PAS Pahang sasar kejutan dalam PRU akan datang

PAS Pahang dalam mesyuarat perhubungan negeri yang pertama selepas muktamar tahunannya pada Sabtu lepas telah melakukan rombakan struktur kepimpinan yang besar.

Kerusi paling kanan yang menyaksikan perubahan adalah apabila Tuan Syed Hamid Syed Mohamed, Adun Semantan dilantik ke jawatan Timbalan Pesuruhjaya (Zon Tengah), menggantikan Abd Majid Hassan.

Pertukaran ini diharap akan dapat memantapkan lagi imej PAS di mata masyarakat Pahang umumnya.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang, yang juga Naib Presiden PAS Pusat ketika dihubungi di sini menegaskan bahawa intipati perubahan sktruktur kepimpinan PAS Pahang kali ini adalah Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 nanti. Maka saf kepimpinan baru ini mestilah mencerminkan hasrat dari intipati tersebut, iaitu membuat kejutan dan seterusnya memenangi pilihanraya.

Bagi mencapai hasrat ini, beberapa kedudukan strategik dalam PAS Pahang mestilah diisi oleh orang yang benar-benar mampu bekerja untuk merealisasikannya.

Syed Ab Rahman Syed Hussein, sebelum ini adalah Ketua Penerangan PAS Negeri, juga adalah Ketua Urusetia Dewan Negeri dan mempunyai pengalaman luas dalam penyelidikan serta kajian yang melibatkan pelbagai isu telah dilantik sebagai Pengerusi Lujnah Penyelidikan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurut Tuan Ibrahim, pengwujudan biro ini adalah perlu memandangkan perkembangan politik baru negara memperlihatkan bahawa faktor sokongan NGO akan menjadi penting dalam memastikan kemenangan PAS bila berhadapan dengan PRU akan datang. Syed Ab Rahman pula diyakini akan dapat berfungsi dalam menjana kekuatan maklumat yang diperlukan oleh PAS Pahang.

Ketua Penerangan PAS Pahang pula menyaksikan penonjolan muka baru bila Hasanuddin Salim dilantik, anak muda yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pahang.

Oleh kerana intipati rombakan adalah PRU Ke-13 nanti, maka sudah tentu fokus perubahan struktur adalah pada Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) PAS Pahang. Orang lama dalam JPN, Abd Majid Hassan, yang pernah memangku jawatan Pengarahnya, telah dilantik secara sah ke jawatan tersebut. Sebagai orang berpengalaman dalam JPN Pahang, apalagi dengan kedudukannya sebagai bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, ujar Tuan Ibrahim lagi, Abd Majid dilihat akan mampu untuk merangka strategi berkesan dalam menghadapi PRU Ke-13 akan datang.

Dengan penstrukturan semula, pengenalan beberapa muka baru, dan pengekalan tokoh-tokoh lama yang diyakini berkemampuan, PAS Pahang, seperti yang diharapkan oleh Tuan Ibrahim akan dapat menyertai PRU Ke-13 nanti dengan hasil yang lebih mengesankan.

No comments

Powered by Blogger.