Merdeka: Elak budaya hedonisme

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Umat Islam perlu mengurangkan budaya hedonisme yang melalaikan setiap kali menyambut Hari Kemerdekaan negara.

Pengarah Institut Hadis Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah berkata, kemerdekaan negara perlu diisi dengan program yang mampu meningkatkan jati diri dan semangat cintakan negara.

Beliau berkata, kemerdekaan dinikmati sejak 51 tahun lalu itu perlu disyukuri rakyat sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: ''Sekiranya kamu bersyukur nescaya nikmat itu akan ditambah.''

Mohd. Farid Ravi berkata, cara bersyukur itu antaranya ialah dengan melakukan perkara baik dan mencegah kemungkaran.

"Kemerdekaan yang lebih utama bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi membebaskan minda kita daripada penjajahan budaya asing," tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Perdana bertajuk 'Kemerdekaan Menurut Islam' anjuran Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) di Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Forum kira-kira 90 minit itu turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak dan Yang Dipertua BKUM, Kamsari Noor.

Program itu diadakan dalam usaha menyemarakkan lagi semangat dan penghayatan sambutan kemerdekaan negara ke-51 yang bertemakan 'Perpaduan Teras Kejayaan' pada Ahad ini.

Seorang lagi ahli panel forum itu ialah Eksekutif Zakat di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman, mengajak umat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar apabila berhadapan dengan sebarang masalah.

Katanya, dalam Islam apa juga masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan syarat mereka kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah.

"Sememangnya sebagai manusia akan berlaku perselisihan pendapat tetapi janganlah hal sedemikian menjadi penghalang kepada perpaduan sesama Muslim," jelasnya.

tolong p bagitau kat pak lah sat leh??

No comments

Powered by Blogger.