PAS Pulau Pinang ucap tahniah

PERMATANG PAUH, 27 Ogos (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man mengucap syabas kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya memenangi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil yang bermula 16-26 Ogos lalu.
Iklan




Ujarnya, Anwar memang seorang yang cekal dengan prinsipnya tidak melawan apabila serangan peribadi dilemparkan terhadapnya oleh jentera Umno-BN sebaliknya terus membahaskan isu-isu negara yang bakal disentuh sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri menjelang 16 September nanti.

"Saya mewakili semua Perhubungan PAS Negeri serta ahli ucap tahniah di atas kemenangan menjadi Ahli Parlimen baru Permatang Pauh. Kemenangan itu bukan suka-suka bahkan merupakan satu amanah besar yang beliau terpaksa galas sebagai seorang pemimpin," kata beliau.

Begitu juga dengan jentera PAS dari seluruh negara kerana kesanggupan datang memberikan pertolongan sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat memenangi majoriti lebih besar berbanding keputusan yang di perolehi oleh Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya umum lalu.

"Semoga apa pun pengorbanan sama ada wang ringgit, tenaga, buah fikiran atau apa sahaja Allah SWT sahaja yang membalasnya, " terang beliau bersyukur terhadap kemenangan semalam.

Terutamanya PAS Kawasan Permatang Pauh kerana berjaya menjadi tuan rumah walaupun ada yang kurang namun atas rasa tanggungjawab ia dapat diatasi dengan sempurna.

"Bukan sahaja PAS Kawasan Permatang Pauh, Dewan Muslimat, Pemuda PAS Negeri dan Kawasan, Unit Amal dan seumpamanya sekalung tahniah untuk anda semua.

"PAS Negeri juga berharap, kemenangan itu menambah kesuburan jalinan keakraban antara parti dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang kerana dengan jalan saling bertemu sahaja dapat memupuk semangat kerjasama yang utuh.

"PAS Pulau Pinang berharap KeADILan dan DAP rajin-rajin mengadakan pertemuan dengan PAS supaya keakraban dapat dipupuk dengan baik sekali, " jelas Ustaz Saleh. - mks. _

No comments

Powered by Blogger.