BN makin merosot, Dr. Mahathir terus kecam Abdullah

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah mesej daripada para pengundi kawasan itu bahawa sokongan kepada Umno dan BN tidak pulih malah terus merosot sejak pilihan raya umum yang lalu.

Katanya pengundi Permatang Pauh sama ada Melayu mahupun bukan Melayu berada dalam dilema kerana ramai pengundi tidak mahu memberi undi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun mereka juga tidak ingin mengundi BN.

"Calon BN baik, tetapi kalau beliau menang maka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dakwa yang dirinya menang, dakwa yang sokongan kepada BN iaitu pada dirinya sudah kembali, dakwa BN telah dipulihkan dibawah kepimpinannya," katanya melalui blog chedet.com.

Ujar beliau, hakikatnya pengundi Permatang Pauh tidak mengundi untuk Anwar ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi mereka mengundi untuk mengalahkan Umno dan BN.

Semalam, PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil di kawasan itu.

Pertandingan tiga penjuru di Permatang Pauh menyaksikan Anwar memperolehi 31,195 undi sementara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan selepas mendapat hanya 92 undi.

"Saya percaya dengan berat hati penyokong-penyokong BN telah undi PKR supaya Abdullah akan sedar yang kepimpinannya tidak dikehendaki lagi," katanya.

Dr. Mahathir beranggapan sesuatu yang 'tidak kena' dengan kekalahan BN sehingga pengundi memberi kelebihan undi yang lebih banyak kepada bekas timbalannya itu.

"Calon yang diletak sesuai juga. Apakah yang tidak kena dengan BN? Mungkin inilah mesej yang ingin dihantar oleh pengundi bahawa rakyat menolak kepimpinan Abdullah.

"Namun mesej yang hendak dihantar oleh pengundi Melayu, Cina dan India menjadi sia-sia kerana Abdullah tidak ada telinga untuk mendengar dan tidak ada mata untuk melihat," katanya.

Menurutnya lagi, untuk pulihkan sokongan kepada Umno dan BN, Abdullah perlu bertanggungjawab dan letak jawatan sekarang.

Oleh yang demikian akan memberi masa empat tahun bagi pemimpin-pemimpin Umno berusaha untuk menarik balik penyokong Umno dan BN.

Tambah beliau lagi, jika ditunggu hingga Jun 2010, masa yang tinggal untuk pemulihan parti hanyalah dua tahun iaitu terlalu pendek untuk kerja yang berat ini.

"Pilihan bagi Umno hanya dua. Setia kepada Abdullah dan kalah dalam Pilihanraya Umum ke-13 atau setia kepada Umno lebih daripada setia kepada Abdullah dengan kemungkinan menang Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden Umno mengingatkan pemimpin Umno bahawa undi daripada ahli-ahli setianya sahaja tidak mencukupi untuk mendapat kemenangan.

"Untuk menang, calon Umno perlukan undi orang bukan ahli parti serta orang Cina dan India.

"Dalam keadaan sekarang iaitu Umno dan kerajaan yang dipimpin oleh Abdullah, tidak mungkin orang bukan daripada Umno akan beri kemenangan kepada calon Umno atau BN," katanya.

Jelas beliau juga, tidak mustahil ahli-ahli Umno yang kecewa dengan pimpinan Abdullah akan turut berpaling tadah.

Beliau juga percaya media arus perdana akan cuba memutar cerita mengenai pilihan raya Permatang Pauh bagi menyedapkan hati pemimpin Umno dan Abdullah.

"Justeru Abdullah akan yakin bahawa dirinya dikehendaki untuk pulihkan parti dan Umno akan terus memilihnya sebulat suara pada pemilihan parti Disember nanti," katanya.mstar

parti umno dah busuk!!!!

No comments

Powered by Blogger.