Boleh lulus belanja Adun satu minit jadi persoalan

Kenyataan bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah Gombak, Tahir Bujang bahawa pihaknya boleh meluluskan satu-satu permohonan penggunaan peruntukan Adun hanya dalam masa satu minit menimbulkan kesangsian di kalangan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim dalam sesi pendengaran awam Selcat hari ini, meminta Tahir menerangkan satu persatu prosedur yang perlu dilakukan sebelum meluluskan sebarang peruntukan keapada Adun.

Beliau berkata, mengikut prosedur biasa, setiap permohonan peruntukan yang dibuat mengambil masa selama empat belas hari sebelum diluluskan.

"Proses dari tarikh kita serah (permohonan) kepada pejabat daerah, sampai ke meja ketua penolong pegawai daerah, selepas itu sampai ke bahagaian kewangan, mengambil masa 14 hari. Paling cepat pun dalam masa tiga hari.

"Macammmana proses yang mengambil masa 14 hari boleh diselesaikan dalam masa satu minit?" soal Teng.

Tahir yang kini merupakan Ketua Penolong Pegawai Daerah Sepang memberitahu, semua prosedur itu boleh diselesaikan dengan cepat kerana semuanya telah direkodkan menggunakan sistem komputer.

"Ikut pengalaman, satu fail permohonan satu minit je boleh siap sebab dah ada sistem dalam komputer untuk pengeluaran cek," katanya.

Teng bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan menyoal beberapa soalan lain mengenai permohonan yang dibuat oleh ADUN BN sebelum ini.

"Patutlah Gombak ni dalam sehari boleh selesaikan samapi 648 fail. Kalau begitu tak perlu ada pegawailah.Semua boleh guna komputer," ujarnya sinis.

Beliau juga menyifatkan tindakan ADUN BN sebelum ini membelanjakan peruntukan yang ada sebagai tidak masuk akal.

"Secara amnya permohonan peruntukan untuk Dun dalam kawasan Gombak ni luar biasa kerana peruntukan untuk setahun dihabiskan dalam tempoh satu setengah bulan," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Haniza Taha yang juga Adun Taman Medan pula mempersoal di bawah peruntukan manakah peruntukan yang diberikan untuk membayar sewa bilik gerakan Umno kerana ia bukan terletak dalam kategori peruntukan Dun.

Tahir bagaimanapun tidak dapat memberikan jawapan yang tepat.

"Kena tengok fail dulu. Rasanya itu satu projek kecil. Tapi saya tak pasti tentang tu,"ujarnya.

Selain Teng dan Haniza, dua lagi jawatankuasa pilihan khas yang hadir pada hari ini ialah Adun Hulu Klang Sa'ari Sungib dan Adun Bukit Gasing Edward Lee Poh Lin.

Manakala seorang lagi saksi yang hadir hari ini ialah Pegawai Daerah Gombak Huzaini Samsi.

Semalam Huzaini mendedahkan Adun-Adun BN di bawah seliaan beliau telah membelanjakan banyak wang peruntukan kerajaan negeri sebelum PRU 12 tahun lalu.

Huzaini berkata perbelanjaan bulanan selalunya sekitar RM20,000 hingga RM30,000 namun menjelang pilihanraya umum 2008, wakil-wakil rakyat BN ini memanfaatkan sepenuhnya takat perbelanjaan maksima.

"Keadaan yang luarbiasa berlaku menjelang pilihanraya kerana wang dibelanjakan sebanyak mungkin dengan cepat sekali," katanya.

Beliau akui ada kemungkinan wang peruntukan kerajaan negeri ini digunakan untuk berkempen dalam pilihanraya.

"Bergantung kepada Adun berkenaan. Kerana kalau mereka mahu habiskan dengan segera, nanti kalau kita tahan, lain pula jadinya. Jadi kita kena luluskan secepat mungkin," kata Huzaini yang menjadi DO sejak 2007.

Huzaini mendedahkan tidak ada mekanisma memantau tabiat berbelanja Adun-adun BN ini mahupun kemahuan untuk mempertanggungjawabkan Adun-adun BN ini diatas apa yang berlaku.

Pendengaran awam selcat di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) hari ini masuk hari keempat setelah bermula pada 8 September lalu dan akan berakhir pada 14 September ini.

Selcat 2 diwujudkan bagi meneliti dakwaan penyelewengan peruntukan rakyat oleh Adun BN dalam masa dua hingga tiga bulan pertama 2008

No comments

Powered by Blogger.