Lebih 60 rangka motosikal ditemui dalam Tasik Biru

PETALING JAYA: Polis hari ini menemui lebih 60 rangka motosikal curi yang dibuang ke dalam Tasik Biru, Kundang dekat Rawang selepas berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai anggota satu sindiket mencuri motosikal pada 22 Ogos lalu.

Susulan tangkapan lelaki berusia awal 20-an di Kota Damansara ketika cuba mencuri sebuah motosikal itu, polis percaya lebih 60 kes kecurian motosikal di sekitar daerah itu dapat diselesaikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Mohd Shukor Sulong, berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memecahkan kunci motosikal lalu melarikan motosikal itu untuk dileraikan.

"Selepas meleraikan komponen motosikal, rangka motosikal yang dicuri itu dibuang ke dalam tasik bagi menghapuskan bukti," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah melakukan kegiatan itu lebih tiga tahun lalu berdasarkan keadaan rangka motosikal yang ditemui.

Mohd Shukor berkata, polis masih mencari saki-baki anggota sindiket itu, manakala tiga suspek itu ditahan reman selama seminggu.

Tinjauan Bernama di tasik itu mendapati empat anggota polis lengkap dengan peralatan menyelam masih mencari di sekitar tasik.

Operasi mencari itu bermula sejak petang semalam dan diteruskan hari ini. Difahamkan masih terdapat beberapa rangka motosikal lagi di dasar tasik itu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.