Krisis Libya: Gaddafi umum insentif tunai, PBB draf sekatan

TRIPOLI, 25 Feb — Kerajaan Libya pimpinan Muammar Gaddafi, yang berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang semakin meningkat dan juga tekanan global, mengarahkan ganjaran wang tunai selain kenaikan gaji, subsidi makanan dan elaun.

Laporan televisyen kerajaan berkata, setiap keluarga akan menerima 500 dinar Libya (sekitar RM2,000) untuk membantu menyara kos makanan yang semakin meningkat manakala gaji kakitangan awam pula dinaikkan sehingga 150 peratus.

Dalam pada itu, Reuters memetik Menteri Luar Perancis Michele Alliot-Marie berkata, negara itu dan Britain merangka resolusi untuk perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengenakan embargo senjata, sekatan kewangan dan menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendakwa pemimpin-pemimpin Libya melakukan jenayah kemanusiaan.

“Ada usaha Perancis-Britain... kami telah meminta dikenakan embargo secara total, sekatan dan meminta tindakan ICC,” kata Alliot-Marie kepada radio France Info.

Sekatan itu termasuklah kewangan dan larangan perjalanan.

Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan pertemuan lewat hari ini untuk membincangkan cadangan itu. — Reuters

No comments

Powered by Blogger.