Wan Nur Mafudah Berjaya Mendapat Tempat Pertama Anugerah ACCA


Oleh Hairi Ariff 

Meskipun dinasihatkan untuk tidak mengambil jurusan perakaunan oleh ibubapanya, Wan Nur Mafudah berjaya membuktikan minatnya yang tinggi dalam subjek ini selepas berjaya menjadi anak melayu pertama yang mengondol pelajar terbaik dunia dalam kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Kejayaan yang ditempa Wan Nur Mafudah ini merupakan sebuah rekod yang baru memandangkan sebelum ini belum pernah Bangsa Melayu mendapat tempat pertama di dalam peperiksaan ACCA ini. Kejayaan yang terdekat pernah dicapai sebelum ini adalah tempat kedua, ketiga dan keenam terbaik dunia.

Mengulas mengenai rahsia kejayaan beliau, Wan Nur Mafudah turut berkongsi dimana beliau mengulangkaji serta berkongsi ilmu yang diketahuinya bersama rakan-rakannya untuk meningkatkan kefahaman mengenai subjek tersebut.

Setakat ini, gadis berumur 21 tahun ini masih lagi belajar di Pusat Pendidikan Antarabangsa (INTEC) Shah Alam selepas berjaya mendapat keputusan yang cemerlang membolehkan beliau dianugerahkan biasiswa daripada Permodalan Nasional Berhad.

Berbincang soal masa depan, Wan Nur Mafudah berhasrat untuk bekerja sebagai akauntan terlebih dahulu sebelum meneruskan cita-citanya dalam menjadi seorang pensyarah di sebuah universiti. Tahniah kami ucapkan buat Wan Nur Mafudah. Anda berjaya membuatkan Rakyat Malaysia dan keluarga anda bangga dengan hasil usaha anda.

No comments

Powered by Blogger.