Kehormatan tidak terletak di celah kangkang kaum wanita — Erna Mahyuni

Baru-baru ini saya dikecam keras ekoran gurauan saya yang merujuk kepada seorang ibu sebagai seorang pelacur (rujuk sini). Saya akui ia menyinggung hati dan ia satu percubaan secara sengaja untuk memprovokasi.

Tetapi sejujurnya, saya tidak memandang rendah terhadap golongan pelacur atau pelacuran. Lagipun, ia sering disebut sebagai ‘kerjaya yang paling tua di dunia’. Hakikatnya permintaan merangsang bekalan dan bukan sebaliknya.

Pada pendapat saya adalah tidak adil sekiranya kehormatan seorang wanita ditakrif berdasarkan organ yang tersarang di celah kakinya. Apabila seorang lelaki “membela kehormatan seorang wanita”, bererti dia sebenarnya mempertahankan bahagian tubuh tersebut juga. Carut-marut yang paling teruk sekali di dalam bahasa Cina dan bahasa Melayu pun bukan lain dari nama-nama kesat untuk kelamin wanita.

Segalanya berkisar pada dara, kemurnian dan sucinya anu kaum hawa. Kita dihantui dengan pembelaan faraj wanita hingga masyarakat kita dari segi itu boleh diumpamakan sebagai cawat besi yang mutakhir.

Kehormatan seorang lelaki manakala tidak pula bergayut pada kelangkangnya. Ini jelas tidak adil. Kalau, misalan kata, saya mengurat seorang teruna dan kami bersetubuh, kehormatan dia tidak tercabul. Tetapi songsangkanlah jantina dan lain pula kesimpulannya.

Mengapakah ukuran kehormatan dan nama baik seorang wanita tidak mengambil kira seluruh aspek dirinya, dan bukan sahaja bertumpu pada liang peranakannya?

Mengapa janji seorang wanita tidak boleh dikira sebagai jaminan buat dirinya? Kenapakah watak, akal dan pencapaian seorang wanita tidak dinilai dengan lebih tinggi daripada soal sama ada seorang wanita mengizinkan atau tidak seorang lelaki untuk mengisi ‘jurang sulitnya’?

Saya terharu semasa membaca ulasan-ulasan mengenai ‘kes pikat’ Daphne Iking. Suami Iking tergamak untuk membalas dendam terhadap pesaing untuk kasihnya dengan menggunakan undang-undang yang berkenaan. Ini satu persendaan. Undang-undang tersebut menyifatkan wanita tidak lebih daripada barang milik peribadi. Di bawah taklukan undang-undang tersebut, Iking tidak lain daripada seekor haiwan beban. “Kamu menggoda kaldai saya supaya masuk ke ladang kamu maka kamu bayarlah ganti ruginya!”

Adakah para pembaca mengambil kisah tentang perkara itu? Tidak. Ulasan-ulasan yang ditinggalkan pada rencana itu menjijikan. Para moralis dengan senang-wenang menghakimi Iking, menggelarnya jalang, wanita yang tidak bermoral, pisau cukur. Mereka hairan mengapa majikan Iking tetap menggajinya walaupun tahu tentang masa lampaunya yang tidak menyenangkan itu.

Saya tidak mengenali Daphne Iking secara peribadi tetapi saya rasa dia tidak patut difitnah sebegitu rupa kerana tersilap langkah dalam cinta. Tidak pelik jika kita terjatuh hati dengan orang yang salah pada waktu yang salah di situasi-situasi yang paling rumit sekali — itulah hakikat hidup manusia.

Mereka yang berdesas-desus tentang siapakah ayah sebenar kepada anak perempuan Iking patut berasa malu. Buat apa menjaga tepi kain orang? Lagipun, apa yang dibuat oleh seorang wanita dengan anu di antara kakinya ialah urusan dia dan bukan urusan siapa-siapa selain darinya.

Siapa yang kamu tiduri, tidak tiduri atau mahu tiduri itu sebenarnya urusan peribadi anda. Kita sering bergembar-gembur tentang seks dan moraliti kononnya dan lupa apa ertinya menjadi seorang insan yang baik, berbudi, yang mengambil berat; insan yang tidak menghakimi orang lain dan yang melayan orang lain sepertimana kita sendiri mahu dilayani.

Buat kaum hawa, ingatlah: Kini sudahpun abad yang ke-21. Sanjungi diri anda dan naluri cita anda serta berbanggalah dengan hakikat bahawa anda tidak dinilai harga diri berdasarkan alat kelamin anda semata-mata. — english.cpiasia.net

* Terjemahan rencana yang bertajuk ‘Honour is not found between a woman’s legs’; The Malaysian Insider, Mac 9, 2011.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments

Powered by Blogger.