Nazri: Pembangkang diminta tidak timbul isu berkaitan Dr. M

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini meminta Anggota Parlimen pembangkang agar tidak lagi membangkitkan sebarang isu berhubung Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam dewan kerana perbuatan itu tidak adil bagi mantan perdana menteri tersebut.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAPIpoh Timur) yang mendakwa wujudnya projek pemberian kad pengenalan palsu kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah yang dikaitkan dengan Dr Mahathir.

"Adakah kerajaan kesan ada satu projek yang pernah dinamakan projek Mahathir di mana pendatang asing ini diberi izin yang palsu dengan dokumen palsu sehingga rakyat Sabah takut," kata Lim pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Projek itu didakwanya mengakibatkan bilangan pendatang asing melebihi bilangan rakyat Sabah.

Mohamed Nazri berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana orang yang tidak berhak untuk menjadi warganegara negara ini diberikan keistimewaan kerana pendatang asing tanpa izin itu sebenarnya pendatang haram.

"Sebab itu saya ingin menafikan kenyataan yang dibuat Yang Berhormat (Lim) yang bangkit sebentar tadi dan saya percaya YB gentleman, kalau orang tu (Mahathir) dah tiada di sini janganlah bangkit (mengenai) dia, tidak adil kepada Tun Mahathir yang tidak boleh menjawab soalan berbangkit," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Datuk Eric Enchin Majimbun (BNSepanggar) mengenai jumlah orang asing yang memasuki Sabah melalui pengangkutan darat atau laut sejak lima tahun lepas, Mohamed Nazri berkata 154,798 orang asing memasuki Sabah sehingga Julai lepas.

"Bilangan mereka yang dapat diberkas kerana memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan adalah 9,342 pada tempoh yang sama," katanya.

Beliau berkata langkah yang diambil kerajaan untuk menghentikan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke Sabah adalah dengan menjalankan operasi menangkap, menghantar pulang ke negara asal mereka, memperketatkan kawalan di pintu masuk dan di sempadan negara.

"Kerajaan turut menggalakkan kerjasama, penyertaan dan kesedaran orang awam untuk membanteras pendatang asing tanpa izin dengan mengadakan kursus, taklimat dan ceramah di kalangan rakyat tempatan," katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.