Mengaku terbit Selangor Terkini, Selangor mahu Shukor didakwa

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menggesa Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan perundangan dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Abdul Shukor Idrus yang secara terbuka mengaku memiliki dan mengedar akhbar haram, Selangor Terkini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada kenyataan media hari ini, berkata pihaknya sudah mengirim surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk berbuat demikian

“Perbuatan Shukor menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mengedar kalendar beliau bersama-sama Selangor Terkini yang didapati mengguna logo rasmi kerajaan Selangor tanpa kebenaran.

“Peguam Negara mesti mengambil tindakan terhadap Abdul Shukor kerana bersubahat mengedarkan akhbar haram,” katanya.

Pengakuan terbuka Abdul Shukor selaku Ketua Penerangan Umno Selangor itu disiar Malaysiakini dan beberapa akhbar utama lain pada 23 Februari lalu.

Khalid sudah mengarahkan pegawainya menghantar bukti kepada polis bagi membantu siasatan susulan berdasarkan laporan dibuat pada 17 Januari lalu.

“Saya berharap Peguam Negara akan bertindak “tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) dalam hal ini sepertimana yang dituntut rakyat dan undang-undang Malaysia,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.