ANALISIS YANG AKU TUJUKAN KHAS KEPADA UMNO DAN BN...KAJI-KAJI LAH





Kemenangan besar Anwar bukan disebabkan kononnya politik perkauman amalan UMNO sebagaimana yang dilaungkan oleh Tian Chua dalam salah satu dari ucapan-ucapan kemenangan di Permatang Pauh. Penafian dan ulasan yang sama juga yang telah diperkatakan oleh Professor Shamsul Akmal dari ATMA, UKM di dalam satu rancangan di saluran Astro Awani malam tadi.

Kenyataan Tian Chua itu hanya mendedahkan kecetekan pemahaman politik seorang aktivis NGO yang terlalu mempercayai teori dan asyik dengan idealisma masing-masing.

Dari segi realiti amalan politik tempatan, kekalahan teruk UMNO di Permatang Pauh masih sama seperti yang berlau pada PRU12 baru-baru. Telunjuk jari masih menunjuk kepada Khairy dan Pak Lah.

Kekalahan di Permatang Pauh tidak boleh dipersalahkan kepada orang lain kerana sebagai Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Permatang Pauh adalah Bahagian bersebelahan dengan Kepala Batas, tanggungjawabnya masih jatuh kepada kepada Pak Lah.

Serangan Peribadi

Sebagaimana yang telah saya sebut semalam dan amaran yang telah saya beri beberapa hari sebelum pemilihan, UMNO tidak seharusnya melakukan serangan peribadi terhadap Anwar di kampung halamannya.

Amalan politik Melayu tidak meletakan prinsip dan ideologi sebagai paling utama dalam membuat sebarang pilihan politik. Tetapi ia lebih kepada hubungan peribadi seperti pertalian keluarga, persahabatan, jiran tetangga, dll.

Serangan peribadi dan tuduhan bertubi-tubi terhadap Anwar di "kampung halamannya" tidak akan meninggalkan kesan yang dikehendaki tetapi hanya menimbulkan kebencian. Pertalian Permatang Pauh juga yang menyelamatkan Anwar dari tekanan apabila Imam yang menjadi saksi kepada majlis sumpah Saiful tampil memberi sokongan moral.


Ini ditambah dengan hakikat bahawa Permatang Pauh merupakan lubuk untuk keluarga Anwar dan PKR meletakkan tapak politiknya.

Gerak kempen UMNO berjalan lancar pada mulanya hingga kehadhiran Khairy pada hari Jumaat lepas. Dengan angkuhnya Khairy menyatakan akan menanam kerjaya politik Anwar dan memulakan tekanan terhadap Anwar untuk melakukan Mubahalah.

Dari situ, satu demi satu pertudahan telah dilakukan oleh sekutu terkini Khairy ia-itu Nallakaruppan dan Ezam.

BN Tidak Mahu Berubah

Pandangan Syed Imran, blog Kuda Ranggi dibawah ini begitu releven:

Seperti biasa, BN tidak mempelajari daripada kesilapan dengan menjadikan pembangunan sebagai umpan untuk mendapatkan undi. Muslihat ini sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi diterima oleh rakyat. Walau seluruh Kabinet turun ke Permatang Pauh dengan menaburkan 1001 macam bantuan dan membuat beratus-ratus janji, rakyat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh. Ini adalah taktik lapuk.

BN sebenarnya tidak peka dan tidak mengikuti arus perdana berbanding dengan PKR. Kempen yang dijalankan oleh BN tidak berkesan kerana isu yang dibangkitkan lebih mirip kepada serangan peribadi, sogokan pembangunan dan janji-janji manis berbanding dengan isu pokok yang dibawa oleh PKR iaitu kehidupan seharian rakyat.

Kehadiran sebegitu ramai orang UMNO yang berkampung sama ada di Permatang Pauh atau di Bukit Mertajam tidak memberi sebarang kesan kerana kebanykan mereka hanya melepak dan membuang masa. Ketua-ketua bahagian UMNO termasuk yang diterbangkan dari Sabah juga tidak membantu sama sekali. Kehadiran mereka hanya membazirkan wang sahaja.

Oleh kerana terlalu terdesak untuk menang, BN sanggup menggunakan taktik kurang sihat sedangkan kempen yang dijalankan oleh PKR jauh lebih teratur dan berkesan. Isu liwat dan sumpah laknat sebenarnya telah melaknatkan BN sendiri. Kehadiran tokoh-tokoh agama yang dihormati oleh masyarakat Melayu seperti Dr Haron Din, Datuk Seri Haji Hadi Awang, Dauk Seri Nik Aziz Nik Mat dan mantan mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya dengan mudah mematahkan serangan BN itu.

Kesimpulan Awal

Kesimpulan awal oleh Dato Abdul Kadir Jasin diterbitkan semula di bawah:

1. Serangan peribadi ke atas Anwar tidak berkesan walaupun BN menggunakan hujah seperti tuduhan liwat dan sumpah laknat si penuduh, Saiful Bukhari Azlan;

2. Gula-gula pilihan raya seperti penurunan harga minyak, janji-janji pembangunan dan buah tangan tidak membantu mengubah pendirian majoriti pengundi yang tidak sukakan BN;

3. Kehadiran begitu ramai pembesar Umno dan BN dengan jentera rasmi dan peribadi mereka ditolak oleh majoriti pengundi;

4. Peranan media massa arus perdana yang terus memberi gambaran yang songsang mengenai keadaan sebenar menyebabkan pemilih jelak dan menolak mesej BN dan pemerintah yang mereka bawa;

5. Kekalahan lebih teruk ini akan memburukkan lagi kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN;

6. Kewibawaan dan integriti pakatan setia Abdullah-Mohd Najib semakin dicurigai apatah lagi apabila Mohd Najib sendiri menggunakan pilihan raya kecil itu untuk bersumpah dengan nama Allah menafikan keterlibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Mohd Najib bersumpah yang dia tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan wanita Mongolia itu;

7. Seruan supaya Abdullah segera meletakkan jawatan mungkin memuncak semula dan mungkin berlaku percubaan baru mencalonkan seseorang untuk mencabar beliau dan Mohd Najib pada pemilihan Umno Disember ini;

8. Kemenangan ini memberi mandat yang lebih kuat kepada Anwar untuk memujuk Ahli Dewan Rakyat BN untuk berpaling tadah menjelang Hari Malaysia pada 16 September ini seperti yang diuar-uarkannya;

9. Kedudukan Anwar sebagai MP dan calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat bergantung dan tertakluk kepada keputusan perbicaraan kes liwatnya;

10. BN tidak lagi boleh menggunakan kuasa kewangan dan pentadbiran untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil. Pada masa lampau, BN umumnya menang pilihan raya kecil malah berjaya merampas kerusi pembangkang; dan

11. Umno akan lebih parah dan mungkin ditolak terus oleh orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang jika kepemimpinannya terus mengabaikan mesej yang dihantar oleh pengundi. Ramai ahli parti dan penyokong BN tidak keluar mengundi.

Implikasi Politik

Walaupun saranan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru Pakatan Rakyat pada September 16hb tidak berkemungkinan akan berlaku, kehadhiran Anwar Ibrahim di Parlimen akan menguatkan kedudukan pembangkang di Parlimen dengan kebolehan Anwar berpidato dan berdebat.

Kehadhiran Anwar dan keupayaannya menarik perhatian media tempatan dan dunia akan menambahkan tekanan terhadap kerajaan. Kerajaan tidak berupaya melakukan censurship terhadapnya. Lama kelamaan Anwar dengan agenda populist akan dapat mengembangkan lagi pengaruhnya kepada orang ramai dan pengundi-pengundi.

Jika UMNO dan BN tidak melakukan perubahan kepada pucuk kepimpinan yang ada kepada satu pasukan yang lebih bersih, berupaya dan bertenaga, kepercayaan rakyat akan terus longgar dan pengaruhnya akan terus terhakis.

Beberapa pilihanraya kecil di Sanglang, kemungkinan di Kulim dan tahun hadapan pilihanraya negeri Sarawak dan dihadapi. Sekiranya prestasi BN tidak diperbaiki, pilihanraya umum ke 13 bakal menutup riwayat pentadbiran BN.

Lakukan perubahan itu. Tukarkan kepimpinan UMNO!

No comments

Powered by Blogger.