Dr Mahathir sangsi Anwar boleh jadi PM walaupun menang

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sangsi yang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri akan datang walaupun memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam.

Bekas perdana menteri itu yakin Anwar tidak akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 30 anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) untuk berpaling tadah menyertai pembangkang untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

"Beliau (Anwar) mungkin fikir yang beliau boleh membeli mereka tetapi pembida lain mungkin mempunyai lebih banyak wang," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas kemasukan semula Anwar ke Parlimen selepas menewaskan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya kerajaan perlu mengambil perhatian mesej yang diberikan oleh pengundi pada kali ini, lima bulan selepas pilihan raya umum.

"Sebenarnya Parti Keadilan Rakyat tidak menang dalam pilihan raya kecil itu tetapi BN yang kalah dalam pilihan raya kecil itu," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau bimbang kemerosotan populariti BN dalam jangka masa lima bulan selepas pilihan raya umum bukan hanya berlaku di Permatang Pauh sahaja tetapi satu trend di kawasan lain juga.

Beliau mengulangi gesaannya supaya pengantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan berikutan kemerosotan sokongan kepada BN.
BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.