Kemenangan PKR sudah dijangka

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kemenangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh semalam memang sudah dijangka oleh Barisan Nasional (BN) memandangkan kawasan itu sudah menjadi kubu kuat beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, beliau tidak menjangkakan sesuatu yang lain akan berlaku semasa pilihan raya itu memandangkan Permatang Pauh sudah sebati dengan Anwar.

"Tidak, saya tidak jangka lain, saya memang jangka dia menang...itu kampung dia. Dia adalah orang tempatan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ditanya mengenai rancangan Anwar untuk membentuk kerajaan baru pimpinan pakatan pembangkang pada 16 September ini, Nazri yang juga Ahli Parlimen berkata: "Saya sedang menunggu untuk melihat apa yang akan terjadi.

"Saya bangun pagi tadi dan saya sedar saya masih seorang menteri jadi kerajaan belum goyah lagi tetapi kita tunggu dan lihatlah," katanya yang merupakan Ahli Parlimen Padang Rengas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika ditanya soalan sama berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan yang memihak kepada Anwar itu.

"Saya secara peribadi sudah menjangkakan juga kemenangan itu kerana kita dari awal sudah berkata BN adalah 'underdog' di sana," katanya.

Katanya, sebagai orang politik juga, beliau tidak pernah risau mengenai dakwaan Anwar yang mahu menubuhkan kerajaan baru pada 16 September ini.

"Dalam politik, anda tahu sajalah," katanya tanpa mengulas lanjut komennya itu.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, tidak ada sebab bagi ahli BN untuk bersedih atau menganggap kemenangan yang sudah dijangka itu sebagai mengejutkan pati itu.

''Bagi PKR, pilihan raya ini adalah hidup mati mereka, bukan hidup mati Anwar sahaja tetapi hidup mati parti PKR dan juga pakatan pembangkang.

''Bagi BN pula ia hanya satu kerusi yang bukan kerusi kepunyaannya tetapi sudah dimiliki oleh PKR. Ia tidak menjejaskan kepimpinan parti sedia ada, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Tun Razak tetap Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Katanya, majoriti undi yang diperoleh Anwar pada pilihan raya kecil itu juga tidak begitu besar berbanding apa yang diuar-uarkan sebelum ini.

''Saya rasa kalau dilihat pada hari penamaan calon yang mana kehadiran penyokong Anwar 50,000 orang dan sepatutnya undi yang dia dapat pun 50,000 atau sekurang-kurangnya 20,000 tetapi ini tidak berlaku," ujarnya.utusan

nape la ada menteri yang fikiran macam budak sekolah??

No comments

Powered by Blogger.