DUN Galas: BN tetap tanding, kata Najib

PUTRAJAYA, 1 Okt — Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan tetap meletakkan calonnya bagi menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan walaupun diminta tidak berbuat demikian oleh parti pembangkang.

Malah Perdana Menteri berkata parti itu akan meletakkan calon yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

“Sukar bagi kita tidak bertanding. Mengikut amalan demokrasi, sesuatu kerusi bila kosong atas sebab kematian perlu diadakan pilihan raya kecil,” katanya kepada media selepas melawat Pameran Pertandingan Reka Bentuk Hospital Kerajaan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

“Sekali saja kita tidak buat kerana bila sengaja dikosongkan kita rasa membazir dari segi kewangan,” katanya merujuk kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata bagi kawasan Galas terdapat keperluan untuk menggantikan wakil rakyat bagi kawasan tersebut.

“Jika kita tidak bertanding maka rakyat di Galas tiada pilihan. Bila bertanding sekurang-kurangnya mereka ada pilihan sama ada mereka mahu Barisan Nasional atau PAS. Jadi itu amalan demokrasi yang sihat di negara kita.”

Ditanya tentang pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai pengarah pilihan raya kecil itu dan tidak sebagai calon, Najib (gambar) berkata, “Saya gembira bahawa beliau sedia dan beliau komited untuk bekerja keras bagi memastikan BN menang.”

“Kita tidak mahu cakap mengenai calon pada peringkat ini. Saya masih tunggu senarai bakal calon. Saya tidak mahu ramal siapa bakal tetapi kita mahu letak calon yang paling sesuai,” kata Najib.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, daripada PAS Isnin lepas akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya parlimen Gua Musang daripada BN dengan majoriti 646 undi. — Bernama

1 comment

joecharlie said...

Friday, October 1, 2010
PAS dah panik, Tahu kalah di Galas

Cadangan pertama keluar dari mulut Penolong Setiausaha Agong PAS Takiyuddin Hassan yang mencadangkan agar BN tidak bertanding demi perpaduan Pas Umno.

Katanya :

PAS Pusat menyarankan supaya Barisan Nasional (BN) berkompromi dengan menyerahkan kerusi kepada parti PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu perlu demi perpaduan Melayu dan mengelakkan pergeseran politik terus berpanjangan antara kedua-dua parti induk orang Melayu itu.

Katanya adalah wajar jika kedua-dua parti itu tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ingin melihat perpaduan di kalangan orang Melayu yang menjadi agenda utama negara.

“Bagaimanapun, adalah lebih baik jika kerusi itu diserahkan kepada PAS memandangkan kerusi DUN itu disandang oleh calon daripada parti berkenaan,” katanya

Selepas itu Nik Aziz turut mengulas cadangan Takiyudin di atas tetapi dalam nada yang agak berbeza di sini iaitu mengajak orang Melayu Islam menyertai PAS demi mengelakkan perpecahan berpanjangan orang Melayu Islam di Malaysia.

Mungkin dia secara peribadi agak malu untuk mengulas senada dengan Takiyudin kerana sebelum ini Umno telah dicopnya sebagai sekular, komunis dan tidak Islam…Biasalah….dah terlajak kata memang malulah muka nak berbaik.

Selepas itu Sayuti Omar telah menyokong cadangan tersebut lalu memuatkannya di blog beliau di sini

Kemudian Blogger Kerabu Bersuara turut memuatkan tulisan tersebut sebagai menyokong cadangan agar Kerusi GALAS diberikan kepada PAS atas nama perpaduan di sini .

Dalam hal ini nampak sangat PAS hanya melutut dan merayu apabila menyedari kerugiaan yang bakal diperolehinya. Selagi tidak ada mudarat kepada politik mereka, selagi itu cadangan yang baik seperti perpaduan Melayu Islam akan dikritik habis-habisan.

Ini kerana mereka tahu GALAS adalah kubu kuat BN dan momentum GALAS boleh menjadi penentu nasib mereka PRU akan datang.

Yang jelasnya Melayu sudah sedar keburukan Pakatan Rakyat yang ternyata pandai mengkritik tetapi gagal menunjukkan mereka lebih baik dari yang dikritik.

Baca seterusnya di Panglima Perang Cyber

Powered by Blogger.