pimpinan lengang seketika ekoran perginya pemimpin-pemimpin kumpulan Erdogan ke Permatang Pauh, memberikan petanda jelas sokongan mereka terhadap pengukuhan Pakatan Rakyat yang bercita-cita menubuhkan kerajaan pusat bermula 16 September nanti.

Kedua-dua kumpulan menegaskan bahawa haluan merekalah yang sepatutnya diambil, sekiranya PAS ingin meneruskan lagi perjuangan secara terhormat pada masa hadapan.

Persaingan kedua-dua kumpulan ini kelihatan seimbang, dan membawa PAS ke satu persimpangan yang menuntut parti ini memilih haluannya ke masa hadapan. Muktamar di Ipoh minggu lalu hanyalah satu permulaan persaingan yang boleh disifatkan sebagai untuk menguasai jiwa parti ini.

Dalam ucapan dasar yang bersifat agak defensif, presiden PAS menegaskan kekuatan parti itu, yang ditegaskan sebagai penyumbang kepada kemenangan besar pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu. Ucapan ini, yang dibuat menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang memerlukan sokongan dan kerja-kerja oleh ahli-ahli PAS, menegaskan sekali lagi kenyataan Abdul Hadi menuntut PR lebih menghormati PAS dalam menentukan hala tuju gabungan itu.

Kata Abdul Hadi, “Kita hendaklah sama-sama menyedari betapa mahalnya pengorbanan ahli dan penyokong PAS untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Perlu juga diingat bahawa PAS telah memberikan sahamnya yang sangat besar kepada kemenangan ini dengan mempunyai paling banyak jentera parti di kalangan Pakatan Rakyat dan bekerja untuk parti lain di kalangan Pakatan Rakyat. Kita sama-sama bekerja dan menyedari bahawa kita menghadapi pilihan raya di medan yang tidak sama rata, disebabkan oleh amalan demokrasi yang dipenuhi kecacatan, penipuan, kezaliman dan lain-lain.”

Jelasnya lagi, “Kejayaan kita mengerahkan himpunan rakyat di bawah payung organisasi yang dinamakan Bersih bagi menyuarakan desakan pemulihan demokrasi dengan pilihan raya yang adil, demokratik dan telus, sebelum pilihan raya umum, menunjukkan kepada kita bahawa PAS bukan sahaja boleh menyertai pilihan raya, bahkan PAS juga mampu mengerah rakyat turun ke jalan raya. Ini membuktikan bahawa PAS tetap mempunyai kekuatannya yang tersendiri, yang tidak boleh diperkecilkan.”

Abdul Hadi juga menegaskan apa yang mendasari rancangan berbincang dengan Umno. Katanya, “Dalam pilihan raya yang lalu kita terus melaksanakan thahaluf siyasi, dengan parti-parti dan semua pihak yang bersahabat dengan kita. Keputusan ini tidak dibuat oleh mana-mana individu secara berseorangan dalam PAS."

Katanya lagi, "Perkara yang sebegini besar telah menempuh proses perbincangan, penghujahan dan diperhalusi menerusi Jawatankuasa Politik dan Jawatankuasa PAS Pusat, dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.”

Bagaimanapun, keputusan kumpulan ulama berhubung hal ini masih dipertikaikan, antaranya berhubung apa yang disifatkan sebagai kesan-kesan negatif daripadanya, seperti kehilangan sokongan penyokong bukan Muslim. Perselisihan ini menunjukkan perbezaan tafsiran - yang mendasari sikap dan tindakan dalam pelbagai perkara - masih satu isu sentral dalam PAS.

Respons kepada isu ini dapat didengari dalam ucapan pengerusi kelab penyokong PAS, Hu Pang Chaw yang menegaskan dengan cara agak diplomasi bahawa penyokong bukan Muslim PAS akan meninggalkan parti ini sekiranya PAS bekerjasama dengan Umno.

Tetapi, presiden PAS sebelum itu turut menegaskan pentingnya kelab penyokong bukan Muslim kepada parti, dan menyarankan agar kelab itu diberi peranan lebih luas.

Katanya, “Penubuhan kelab ini sahaja tidak memberi apa-apa makna sekiranya tidak diisi dengan sesuatu program yang bersesuaian. Program kemasyarakatan bersama dengan ahli Kelab Penyokong PAS perlu dipergiatkan di seluruh negara. Kita juga amat mengharapkan agar mereka dapat diberikan peranan yang lebih besar di dalam PAS pada masa hadapan.”

Menghadapi cabaran ini, PAS perlu menyedari kesilapannya tidak menyuburkan wacana dalam kalangan pimpinan teratasnya mengenai pelbagai isu kritikal yang kelihatan agak jauh dari medan permainan PAS, seperti falsafah dan pemikiran baharu yang berleluasa dalam masyarakat, dan isu global yang akhirnya akan turut tiba di Malaysia.

Dapat dilihat hari ini, PAS kelihatan tidak bersedia menghadapi cabaran-cabaran permainan baharu yang jauh lebih sofistikated berbanding cara PAS yang lebih lurus dan literal.

PAS wajar sekali mengaktifkan pemikirannya, memerhati semua perkembangan di semua lapangan aktiviti manusia, termasuk seni budaya, media, ekonomi dan sebagainya. PAS tidak boleh lagi menghadkan rujukan hanya kepada lingkungan biasanya yang kecil itu.

Dan sebagai gerakan Islam, PAS perlu merapatkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia yang mungkin mempunyai pengalaman berharga untuk dikongsi.

Muktamar yang baru lepas ini memberi pengajaran berguna bagi PAS, sekiranya parti pembangkang terkuat Malaysia ini bersedia mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut.

Politik baharu yang lebih mencabar ini menuntut pemikiran dan pendekatan yang lebih sofistikated, termasuk melibatkan penyampaian mesej dan jenama yang ingin dipersembahkan kepada masyarakat. - 20 Ogos, 2008

http://siasahdaily.blogspot.com/2011/05/muktamar-ipoh-dan-permulaan-persaingan.html

Semasa

Hiburan

Sukan

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.