OSA Untuk Lindung Skandal PKFZ?

Pas Pahang mendesak pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menyembunyikan salah laku dan penyelewengan wang kerajaan membabitkan pemimpin politik seperti yang berlaku dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Yusof Embong berkata, terdapat unsur penyelewengan dan salah laku membabitkan pemimpin politik pemerintah, sebagaimana didedahkan dalam dokumen kerajaan yang membabitkan wang negara dalam jumlah besar sehingga isu ini didedahkan media.

Menurutnya, jika tiada pihak berani mendedahkannya, hanya kerana takutkan OSA, maka berbilion wang rakyat dan negara diseleweng sesuka hati tanpa diketahui sesiapapun.

“Sebab itu Pas mendesak kerajaan tidak menjadikan OSA sebagai perisai untuk melindungi pemimpin politik untuk melakukan penyelewengan sesuka hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Jamuan Rumah Terbuka Pas, di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang, di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengarahkan polis menyiasat sebuah laman web yang menyiarkan dokumen didakwa Kertas Kabinet mengenai isu PKFZ.

Beliau dilaporkan berkata, jika benar dokumen yang disiarkan itu Kertas Kabinet, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah OSA.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula berkata, polis akan memanggil beberapa individu termasuk tokoh tertentu bagi membantu siasatan kes pendedahan Kertas Kabinet itu dalam Internet.

Baru-baru ini, sebuah laman blog mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan satu Kertas Kabinet yang ‘diklasifikasi’ mengenai skandal PKFZ.

Blog itu memuatkan dokumen 18 muka surat dengan rujukan KK/BPKA/D5(Y)/540/1/1 sebagai Memorandum Daripada Menteri Kewangan berhubung PKFZ bertarikh 22 Jun 2007 dan menggunakan nama penulis Raja Petra Kamarudin.

Yusof berkata, Najib perlu memperlihatkan sikap yang jelas terhadap penyelewengan yang telah berlaku dalam PKFZ.

Beliau berkata, projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbul isu kos pembangunan melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

No comments

Powered by Blogger.