5,000 Sertai Perarakan Maulidur Rasul Di Selangor

Seramai 5,000 umat Islam terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor semalam.

Perarakan sejauh dua kilometer melibatkan 110 kontinjen bermula di Stadium Shah Alam dan berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam. Ia disertai beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan-badan berkanun dan syarikat swasta.

Majlis berkenaan dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah. Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan EXCO kerajaan Negeri.

Dalam ucapannya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud berkata, tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah 'Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah'.

Beliau menggesa umat Islam membetulkan tekad dengan menumpukan soal utama bagi memacu pembangunan ummah dan mengelak anasir yang boleh memecah belah perpaduan rakyat.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipilih pemenang perarakan bagi kategori Badan Kerajaan hasil gimik menarik.

"Mungkin sebab kita buat gimik dengan membawa kerusi roda, jadi nampaklah imej kebajikan. Yang penting komitmen semua, jalan ikut aturan walaupun kita praktis tak lama," kata jurucakap JKM.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula memenangi perarakan kategori badan berkanun walaupun penyertaan mereka semata-mata untuk untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah.

"Kemenangan ini adalah bonus kepada kita bukan kata kita sasarkan kepada kemenangan tetapi kepada program ini sendiri. Jadi bila menang itu satu bonus bagi MBPJ pagi ini," kata wakil MBPJ.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dari Amy Search, kumpulan nasyid Rabbani dan Hijjaz.

Dalam pada itu, kerajaan Selangor turut menyediakan enam anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul berteraskan nama tokoh Islam iaitu Anugerah Saidina Ali, Anugerah Saidatina Khadijah, Anugerah Uthman Ibnu Affan, Anugerah Imam Al-Ghazali, Anugerah Khalid Al-Walid dan Anugerah Umar Abdul Aziz.

Muhammad Mu'az Mohd Abd Azis dipilih penerima Anugerah Saidina ali manakala Anugerah Umar Abdul Aziz (Datuk Mohd Talha Abd Rahman), Anugerah Saidatina Khadijah (Prof Dr Jawiah Dakir), Anugerah Imam Al Ghazali (Mohd Salleh Ashaari), Anugerah Khalid Al Walid (Datuk Khalid Abu Bakar) dan Anugerah Uthman Ibnu Affan (Mohd Ilham Ikhsan).

Bercakap kepada TV Selangor, Mohd Talha berterima kasih atas penghargaan kerajaan negeri walaupun tidak pernah mengharap balasan atas setiap jasanya. -TVS







Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.