Thaipusam : Ribuan Rakyat Selangor Tolak Kekerasan Polis, Hadir Majlis Kerajaan Negeri

BATU CAVES, 29 Jan -Ribuan rakyat Selangor hadir pada majlis Thaipusam anjuran kerajaan negeri Selangor di Batu Caves malam tadi, meskipun polis mengenakan kekangan yang dilihat sebagai cubaan langsung untuk menggagalkan majlis itu.

Polis merobohkan sebuah pentas yang didirikan oleh kerajaan negeri untuk majlis berkenaan, setelah memberi kelulusan terlebih dahulu.

Tindakan polis itu dikaitkan kepada cubaan memastikan rakyat hanya hadir untuk lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke tapak itu malam tadi dan memulau majlis anjuran kerajaan negeri yang di atur jauh lebih awal.

Tindakan polis merobohkan pentas berkenaan memaksa kerajaan negeri membatalkan pertunjukkan kebudayaan yang bertujuan memupuk keharmonian kaum.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan EXCOnya tetap mengambil keputusan untuk hadir merasmikan majlis sambutan itu walaupun mereka terpaksa berdiri atas beberapa meja yang diatur bersebelahan sebuah trak penguasa tempatan.

Meskipun majlis diadakan sejurus selepas Perdana Menteri Najib Razak melawat tapak itu, namun sambutan rakyat Selangor untuk pemimpin kerajaan negeri Selangor tetap hangat, khususnya daripada kaum India.

Tan Sri Khalid menyampaikan bantuan berjumlah RM1 juta, kepada badan amal serta sekolah Tamil di sekitar Selangor dan berjanji kemewahan Selangor akan terus dikongsi bersama dengan rakyat.

Beliau berkata sebarang usaha untuk menyekat kerajaan negeri daripada mendampingi rakyat akan terus ditolak, walaupun ia membabitkan jabatan persekutuan seperti polis.

Beliau juga menyampaikan mesej tajam kepada pemimpin persekutuan yang cuba membelakangkan hak dan kuasa-kuasa kerajaan negeri yang dilantik rakyat.

“Kita bukan menidakaan kehadiran kerajaan persekutuan. Sebagai tuan rumah kita menyambut baik kehadiran mereka. Tetapi mereka bukan tuan rumah di negeri Selangor. Mereka hanya tetamu. Saya harap perkara ini dapat difahami supaya kita dapat meraikan apa sahaja perayaan bersama- sama,” kata Tan Sri Khalid.

Polis dilihat sebagai bertindak di luar bidang kuasa apabila merobohkan pentas kerajaan negeri sehari sebelum Najib melawat tapak itu.

Umumnya, hanya penguasa tempatan mempunyai kuasa menentukan kesesuaian mendirikan pentas dalam sesuatu premis seperti Batu Caves setelah mengambil kira kepentingan semua pihak.

EXCO kerajaan negeri Xavier Jayakumar berkata Polis tidak membantah pembinaan pentas kerajaan negeri apabila usul itu dibuat tetapi kemudian mengarahkan supaya ia dirobohkan atas alasan keselamatan.

Beliau berkata alasan itu tidak masuk akal kerana pentas berkenaan tidak mengancam keselamatan mana-mana pihak.

Ratusan ribu orang membanjiri Batu Caves malam tadi dan hari ini untuk bersembahyang dan membayar nazar.

Kerajaan Negeri telah meletakkan perayaan Thaipusam sebagai satu tarikan pelancong sempena kempen pelancongan Selangor Shine sepanjang tahun ini.

Hasil publisiti meluas kerajaan negeri di dalam dan luar negara, ribuan pelancong tempatan dan luar Negara bertumpu ke tapak bersejarah Batu Caves untuk sambutan terbesar Thaipusam di rantau Asia Tenggara.

No comments

Powered by Blogger.